Showing posts with label Global. Show all posts
Showing posts with label Global. Show all posts

Gempa Bumi di China

on Sunday, July 01, 2012

Gempa bumi berukuran 6.3 pada skala Richter melanda wilayah Xinjian China, menyebabkan 17 orang cedera, semalam.

Menurut Kajian Geologi AS, gempa bumi pada kedalaman hanya 9.8 kilometer itu, berpusat di 99 kilometer selatan bandar Dushanzi, iaitu kawasan pedalaman bergunung-ganang. Pusat Televisyen China melaporkan, gegaran dirasakan dengan kuat di bandar Urumqi kira-kira 300 kilometer jauhnya selain Dushanzi dan Kuitun. 

Katanya, sekurang-kurangnya 17 orang dilaporkan cedera dan seorang daripada mereka, parah.

Ramai mangsa cedera kerana rumah mereka runtuh dan yang lain terjatuh dari katil.

Gempa itu melanda pada jam 5.07 pagi dan dalam masa 90 minit, terdapat lapan gegaran susulan berlaku, yang terbesar kira-kira 3.9 magnitud. - AFP

Lagi Gempa Bumi di Indonesia

on Saturday, April 21, 2012

Pada 11 April, kejadian panik telah melanda Indonesia selepas perairan utara Sumatra telahpun digegarkan dengan gempa bumi kuat sehinga mencapai magnitud 8.9. 

Hari ini, Indonesia digegarkan sekali lagi akibat kejadian gempa bumi. Gempa bumi dengan kekuatan 6.3 pada skala Richter melanda pantai barat Sumatera Utara, Indonesia pada pukul 7.14 pagi ini. Pusat gempa itu terletak di 296km barat daya Simeulue, Indonesia, dan 790km di barat daya Kampar, Perak. Kemudian gempa susulan dengan kekuatan 7.0 pada skala Richter juga turut berlaku di rantau Irian Jaya pukul 9.16 pagi. Pusat gempa yang kedua itu terletak di 377km tenggara Sorong, Indonesia, dan 1,903km di tenggara Semporna, Sabah. 

Mujurlah kedua-dua gempa bumi ini tidak menyebabkan ancaman tsunami.

Kitaran Hidup: Jangka Hayat Sebuah Basikal di New York City dalam Tempoh 365 Hari

on Sunday, January 22, 2012

Hari ini terjumpa satu artikel yang pada saya menarik untuk dikongsikan. Satu projek yang dinamakan "Life-Cycle: 365 Days In The Life Of A Bike In NYC" dan dilakukan oleh firma Red Peak dengan kerjasama Hudson Urban Bicycles. Projek ini dimulakan pada 1 Januari 2011 dan berakhir pada 31 Disember 2011. Tujuannya adalah untuk menguji masyarakat New york dan melihat berapa lama basikal tersebut kekal di tempat ia diletakkan sebelum hilang dicuri.

Life-cycle 365 days in the life of a New York City

Pada hari pertama basikal yang sempurna diletakkan di tepi jalan dan dikunci, lengkap dengan bakul, lampu, botol air dan beberapa aksesori lain. Setiap hari selama 365 hari, mereka mengambil gambar basikal berkenaan dan memerhatikan perubahan yang dapat dilihat.

Life Cycle 365 Days In The Life Of A Bike In NYC

Saksikan video bagi projek yang dimaksudkan.



Sumber


Daripada projek ini orang ramai berpendapat bahawa masih selamat lagi menyimpan basikal berkunci semalaman di hadapan jalan di rumah di Bandaraya New York. Kalau di Malaysia, agak-agak berapa lama basikal yang ditingkalkan di luar boleh bertahan sebelum dicuri?

Tsunami Melanda Negara Negara Jepun

on Friday, March 11, 2011

Satu gempa bumi kuat bermagnitud 8.8 pada skala richter berlaku di Pantai Timur Honshu, Jepun pada Jumaat dan mencetuskan tsunami hingga menghanyutkan kereta dan bangunan di sepanjang pandai berkenaan.

