Showing posts with label Kesihatan. Show all posts
Showing posts with label Kesihatan. Show all posts

Payudara Terbesar di Dunia Terpaksa Dibuang

on Sunday, July 18, 2010

Inilah akibatnya jika tidak bersyukur dengan apa yang telah dimiliki. Tak cukup dengan saiz sedia ada, payudara kecil dibesarkan beberapa kali ganda. Akhirnya, dia kehilangan kedua-dua payudara terbesar di dunia itu.


LONDON: Seorang model yang memiliki payu dara paling besar di dunia berkata semalam, dia terpaksa membuang keseluruhan buah dada itu atau mati.

Model kelahiran Brazil yang berusia 30 tahun itu memberitahu akhbar The Sun: “Doktor memberitahu, peluang untuk menyelamatkan satu daripada buah dada saya ialah 80 peratus.

“Tetapi jika saya kehilangan sebelah, apa guna saya simpan sebelah lagi.

“Peluang untuk mengekalkan kedua-duanya ialah antara 10 atau 20 peratus.” Sheyla sebelum ini dilapor menjalani pembedahan semula di Amerika Syarikat selepas payu daranya dijangkiti kuman berikutan pembedahan di Brazil bulan lalu.

Model itu mahu payu daranya dibesarkan semula, pembedahan ke-10, selepas melahirkan anak tahun lalu.

Dia cuba melakukan pembedahan itu di Amerika Syarikat sebelum pulang ke Brazil tetapi doktor enggan membesarkan payu daranya lagi kerana undang-undang Amerika tidak membenarkan penggunaan satu gelen silikon atau lebih dalam implan.

Semalam Sheyla bertemu dengan doktor sekali lagi untuk mengetahui nasibnya. Kuman itu sudah meresap ke dalam saluran darahnya, menyebabkan dia sukar bernafas.

“Ia begitu sakit. Saya cuba mengawalnya dengan memakan ubat. Jangkitan itu seperti barah.

“Satu-satunya cara untuk menyelamatkan nyawa saya ialah dengan membuang tisu payu dara,” katanya.

Sheyla terlalu taksub dengan pembedahan plastik dan pernah menjalani proses menyedut lemak dan pembedahan untuk mencantikan hidung.

Payu daranya disahkan sebagai yang terbesar di dunia oleh Buku Rekod Brazil dan Buku Rekod Dunia Guinness. - Agensi

Seks Bantu Proses Pulih Minda Suami Isteri

on Saturday, July 17, 2010

Hubungan seks yang kerap walaupun pada kadar setiap hari, tidak akan menimbulkan apa-apa kemudaratan. Hubungan seks dianggap satu proses pemulihan (healing) yang baik untuk minda dan tubuh badan.

Berikut ialah beberapa kelebihan melakukan hubungan seks:
1. Sejenis senaman.
Hubungan seks ialah salah satu bentuk aktiviti fizikal. Ketika hubungan berlaku, berlaku pelbagai perubahan fisilogi yang berlaku dalam badan seolah-olah seperti seseorang lelaki sedang menjalani aktiviti senaman.

Contohnya, semasa hubungan seks, tahap kadar pernafasan akan meningkat. Peningkatan pernafasan dan pernafasan yang dalam akan meningkatkan tahap oksigen dalam badan dan boleh memperbaiki sel-sel yang rosak. Kapasiti paru-paru juga akan meningkat. Begitu juga dengan degupan jantung, ia akan meningkat ketika hubungan seks dan ini akan meningkatkan aliran darah dalam badan.

Ketika hubungan seks, pelbagai otot mengalami kontraksi dan selepas hubungan seks, sering kali saudara dapati saudara letih dan berpeluh. Ini bermakna ada aktiviti fizikal yang membakar kalori berlaku semasa hubungan seks. Dianggarkan, jika saudara melakukan hubungan seks tiga kali seminggu dan setiap kali hubungan memakan masa 15 minit, saudara akan menggunakan 7,500 kalori setahun. Ini umpama saudara berjoging sejauh 120 km. Hormon testosterone yang dikeluarkan ketika hubungan seks juga akan meningkatkan kekuatan otot dan menguatkan tulang.

