Pembelajaran Secara Kontekstual

on Monday, February 01, 2010

Pengenalan
Menurut John Dewey (1916), pembelajaran kontekstual merupakan satu keadaan di mana pelajar akan belajar dengan baik jika apa yang dipelajari berkaitan dengan apa yang berlaku di persekitaran. Pembelajaran ini menekankan pada daya fikir yang tinggi, pemindahan ilmu pengetahuan, pengumpulan dan penganalisis data, pemecahkan masalah-masalah tertentu samada secara individu atau berkumpulan. Kontekstual dari ayat asalnya dalam Bahasa Inggeris (asal bahasa Latin con = with + textum = woven) bermaksud mengikut konteks atau dalam konteks. Konteks pula membawa maksud keadaan, situasi dan kejadian.

Pembelajaran konteksual merupakan satu model dinamik dan terbuka. Strategi ini dapat memastikan pelajar disediakan peluang untuk menjadikan pembelajaran bermakna melalui pengalaman dan informasi, dan menggunakan pengalaman serta informasi demi membina pengetahuan sendiri. Kaedah kontekstual adalah berasaskan maksud kontekstual itu sendiri, di mana ia mampu membawa pelajar ke matlamat pembelajaran isi dan konsep yang berkenaan. Ringkasnya, pembelajaran kontekstualisme ialah satu kaedah pembelajaran yang menggabungkan isi kandungan dengan pengalaman harian, individu, masyarakat dan alam pekerjaan. Pembelajaran jenis ini menyediakan pembelajaran secara konkrit yang melibatkan aktiviti ‘hands-on’ dan ‘minds-on’.

Kepentingan Pembelajaran Kontekstual Dalam Pengajaran dan Pembelajaran
Pendekatan pengajaran ini mempunyai banyak kepentingan dan faedahnya. Ini termasuklah faedah kepada murid dan faedah kepada guru sendiri. Pendekatan kontekstual adalah satu proses yang melibatkan pelbagai bentuk penemuan yang bersifat kompleks yang menjangkau kaedah-kaedah jenis latih tubi dan rangsangan dan tindak balas. Konsep pengajaran ini lebih menumpukan kepada pembelajaran yang bercirikan penemuan dan pencarian. Ia akan mendorong murid-murid mencari hubungan dan cara penyelesaian berdasarkan persekitarannya.

Pendekatan kontekstual juga merupakan pendekatan yang menekankan dunia kehidupan sebenar murid-murid. Ini bermakna, pembelajaran adalah berkisar kepada konteks kehidupan sebenar dan cara ini sudah tentu akan lebih mudah memberi kefahaman kepada murid-murid tentang konsep-konsep berkaitan. Selain itu, pembelajaran ini juga boleh dilaksanakan secara koperatif dan melibatkan penggunaan bahasa. Pembelajaran sebagai aktiviti sosial ini amat menggalakkan interaksi dan perbincangan sesama murid atau antara murid dan guru. Dengan cara ini proses pembelajaran murid akan berlaku dengan lebih mudah. Ini sudah tentu dapat memastikan objektif pelajaran yang telah ditetapkan dalam perancangan pelajaran ini dapat dicapai dalam sesi praktik yang akan dilaksanakan nanti.

Bagi guru pula, pendekatan pengajaran ini sudah tentu menggalakkan mereka memilih dan membina persekitaran pembelajaran yang menggabungkan pengalaman-pengalaman yang mereka lalui seberapa banyak yang boleh. Pengalaman-pengalaman yang dilalui termasuklah dari aspek sosial, fizikal, psikologikal, ke arah mencapai hasil pembelajaran yang diinginkan. Berdasarkan persekitaran sedemikian, pelajar menemui perhubungan yang bermakna antara idea abstrak dan aplikasi praktikal dalam konteks alam yang nyata. Penghayatan konsep diperoleh melalui proses penemuan, pengukuhan dan menghubungkaitkan.

Proses “REACT” Dalam Pembelajaran Secara Kontekstual
Terdapat satu kaedah pengajaran yang sangat sesuai diaplikasikan dalam pengajaran kontekstual. Kaedah pengajaran itu melibatkan lima proses/aktiviti, iaitu menghubungkait, mengalami, mengaplikasi, bekerjasama, dan memindahkan. Kelima-lima aktiviti ini diringkaskan sebagai “REACT”.