Di beberapa lokasi di sepanjang pantai Jepun, tayangan televisyen memaparkan berlakunya banjir dengan puluhan kereta, kapal serta bangunan dihanyutkan air.


Berdasarkan rakaman stesyen televisyen Nasional NHK, terdapat sebuah kapal besar yang dibawa arus deras melanggar pemecah ombak di Bandar Kesunnuma di Wilayah Miyagi.

Gempa yang melanda kira-kira pukul 2.46 petang waktu tempatan diikuti dengan beberapa siri gempa susulan termasuk magnitud 7.4 sekitar 30 minit kemudian.

Kalau menurut salah seorang wartawan Reuters Linda Sieg, kejadian tsunami kali ini mungkin yang terburuk pernah berlaku sepanjang dia berada di Jepun lebih dari 20 tahun lalu.

Berikut salah satu video yang menunjukkan rakaman kejadian tsunami berkenaan.


Video lain boleh dilihat di SINI.

Sumber: mStar & BERNAMA

Tsunami Kepulauan Mentawai, Sumatera Barat

on Wednesday, October 27, 2010

Gempa bumi kuat berukuran 7.2 pada skala richter yang melanda Kepulauan Mentawai, Sumatera Barat, Isnin malam telah menyebabkan berlaku tsunami. Berdasarkan kemaskini berita pada 26 Oktober (6:17p.m), seramai 40 orang dilaporkan terkorban dan lebih 300 dilaporkan hilang.

Perkara itu disahkan pegawai daerah Kepulauan Mentawai, Edison Saleleobaja, lapor Bernama.

Sehingga pukul 2 petang ini, pihak Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) belum memastikan identiti korban dalam kejadian itu.



Mereka yang hilang dipercayai melibatkan 10 rakyat Australia dan Jepun yang berada dalam sebuah kapal bernama Southern Cross milik Sumatran Surfariis.

Pihak kedutaan Australia di Jakarta juga yakin bahawa rakyatnya berada di dalam kapal itu. Bagaimanapun BNPB belum mengesahkan kebenaran maklumat itu.

"Maklumat itu sedang kami sahkan, belum jelas maklumat dari lokasi kejadian dan kami masih menunggu," kata Maryadi, petugas BNPB kepada Bernama.

Beliau berkata pasukan daripada badan itu belum berada di Mentawai kerana sedang memberi tumpuan kepada ancaman letusan Gunung Merapi di sempadan Yogyakarta dan Jawa Tengah serta banjir di Wassior (Papua Barat).

"Tsunami itu berketinggian tiga meter dan meluap hingga 400 meter ke darat," katanya.

Media Online Nasional melaporkan dua perkampungan disapu bersih oleh tsunami yang berlaku di kawasan penggemar sukan luncur air itu, namun Maryadi belum dapat mengesahkan perkara itu.

Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) mengumumkan gempa bumi berukuran 7.2 pada Skala Richter berlaku pada pukul 9.42 malam Isnin, pada kedudukan 78 kilometer Barat Daya Pagai Selatan, Mentawai Sumbar, pada kedalaman 10 km.

Badan itu mengeluarkan amaran potensi tsunami kepada masyarakat sejurus selepas gampa itu, namun menarik balik amaran ancaman itu kemudiannya.

Sementara itu AP pula memetik Mujiharto, yang mengetuai pusat krisis Kementerian Kesihatan Indonesia sebagai berkata, gelombang setinggi tiga meter menghanyutkan ratusan rumah di Pagai dan Silabu - yang merupakan sebahagian rangkaian pulau Mentawai.
"Kami ada 200 beg mayat dihantar ke sana, sebagai langkah berjaga-jaga," katanya.

Indonesia sering dilanda gempa bumi dan aktiviti gunung berapi kerana lokasinya dalam Lingkaran Api Pasifik.

