Showing posts with label Artikel. Show all posts
Showing posts with label Artikel. Show all posts

Komunikasi Interpersonal dan Intrapersonal (Bahagian II)

on Thursday, February 14, 2013

Artikel sebelum ini telah membincangkan bahagian Pendahuluan, Definisi, Komunikasi yang Berkesan, Faktor Asas terhadap Kemahiran Interpersonal Komunikasi dan Kemahiran tingkahlaku Komunikasi Interpersonal (5.1 - 5.5). Artikel ini pula ada sambungan daripada artikel berkenaan. Anda boleh ikuti artikel berkenaan di sini.

5.6 Penglibatan Pendengar

Jika anda berucap untuk melibatkan pendengar pada tahap intelektual sahaja, skop anda adalah terbatas. Anda hanya melibatkan proses pemikiran di bahagian kiri otak yang sesuai bagi maklumat (fakta dan nombor) sahaja. Maklumat dapat disampaikan dengan berkesan dalam bentuk tulisan. Orang dapat membaca lima kali lebih laju daripada percakapan kita. Apabila anda bercakap, anda terlibat dalam komunikasi interpersonal iaitu anda menyampaikan idea dan pendapat. Anda sedang cuba menggalakkan seseorang bertindak atau memujuk mereka supaya bersetuju dengan anda. Jika anda gagal melibatkan bahagian kanan otak pendengar, anda tidak memperoleh keberkesanan yang baik. Tidak kira seorang atau seribu pendengar, mereka selalu dipengaruhi oleh berbagai rangsangan persekitaran. Lebih banyak penglibatan seseorang pendengar, lebih senang anda memujuk dan meyakinkan dia tentang mesej anda (Bert Decker ,1993).

5.7 Penggunaan Gurau Senda

Gurau senda ialah satu daripada kemahiran penting untuk komunikasi interpersonal yang berkesan dan paling susah dipelajari. Sesetengah orang senang disukai dan dirapati kerana mudah bergurau atau berjenaka (Fisher, B.A.,1978). Kita akan menjadi orang yang lucu dan bersifat “kemanusiaan” jika kita sanggup menjadi sebahagian daripada sesuatu jenaka orang. Banyak yang kita peroleh daripada komunikasi interpersonal dengan berjenaka dan bergurau senda. Sebenarnya dalam komunikasi, kita hendak berhubung secara peribadi dengan pendengar kita. Perhubungan ini dapat wujud dengan unsur “kesukaan” (likeabiliti). Perhubungan ini boleh wujud melalui faktor seperti sikap terbuka, persahabatan, minat, baik, jujur, yakin, beremosi dan bersuka. Senyuman merupakan faktor yang paling menonjol semasa kita bercakap. Senyuman menggambarkan perasaan kita sama ada kita marah, berminat, gembira atau serius. Selain itu, senyuman juga akan membayangkan kemampuan kita untuk menghayati jenaka dan gurau senda (Bert Decker ,1993).

5.8 Sifat Semula Jadi Seseorang

Sifat semula jadi yang terdapat dalam diri perlu digunakan sepenuhnya semasa berkomunikasi. Elakkan kita berkomunikasi diluar kemampuan diri kerana pendengar akan menilai mesej berdasarkan keyakinan dan kemampuan. Kita mempunyai kekuatan atau kelebihan dan kelemahan. Kita mempunyai banyak sumber untuk membantu dalam memperbaiki komunikasi tetapi kekuatan atau kelebihan sedia ada merupakan faktor terpenting. Walaupun mengenali sifat semula jadi merupakan satu tabiat tetapi yang penting ialah mengakui kekuatan dan kelemahan serta menukar kelemahan kepada kekuatan (Bert Decker ,1993).

5.9 Peka ketika berkomunikasi dengan orang lain

Tanggapan awal merupakan halangan kepada komunikasi yang berkesan. Sesetengah orang kerap memberi tanggapan awal sebelum berkomunikasi dengan orang lain. Hal ini terjadi disebabkan pengalaman yang telah dilalui. Tanggapan awal mungkin berguna bagi membantu kita mengkategorikan atau menentukan orang yang kita jumpa. Tanggapan tersebut mungkin tepat atau mungkin salah. Biasanya juga, kita membuat tanggapan awal berdasarkan maklumat atau pandangan yang kita dapat melalui orang lain. Terdapat beberapa kaedah bagaimana hendak memperbaiki tanggapan atau pemahaman awal kita terhadap orang lain :

  1. Elakkan membuat tanggapan awal apabila berjumpa dengan seseorang buat pertama kali.

  2. Dengar dengan teliti dan tunjukkan minat anda apabila berkomunikasi dengan seseorang.

  3. Jangan terpengaruh dengan tanggapan pertama/awal. Elakkan stereotaip seseorang berdasarkan loghat, penampilan dari segi fizikal atau kerana orang itu mengingatkan kita kepada seseorang.

  4. Kita seharusnya peka bahawa setiap orang berkelakuan/bertindak mengikut situasi.

  5. Elakkan menunjukkan minat terhadap orang yang tertentu sahaja. (contohnya : asal yang sama, kedudukan sosial yang sama, bangsa yang sama dan lain-alin).

  6. Jangan hanya terpengaruh dengan ciri-ciri atau sifat dan kata-kata positif seseorang sahaja.

  7. Nilai seseorang berdasarkan apa yang mereka kata (Asrtid French, 1996).

Kajian mengatakan semasa kita berkomunikasi secara bersemuka, kurang daripada 10 % impak terhadap komunikasi kita datang daripada apa yang kita kata tetapi lebih 90 % impak adalah ditentukan oleh komunikasi “non-verbal” (Joseph O’Connor et al, 1982). Komunikasi “non-verbal” merangkumi mimik muka, tumpuan mata, pergerakan kaki dan badan, pakaian, penampilan umum dan intonasi suara. Oleh itu, semasa berkomunikasi kita hendaklah konguren. Ini bermaksud pergerakan tubuh badan atau bahasa pergerakan tubuh badan dan intonasi suara mestilah seiring dengan apa yang kita hendak kata atau sampaikan. Memahami bahasa pergerakan tubuh badan amat penting dalam hubungan interpersonal. Lebih 50% kesan atau impak keberkesanan mesej kita adalah daripada bahasa pergerakan tubuh badan. Untuk menjadikan komunikasi kita efektif dan berkesan, kita perlu tingkatkan pemahaman dan kesedaran kita terhadap pergerakan tubuh badan kita dan orang lain.

Salah satu masalah untuk memahami “non-verbal” komunikasi ialah kita telah membuat tanggapan atau andaian terhadap “non-verbal” komunikasi berdasarkan budaya kita. Sebagai contoh kajian yang dibuat oleh Gumpertz et al, (1979) mengatakan cara orang asia berkomunikasi English dalam loghat Britian selalunya disalah tafsir atau dibuat penilaian awal yang salah terhadap maksud mereka berdasarkan “non-verbal” komunikasi mereka iaitu budaya asia (Asrtid French, 1996).



5.10 Memperkembangkan ciri-ciri atau sifat pribadi dan sifat tegas

Sifat yang perlu ada dalam diri kita semasa berkomunikasi dengan orang lain ialah dengan meluahkan apa yang anda benar-benar maksudkan dan menghormati orang lain. Dengan bersikap tegas akan membuatkan kita memperolehi apa yang kita mahu dalam sesuatu situasi dan ini akan meningkatkan keyakinan kita. Adalah penting untuk kita bersikap tegas bukan hanya kerana ingin memperolehi apa yang kita inginkan tetapi tegas dapat meyakinkan kita terhadap diri sendiri dan sikap kita. Beberapa cirri-ciri atau sifat seorang yang tegas adalah :

  1. Membiarkan seseorang itu selesai bercakap sebelum kita mula bercakap.
  2. Mempertahankan apa yang kita katakan tetapi ianya haruslah dikuatkan dengan bukti yang kukuh dan perasaan kita.
  3. Membuat keputusan berdasarkan apa yang kita fikirkan betul.
  4. Dapat mengikuti sesuatu perbualan itu secara spontan dengan menggunakan nada dan intonasi suara yang sedarhana.
  5. Cuba untuk fahami perasaan orang lain sebelum anda menjelaskan tentang perasaan anda.
  6. Cuba elakkan sebarang kesulitan kepada diri kita dan juga orang lain dengan membincangkan tentang sesuatu masalah atau membincangkan jalan penyelesaian sebelum sesuatu masalah itu timbul.
  7. Berhadapan dengan masalah dan cuba untuk membuat keputusan atau menyelesaikan masalah tersebut.
  8. Anggap diri kita kuat dan mampu tetapi ingat bahawa kita juga sama atau setaraf dengan orang lain.
  9. Berhadapan dengan tanggungjawab bersesuaian dengan situasi, keperluan dan hak anda (Asrtid French, 1996).

Terdapat individu yang ingin bersifat tegas semasa berkomunikasi tetapi ketegasan yang ditonjolkan tidak sesuai dengan penampilan atau persekitarannya. Kemungkinan ketegasan yang kita tonjolkan tidak menampakkan indentiti kita yang sebenarnya. Seseorang yang tegas seharusnya tahu bahawa orang lain juga mempunyai hak yang sama. Kita harus tentukan apa yang hendak kita katakan dan nyatakan dengan jelas dan ringkas. Ketegasan tidak bermaksud, pendapat kita adalah yang terbaik dan kita juga harus bersedia untuk mengubah pendapat kita. Dalam komunikasi, pastikan kedua-dua belah pihak sama ada anda dan pendengar anda, mendapat hak yang sama (Asrtid French, 1996).

Semasa berkomunikasi, kita seharusnya peka dan sedar tentang pentingnya untuk mempertimbangkan hak dan tanggungjawab pendengar. Kita juga tidak seharusnya bersikap tegas dalam semua situasi. Untuk komunikasi yang berkesan melalui ketegasan kita perlu tahu budaya pendengar kita dan tahu untuk menilai situasi masyarakat mereka.

Ciri peribadi positif yang perlu dikembangkan agar kemahiran interpersonal kita meningkat ialah dengan berfikiran positif. Banyak perkara yang kita buat berjaya atau sebaliknya bergantung kepada keyakinan diri sebelum kita melakukannya sama ada kita bersifat positif atau negative. Contohnya, jika kita hendak melakukan sesuatu, wujud bisikan dalam kepada kita mengatakan “tidak, jangan lakukannya”, “anda akan gagal”, “anda tidak berkebolehan untuk melakukkannya” atau “pendapat anda tidak berguna, bodoh”. Bisikian seperti ini merupakan keyakinan negative yang kita timbulkan sendiri sebelum kita melakukan sesuatu perkara. Menurut Anderesen, P.A. (1979), tanggapan awal kita sangat mempengaruhi tindakan dan keputusan akhir perkara yang kita hendak lakukan. Fikiran positif akan mempengaruhi ketegasan kita dalam berkomunikasi. Kemahiran mendengar juga penting untuk mengukuhkan lagi kemahiran interpersonal. Kemahiran mendengar memerlukan beberapa kemahiran seperti :
  1. kebolehan untuk menumpukan perhatian terhadap apa yang dikatakan oleh seseorang.
  2. kesanggupan untuk menerima atau mendengar pendapat orang.
  3. cuba untuk memahami dan mendengar maksud tersurat dan tersirat disebalik apa yang dikatakan oleh seseorang.