2. Penawar kesakitan.
Semasa hubungan seksual, sejenis hormon yang dipanggil ‘endophine’ akan dirembeskan. Hormon endophine ini mempunyai fungsi melegakan kesakitan dan sejenis hormon penahan sakit.

Satu kajian dijalankan menunjukkan semasa hubungan seksual terutama semasa orgasma, seseorang tidak akan merasa kesakitan dan selepas hubungan seksual, kesakitan ringan akan berkurangan.

3. Perlindungan kepada kelenjar prostat.
Sebahagian besar dari cecair yang dikeluarkan semasa ejakulasi datangnya dari kelenjar prostat. Hubungan seks yang kerap dapat membantu meningkat produksi cecair yang baru serta dapat mengeluarkan cecair yang berada dalam kelenjar. Jika ejakulasi lama tidak berlaku, akan terjadi pengumpulan cecair dalam kelenjar dan ini boleh menimbulkan inflamasi atau keradangan pada kelenjar prostat.

4. Pengurangan risiko mendapat masalah mati pucuk (ED)
Lima puluh peratus dari lelaki yang berumur lebih dari 40 tahun akan mengalami masalah mati pucuk. Salah satu langkah pencegahan ialah dengan kerap melakukan hubungan seks.

Semasa proses ereksi berlaku, banyak darah dari arteri akan dipamkan ke batang zakar dan darah ini akan membawa oksigen dan nutrien kepada tisu batang zakar.

Proses ini akan mengekalkan kesihatan batang zakar dan ketegangan batang zakar.

5. Mengurangkan stress.
Sudah terbukti dari segi kajian saintifik bahawa hubungan seks yang kerap dapat mengurangkan stress. Ini adalah kerana semasa hubungan seks, badan akan menghasilkan dopamine iaitu sejenis kimia dalam badan yang boleh mengurangkan stress.

Sejenis kimia lagi yang dikenali sebagai oxytocin, juga dirembeskan dan hormon ini bertindak sebagai hormon yang memberi kesan kelegaan serta kesan positif terhadap keinginan dan nafsu seseorang lelaki.

6. Lain-lain kelebihan.
Kajian di negara Barat menunjukkan hubungan seks yang dinikmati dapat mengurangkan risiko penyakit jantung, mengurangkan sakit kepala, mengurangkan kemurungan serta dapat memberi kebaikan pada otot dan sendi. Selain itu, hubungan seks juga dapat mengukuhkan hubungan dan mengeratkan kasih sayang antara pasangan suami-isteri.

Penjelasan daripada Pakar Urologi, Prof Madya Dr Zulkifli Md Zainuddin, Ketua Unit Urologi, Pusat Perubatan UKM, Cheras. (Sumber: Berita Harian 17 Julai 2010)

Jenis dan Cara Mengawal Stres

on Saturday, June 26, 2010

Jenis-Jenis Stres

Stres bukanlah suatu perkara yang asing bagi masyarakat negara ini. Stres biasa dialami oleh semua manusia apabila berada dalam keadaan yang tidak menyeronokkan. Secara umumnya, stres terbahagi kepada dua jenis iaitu:

1.  Eustress
Eustress adalah stres yang menghasilkan kesan positif dan kegembiraan seperti perkahwinan, naik pangkat, mendapat ahli keluarga baru dan berpindah rumah.

2.  Distress
Manakala distress pula adalah stres yang mengakibatkan kesan negatif kepada mangsa seperti kematian, kemalangan jalan raya, berpenyakit dan beberapa musibah lain.