Kawasan yang dilanda gempa bumi semalam, berlaku di sepanjang pantai barat Kepulauan Sumatera, yang dilantik gempa 9.1 skala Richter, yang mencetuskan tsunami besar di sekitar Lautan Hindi pada 2004 yang mengorban 230,000 orang di beberapa negara.

Mentawai merupakan pusat luncur popular 280km dari pantai Sumatra. Perjalanan ke pulau tersebut - hanya boleh sampai dengan menaiki bot - mengambil masa 12 jam.

Sekumpulan rakyat Australia berkata mereka berlindung di dek belakang kapal sewa mereka yang berlabuh di teluk berhampiran ketika berlaku gempa bumi itu.

Ia mengakibatkan ombak yang mengakibatkan mereka menghentam sebuah bot lain, dan mengakibatkan kabin mereka terbakar.

"Kami buang keluar apa sahaja yang boleh terapung dan kami terjun ke laut dan bergayut padanya," kata Rick Hallet kepada stesen TV Australia - Nine Network.

"Mujurlah, ada benda yang dapat kami bergayut... dan kami dihanyutkan dan kemudiannya bergantung pada pokok tinggi yang kami temui dan duduk di situ selama satu setengah jam."

Ade Edward, pegawai agensi pengurusan bencana berkata, mayat-mayat ditemui di kampung-kampung di pesisiran pantai - terutama di pulau yang paling teruk dilanda gempa - Pagai - dan 167 orang lagi masih hilang.

Air di beberapa tempat mencecah mencapai paras atap, dan di Muntei Baru - sebuah desa di Silabu - 80 peratus rumah rosak.

Kira-kira 3,000 orang mencari perlindungan di kem-kem kecemasan hari ini, kata Edward. Manakala nasib krew beberapa buah kapal di Lautan Hindi, masih belum diketahui.

Gempa bumi itu juga menggegarkan bandar-bandar di sepanjang pantai barat Sumatera - termasuk Padang - yang dilanda gempa sekuat 7.6 tahun lalu, yang mengorban lebih 700 orang. Masjid-masjid pula membunyikan amaran tsunami melalui pembesar suara.

"Semua orang bergegas keluar rumah mereka," kata Sofyan Alawi, sambil menambah, jalan-jalan menuju ke bukit-bukit di sekitar kawasan itu sesak dengan ribuan kereta dan motosikal.

"Kami sering menoleh ke belakang untuk melihat sama ada gelombang datang," kata seorang lagi penduduk Ade Syahputra.

Blogfest.Asia: festival blogger antarabangsa

on Wednesday, September 15, 2010

Pulau Pinang akan menjadi tuan rumah kepada festival blogger antarabangsa, Blogfest.Asia di Universiti Terbuka Wawasan dari 1 hingga 3 Oktober ini.

Acara yang disasar untuk menyediakan platform bagi blogger Asia berkongsi pengalaman ”blogging” itu dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan dan kerajaan negeri Pulau Pinang.

Pengerusi jawatankuasa penganjur, Khor Khan Khai berkata, beliau menjangka lebih 300 blogger terkenal dari Kemboja, Singapura, Vietnam, Taiwan, Hong Kong, Jepun, Filipina, China dan Mongolia akan menghadiri acara itu.

"Kami harap acara ini akan memenuhi objektif pelaksanaannya dalam mewujudkan kesedaran mengenai peluang-peluang yang tiba bersama dengan media baru, di samping mencetuskan kesan kepada teknologi serta sosial untuk manfaat rantau ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, persidangan itu juga akan membolehkan blogger baru menimba ilmu daripada blogger-blogger lama dan juga pakar-pakar industri, yang akan berbincang mengenai pelbagai perkara dari kewartawanan dan media baru sehingga kepada soal teknologi dan perdagangan.

"Persidangan tiga hari yang turut dianjurkan oleh pertubuhan Dot.Asia yang berpengkalan di Hong Kong, Mybloggercon.com dan Universiti Terbuka Wawasan itu akan menampilkan pelbagai aktiviti daripada bengkel-bengkel, taklimat awam, perbincangan dan kem-kem aktiviti,” katanya.