Terdapat sepuluh cara untuk meningkatkan kemahiran mendengar :

  1. Dapatkan komunikasi mata yang baik.
  2. Pastikan kita dalam keadaan selesa.
  3. Cuba mendekati atau menghampiri penyampai.
  4. Berfikiran terbuka walaupun kita tidak setuju dengan apa yang diperkatakan.
  5. Jangan mengganggu semasa komunikasi berlaku kecuali jika dibenarkan untuk bertanya.
  6. Katakan “ya”, “mmm”, “saya faham” dengan nada yang ikhlas.
  7. Elakkan daripada segala gangguan
  8. Perlu bersabar.
  9. Tunjukkan kepada penceramah bahawa kita hendak mendengar dengan cara menunjukkkan minat.
  10. Bersikap empati terhadap penyampai (Asrtid French, 1996).

5.11 Membina Hubungan Yang Baik

Membina hubungan yang baik juga satu elemen yang penting dalam meningkatkan kemahiran interpersonal kita. Adalah penting mempunyai kebolehan untuk mewujudkan hubungan yang baik dengan orang lain.
If you want to win a man to your cause, first convince him that you are his sincere friend.” Abraham Lincoln

Seseorang yang mempunyai kemahiran interpersonal yang baik mampu mewujudkan hubungan yang baik dengan orang lain dan ini akan mewujudkan kepercayaan diantara satu dengan yang lain. Untuk menjalin hubungan yang baik kita perlu :

  1. Tekankan persamaan yang ada bukannya perbezaan.
  2. Dengar setiap apa yang diperkatakan seperti penggunaan perkataan dan cuba gabungkan dalam perbualan kita. Sensetif terhadap tatabahasa mereka. Elakkan penggunaan perkataan yang anda sahaja yang tahu atau sukar untuk difahami kerana tidak ada sesiapa yang suka merasakan diri mereka bodoh.
  3. Berikan mereka apa yang anda inginkan daripada mereka seperti hormat, minat dan perhatian (Asrtid French, 1996).

6.0 Kemahiran Komunikasi IntraPersonal

Kemahiran Komunikasi Intrapersonal adalah penting dalam diri seseorang individu. Walaupun kita menggunakan masa yang banyak berkomunikasi dengan orang lain, sebenarnya Komunikasi Intrapersonal mendominasi majority daripada komunikasi kita dan memberi impak yang terbesar kepada sikap individu serta mempengaruhi kejayaan atau kegagalan kita. Menurut Barker & Edwards (1980), “Intrapersonal communication is about communication at level of the individual”.

Menurut Leonard J. Shedletsky (1991), jika tafsiran terhadap komunikasi Intrapersonal dari sudut ruang lingkup kognitif, kita cirikan kemahiran ini sebagai suatu simbol terhadap kemahiran yang melibatkan sifat dalaman seperti mengkod atau menyahkodkan. Seterusnya jika kita tafsirkan komunikasi Intrapersonal dari segi operasi kognitif, ia melibatkan pemikiran terhadap konsep.
Kemahiran Intrapersonal merangkumi :

  1. “Sense-making” seperti mentafsir peta, teks, gambar dan symbol.
  2. Mentafsir “non-verbal” komunikasi seperti pergerakan dan komunikasi mata.
  3. Komunikasi antara anggota badan seperti “Perut saya mengingatkan saya masa untuk makan”.
  4. khayalan
  5. mimpi dan lain-lain (Fisher, B., 1983).

Kajian telah dilakukan dan mendapati terdapat atau wujud perbezaan kemahiran Komunikasi Intrapersonal mengikut jantina. Perbezaaan ini wujud disebabkan oleh persekitaran serta didikan awal semasa zaman kanak-kanak serta penekan terhadap perwatakan yang perlu ada mengikut jantina serta norma sosial(Coates, J, 1986).

Persepsi intrapersonal kita bermula daripada perhubungan dengan dunia sebenar. Pengalaman dari segi visualisasi sangat mempengaruhi Intrapersonal komunikasi. Persepsi intrapersonal banyak bergantung kepada realiti daripada keadaan sebenar atau dunia sebenar (Berger et al, 1967). Selain daripada itu, persepsi suatu masyarakat juga mempengaruhi persepsi Interpersonal seseorang individu. Tindakan dalam diri seorang individu yang telah sebati dengan cara atau sosial suatu masyarakat akan mempengaruhinya.
Kemahiran Intrapersonal banyak bergantung kepada kesediaan fikiran atau otak kita. Berikut adalah beberapa aktiviti yang dapat membantu kita meningkatkan kemahiran intrapersonal dengan cara mengawal pemikiran kita iaitu :

  1. Bila kita merasa risau atau gementar, tarik nafas dan perlahankan pernafasan serta tarik nafas yang dalam dan hembuskan perlahan-lahan.
  2. Tumpukan perhatian dan focus kepada satu item dan secara perlahan sebelum tumpukan kepada item lain.
  3. Pejamkan mata dan fikirkan tentang tubuh anda. bukan kepada bentuk tubuh, tetapi apa yang dirasakannya. Dengan perlahan kenali seluruh tubuh anda dan rehatkan/tenangkan bahagian yang terasa tekanan atau bebanan.
  4. Tetapkan masa 5,10,15 atau 20 minit. Pilih satu tajuk dan fikirkan tajuk tersebut. Apabila fikiran mula menular, bawa kembali kepada topic pertama kali melakukan aktiviti intrapersonal. Ini akan membawa anda berfikir berapa banyak masa yang masih ada (Coates, J, 1986).

7.0 Penutup

Daripada penulisan dan kajian yang dibuat, didapati kemahiran interpersonal dan Intrapersonal komunikasi amat penting untuk setiap individu. Kemahiran ini perlu dikuasai agar kita boleh menjadi penyampai mesej dan pendengar mesej yang baik. Dengan kemahiran yang kita kuasai ini akan membantu kita dalam menentukan kejayaan dan kesempurnaan tindakan atau perkara yang hendak kita lakukan. Penguasaan kemahiran komunikasi intrapersonal juga amat penting kerana kemahiran ini merupakan titik permulaan untuk tindakan kita yang seterusnya. Kejayaan atau kegagalan perkara yang difikirkan banyak bergantung kepada kesediaan tahap mental dan fikiran kita dalam mengurus komunikasi yang berlaku dalam diri individu, yakni diri kita.

kredit gambar: www.dmaconnection.com

Komunikasi Interpersonal dan Intrapersonal (Bahagian I)

1.0 Pendahuluan

Mencapai kecemerlangan dalam komunikasi Interpersonal dan Intrapersonal ialah satu proses yang kompleks dan berasaskan beberapa kemahiran asas. Komunikasi yang efektif adalah penting bagi setiap orang tidak kira dalam pekerjaan ataupun kehidupan seharian. Dalam penulisan ini, akan membincangkan bagaimana mencapai komunikasi interpersonal dan intrapersonal yang lebih efektif dengan memperkenalkan kepada beberapa kemahiran asas komunikasi.

2.0 Definisi

Komunikasi mengandungi sekumpulan isyarat (signal) yang memberi petunjuk atau melambangkan sesuatu mesej. Isyarat ini boleh berbentuk perkataan atau tidak, yang penting mesej dapat disampaikan. Menurut Bert Decker (1993), komunikasi interpersonal berlaku setiap kali kita berinteraksi dengan orang lain. Menurut Astrid French (1996), kemahiran interpersonal adalah kemahiran yang digunakan semasa berkomunikasi atau berurusan dengan orang lain secara bersemuka.

Komunikasi Interpersonal terbahagi kepada komunikasi verbal dan non-Verbal. Komunikasi Verbal ialah Komunikasi lisan yang berlaku secara langsung apabila dua atau lebih orang berbual secara bersemuka. Komunikasi verbal melibatkan penggunaan bahasa. Contohnya Guru menyampaikan pengajaran kepada pelajar-pelajar dengan cara bertutur.

Komunikasi non-verbal pula semua bentuk tingkahlaku yang bukan lisan dan tidak bertulis. Ianya melibatkan bunyi, gerakan anggota badan, mimik muka, objek atau sebarang rekabentuk. Contohnya Guru mengangguk kepala tanda setuju dengan jawapan pelajar. Komunikasi intrapersonal adalah komunikasi yang ada dalam diri kita sendiri. Menurut Stanley Cunningham (1989), kemahiran intrapersonal adalah satu proses yang unik dimana pertukaran dan perpindahan maklumat berlaku dalam diri individu. Contohnya seperti merenung, berfikir, berkhayal dan berfantasi.

3.0 Komunikasi yang Berkesan

Meyakinkan orang lain adalah sangat penting dalam komunikasi peribadi. Kita “mengkomunikasikan” idea, diri sendiri ataupun keluaran kita kepada orang lain. Pada masa yang sama, kita juga “menjual” idea, diri sendiri dan keluaran kita. Kemahiran berkomunikasi menekankan perkembangan kemahiran interpersonal semasa melaksanakan komunikasi yang meyakinkan. Sebagai contoh:
  1. Satu perniagaan yang baru mestilah berkebolehan menjual rancangan perniagaan dengan efektif untuk memperolehi kredit atau wang.
  2. Seseorang penyelia mestilah berkebolehan berkomunikasikan matlamat syarikatnya dengan jelas kepada para pekerja.
  3. Seseorang pengurus mestilah berkebolehan menghadapi seseorang pekerja apabila prestasinya kurang baik, walaupun pekerja itu mungkin kawannya.
  4. Ibu bapa mestilah yakin menyampaikan pendapat mereka semasa mesyuarat di sekolah jika mereka inginkan perubahan.
  5. Seseorang eksekutif dalam situasi yang sukar mestilah sentiasa tenang dan yakin untuk menyampaikan kenyataannya dengan meyakinkan. (Peter Honey, 1988)
4.0 Faktor Asas terhadap Kemahiran Interpersonal Komunikasi

Menurut Bert Decker (1993), unsur penting untuk komunikasi interpersonal yang berkesan ialah kepercayaan, faktor keperibadian dan sifat terbuka. Kepercayaan seseorang pembentang adalah penting untuk kejayaan pembentangan dan kejayaan peribadinya. Walau apa pun yang disebut oleh penceramah, dia tidak akan dipercayai oleh pendengar kalau penceramah tidak mempunyai sifat boleh dipercayai. Tindakan tidak akan berlaku jika tidak ada kepercayaan dan persetujuan.