Teknik Mengawal Stres
Stres yang membawa kesan negatif (distress) boleh melemahkan sistem imun dalam badan akibat peningkatan hormon adrenalin yang boleh menjejaskan fungsi leukosit. Ia juga boleh menyebabkan gangguan kognitif seperti melemahkan daya ingatan dan tumpuan. Individu yang menghadapi stres akan juga mengalami kekacauan emosi seperti resah gelisah dan mempamerkan tingkah laku yang keterlaluan. Oleh sebab itu adalah penting untuk kita mengetahui cara atau teknik-teknik yang boleh digunakan untuk mengatasi stress. Dua daripada teknik yang boleh membantu mengawal stress dan juga konflik adalah:

1.  Penepatan Keperluan (Setting Priorities)
Anda mesti berfikiran terbuka dan positif apabila mengalami stres. Antara cara untuk mengawal stres ialah dengan menetapkan keperluan yang penting dahulu. Ini bermakna anda mesti memberi keutamaan kepada tugas-tugas yang penting untuk mengelak stres akibat tidak menyiapkan kerja yang penting. Contohnya, majikan anda menyuruh anda menyiapkan suatu tugasan sebelum minggu berikutnya. Seorang rakan sekerja anda pula meminta bantuan anda untuk menyiapkan tugasnya. Di sini anda mesti menyiapkan kerja yang diberi oleh majikan anda sebelum membantu rakan sekerja anda. Berilah perhatian lebih terhadapnya dan cubalah menyelesaikan setiap masalah yang timbul dengan sebaik mungkin.

Untuk mengelak daripada terlupa membuat tugasan-tugasan yang penting, buatlah satu jadual. Anda juga boleh meletakkan peringatan di atas meja atau di dalam komputer supaya anda tidak lupa. Yang paling penting adalah jangan menangguhkan kerja anda. Jika tidak, ini akan menyebabkan kerja anda bertambah banyak. Anda akan mengalami stres apabila anda melihat banyak tugasan tidak disiapkan Oleh itu, sentiasalah ingat dan peka terhadap tugasan-tugasan yang diberikan.

2.  Pengurusan Masa

Pengurusan masa yang bijak merupakan antara langkah yang dapat mengatasi masalah stres (Rajah 8.3). Kita semua mempunyai masa 24 jam sehari. Justeru, pengurusan masa mengikut kepentingan sesuatu kerja harus kita amalkan. Kita boleh menyenaraikan sesuatu kerja mengikut kepentingan dan keperluan berdasarkan pengkelasan “perlu dilaksanakan segera” sehingga “perlaksanaan tidak segera”. Dalam erti kata lain, agihkan tugas dan kepentingan anda secara berkesan. Untuk itu, anda mesti bijak mengatur rutin seharian anda. 

Anda juga mestilah sentiasa memahami rutin harian anda supaya segala permasalahan yang timbul dapat diselesaikan dengan bijak dan positif. 

Anda juga diingati agar tidak membuat tugasan diakhir masa. Contohya, jika pengajar anda memberikan anda tugasan minggu ini. Anda seharusnya menyiapkannya minggu ini juga dan tidak menangguhkannya ke minggu hadapan. Ini kerana anda mungkin tidak akan mempunyai masa yang cukup untuk menyiapkannya. Justeru, pengurusan masa amatlah penting. Ini kerana ia dapat membantu anda mengawal stres dengan cara yang terbaik. Anda mesti ingat masa itu emas dan tidak ternilai. 

Oleh itu hargailah masa anda dengan melakukan aktiviti-aktiviti dengan efektif. Sentiasalah berfikir sebelum bertindak.

Wabak H1N1 Ragut Korban ke-86

on Sunday, May 23, 2010

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki berumur 48 tahun menjadi korban terbaru wabak selesema babi atau influenza A (H1N1) apabila disahkan meninggal dunia akibat jangkitan virus itu di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang pada 9 Mei lalu.


Lelaki tersebut yang tidak mempunyai sebarang faktor risiko mengalami demam selama tiga hari dan batuk selama seminggu sebelum dimasukkan ke hospital itu pada 6 Mei.