Antara acara utama majlis itu, termasuk penyampaian anugerah Mybloggercon Awards 2010 dan Asia Blogger''s Choice Awards. Beliau berkata, majlis itu dijangka menarik kehadiran blogger terkenal seperti Danny Choo, yang juga anak kepada Datuk Jimmy Choo, dan blogger tempatan seperti Kenny Sia.
. – Bernama

Penyebar HIV Seksi, Nadja Benaissa

on Monday, August 23, 2010

Nadja Benaissa, ketua kumpulan band wanita terkenal di Jerman rupanya telah menyebarkan virus HIV. Hal itu berlaku kepada tiga orang lelaki selepas mereka meniduri Nadja Benaissa.

Akibatnya, Nadja dihadapkan ke mahkamah Darmstadt, Jerman. Menurut Nadja, dia mengaku masih melakukan hubungan seks dengan kesemua pasangannya itu walaupun dia mengetahui dirinya positif HIV. Perbuatannya itu merupakan satu kesalahan mengikut undang-undang Jerman. Jika disabitkan kesalahan, dia bakal berhadapan hukuman penjara di antara enam bulan hingga 10 tahun.
"Saya tidak sangka ia berlaku akibat kelalaian saya," ujar Nadja sewaktu dibicarakan atas dakwaan menyebarkan virus kurang daya tahan manusia (HIV) kepada tiga lelaki yang menidurinya.

Kes mahkamah Nadja, ibu kepada Laila Jamila, 11, bermula selepas bekas kekasihnya yang berusia 38 tahun membuat laporan polis. Akibatnya, Nadja ditahan semenjak April lalu. Polis menahan penyanyi seksi itu sejurus sebelum dia memulakan persembahan di sebuah kelab malam di Frankfurt.

Menurut pemuzik itu, dia kini menderita kerana menghidap HIV positif yang berjangkit melalui Nadja pada tahun 2004.

"Dia membunuh saya secara perlahan-lahan dengan perbuatannya itu," luah lelaki itu semasa disoal oleh peguam.

Meskipun mengetahui dirinya pembawa virus berbahaya itu semenjak tahun 1999, Nadja tidak memberitahu pasangannya.

Bagaimanapun, Nadja menafikan dia sengaja menyebarkan virus itu kepada orang lain termasuk dua lagi lelaki yang pernah menidurinya. Kata Nadja, dalam apa cara sekali pun, dia tidak mahu pasangannya dijangkiti. Sumber: Kosmo

Nadja turut memberitahu, dia baru menyedari caranya menangani penyakit itu selama ini adalah salah. Pada masa yang sama dia takut populariti No Angels akan jatuh merudum jika orang ramai mengetahui dirinya penghidap HIV.

"Doktor memberitahu saya bahawa risiko jangkitan secara teknikal adalah kosong," katanya dalam satu kenyataan yang dibacakan oleh peguamnya dalam prosiding tersebut.

Nadja didiagnosis HIV positif pada usia 17 tahun ketika menjalani pemeriksaan rutin selepas disahkan mengandung.

Menurut pendakwa raya bandar Darmstadt, Ger Neuber, Nadja mengadakan hubungan seks yang tidak selamat dengan tiga lelaki pada tahun 2004 dan 2006 walaupun dia mengetahui dirinya mempunyai virus pembunuh tersebut.

Pengajaran paling penting, kenali pasangan anda sebelum melakukan hubungan seks dan sebaik-baiknya lakukan dengan cara yang halal, melalui perkahwinan.