Kajian yang telah dilakukan oleh Profesor Albert Mehrabian menurut Bert Decker (1993), tentang perhubungan antara tiga elemen asas semasa pertuturan iaitu lisan, suara dan penglihatan. Beliau mengukur perbezaan kepercayaan antara elemen lisan, suara dan penglihatan dalam mesej kita. Unsur lisan ialah mesej itu sendiri iaitu perkataan yang dituturkan. Unsur suara ialah intonasi, lontaran suara dan nada perkataan yang disebut. Unsur penglihatan ialah perkara yang dapat dilihat oleh orang lain iaitu perkara yang dilihat pada muka dan pergerakan badan. Hasil kajian membuktikan bahawa tahap ketidakselarasan antara tiga elemen ini ialah faktor yang menentukan tahap kepercayaan.

Ketidakselarasan tiga elemen ini menyebabkan mesej yang cuba disampaikan tidak konsisten dan menyebabkan kurang kepercayaan. Untuk menyampaikan mesej yang konsisten, ketiga-tiga elemen mesti bertindak bersama. Suara yang memaparkan kegembiraan akan bergabung dengan tenaga dan air muka serta pergerakan badan memaparkan keyakinan dan kebenaran mesej yang disampaikan. Ini akan meningkatkan kebolehpercayaan terhadap komunikasi yang berlaku.

Faktor keperibadian yang dikaji secara saintifik oleh Staples Scalometer merupakan satu-satunya elemen yang telah meramalkan dengan konsisten pemenang pilihanraya presiden Amerika Syarikat dalam lapan pilihan raya yang telah lepas termasuk John F. Kennedy dan Richard Nixon. Keperibadian memainkan peranan yang besar dalam keberkesanan hubungan interpersonal seseorang individu. Tiga sifat peribadi yang konsisten yang mempunyai pengaruh dalam menentukan kejayaan komunikasi interpersonal ialah :
  1. Keperibadian yang dinamik dan menarik
  2. kebolehan memujuk, berbual dan bekerjasama dengan orang lain
  3. keinginan untuk berkuasa.

Kajian juga dilakukan terhadap fungsi dan peranan otak kiri dan otak kanan telah memberi kesan yang besar ke atas kefahaman tentang komunikasi interpersonal. Bahagian otak kiri memberi penekanan terhadap penerimaan mesej yang berbentuk nombor, pola dan fakta yang agak kompleks. Otak kanan pula memberi penerimaan yang berorientasikan bahasa dan pengenalan corak. Otak kanan juga memberi makna kepada semua perangsang dan input yang kita sentiasa terima. Oleh itu, untuk kesan yang efektif dalam hubungan interpersonal, kita mesti bertutur kepada bahagian kanan otak kerana pendengar menggunakan bahagian kanan otak mereka untuk mendengar (Bert Decker, 1993).

5.0 Kemahiran tingkahlaku Komunikasi Interpersonal

Adalah ketara bahawa penyampaian suara, unsur penglihatan, ciri keperibadian dan sifat terbuka ialah ciri utama untuk komunikasi interpersonal yang berkesan. Tetapi apakah ciri dan sifat tingkahlaku yang mewujudkan komunikasi yang berkesan ? Menurut Bert Decker(1993), terdapat sembilan bidang kemahiran tingkahlaku yang mesti diberi pertimbangan untuk meningkatkan keberkesanan interpersonal komunikasi iaitu komunikasi mata, posisi tubuh dan pergerakan badan, gerak isyarat/air muka, pakaian dan perwatakan, suara dan kepelbagaian nada, bahasa, penglibatan pendengar, penggunaan gurau senda dan sifat semula jadi seseorang. Menurut Astrid French (1996) pula, terdapat tiga cara bagaimana hendak memperbaiki kemahiran interpersonal kita iaitu :
  1. Peka ketika berkomunikasi dengan orang lain.
  2. memperkembangkan lagi ciri-ciri/sifat tegas dan bersungguh-sungguh.
  3. membina hubungan yang baik
5.1 Komunikasi Mata
Mata dapat mengancam seperti pistol berisi yang diacu; atau dapat menghina seperti desiran ataupun tendangan; atau membuat hati menari dengan keriangan . - Ralph Waldo Emerson

Komunikasi mata merupakan kemahiran yang paling penting. Dalam sistem urat saraf hanya mata anda yang disambung secara terus dengan orang lain. Jangan anggap bahawa “perhubungan mata” adalah mencukupi. Komunikasi mata yang baik adalah lebih daripada memandang secara sepintas lalu. Semasa berkomunikasi, pastikan komunikasi mata wujud antara penyampai mesej dengan pendengar. Komunikasi mata yang baik akan menyebabkan pendengar kita merasa mereka dilibatkan bersama dalam komunikasi. Dalam komunikasi individu, komunikasi mata yang normal adalah dari 5 hingga 15 saat. Untuk individu dalam kumpulan, adalah lebih kurang 4 hingga 5 saat (David R. Stubbs, 1986).

5.1.1 Kemesraan, Ancaman dan Pembabitan

Ketiga-tiga perkara di atas berkaitan dengan komunikasi mata. Kemesraan dan ancaman bererti memandang seorang untuk jangka masa yang panjang antara 10 saat hingga satu minit atau lebih. Tetapi lebih 90 % daripada komunikasi peribadi (terutamanya dalam perniagaan) berhubung dengan pembabitan. Ia memerlukan perhatian kita dan akan melibatkan komunikasi mata yang agak lama dan kerap. Apabila berbual sesama seseorang dan berasa ghairah, terdorong dan yakin, kita selalunya memandang mereka selama lima hingga 10 saat sebelum memandang ke arah lain. Ini ialah suatu kebiasaan dalam komunikasi secara perseorangan. Perkara ini mesti dipraktikkan dalam semua sitauasi samada bercakap dengan seorang atau pun seribu orang. Jangka masa lima saat ini adalah selesa (kemesraan) bagi pendengar dalam komunikasi.

Apabila mengalami tekanan, masalah kita biasanya ialah memandang ke mana-mana arah kecuali pendengar kita. Mata kita akan memintas ke semua arah seperti seekor arnab yang ketakutan. Ini akan menonjolkan ketakutan kita dan seterusnya menrendahkan keupayaan kita. Tidak memandangkan terus pada orang yang kita bercakap akan membuatkan pendengar kita kurang selesa. Satu lagi perkara yang agak merunsingkan ialah tabiat “slo-Blink”. Seseorang memejam matanya selama 2 hingga 3 saat memberi mesej “saya memang tak suka berada di sini”. Reaksi seperti ini menyebabkan pendengar juga biasanya berasa begitu juga (Bert Decker ,1993).

Menurut Andresen et al (1979), adalah penting untuk memastikan adanya komunikasi mata yang baik dengan penemuduga atau sesiapa sahaja apabila sedang dirakam dalam kamera. Jangan lihat terus ke arah kamera. Penonton televisyen memerhatikan anda melalui kamera, oleh itu anggapkan kamera sebagai “pemerhati” itu sendiri. Apabila anda membuat penyampaian pada kumpulan yang besar dan sudut tuju mata anda antara tiap-tiap individu adalah kecil. Komunikasi mata terhadap pendengar yang lebih panjang (5 saat) adalah tidak sesuai. Ini adalah kerana jika penceramah melihat seseorang, para hadirin yang lain akan menganggap ianya bercakap dengan orang itu sahaja.

5.2 Posisi Tubuh dan Pergerakan

Posisi tubuh badan amat penting untuk keberkesanan komunikasi terutama semasa berada di khlayak ramai. Beberapa cirri-ciri posisi tubuh badan yang perlu diambil perhatian semasa berkomunikasi adalah seperti ;

5.2.1 Berdiri tegak

Posisi tubuh bahagian atas yang kurang baik memaparkan keyakinan diri yang kurang. Orang lain akan menganggap demikian sehingga mereka memperoleh maklumat secukupnya untuk mengubah pendapat mereka. Pada amnya, posisi tubuh yang kurang baik disebabkan oleh tabiat waktu muda yang tidak dibetulkan. Ramai lelaki berjalan bongkok kerana pada usia remaja mereka membesar dengan begitu cepat dan mereka membongkok supaya tidak kelihatan ketara. Yang lain tidak menganggap bahawa posisi tubuh adalah penting dan membiarkan tabiat ini berterusan sehingga ke alam dewasa (Bert Decker ,1993).

5.2.2 Perhatikan posisi bahagian bawah tubuh anda

Bahagian kedua posisi tubuh yang selalu diabaikan ialah bahagian bawah tubuh. Apabila penceramah bercakap dengan orang lain, keberkesanan mungkin akan berkurangan disebabkan oleh cara penceramah berdiri. penceramah akan mengurangkan tenaga komunikasi anda kerana bahasa isyarat tubuhnya yang kurang sesuai. Satu daripada posisi tubuh yang kurang baik ialah “berdiri senget sebelah”. Apabila berdiri demikian, secara tidak langsung anda menyatakan, “saya tidak suka berada di sini”, dan ingin mengasingkan diri anda. Variasi lain ialah bergoyang dari kiri ke kanan ke depan dan belakang di atas tumit dan jari kaki ataupun berjalan ke hulu ke hilir (Andersen et al, 1979).

5.2.3 Amalkan Posisi Sedia

Perkara yang dapat dibuat untuk melawan tabiat negative ialah mengamalkan posisi sedia. Posisi sedia bererti badan diletakkan ke hadapan. Komunikasi anda mestilah bertenaga. Apabila anda bercakap atau apabila anda yakin dan pasti dapat menyampaikan mesej, anda membawa kuasa anda ke hadapan. Posisi sedia ialah berdiri dengan bercondong ke depan sedikit supaya boleh bergerak dengan senang. Ia sama dengan latihan untuk pertandingan olahraga dan kita mesti sedia bergerak ke semua arah. Apabila kita condong ke depan sedikit, adalah susah untuk berdiri di atas satu kaki ataupun bergerak ke depan dan belakang seperti buaian. Posisi Sedia yang diamalkan dalam komunikasi sama ada formal atau tidak formal membolehkan kita bersedia apabila menghadapi tekanan.

5.2.4 Bergerak

Komunikasi dan tenaga tidak dapat dipisahkan. Gunakan semua tenaga semula jadi dengan positif. Bergerak semasa bercakap atau berkomunikasi akan menarik perhatian pemerhati. Jangan hanya berdiri tanpa pergerakan terutama dalam situasi formal. Dengan pergerakan akan mengurangkan penghalang fizikal antara anda dengan pendengar. Pergerakan menambah tenaga, menunjukkan keyakinan dan memberi variasi dalam komunikasi. Jangan bergerak sehingga melebihi batasan, tetapi bergeraklah dalam lingkungan tenaga kita.

5.2.5 Gaya Anda Tersendiri

Pastikan semasa berkomunikasi, posisi tubuh dan pergerakan adalah bersesuaian dengan gaya peribadi masing-masing. Memang tidak ada cara yang sempurna untuk berdiri atau bergerak. Bergerak diluar kebiasaan kita menyebabkan pergerakan kita seolah-olah tidak sempurna. Berdiri secara tegak adalah satu daripada cara yang berkesan dan boleh menunjukkan tenaga semasa berkomunikasi (Bert Decker ,1993).