Dia kemudian mengalami masalah pernafasan akibat pneumonia yang teruk semasa dirawat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, hasil perbincangan dengan pakar mengesahkan wabak H1N1 menjadi penyebab utama kematian lelaki itu.

lagi Kematian Akibat H1N1

on Saturday, May 01, 2010

KUALA LUMPUR: Satu lagi laporan kematian berkaitan virus influenza A(H1N1) diterima Kementerian Kesihatan hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.
Beliau berkata bagaimanapun penyebab kematian lelaki berusia 40 tahun itu bukan jangkitan H1N1 secara langsung.

"Ini menjadikan jumlah terkumpul kematian H1N1 sehingga hari ini kekal 81 orang," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata lelaki itu mempunyai faktor risiko tekanan darah tinggi dan terlibat dengan kemalangan kenderaan seminggu sebelum dimasukkan ke wad.

Dr Mohd Ismail berkata lelaki terbabit dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur pada 26 April lepas selepas mengalami masalah pernafasan, demam, batuk serta pertuturan yang tidak difahami dan dia meninggal dunia pada hari yang sama.

Beliau berkata walaupun kes itu disahkan positif jangkitan virus H1N1 melalui ujian PCR, lelaki itu juga mengalami jangkitan bakteria dalam darah dan kematian adalah akibat komplikasi "septic shock with multi-organs failure".

Mengenai jumlah kes terkumpul, Dr Mohd Ismail berkata sehingga 5.30 petang semalam sejumlah 71 kes disahkan influeza A(H1N1) dilaporkan menjadikan jumlah terkumpul kes itu kini ialah 13,673.

Sehingga jam 8 pagi ini, sebanyak enam laporan kejadian kluster ILI dilaporkan di empat negeri iaitu Sarawak, Terengganu, Selangor dan Kuala Lumpur.

Beliau berkata jumlah kes ILI yang masih dirawat di wad di seluruh negara ialah 587 kes dan daripada jumlah itu 70 kes (11.9 peratus) disahkan positif influenza A (H1N1).

Tujuh kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan lima daripadanya mempunyai faktor-faktor risiko, katanya.

"Majoriti kematian yang dikaitkan dengan jangkitan virus H1N1 melibatkan mereka yang mempunyai faktor-faktor risiko seperti asma, diabetes, penyakit buah pinggang, penyakit jantung, penyakit paru-paru, ibu mengandung dan kegemukan.

"Oleh itu orang ramai yang mempunyai faktor risiko dinasihat supaya segera mendapatkan pelalian vaksin H1N1 di 104 fasiliti kementerian di seluruh negara," katanya.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman web kementerian di alamat http://h1n1.moh.gov.my atau menghubungi hotline kementerian di talian 03-88810200/0300. - Bernama

Penderma Buah Pinggang Dicari

on Wednesday, April 21, 2010

Taiping - Seorang pelajar tahun akhir Universiti Tenaga Nasional (Uniten) merayu ihsan orang ramai untuk membantu meringankan beban ditanggungnya ekoran kegagalan kedua-dua buah pinggangnya berfungsi.
Nor Hazlin Hassan, 20, pelajar jurusan Pemasaran, Uniten kampus Muadzam Shah, Pahang berkata, dia tidak mempunyai pilihan selain mengharapkan ada pihak sudi menderma sekurang-kurangnya satu organ berkenaan kepadanya.

Lebih malang, Nor Hazlin yang kini terpaksa menerima rawatan intensif di sebuah hospital di sini sejak disahkan mengalami kerosakan teruk pada kedua-dua organ terbabit pada 23 Mac lalu, terpaksa 'melupakan' hasrat menghadapi peperiksaan semester akhir pengajian baru-baru ini.

"Buat masa ini, saya berulang-alik ke sebuah pusat rawatan di sini untuk menjalani hemodialisis. "Saya mungkin terpaksa melupakan terus hasrat untuk menamatkan pengajian jika tidak memperoleh buah pinggang baru," katanya ketika ditemui di Kampung Sungai Petai, Changkat Ibol di sini semalam. - Sumber: Kosmo Online
 
© Just Another Story All Rights Reserved