Miss Universe 2010 Mendapat Kecaman Akibat Gambar Bogel

on Tuesday, August 17, 2010


Kontroversi Miss Universe 2010 nampaknya agak 'panas' apabila pihak penganjur atau panitia Pertandingan Miss Universe 2010 menggalakkan finalisnya untuk bergambar bogel semasa sesi fotografi.  Berikut adalah berita berkenaan perkara itu.
Tindakan tersebut bukan saja menyebabkan pihak panitia dikritik serta dikecam dengan cukup hebat, malah mereka telah dituding kerana tidak lagi mementingkan konsep beauty with brains tetapi lebih ke arah menjual tubuh.

Kecaman paling hebat datangnya daripada salah seorang pengamat pertandingan ratu cantik itu, Angie Meyer.

"Apabila konsep berbogel dibawa ke dalam pertandingan ini, Miss Universe bukan lagi dilihat menitik-beratkan soal brains dan beauty. Tetapi, fokusnya lebih kepada tubuh," kata Meyer yang kerap bekerjasama dengan organisasi Miss Universe.

Meyer juga khuatir kalau-kalau pertandingan Miss Universe ini akan menjadi salah satu platform yang memudahkan finalisnya untuk menyertai majalah Playboy.

Disebabkan itu, Meyer beranggapan bahawa pihak panitia tidak seharusnya meminta para finalisnya untuk berfoto topless.

"Jika tidak, oranga kan berfikir bahawa cantik itu adalah fizikal yang sangat sempurna. Padahal pandangan itu sangat sekali dan ia boleh mendatangkan bahaya kepada generasi muda.

"Bukan setakat itu saja, dengan menggalakkan sejumlah finalis ini berfoto topless, pihak panitia Miss Universe akan membuat para peserta berada dalam situasi di mana mereka harus benar-benar berkompromosi dengan hal-hal seperti ini," katanya.

Untuk maklumat semua, pada awal Miss Universe 2010 dianjurkan, sejumlah finalis telah menjayakan sesi fotografi dalam keadaan separuh bogel. Sebelum foto mereka diambil, tubuh mereka telah dilukis terlebih dahulu.

Antara finalis Miss Universe 2010 yang telah bergambar separuh bogel adalah Miss USA, Miss Japan dan Miss Trinidad & Tobago. Foto separuh bogel itu kemudian telah diletakkan di dalam laman web itu Miss Universe sebagai sebahagian daripada foto rasmi para finalis.

Sumber: murai.com.my

Kisah si Pengemis Menjadi Kaya Gara=Gara Internet

on Tuesday, July 20, 2010

NINGBO - Seorang pengemis di China, Cheng Guorong menjadi kaya dan terkenal selepas gambarnya tersiar di Internet, lapor sebuah akhbar semalam.

Walaupun selekeh, berambut panjang dan berjanggut, lelaki tersebut memiliki wajah kacak yang menarik perhatian ramai peminat sejak gambarnya tersiar pada Januari lalu.

Guorong, 34, digelar pengemis paling seksi di China dan dia turut mengecapi status simbol seks di kalangan pengguna Internet.

Nasibnya berubah selepas gambarnya dirakamkan oleh seorang jurugambar amatur ketika dia berkeliaran di jalan raya di bandar ini untuk meminta makanan pada tahun lalu.

Tidak lagi menyelongkar tong sampah, Guorong kini menerima banyak tawaran iklan dan dia turut bekerja sebagai model peragaan.

Pakaiannya semasa dia menjadi pengemis turut menjadi ikon fesyen.

Para peminat lelaki tersebut turut menderma sebanyak 100,000 yuan (RM49,138) bagi membantunya memulakan hidup baru.

Dia juga ditawarkan berlakon dalam sebuah filem mengenai kisah hidupnya yang diterbitkan oleh penerbit filem tempatan, Deng Jiangguo dan menelan kos sekitar 72 juta yuan (RM34.3 juta).

Filem tersebut akan menjalani penggambaran pada September depan dan ia dijadualkan ditayangkan pada Februari 2011.

Guorong berpindah ke bandar di timur China ini pada 1996 untuk mencari kerja bagi menyara isteri dan dua anaknya tetapi malu untuk menghubungi mereka setelah dia hilang pekerjaan dan wang simpanannya habis.