5.3 Gerak Isyarat/Air Muka

Untuk mendapatkan komunikasi interpersonal yang berkesan, tangan anda mestilah dalam kedudukan semula jadi. Tangan anda mesti digerakkan secara biasa supaya nampak bertenaga dan menarik. Anda mesti senyum apabila menghadapi tekanan seperti yang dilakukan dalam keadaan biasa. Gerak isyarat dan air muka dapat diperbaiki dengan cara :

5.3.1 Kenali Tabiat Anda

Kaji rupa anda dalam keadaan tertekan. Selepas itu, fikirkan dan ambil tindakan yang sepatutnya. Anda boleh mendapat maklum balas daripada orang lain, tetapi cara baik sekali ialah membuat rakaman video dan memerhatikan diri anda. Kenal pasti tabiat anda yang tidak semula jadi sebelum mengubahnya. Anda mesti kenali tabiat anda yang dianggap sebagai “tabiat yang melumpuhkan”.

5.3.2 Jangan Melebihi Batasan

Pada amnya tidak ramai yang suka melebih-lebihkan gerak isyarat ataupun air muka mereka. Ini seolah-olah menunjukkan bahawa anda tidak boleh melebih-lebihkan pergerakan anda. Cuba lakukan gerak isyarat dan air muka yang lebih sehingga menjadi satu tabiat yang semula jadi.

5.3.3 Senyuman

Kita semua suka menganggap bahawa kita sentiasa senyum. Sebenarnya orang lain dapat memerhatikan kekerapan senyuman kita. Kajian menunjukkan bahawa hanya satu pertiga daripada ahli perniagaan suka senyum. Bagi golongan kedua, air muka sentiasa berubah daripada senyuman ke wajah yang serius. Golongan ketiga pula mempunyai wajah yang serius walaupun mereka fikir mereka sedang senyum (Borden, 1976). Jika kita berada dalam golongan yang senang senyum, ini merupakan satu kelebihan dalam komunikasi interpersonal. Orang akan menganggap anda sebagai orang yang berfikiran luas dan mesra, dan akan menerima pendapat anda dengan mudah. Selain daripada itu, kelebihan lain anda ialah lebih mudah menyampaikan berita buruk dibandingkan dengan orang lain. Tetapi jika kita berada dalam golongan ketiga, kita mesti berusaha mengatasi masalah komunikasi ini. Anda mungkin senyum dalam hati, tetapi di luar anda kelihatan serius, sedih dan marah. Ini anggapan dan persepsi orang yang memerhatikan anda (Bert Decker ,1993).

Senyuman bukanlah sesuatu yang ghaib kerana ia sangat berkesan. Senyuman disebabkan oleh otot dan boleh diamalkan dengan latihan. Cara baik untuk melatihkan senyuman ialah dengan menaikkan pipi anda. Kita mementingkan senyuman dalam semua usaha interpersonal anda kerana senyuman yang serta merta memberi orang lain gambaran tentang diri anda. Tetapi senyuman palsu adalah tidak berkesan untuk menarik perhatian. Oleh itu, senyuman yang diberikan semasa berkomunikasi hendaklah senyuman yang ikhlas.

5.4 Pakaian dan Perawakan

Kita membuat tanggapan serta merta dalam lima saat pertama selepas melihat seseorang. Beberapa orang pakar berpendapat bahawa dalam lima minit seterusnya kita menambah lima puluh peratus kepada tanggapan yang pertama sama ada negatif atau positif (Jerry Richardson, 1987). Oleh kerana 90 % daripada badan kita ditutupi pakaian, adalah penting bagi kita mengetahui perkara yang dianggap oleh orang lain melalui pakaian kita. 10 % bahagian badan yang tidak ditutupi ialah muka dan rambut kita. Bahagian ini adalah yang paling penting. Semua orang dapat melihatnya. Tanggapan orang tentang kita berdasarkan gaya rambut, solekan, dan barang kemas untuk kaum perempuan, gaya rambut, berkumis dan berjanggut ataupun tidak bagi kaum lelaki. Perkataan yang paling penting berkenaan pakaian yang berkesan ialah “pakaian yang bersesuaian”. Tidak ada cara yang betul atau salah untuk berpakaian sesuai. Yang penting sekali ialah keselesaan kita. Ini lebih penting daripada perasaan orang lain. Jika kita tidak selesa, kita tidak dapat berkomunikasi dengan baik. Perawakan anda mestilah sesuai dengan situasi persekitaran (cuaca, waktu, situasi social dan lain-lain). Keberkesanan perawakan kepada orang lain adalah lebih penting daripada apa yang kita fikirkan. Rupa anda akan menggambarkan bagaimana anda menganggap diri sendiri dan apa yang anda sanggup buat menarik perhatian orang lain (Bert Decker ,1993).

5.5 Suara dan Kepelbagaian Nada

Suara adalah seperti kenderaan sama ada seperti kereta usang yang perjalanannya tersangkut-sangkut ataupun kereta yang dijaga dengan baik dan berjalan dengan licin. Kedua-dua akan sampai ke destinasi, tetapi kelicinan perjalanan sangat berbeza. Kajian juga menyatakan keberkesanan interpersonal komunikasi bergantung kepada intonasi suara. Malangnya, kebanyakan daripada kita tidak menyedari bagaimana intonasi atau lembaran suara semasa kita bercakap dengan orang lain. Kita boleh menilai maksud komunikasi contohnya maksud komunikasi tersebut menggembirakan atau marah berdasarkan intonasi suara semasa menyampaikan mesej atau kata-kata. Oleh itu, semasa berkomunikasi dengan orang lain gunakan intonasi suara yang sesuai. Kesesuaian intonasi suara akan mengakibatkan mesej kita mudah difahami dan boleh menarik minat orang lain untuk mendengar.Suara adalah alat utama untuk menyampaikan mesej. Suara seharusnya menggambarkan tenaga, keseronokan dan kesungguhan yang anda rasa seharusnya digambarkan melalui suara anda.

Kita cenderung menggunakan nada dan cara bercakap yang sama dan susah diubah. 84 % daripada kepercayaan mesej anda adalah daripada nada, intonasi dan resonan suara anda terutama apabila pendengar tidak dapat melihat anda. Komponen yang merangkumi suara ialah ketenangan, pernafasan dan resonan. Setiap komponen dapat diubah dengan latihan untuk memperbaiki keberkesanan suara anda. Kesempurnaan gabungan komponen ini akan bertindak untuk memberi keunggulan suara anda. Selain itu, menukar nada suara ialah satu cara untuk mengekal minat dan perhatian orang. Gunakan teknik “roller-coaster” iaitu menaikkan suara sedikit demi sedikit dan kemudian menurunkannya. Ini akan mengelakkan anda daripada bercakap dengan nada yang sama dan membantu anda mempelbagaikan suara anda (Bert Decker ,1993).

Satu kesalahan besar penyampaian ucapan ialah membaca daripada teks. Penulisan, bacaan dan pertuturan ialah tiga cara komunikasi yang berlainan. Gunakan nota atau rangka idea apabila memberi ucapan. Ini akan membantu anda memilih perkataan secara spontan. Ini akan menyebabkan suara anda menjadi aktif dan semula jadi kerana anda sentiasa berfikir, mengubah suai dan menukar isi kandungan ucapan (Cronkhite, G., 1986).

Bahasa ialah kombinasi perkataan dan bukan-perkataan. Komunikasi akan menjadi lebih efektif apabila perkataan yang sesuai dan tepat digunakan. Ini memerlukan perbendaharaan kata yang kaya supaya anda dapat melahirkan pendapat anda dengan tepat. Menurut Thomas Harris (1973), bunyi bukan perkataan seperti “umm”, “ok”, Ya, Tak” dan lain-lain akan mengganggu perhatian pendengar dan penghalang kepada komunikasi.. Gunakan bahasa yang jelas dan mudah difahami mengikut kesesuian dan persekitaran pendengar. Berhenti sejenak selama tiga hingga empat saat semasa berkomunikasi walaupun dalam pertengahan ayat dapat membantu kita menarik perhatian pendengar.

p/s: Ikuti sambungan artikel ini di > Komunikasi Interpersonal dan Intrapersonal Bahagian II.

kredit gambar: www.dotcominfoway.com

Kepentingan Teknologi Maklumat (ICT) Dalam Membantu Pengurus Melaksanakan Fungsi Kepimpinan

on Wednesday, March 17, 2010

Implementasi Teknologi Maklumat dan Komunikasi (selepas ini dipanggil ICT) dalam organisasi pendidikan pada masa kini merupakan satu fenomena biasa. Kajian-kajian mengenai implementasi teknologi bermula sekitar tahun 1950-an. Revolusi teknologi telah berjaya melakukan perubahan pendekatan terhadap pengurusan teknologi korporat. Laudon dan Laudon (1998) menyatakan terdapat empat jenis perubahan organisasi yang dihasilkan oleh ICT iaitu automasi, rasional, perekayasaan dan perubahan paradigma. Automasi merujuk kepada aplikasi ICT untuk membantu pekerja melaksanakan tanggungjawab dengan lebih berkesan dan meningkatkan prestasi kerja. Rasional berrmaksud memudahkan prosedur operasi bagi mengelakkan bottleneck supaya proses automasi akan menjadikan prosedur lebih berkesan.

Kedua-dua model ini merupakan pendekatan kejuruteraan iaitu memberikan penekanan kepada proses membangun, merancang, membina dan mengawal. Sementara perekayasaan pula merujuk kepada mereka semula proses-proses perniagaan dengan tujuan utama untuk mengurangkan kos dan masa secara signifikan. Perubahan paradigma merupakan proses perekayasaan yang lebih radikal melibatkan mengkonsepsi semula proses perniagaan dan ciri organisasi. Menurut Davies (1996), pendekatan perekayasaan merupakan satu kaedah yang perlu diberi perhatian oleh pemimpin sekolah bagi menghadapi cabaran abad ke 21.

Justeru, ICT sememangnya dapat membantu pengurus pendidikan dalam membuat keputusan, menyesuaikan diri dengan perubahan dan selanjutnya dapat meningkatkan komunikasi dalam organisasinya. Pengurus sekolah tidak dapat dipisahkan daripada membuat keputusan pada setiap hari kerana ini merupakan elemen penting dalam menjalankan tugas merancang, membuat keputusan, menganalisis, sumber manusia, memimpin, mengawal, berkomunikasi serta berfungsi dengan lebih cekap, berkesan, mudah dan cepat yang melibatkan maklumat, proses dan kerja seperti pendaftaran pelajar, pelbagai rekod, kawalan inventori, jadual waktu, opsyen guru, bilangan waktu mengajar, hal yang berkaitan peperiksaan, pembelian stok dan sebagainya. Ini bersesuaian dengan pendapat Laudon dan Laudon (1997) yang menyatakan sistem maklumat dan komunikasi adalah komponen-komponen yang bersepadu yang mengumpul dan menyimpan maklumat bagi membantu organisasi membuat keputusan, merancang, mengawal dan menganalisis.