a) Menghubungkait (Relating):
Aktiviti ini melibatkan proses di mana pelajar menghubungkaitkan pengetahuan baru dengan pengalaman hidup mereka sendiri. Dalam pembelajaran kontekstual, pelajar akan dapat menumpukan perhatian kepada taakulan, peristiwa dan keadaan harian. Kemudiannya, taakulan, peristiwa dan keadaan harian itu dipautkan dengan maklumat baru untuk penyelesaian sesuatu masalah. Contoh semasa di sekolah, pelajar belajar tentang cara-cara menjaga kebersihan. Semasa pembelajaran tersebut, pelajar mungkin dapat mengaitkan pengalaman mereka semasa di rumah, di mana pelajar sering diberitahu oleh ibu bapa supaya membasuh tangan sebelum makan. Menerusi pengalaman ini pelajar akan dapat mengaitkan aktiviti yang dilakukan oleh mereka di rumah dengan aktiviti pembelajaran yang sedang berlangsung.

b) Mengalami (Experiencing):
Semasa pembelajaran, pelajar akan sedaya upaya menimba pengalaman melalui aktviiti eksplorasi, penemuan dan reka cipta merupakan nadi pembelajaran konteksual. Penggunaan bahan pengajaran dan pembelajaran seperti video, naratif, atau aktiviti berasaskan teks, akan dapat membantu pelajar mengalami sesuatu perkara atau peristiwa yang dipelajari. Contohnya pelajar dibawa ke bilik tayangan untuk menyaksikan demonstrasi serta membuat latihan amali merawat kecederaan semasa bermain. Pengalaman ini boleh digunakan semasa mereka berhadapan dengan situasi sebenar di luar bilik darjah.

c) Mengaplikasi (Applying):
Ia melibatkan proses mengaplikasi konsep dan informasi dalam konteks untuk digunakan dalam situasi yang lain. Dalam pembelajaran Pendidikan Kesihatan misalnya, proses aplikasi ini boleh dilakukan dengan memberi peluang kepada pelajar mengalami sendiri situasi atau perkara sebenar berdasarkan konteks yang dipelajari. Contohnya, guru mungkin boleh membawa pelajar melawat kantin sekolah dan melihat sendiri cara mengendalikan makanan dengan betul. Setelah itu, mereka akan diberikan peluang melakukan latihan praktikal di bilik kemahiran hidup sekolah. Pengalaman ini sudah tentu akan dapat diaplikasikan pula semasa mereka berada di rumah kelak.

d) Bekerjasama (Cooperating):
Pembelajaran dalam konteks berkongsi, bertindak balas, dan komunikasi dengan pelajar lain. Ia merupakan satu proses penting dalam pengajaran dan pembelajaran konteksual. Semasa proses pengajaran dan pembelajaran, pelajar digalakkan bekerjasama dalam pelbagai peringkat kumpulan untuk memberikan pengalaman kepada mereka. Contohnya pelajar bekerja dengan ahli kumpulan untuk melakukan amali makmal. Penyelesaian amali makmal memerlukan delegasi, pemerhatian, cadangan dan perbincangan.

e) Memindahkan (Transferring):
Pembelajaran sesuatu isi dalam konteks pengetahuan yang sedia ada, atau memindahkannya adalah berlandaskan apa yang telah diketahui pelajar. Pendekatan ini menyerupai RELATING iaitu ia berasaskan perkara-perkara yang lazim dan diketahui. Guru boleh membantu meningkatkan keyakinan pelajar dengan menyediakan panduan yang dapat menghubungkan pengalaman pembelajaran baru dengan apa yang telah diketahui pelajar. Contoh pelajar mempelajari cara untuk memilih menu sarapan yang sesuai. Pelajar boleh memindahkan pengetahuan mereka itu dalam memilih dan menetapkan menu sarapan mereka setiap hari semasa berada di rumah.

Penutup
Pembelajaran secara kontekstual atau melalui pengalaman sebenar merupakan antara kaedah yang paling berkesan untuk memahami sesuatu konsep. Ini kerana murid pada umumnya telah mempunyai serta membentuk idea mereka sendiri mengenai suatu perkara atau fenomena yang berlaku di sekeliling mereka berdasarkan pengalaman yang pernah dialami. Idea mereka mungkin betul, mungkin tidak tetapi isu yang penting di sini ialah seseorang guru harus mampu menggunakan kekuatan yang ada pada murid untuk membantu mereka belajar dengan lebih berkesan. Jadi dalam soalan pengajaran Pendidikan Kesihatan, murid harus diberi peluang belajar memahami sesuatu perkara melalui pengalaman sendiri. Setelah mengalami sesuatu perkara itu, mereka akan dapat membuat rumusan apakah tindakan ke arah kebaikan yang patut mereka ambil.
Ranking: 5

{ 2 Respon... read them below or add one }

SN Hajar said...

terima kasih atas perkongsian yang bermakna. izinkan saya untuk gunakan beberapa maklumat yang diperlukan. semoga terus cemerlang.


2/03/2023 4:07 AM
Yana said...

Perkongsian yang sangat bermakna


9/21/2023 4:28 PM

Post a Comment

 
© Just Another Story All Rights Reserved