Saudara-maranya menyangka dia mati sehingga mereka melihat imej-imejnya di Internet.

Guorong tidak dapat menahan kesedihan apabila mendapati bapa dan isterinya terbunuh dalam satu kemalangan kereta setelah dia kembali ke kampung halamannya untuk kali pertama dalam tempoh 14 tahun baru-baru ini. - Agensi

Payudara Terbesar di Dunia Terpaksa Dibuang

on Sunday, July 18, 2010

Inilah akibatnya jika tidak bersyukur dengan apa yang telah dimiliki. Tak cukup dengan saiz sedia ada, payudara kecil dibesarkan beberapa kali ganda. Akhirnya, dia kehilangan kedua-dua payudara terbesar di dunia itu.


LONDON: Seorang model yang memiliki payu dara paling besar di dunia berkata semalam, dia terpaksa membuang keseluruhan buah dada itu atau mati.

Model kelahiran Brazil yang berusia 30 tahun itu memberitahu akhbar The Sun: “Doktor memberitahu, peluang untuk menyelamatkan satu daripada buah dada saya ialah 80 peratus.

“Tetapi jika saya kehilangan sebelah, apa guna saya simpan sebelah lagi.

“Peluang untuk mengekalkan kedua-duanya ialah antara 10 atau 20 peratus.” Sheyla sebelum ini dilapor menjalani pembedahan semula di Amerika Syarikat selepas payu daranya dijangkiti kuman berikutan pembedahan di Brazil bulan lalu.

Model itu mahu payu daranya dibesarkan semula, pembedahan ke-10, selepas melahirkan anak tahun lalu.

Dia cuba melakukan pembedahan itu di Amerika Syarikat sebelum pulang ke Brazil tetapi doktor enggan membesarkan payu daranya lagi kerana undang-undang Amerika tidak membenarkan penggunaan satu gelen silikon atau lebih dalam implan.

Semalam Sheyla bertemu dengan doktor sekali lagi untuk mengetahui nasibnya. Kuman itu sudah meresap ke dalam saluran darahnya, menyebabkan dia sukar bernafas.

“Ia begitu sakit. Saya cuba mengawalnya dengan memakan ubat. Jangkitan itu seperti barah.

“Satu-satunya cara untuk menyelamatkan nyawa saya ialah dengan membuang tisu payu dara,” katanya.

Sheyla terlalu taksub dengan pembedahan plastik dan pernah menjalani proses menyedut lemak dan pembedahan untuk mencantikan hidung.

Payu daranya disahkan sebagai yang terbesar di dunia oleh Buku Rekod Brazil dan Buku Rekod Dunia Guinness. - Agensi

Sotong Paul Ramal Bakal Presiden Rusia

Nampaknya kerja Sotong Paul tidak terhenti selepas Piala Dunia 2010. Khidmat Paul masih digunakan lagi dan yang terkini, Paul meramal siapakah yang bakal menjadi Presiden Rusia pada pemilihan akan datang.

Berita itu adalah seperti yang didedahkan oleh sebuah akhbar ternama Rusia, Komsomolskaya Pravda semalam mendedahkan, sotong psikik sensasi Piala Dunia 2010, Paul telah pun ditugaskan untuk membuat ramalan siapakah bakal presiden baru negara itu baru-baru ini.

Namun, keputusan daripada hasil tilikan sotong itu yang dijalankan oleh pihak berkuasa Rusia secara rahsia di akuarium Sea Life di Oberhausen, Jerman diarah untuk tidak didedahkan kepada umum sehingga selesai Pilihan Raya Presiden pada 2012.

Akhbar itu melaporkan, Paul seperti dilakukan ketika memilih pemenang antara dua pasukan bertanding, turut diminta memilih antara dua bekas tertera nama calon iaitu Perdana Menteri, Vladimir Putin and Presiden Dmitry Medvedev.