Secara umum ICT dapat menukarkan data-data mentah yang tidak memberi makna kepada maklumat yang tersusun dan berguna apabila ianya diproses, disimpan dan boleh dikemaskinikan dengan mudah dan cepat dengan menggunakan pelbagai perisian komputer yang ada. Maklumat-maklumat yang telah diproses ini sudah tentu dapat membantu pengurus sekolah membuat keputusan-keputusan yang tepat dan berguna dalam perancangan, pemantauan dan kawalan. Sebagai contoh dengan menggunakan sistem maklumat berasaskan komputer, maklumat mengenai pencapaian pelajar dalam peperiksaan disimpan, diproses dan dianalisis dalam bentuk graf, carta pai, carta bar, senarai dan jadual-jadual statistik yang mudah membantu pentadbiran sekolah mengesan kekuatan dan kelemahan yang ada dan seterusnya memudahkan mereka membuat perancangan dan program susulan yang sesuai dan dengan sendirinya keputusan yang diambil nanti relevan dengan isu dan masalah yang berbangkit.

Maklumat berkaitan pelajar tidak hanya terhad kepada peperiksaan semata-mata kerana mereka merupakan komuniti utama dalam sesebuah sekolah. Maklumat berkaitan pelajar termasuklah maklumat peribadi, pencapaian akademik, penglibatan kokurikulum, disiplin, sahsiah, buku teks, biasiswa dan sebagainya boleh diakses dengan mudah dan cepat untuk kegunaan pengurusan sekolah dengan bantuan teknologi ICT.

Kemahiran Berfikir Secara Kreatif

on Monday, February 22, 2010

Maksud Kemahiran Berfikir Secara Kreatif
Kemahiran kreatif membawa maksud kecekapan atau keupayaan menggunakan minda untuk menerokai pelbagai kemungkinan, menghasilkan sesuatu yang baru, asli, luar biasa dan bernilai sama ada bersifat maujud, abstrak, atau gagasan. Kemahiran berfikir secara kreatif adalah keupayaan sesorang untuk menghasilkan dan mencetuskan idea yang baru dan mempunyai originaliti yang tersendiri. Hasil idea yang kreatif juga merupakan hasil adea yang diilhamkan sendiri daripada individu atau hasil daripada gabungan idea yang sedia ada. Contoh kemahiran berfikir secara kreatif termasuklah:
  • menjana idea
  • menghubungkait
  • membuat inferens
  • meramal
  • membuat hipotesis
  • mensintesis
  • mengitlak
  • membuat gambaran mental
  • menganalogi
  • mereka cipta
Kepentingan Kemahiran Berfikir Secara Kritis Dalam Pengajaran dan Pembelajaran
Kemahiran berfikir secara kreatif sangat penting dalam pengajaran dan pembelajaran kerana ia dapat meningkatkan kebolehan pelajar untuk mencerna dan menghasilkan idea asli dan bersifat generatif. Idea baru terhasil melalui ilham atau gabungan idea-idea yang ada. Keupayaan meningkatkan pemikiran ini sudah tentu dapat membantu pelajar dalam memahami dan menghuraikan sesuatu konsep yang sedang mereka pelajari semasa pembelajaran.

Proses-Proses Dalam Kemahiran Berfikir Secara Kreatif
Berikut pula penerangan ringkas tiga proses yang terlibat dalam kemahiran berfikir secara kreatif.

a) Menjana idea
Menjanakan idea merupakan satu proses menghasilkan sesuatu idea, pandangan atau pendapat secara spontan berkaitan dengan sesuatu perkara. Kemahiran ini digunakan apabila pelajar hendak mencari idea baru dan mencari alternatif bagi sesuatu perkara.

b) Membuat inferens
Merupakan tingkahlaku minda dalam membuat kesimpulan atau andaian awal daripada sumber berasaskan isyarat-isyarat atau tanda-tanda bagi memperoleh maklumat yang tersirat. Kesimpulan awal yang dibuat ini ada kemungkinan ianya benar atau pun tidak kerana kesimpulan itu hanya akan diperoleh berdasarkan maklumat daripada sesuatu pemerhatian. Kemahiran ini digunakan apabila pelajar hendak merancangkan langkah-langkah tindakan atau membuat pilihan; dan menganalisis sebab dan akibat keputusan atau kesan.

c) Meramal
Merupakan sejenis kemahiran berfikir yang membolehkan pelajar membuat jangkaan terhadap sesuatu perkara atau peristiwa yang akan berlaku pada masa akan datang berdasarkan bukti dan maklumat tertentu. Aktiviti membuat ramalan pula akan dilakukan sekiranya pelajar hendak memilih tindakan yang sesuai dengan perkara yang dandaikan akan berlaku; dan mencari jalan penyelesaian bagi sesuatu perkara.

Kemahiran Berfikir Secara Kritis

on Sunday, February 21, 2010

Maksud Kemahiran Berfikir Secara Kritis
Perkataan kritis berasal daripada bahasa Yunani "Kritikos" yang bermakna mampu menilai. Pada asalnya perkataan kritis dicipta untuk mengelak kesilapan, kekeliruan dan andaian-andaian yang salah. Secara umumnya kemahiran berfikir secara kritis ialah kecekapan dan keupayaan menggunakan minda untuk menilai kemunasabahan dan kewajaran sesuatu idea, meneliti kebernasan dan kelemahan sesuatu hujah, dan membuat pertimbangan yang wajar dengan menggunakan alasan dan bukti.

Terdapat sembilan proses yang terkandung dalam kemahiran berfikir secara kritis, iaitu:
  • mencirikan
  • membanding dan membeza
  • mengumpul dan mengelas
  • membuat urutan
  • menyusun mengikut keutamaan
  • menganalisis
  • mengesan kecondongan
  • menilai
  • membuat kesimpulan

Kepentingan Kemahiran Berfikir Secara Kritis Dalam Pengajaran dan PembelajaranKemahiran berfikir kritis penting digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran kerana kemahiran ini akan membolehkan pelajar memilih maklumat-maklumat yang releven bagi sesuatu konsep yang sedang dipelajari. Sebagai contoh, dalam pengajaran Pendidikan Kesihatan, pelajar akan dapat mengenal pasti punca-punca jangkitan penyakit dan cara untuk menghindari sesuatu penyakit. Ringkasnya, kemahiran ini akan membantu pelajar berfikir secara kritis dalam mensintesis penyelesaian kepada sesuatu masalah.

Proses-Proses Dalam Kemahiran Berfikir Secara Kritis
Berikut pula adalah contoh kemahiran berfikir secara kritis:
a) Mencirikan
Proses ini melibatkan aktiviti bagi mengenal pasti kriteria sesuatu seperti ciri, sifat, kualiti dan unsur sesuatu konsep atau objek. Aktiviti pemerhatian biasanya terlibat semasa proses mencirikan ini dilakukan. Biasanya kemahiran ini digunakan untuk: Mendefinisikan konsep atau item dan Mengenali antara konsep atau item yang hampir serupa.

b) Membanding dan membeza
Merupakan satu proses yang melibatkan pelajar mencari persamaan dan perbezaan berdasarkan kriteria seperti ciri, sifat, kualiti dan unsur sesuatu objek atau peristiwa. Kemahiran ini akan digunakan apabila terdapat dua atau lebih ciri atau kemungkinan; dan Membuat pilihan atau keputusan.

c) Mengumpul dan mengelas
Mengasingkan dan mengumpulkan objek atau fenomena kepada kumpulan masing-masing berdasarkan kriteria tertentu seperti ciri atau sifat. Pengumpulan ini adalah berdasarkan ciri atau sifat sepunya. Kemahiran ini digunakan apabila terdapat banyak item atau maklumat; dan item atau maklumat yang tidak tersusun.

Perkaitan antara Pendekatan Perkembangan Moral Kognitif Dengan Faktor-Faktor Yang Menyebabkan Gejala Vandalisme Di Kalangan Pelajar Sekolah

on Monday, February 15, 2010

Pendekatan Moral Kognitif merupakan salah satu pendekatan yang banyak memperkatakan tentang isu-isu moral di kalangan pelajar. Salah satu daripadanya adalah perbuatan vandalisme. Terdapat pandangan yang mengatakan bahawa antara punca pelajar terlibat dalam perbuatan vandalisme ini adalah disebabkan kelemahan yang wujud dalam perkembangan teori ini. Pandangan ini mungkin ada betulnya kerana, sikap atau tingkah laku seseorang amat berkait rapat dengan perkembangan kognitif mereka sendiri.

Jadi bagi membuktikan pandangan ini, berikut dikemukakan beberapa faktor yang mungkin berkait rapat dengan pendekatan perkembangan moral kognitif dan perlakuan-perlakuan vandalisme yang dilakukan oleh golongan pelajar. Penjelasan-penjelasan berikut akan cuba mengaitkan faktor tersebut dengan perkembangan moral kognitif mereka yang terlibat. Faktor-faktor yang dimaksudkan adalah:

Pendekatan Kepedulian (Caring Approach)

on Tuesday, February 09, 2010

Secara ringkasnya, Pendekatan Kepedulian (Caring Approach) adalah salah satu pendekatan yang dapat digunakan dalam pengajaran Pendidikan Moral di sekolah. 

Pendekatan jenis ini telah dipelopori oleh Noddings (1984). Noddings telah membuat beberapa sumbangan yang signifikan kepada bidang pendidikan. Antaranya beliau telah mengkaji etika kepedulian dan hubungannya terhadap persekolahan, dan juga terhadap proses pengajaran dan pembelajaran di dalam keluarga dan komuniti tempatan. Beliau juga telah berjaya mendemonstrasikan signifikan kepedulian dan perhubungan sebagai matlamat pendidikan.

Dari segi moral, pendekatan kepedulian merupakan kesanggupan seseorang untuk berkorban demi orang lain. Kepedulian, atau dalam istilah yang lain ialah ‘ambil peduli’, ‘mengambil berat’ dan ‘menyayangi’, yang melibatkan responsif sensitif terhadap orang lain berdasarkan sikap keterbukaan dan perhatian terhadap pengalaman mereka. Perkataan ‘care’ itu sendiri daripada ‘caring approach’ diambil daripada konteks Anglo Saxon, dimana ia membawa maksud kesedihan atau keresahan. Oleh yang demikian, kepedulian bolehlah didefinisikan sebagai perasaan ambil berat terhadap orang lain.

Hubungan Di Antara Kemahiran-Kemahiran Bacaan

on Friday, February 05, 2010

Kemahiran membaca merupakan salah satu daripada empat kemahiran bahasa yang penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran bahasa. Kemahiran membaca juga merupakan lanjutan daripada kemahiran-kemahiran asas seperti mendengar dan bertutur. Melalui pembacaan, seseorang itu mampu menimba ilmu pengetahuan yang tidak dapat diperoleh melalui pengalaman biasa yang lain.