Rakyat Rusia sehingga kini masih keliru dengan keadaan politik negara itu apabila Putin dan Medvedev dilihat sama-sama berkuasa sebelum dua pemimpin itu mengarahkan pilihan raya dibuat bagi menyelesaikan kemelut itu. - Agensi

Juara Piala Dunia 2010

on Monday, July 12, 2010

Juara Bola Sepak Piala Dunia 2010 Afrika Selatan (FIFA World Cup 2010) akhirnya menjadi milik Sepanyol (Spain) apabila berjaya mengalahkan Belanda di perlawanan akhir di Soccer City awal pagi tadi (waktu Malaysia) dengan gol 1-0, hasil jaringan Andrés Iniesta pada minit ke 116. Dengan kemenangan ini, Sepanyol telah menempatkan nama sebagai salah sebuah negara yang memenangi Piala Dunia FIFA.

Gambar: Pemain Sepanyol meraikan kejayaan menjulang trofi Piala Dunia 2010 FIFA mengalahkan Belanda di peringkat akhir di Stadium Soccer City, Johannesburg, awal pagi ini

Kisah Seram Aokigahara

on Sunday, July 11, 2010

Hutan purba jadi lokasi tumpuan penduduk Jepun membunuh diri

BAGI segelintir orang, hutan adalah tempat cukup menenangkan tetapi bagi sebahagian yang lain, ia boleh menjadi sesuatu yang menakutkan terutama apabila dikaitkan dengan tempat penginapan makhluk halus.

Bagi golongan kedua, sebuah hutan di Jepun, Aokigahara atau dirujuk juga sebagai Laut Pokok yang terletak di kaki Gunung Fuji perlu dielakkan kerana didakwa penduduk serta pelancong banyak berlaku fenomena luar biasa di kawasan berkenaan. 


Aokigahara adalah hutan purba yang dilaporkan berhantu berikutan banyak cerita dongeng tempatan berkaitan makhluk aneh, gergasi serta hantu di situ, sekali gus menambah perisa kepada reputasinya yang memang menakutkan.

Tanahnya berbatu dan sukar ditembusi peralatan seperti penyodok, manakala kira-kira satu kilometer ke dalam hutan berkenaan, boleh ditemui tulang manusia yang dipercayai berusia ratusan tahun berserakan yang menandakan kehadiran haiwan pemangsa.

Roh mereka yang mati dikatakan kerap ditemui golongan yang cukup berani meneroka ke dalam Aokigahara, namun kisah paling popular ialah mengenai besi magnetik bawah tanah di kawasan terbabit yang menyebabkan kompas tidak berfungsi dan pelancong tersesat dalam hutan.

Bagaimanapun, kisah itu nyata pembohongan besar kerana Tentera Jepun dan Tentera Amerika selalu mengadakan latihan di dalam hutan berkenaan dengan kompas digunakan mereka berfungsi baik, begitu juga dengan peralatan elektronik lain.

Aokigahara bukan saja popular dengan Gua Ais dan Gua Angin yang menjadi tarikan utama pelancong tetapi juga dikatakan tumpuan utama mereka yang mahu membunuh diri. Ia dilaporkan lokasi bunuh diri ketiga paling popular di dunia selepas Jambatan Gerbang Emas di San Francisco, Amerika Syarikat dan Bloor Street Viaduct di Toronto, Kanada.

Sejak 1950-an, lebih 500 orang menemui ajal di hutan berkenaan, kebanyakannya membunuh diri. Purata 30 kes bunuh diri dilaporkan di hutan itu setahun, malah pada 2002 sebanyak 78 mayat ditemui dalam hutan berkenaan, menggantikan rekod sebelumnya iaitu 73 pada 1998.

Kebanyakan yang membunuh diri adalah lelaki, mewakili lebih 71 peratus kes yang dilaporkan pada 2007. Jumlah kes membabitkan golongan berusia lebih 60 tahun juga tinggi tetapi mereka yang berusia lingkungan 30-an adalah kumpulan paling berkemungkinan mengambil tindakan itu, malah bunuh diri juga punca utama kematian penduduk berusia bawah 30 di Jepun.