Kemahiran kembaca boleh dibahagikan kepada empat jenis, iaitu mekanis, mentalis, intensif dan ekstensif. Bacaan mekanis adalah teknik membaca secara cepat. Mentalis digunakan untuk memahami isi kandungan bahan yang dibaca. Seterusnya bacaan secara intensif melibatkan pengkajian secara mendalam tentang teks yang dibaca. Manakala bacaan ekstensif pula merupakan bacaan meluas untuk mendapatkan maklumat tambahan tentang sesuatu perkara atau tajuk yang sedang dibaca.

Meskipun terdapat perbezaan konsep di antara keempat-empat jenis bacaan tersebut, namun apa yang pasti kesemuanya saling berhubung kait di antara satu sama lain. Membaca menurut fahaman psikolinguistik kognitif melibatkan banyak faktor, umpamanya faktor lambang bertulis, penglihatan, ingatan jangka pendek, bahasa dan tatabahasa, erti, pengetahuan dunia dan lain-lain (Kamarudin Hj. Husin, 1996: 3). Makna membaca menurut fahaman ini ialah satu proses psikolinguistik yang berlaku apabila seseorang pembaca membentuk semula dalam fikirannya makna yang ingin disampaikan oleh seorang penulis melalui lambang-lambang bertulis yang dibaca oleh pembaca tadi. Sama ada ia dilakukan secara mekanis, mentalis, intensif atau ekstensif, aktiviti membaca dilakukan adalah untuk mentafsir maksud dan memberi daripada tanda saran yang didapati pada lambang-lambang bertulis daripada teks yang dibaca.

Seterusnya, hubungan jenis-jenis membaca juga boleh dilihat daripada cara pembacaan dan tujuan membaca dilakukan. Di dalam kelas, murid akan melaksanakan aktiviti membaca kuat (mekanis) seperti yang selalu diarahkan oleh guru. Tujuannya adalah untuk mendengar kemahiran murid dalam penyebutan. Tetapi adakah bacaan secara kuat tidak boleh digunakan untuk memahami isi kandungan teks yang dibaca? Bagaimana pula dengan keadaan-keadaan tertentu, misalnya membaca kuat surat khabar kepada seseorang yang tidak dapat melihat? Adakah kita membaca itu untuk memperdengarkan intonasi kita kepada orang berkenaan? Ataupun, membaca untuk memberi kefahaman kepadanya tentang kandungan teks yang kita baca itu?

Persoalan-persoalan yang diperlihatkan di atas sebenarnya ingin memperjelaskan bahawa kita membaca kerana mempunyai sebab-sebab tertentu. Tidak kira kita membaca secara mekanis, mentalis atau sebagainya, namun kita membaca itu kerana kita mempunyai sebab-sebab tertentu. Jadi hubungan yang wujud di antara keempat-empat jenis bacaan itu adalah setiap satu daripadanya mempunyai tujuannya tersendiri.

Seterusnya, jika timbul pula persoalan sama cara bacaan mentalis mempunyai hubungan yang rapat dengan jenis-jenis bacaan yang lain atau sebaliknya, maka jawapannya adalah ya. Jawapan ini diberikan berdasarkan alasan-alasan berikut.

Dalam bacaan mentalis, aspek yang diberi penekanan adalah kefahaman tentang isi kandungan bahan atau teks yang dibaca. Ini mungkin nampak berbeza dengan bacaan mekanis yang lebih mengutamakan aspek tatabahasa terutamanya dari segi sebutan. Namun, perlu diingat, pemahaman membaca tidak harus dipisahkan daripada kemahiran yang lain.
Semasa membaca, kita dapat melihat beberapa hubungan yang rapat di antara bacaan mentalis dengan jenis bacaan yang lain. Contohnya melalui aktiviti:

1. Membaca dan bercakap;
Membaca sambil bercakap boleh dilakukan dengan cara kita membaca teks berkenaan secara kuat. Berdasarkan penerangan tentang konsep bacaan, membaca secara kuat merupakan salah satu ciri-ciri yang terdapat pada bacaan mekanis. Sekiranya aktiviti ini dilakukan, bermakna kita telahpun menghubungkaitkan bacaan mentalis dengan bacaan mekanis. Semasa sedang membaca juga, kita akan memberi penekanan terhadap aspek tatabahasa yang lain seperti penyebutan, intonasi, tekanan dan sebagainya kerana seperti yang telah dijelaskan sebelumnya, pemerhatian terhadap aspek ini sangat penting kerana setiap tanda-tanda atau lambang-lambang tulisan itu mempunyai makna tertentu yang ingin disampaikan oleh penulis. Dengan kata lain, untuk memahami isi kandungan teks yang dibaca, pembaca perlu memerhatikan tanda-tanda berkenaan dengan teliti. Jadi gabungan di antara bacaan kuat dan penelitian terhadap aspek tatabahasa dalam teks berkenaan merupakan ciri-ciri bacaan intensif.

2. Membaca sambil mendengar atau membaca sambil membaca;
Kadang kala, kita juga membaca sambil mendengar. Aktiviti ini mungkin dapat dilakukan dengan cara membandingkan teks yang dibaca dengan bahan berita yang didengar untuk memastikan kesahihan kandungan di antara keduanya. Bagitu juga dengan aktiviti membaca sambil merujuk. Kita membuat bacaan secara mentalis untuk mendapatkan kefahaman tentang teks yang dibaca, dalam masa yang sama pula, mungkin kita merujuk kepada kamus ayat untuk mendapatkan pemahaman khusus tentang sesuatu perkataan atau ayat yang tidak difahami. Akitiviti ini juga dikenali sebagai bacaan secara meluas (ekstensif).

Jadi berdasarkan kepada dua contoh yang diberikan di atas, kita dapat melihat bahawa bacaan mentalis selalunya tidak dapat dipisahkan dengan aktiviti bacaan yang lain (mekanis, intensif dan ekstensif). Maka dengan itu adalah jelas bahawa bacaan mentalis sememangnya mempunyai hubungan yang rapat dengan jenis bacaan yang lain.

Pembelajaran Secara Kontekstual

on Monday, February 01, 2010

Pengenalan
Menurut John Dewey (1916), pembelajaran kontekstual merupakan satu keadaan di mana pelajar akan belajar dengan baik jika apa yang dipelajari berkaitan dengan apa yang berlaku di persekitaran. Pembelajaran ini menekankan pada daya fikir yang tinggi, pemindahan ilmu pengetahuan, pengumpulan dan penganalisis data, pemecahkan masalah-masalah tertentu samada secara individu atau berkumpulan. Kontekstual dari ayat asalnya dalam Bahasa Inggeris (asal bahasa Latin con = with + textum = woven) bermaksud mengikut konteks atau dalam konteks. Konteks pula membawa maksud keadaan, situasi dan kejadian.

Pembelajaran konteksual merupakan satu model dinamik dan terbuka. Strategi ini dapat memastikan pelajar disediakan peluang untuk menjadikan pembelajaran bermakna melalui pengalaman dan informasi, dan menggunakan pengalaman serta informasi demi membina pengetahuan sendiri. Kaedah kontekstual adalah berasaskan maksud kontekstual itu sendiri, di mana ia mampu membawa pelajar ke matlamat pembelajaran isi dan konsep yang berkenaan. Ringkasnya, pembelajaran kontekstualisme ialah satu kaedah pembelajaran yang menggabungkan isi kandungan dengan pengalaman harian, individu, masyarakat dan alam pekerjaan. Pembelajaran jenis ini menyediakan pembelajaran secara konkrit yang melibatkan aktiviti ‘hands-on’ dan ‘minds-on’.

Teori Pembelajaran Humanistik

on Sunday, January 24, 2010

Menurut Teori humanistik, tujuan belajar adalah untuk memanusiakan manusia. proses belajar dianggap berhasil jika si pelajar memahami lingkungannya dan dirinya sendiri. Siswa dalam proses belajarnya harus berusaha agar lambatlaun ia mampu mencapai aktualisasi diri dengan sebaik-baiknya. Teori belajar ini berusaha memahami perilaku belajar dari sudut pandang pelakunya, bukan dari sudut pandang pengamatnya.

Tujuan utama para pendidik adalah membantu si siswa untuk mengembangkan dirinya, yaitu membantu masing-masing individu untuk mengenal diri mereka sendiri sebagai manusia yang unik dan membantu dalam mewujudkan potensi-potensi yang ada dalam diri mereka. Para ahli humanistik melihat adanya dua bagian pada proses belajar, ialah :

1. Proses pemerolehan informasi baru,
2. Personalia informasi ini pada individu.
Di samping itu, Teori Humanistik berpendapat pembelajaran manusia bergantung kepada emosi dan perasaannya. Mereka menegaskan setiap individu mempunyai cara belajar yang berbeza dengan individu yang lain. Oleh itu, strategi pengajaran dan pembelajaran hendaklah diatur mengikut kehendak dan perkembangan emosi pelajar sendiri. Mengikut ahli teori ini termasuk Carl Rogers, setiap individu mempunyai potensi dan keinginan mencapai kecemerlangan kendiri. Maka, guru hendaklah menjaga kendiri pelajar dan memberi bimbingan supaya potensi mereka dapat diperkembangankan ke tahap optimum.

Konsep-Konsep Penting Pengajaran

on Thursday, January 21, 2010

Kemahiran Membaca
Membaca merupakan satu proses mengubah simbol-simbol grafik iaitu tulisan kepada konsep-konsep intelektual dan proses ini memerlukan daya mental.

Teori Pembelajaran Konstruktivisme

on Wednesday, January 20, 2010

Teori Konstruktivisme menganggap bahawa ilmu pengetahuan tidak wujud di luar minda tetapi dibina dalam minda berdasarkan pengalaman sebenar. Teori ini adalah dibina berdasarkan gabungan hasil kajian ahli psikologi, ahli falsafah dan penyelidik pendidikan terhadap proses pembelajaran individu. Mengikut teori ini, ilmu pengetahuan dibina melalui proses saling pengaruh di antara pembelajaran terdahulu dengan pembelajaran terbaru yang berkaitan. Di bawah proses pembelajaran, pelajar membina ilmu pengetahuan dengan melibatkan dirinya secara aktif, menggunakan cara membanding maklumat baru dengan pengalaman yang sedia ada supaya menyelesaikan sebarang perselisihan yang timbul dengan tujuan mencapai kefahaman terhadap maklumat baru.

Dalam teori konstruktivisme, pelajar tidak lagi dianggap belajar daripada apa yang diberikan oleh pensyarah tetapi pelajar secara aktif membina realiti mereka sendiri dan pada masa yang sama mengubahsuai realiti tersebut (Dick 1997). Dick (1997) turut menyatakan bahawa konstruktivisme hanya mencadangkan kaedah dalam mana persekitaran pembelajaran boleh disusunatur dan diurus supaya dapat membekalkan pelajar dengan konteks terbaik untuk belajar. Golongan konstruktivis juga menyatakan bahawa ilmu adalah satu entiti yang dibina oleh setiap pelajar melalui proses pembelajaran (Briner 1999). Golongan konstruktivis juga percaya ilmu adalah sesuatu yang tidak boleh dipindahkan tetapi ianya dibina oleh setiap pelajar (Briner 1999). Di dalam konstruktivisme ilmu adalah sesuatu yang relatif dan berubah mengikut masa. Menurut prinsip konstruktivisme lagi proses pembelajaran bertindak sebagai fungsi penyesuaian. Pembelajaran bukan merupakan tempat simpanan maklumat tetapi ia adalah merupakan pengetahuan peribadi yang berguna.

Selain itu, teori ini menganggap individu melihat dirinya secara aktif dalam pembelajaran ilmu pengetahuan berlandaskan konstruktivisme, dan bukan menerimanya secara pasif. Proses ilmu konstruktivisme mengandungi ciri perkembangan serta evolusi jadi ianya bukan tetap tetapi sering berubah. Di bawah teori ini, ilmu pengetahuan tidak digunakan untuk menjelaskan kebenaran. Sebaliknya, ia digunakan sebagai rasionalisasi tindakan dan pengalaman yang dialami oleh seseorang individu. Oleh itu mengikut teori ini, di dalam sesuatu situasi yang sama, ilmu pengetahuan yang diperolehi oleh setiap individu adalah tidak serupa.

Teori Pembelajaran Kognitif

on Monday, January 18, 2010

Ahli psikologi kognitif seperti Kohler, Bruner, Gagne dan Ausubel yang berpendapat bahawa pembelajaran adalah suatu proses dalaman yang berlaku dalam akal fikiran, dan tidak dapat diperhatikan secara langsung daripada tingkah laku manusia. Mereka menumpukan kajian pembelajaran dalam proses penyelesaian masalah dan celik akal mengikut peringkat umur dan kebolehan pelajar. Teori Pembelajaran Kognitif adalah ditumpukan kepada cara pembelajaran seperti pemikiran celik akal, kaedah penyelesaian masalah, penemuan, kategori pembelajaran dan resepsi. Tokoh pembelajaran kognitif menekankan proses kognitif yang juga dikenali sebagai teori Gestalt adalah bertumpukan kepada cara pembelajaran seperti pemikiran celik akal, kaedah penyelesaian masalah, penemuan, kategori pembelajaran dan resepsi. Mengikut teori Gestalt yang bermaksud bentuk, pola atau tatarajah, manusia mempunyai struktur kognitif dan dalam proses pembelajaran, otaknya akan menyusun segala maklumat dalam ingatannya.

Tokoh-tokoh ini juga menekankan bahawa pembelajaran bukan percubaan secara membabi buta tetapi mempunyai motif atau objektif tertentu. Ia bukan sahaja perhubungan stimuli-tindak balas tetapi juga kefahaman terhadap keadaan dan perkara pokoknya, demi melakukan proses pembelajaran. Dengan perkataan lain, sekiranya dia tidak dapat mengenalpasti perhubungan perkara dan ertinya yang dipelajari, walaupun melalui latihan berkali-kali, pembelajaran tidak akan berlaku.

Mengikut kajian tokoh-tokoh ini, pembelajaran hanya boleh berlaku adalah berdasarkan pelajar yang mempunyai cukup pengalaman yang berkaitan untuk mempelajari pengalaman baru, di samping mempunyai motif serta rela mengambil inisiatif diri sendiri untuk menjalankan aktiviti pembelajaran.

Teori Pembelajaran Behavioris

on Sunday, January 17, 2010

Tokoh-tokoh dalam teori ini adalah seperti Parlov, Thorndike dan Skinner. Mereka berpendapat pembelajaran adalah berkaitan dengan perubahan tingkah laku. Kebanyakkan teori pembelajaran mereka adalah dihasilkan daripada pemerhatian dan ujian ke atas haiwan seperti anjing, tikus, kucing dan burung dalam keadaan bilik makmal. Ujian mereka ditumpukan kepada perhubungan rangsangan dan gerak balas yang menghasilkan perubahan tingkah laku. Menurut mereka, tingkah laku pelajar boleh diperhatikan, dikawal dan diramal.

Parlov, Thorndike dan Skinner menghuraikan perubahan tingkah laku sebagai hasil proses pembelajaran adalah kerana berlakunya perhubungan stimuli (rangsangan) dengan tindak balas organisma. Melalui proses pembelajaran berlandaskan pelaziman (conditioning), sesuatu perhubungan yang baru akan dibentuk daripada menghubungkaitkan stimuli dengan tindak balasnya dan akibatnya membawa perubahan tingkah laku organisma yang berkenaan.

Teori ini menegaskan bahawa pembelajaran hanya boleh bermula apabila wujudnya tindak balas terhadap sesuatu rangsangan yang ada. Proses pembelajaran akan diteruskan jika terdapat motivasi yang sesuai iaitu sesuatu penggerak yang dapat mendorongnya berusaha memikirkan erti rangsangan itu. Proses pembelajaran ini akan berakhir apabila perubahan tingkah laku dapat dibentuk dan dikekalkan. Oleh itu, teori pembelajaran ini juga disebut sebagai Teori Rangsangan-Gerak Balas.

Tingkah Laku Bermasalah

on Thursday, January 14, 2010

Kanak-kanak yang menghadapi masalah tingkahlaku tidak boleh menyesuaikan dirinya dengan kelakuan-kelakuan yang diterima oleh masyarakat dan selalunya keadaan ini menjejaskan keadaan pelajarannya, keupayaan untuk belajar dan perhubungannya dengan orang lain. Di dalam bahasa Inggeris, tingkah laku bermasalah disebut sebagai ‘abnormal behavior’ iaitu tingkah laku yang terkeluar dari nilai dan norma masyarakat. Konsepnya bertentangan dengan tingkah laku normal yang lazimnya dipersepsi, dirasai, dilakukan dan dialami oleh kebanyakan orang dalam masyarakat.

Mohd Nazar Mohamad ( 1990 ) mentakrifkan tingkah laku bermasalah individu sebagai tingkah laku yang menggangu perjalanan kehidupannya.

Menurut Robert H Woody di dalam bukunya berjudul ‘The School and the Behaviour Problem Child’ menyatakan semua tingkah laku di sekolah dapat diperlihatkan dalam berbagai bentuk dan ragam. Kanak-kanak tidak dapat menyesuaikan diri mereka dengan keadaan dan suasana pembelajaran. Keadaan begini selalu menjejaskan pelajaran dan keupayaan mereka untuk belajar dan berhubung dengan orang lain.

Dalam konteks pendidikan, tingkah laku bermasalah merujuk kepada sebarang tingkah laku pelajar yang boleh menjejaskan kelicinan atau keberkesanan pengajaran dan pengajaran khasnya di dalam bilik darjah.

Tingkah laku bermasalah boleh berupa negatif atau positif. Yang pastinya tingkah laku bermasalah ini boleh membawa kesan yang tidak baik atau memudaratkan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Oleh yang demikian, adalah menjadi tanggungjawab seorang guru mengenalpasti murid-murid yang bertingkah laku bermasalah di dalam kelasnya agar strategi atau teknik tertentu dapat digunapakai bagi memastikan keberkesanan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah dapat berjalan dengan lancar serta berkesan.

Masalah Pembelajaran Dyslexia

on Tuesday, January 12, 2010

Dyslexia merupakan salah satu kategori kanak-kanak yang bermasalah pembelajaran. Dyslexia berasal daripada gabungan dua perkataan Yunani iaitu dys yang bermakna kesukaran ataupun kesusahan, dan lexis yang bermakna bahasa atau pertuturan. Jika digabungkan ia membawa erti kesusahan atau kesukaran dalam bahasa.

Oleh itu, kanak-kanak dyslexia adalah mereka yang tidak dapat membaca dengan betul. Kegagalan itu adalah disebabkan mereka tidak dapat menterjemahkan dengan betul lambang-lambang bertulis sama ada dalam huruf itu sendiri, dalam suku kata ataupun dalam perkataan-perkataan.

Ciri-ciri Dyslexia
Berdasarkan pengetian yang dinyatakan di atas, kanak-kanak dyslexia mengalami masalah pembelajaran terutamanya dari segi penggunaan bahasa sama ada membaca atau bertutur serta menulis. Berikut adalah di antara kekeliruan atau kesilapan yang sering dilakukan oleh kanak-kanak dyslexia.
  1. Keliru dengan kedudukan arah huruf ataupun pembalikan huruf. Contoh, `b' ditulis 'd', 'g' ditulis 'p' ataupun'n' ditulis 'u'. Oleh kerana kekeliruan itu, maka perkataan-perkataan yang ditulis puti berlainan dengan apa yang sepatutnya. Contah, 'bayi' ditulis'dagi','nasi' ditulis'uasi' ataupun'lab ditulis'lapu' dan sebagainya.
  2. Kekeliruan susunan huruf. Ada kalanya huruf yang berada dalam satu-satu perkataan ditulis mengikut huruf yang salah, walaupun semua huruf pada perkataan itu wujud. Contoh, 'dan' ditulis 'nad', 'pun' ditulis 'upn' ataupun 'air' ditulis 'ria'.
  3. Menambah huruf misalnya, 'main' ditulis 'maein', jaga' ditulis 'jagar' ataupun 'lari ditulis 'lakri'.
  4. Keliru dengan bunyi huruf-huruf vokal seperti a, e, i, o, u. Oleh yang demikian ada kalanya 'epal' ditulis 'ape!', 'air' ditulis 'aer' ataupun 'cukur' ditulis 'cokor'.'
  5. Menulis ejaan yang tidak bererti misalnya, 'makan' ditulis 'midan', 'kaki' ditulis 'guril' ataupun 'buk-u' ditulis jukas'
  6. Membalikkan suku kata misalnya, 'masa' ditulis 'sama', 'madu' ditulis 'duma' ataupun 'bapa' ditulis 'paba'.
  7. Tidak dapat menulis dan menyebut perkataan-perkataan yang mempunyai 3, 4 dan 5 suku kata. Misalnya, 'kenapa', 'daripada' ataupun ‘peperiksaan'.
  8. Sukar menyalin semula nombor-nombor. Misalnya, '6' ditulis '9' ataupun '10' ditulis '01'.

Teori Pemerolehan Bahasa

on Monday, December 28, 2009

Pengenalan

Pembelajaran bahasa sama ada Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris di sekolah melibatkan pengajaran beberapa kemahiran asas, iaitu kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis. Setiap pelajar perlu menguasai kemahiran ini untuk memastikan mereka boleh mengikuti pembelajaran yang seterusnya.

Namun demikian senario pendidikan dari dulu sehingga sekarang masih lagi menunjukkan bahawa kemahiran-kemahiran itu masih lagi gagal dikuasai oleh sebahagian pelajar walaupun sudah menjejakkan kaki di sekolah menengah.

Penulisan ini akan membincangkan bagaimana dan apa usaha yang guru lakukan untuk membantu murid-murid yang belum menguasai sepenuhnya kemahiran membaca meskipun sudah lima tahun setengah melalui pembelajaran di sekolah rendah. Beberapa aspek yang akan disentuh dalam perbincangan ini adalah teor-teori pemerolehan bahasa, kaedah dan pendekatan pengajaran serta beberapa perkara tentang pemilihan, penyesuaian dan penggunaan alat/bahan bantu mengajar.
TEORI PEMEROLEHAN BAHASA
Berikut merupakan 3 daripada beberapa teori-teori yang mengkhusus kepada pemerolehan bahasa yang pernah dikemukakan, iaitu Teori Behaviouris, Mentalis dan Konstruktivis.

1. Teori Mentalis (pelopor – Bloomfield, Edward Sapir, Fries, Boas dan Brooks)
Ahli psikologi yang turut berpegang pada teori ini termasuklah B.F Skinner, Pavlov, Hull dan Thorndike. Golongan mentalis berpendapat bahawa bahasa dikuasai melalui proses pengulangan. Oleh yang demikian proses pengajaran bahasa haruslah menekankan latihan dan pengulangan yang banyak.

Bagi meningkatkan kemahiran bahasa, satu bentuk latihan mekanisme bersistem perlu dilakukan. Teori ini juga mementingkan persekitaran murid untuk membantu proses pengajaran dan pembelajaran. Hal ini termasuk pelakuan guru, kawan-kawan mereka sendiri serta suasana dalam bilik darjah.

1.1 Kebaikan

Kebaikan-kebaikan teori ini ialah:

a. Proses pemerolehan/penguasaan sesuatu bahasa adalah melalui latihan secara berulang-ulang. Oleh yang demikian proses pengajaran bahasa dapat dilakukan secara lebih bersistem.
b. Mementingkan persekitaran murid untuk membantu proses pengajaran dan pembelajaran. Hal ini termasuk pelakuan guru, kawan-kawan mereka sendiri serta suasana dalam bilik darjah.
c. Menekankan aspek peneguhan. Ini bermakna murid akan dapat mempelajari sesuatu bahasa dengan adanya ganjaran dan peneguhan.

1.2 Kelemahan

Walaupun demikian terdapat beberapa kelemahan teori ini iaitu:

a. Pembelajaran hanya berlaku apabila murid menerima rangsangan dari luar, contohnya dalam bentuk penggunaan bahan bantu mengajar. Ini bermakna dalam proses pengajaran dan pembelajaran, guru perlu menghasilkan bahan-bahan bantu bagi membolehkan pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan.

b. Pembelajaran bahasa diperolehi melalui ganjaran dan hukuman. Ini bermakna guru mesti bersama murid sepanjang pengajaran dan pembelajaran. Oleh itu pembelajaran bahasa sukar dijalankan dengan menggunakan kaedah pembelajaran secara kendiri.

c. Pembelajaran ini kurang menekankan aspek pembelajaran secara kendiri kerana ia lebih menekankan kepada aspek pengukuhan, iaitu guru membimbing murid dalam proses pembelajaran mereka. Ini bermakna murid mengharapkan bantuan daripada guru untuk belajar.

1.3 Pengaplikasian teori dalam kelas bacaan

Dalam kelas bacaan, guru boleh mengaplikasikan teori ini melalui latihan secara berulang-ulang. Ini bermakna apabila mengajar kemahiran menyebut suku kata contohnya KV + KVK (LUSUH dan lain-lain), guru akan meminta pelajar mengulangi sebutan bagi suku kata tersebut beberapa kali mengikut sebutan yang betul seperti yang diajar. Berkemungkinan kekerapan pengulangan itu bergantung kepada penguasaan pelajar tersebut. Sekiranya budak itu cepat belajar, pengulangan adalah sedikit tetapi jika sebaliknya, pengulangan adalah agak lama sesuai dengan kemahiran pelajar. Setelah menguasai kemahiran menyebut suku kata, guru akan diperkenalkan dengan perkataan-perkataan yang terbina daripada suku kata tadi. Seterusnya pelajar diminta memberikan contoh perkataan yang terbina daripada suku kata tersebut. Proses ini adalah berulang kali sehingga penguasaan terhadap kemahiran berlaku.


2. Teori Pembelajaran Mentalis (Pelopor – Noam Chomsky)

Teori ini menekankan fungsi mental seseorang manusia itu. Menurut Chomsky, kanak-kanak akan mengalami beberapa peringkat perkembangan dalam pemikiran iaitu bermula dari peringkat terendah deria motor, kemudian kepada pra-operasi, operasi konkrit dan operasi formal. Sebagai contoh, dalam pembelajaran bahasa, kanak-kanak akan menguasai kemahiran memahami terlebih dahulu sebelum mereka belajar bertutur.

2.1 Kebaikan

a. Menekankan kepada proses perkembangan pemikiran kanak-kanak. Oleh itu pembelajaran bahasa akan diajar secara berperingkat-peringkat mengikut kematangan murid berkenaan. Dengan itu proses pembelajaran berlaku secara sistematik dan guru dapat mengawal kadar kemajuan pembelajaran murid secara berperingkat-peringkat.

b. Menekankan kepada pembelajaran mengikut kadar kendiri, di mana murid berpeluang belajar sesuatu pengetahuan atau kemahiran berdasarkan minat, kebolehan dan tahap kognitif mereka sendiri.

c. Menekankan kaedah pengajaran berpusatkan pelajar. Pengajaran berpusatkan pelajar bermaksud pelajar terlibat secara aktif dalam aktiviti pembelajaran dan penggunaan bahan-bahan pembelajaran berbanding guru. Oleh itu ia amat sesuai digunakan untuk mengajar kemahiran berbahasa.

2.2 Kelemahan

a. Teori ini mementingkan kemahiran tulisan, yang kemudiannya diikuti dengan kemahiran bacaan. Manakala kemahiran lisan pula kurang diberikan perhatian. Ini akan menyebabkan sesetengah murid hanya mahir menggunakan bahasa dalam tulisan dan bacaan, tetapi lemah dalam lisan (mendengar dan bertutur).

2.3 Aplikasi dalam kelas bacaan

Guru yang mengaplikasikan teori ini dalam pengajaran dan pembelajaran akan melakukan perancangan dengan membuat pemeringkatan kemahiran. Ini bermakna, murid akan memperoleh sesuatu kemahiran itu secara berperingkat-peringkat sesuai dengan kemahiran dan penguasaan mereka. Kemahiran membaca akan dimulakan dengan kemahiran paling asas iaitu mengenal suku kata, dan seterusnya kemahiran itu dipertingkatkan kesukarannya sehinggalah murid berkenaan dapat membaca sebuah ayat yang lengkap. Sebagai contoh, dalam pelaksanaan pengajaran ini, guru menetapkan 10 kriteria yang perlu dikuasai oleh murid sebagai bukti mereka telah menguasai kemahiran membaca yang telah ditetapkan. Pada pembelajaran pertama, guru mungkin menetapkan dua kriteria yang perlu dicapai, kemudian dua lagi pada pembelajaran akan datang dan begitulah seterusnya sehingga semua murid berjaya mencapai kriteria tersebut.

3. Teori Konstruktivis

Berbeza dengan kedua-dua teori terdahulu, Konstruktivis merupakan satu teori yang berpusatkan pelajar. Ini bermakna pelajar adalah bergerak secara aktif untuk memastikan mereka dapat memahami sesuatu topik yang diajar oleh guru. Teori ini mengetengahkan pendapat bahawa pelajar mempelajari sesuatu itu berdasarkan pengalaman sedia ada mereka. Oleh yang demikian, menurut teori ini, guru perlu menyediakan aktiviti yang sesuai dengan pengalaman sedia ada pelajar serta dapat mengaitkan pengalaman itu dengan pembelajaran yang bakal diajar. Pelajar pula hendaklah mampu mempergunakan pengetahuan baru itu untuk kegunaan masa hadapan. Peranan guru dalam kelas hanyalah sebagai pemudah cara, pemantau dan penggubal disiplin. Pendekatan ini biasanya akan membuahkan hasil yang baik kerana pelajar akan lebih memahami sesuatu perkara itu sekiranya dia terlibat secara aktif.


3.1 Kebaikan

a. Konstruktivis menekankan cara belajar secara reflektif, iaitu mengaitkan pengalaman baru dengan pengetahuan sedia ada murid supaya mereka dapat menggambarkan perkara yang diajar dan memudahkan mereka untuk faham.

b. Teori pemerolehan bahasa ini menekankan pembelajaran secara kendiri. Murid akan berusaha untuk memperkembangkan kemahiran/pengetahuan mereka berdasarkan penerokaan dan penemuan hasil daripada aktiviti penyelesaian masalah.

c. Pembelajaran bahasa melalui Konstruktivis dapat memupuk semangat berdikari di kalangan murid. Oleh itu mereka dapat menjalankan aktiviti pembelajaran meskipun tanpa kehadiran guru, ataupun di luar waktu kelas.

3.2 Kelemahan

a. Guru tidak mengajar tetapi hanya menyediakan bahan bantu yang boleh merangsang minda pelajar supaya dapat mengaitkan aktiviti dan bahan bantu itu dengan pengalaman sedia ada mereka. Ini menyebabkan guru terpaksa menyediakan pebagai bahan bantu sebelum dapat melaksanakan pengajarannya.

b. Penekanan kepada andaian bahawa murid mempunyai pengetahuan asas atau sedia ada tentang apa yang akan dipelajari dalam pelajaran seterusnya adalah perkara utama dalam pendekatan ini. Tetapi sekiranya andaian guru tidak tepat, berkemungkinan dia murid tidak akan dapat mengikuti pembelajaran tersebut.

3.3 Aplikasi dalam kelas bacaan

Teori Konstruktivis menekankan cara untuk mengaitkan pengajaran dengan pengetahuan sedia ada murid supaya mereka dapat menggambarkan perkara yang diajar. Jadi, dalam pengajaran kemahiran membaca bagi murid-murid yang dimaksudkan, aktiviti pencetusan idea murid akan dilaksanakan terlebih dahulu sebelum guru menerangkan sesuatu konsep atau mengajar kemahiran. Aktiviti pencetusan idea ini boleh dilakukan melalui soal-jawab secara lisan antara guru dengan murid. Sebagai contoh, guru meminta murid menyatakan apa yang telah mereka pelajari sebelum ini atau meminta mereka membaca mengikut tahap kemahiran yang telah diajar dalam pelajaran lepas. Melalui aktiviti ini, guru akan dapat mengesan pencapaian murid dan seterusnya menyesuaikan pengetahuan tersebut dengan pembelajaran yang baru.

Nota: Jangan gunakan penulisan ini sebagai sumber rujukan utama, pastikan anda membuat rujukan daripada buku-buku ilmiah yang diikhtiraf untuk mendapatkan maklumat yang lebih tepat!
 
© Just Another Story All Rights Reserved