Kadar bunuh diri yang tinggi mendorong pihak berkuasa menaikkan papan tanda, menggesa mereka yang mahu menamatkan riwayat di hutan itu supaya mendapatkan bantuan. Pihak berkuasa juga melakukan gerakan mencari di hutan itu setiap tahun sejak 1970, disertai polis, sukarelawan dan wartawan.

Bagaimanapun, semua kejadian itu tidak pernah mengganggu golongan yang sukakan cabaran untuk terus meneroka hutan penuh misteri terbabit. Kebanyakan pengunjung menandakan laluan mereka dengan meninggalkan plastik warna bagi mengelak tersesat, namun ada pula masalah kerana tindakan itu menimbulkan kebimbangan mengenai ekosistem hutan itu.

Misteri Aokigahara juga mendorong seorang pengarah, Takimoto Tomoyoki mengarahkan sebuah filem bertajuk Jyukai - Laut Pokok Di Belakang Gunung Fuji. Ia mengenai kisah empat orang yang memutuskan untuk membunuh diri dalam hutan berkenaan.

Ketika mencari tempat sesuai untuk penggambaran filemnya, pengarah itu memberitahu wartawan dia menemui dompet mengandungi wang tunai 370,000 yen (RM13,421), tambah merancakkan lagi khabar angin popular mengenai kehadiran haiwan pemangsa di hutan terbabit. (Sumber: Berita Harian)

Keputusan Piala Dunia: Jerman 3 Uruguay 2


PORT ELIZABETH: Jerman menewaskan Uruguay 3-2 pada perlawanan penentuan tempat ketiga Piala Dunia 2010 di Stadium Nelson Mandela Bay awal pagi tadi.

Jerman dan Uruguay masing-masing terikat pada kedudukan 2-2 sehingga minit ke 80.

Bagaimanapun hasil tandukan Sami Khedira pada minit ke-82 memastikan Jerman memenangi tempat ketiga Piala Dunia 2010.

Kemenangan tempat ketiga itu merupakan kali kedua berturut-turut bagi pasukan anak didik Joachim Loew.

Keputusan dan Statistik Perlawanan Argentina - Jerman

on Sunday, July 04, 2010

BERIKUT adalah statistik perlawanan di antara Argentina dan Jerman yang berlangsung, semalam.

(Keputusan perlawanan)

Argentina 0 - 4 Jerman

ARGENTINA: 22-Sergio Romero; 15-Nicolas Otamendi(J. Pastore,70), 2-Martin Demichelis, 4-Nicolas Burdisso, 6-Gabriel Heinze, 14-Javier Mascherano, 20-Maxi Rodriguez, 7-Angel Di Maria(S. Agüero,75), 10-Lionel Messi, 11-Carlos Tevez, 9-Gonzalo Higuain.

JERMAN: 1-Manuel Neuer; 16-Philipp Lahm, 3-Arne Friedrich, 17-Per Mertesacker, 20-Jerome Boateng(M. Jansen,72), 13-Thomas Mueller, 6-Sami Khedira, 7-Bastian Schweinsteiger, 10-Lukas Podolski, 8-Mesut Ozil, 11-Miroslav Klose.

Pengadil:Ravshan Irmatov (Uzbekistan)

Penonton:64,100

Butiran perlawanan:

Minit ke-3: Pemain tengah Jerman, T.Muller menjaringkan gol.

Minit ke-11: Pemain pertahanan Argentina, N.Otamendi dilayangkan kad kuning.

Minit ke-35: Muller dilayangkan kad kuning.

Minit ke-67: Penyerang Jerman, M.Klose meletakkan kedudukan 0-2.

Minit ke-74: Pemain pertahanan Jerman, Arne Friedrich meletakkan kedudukan 0-3.

Minit ke-80: Pemain tengah Argentina, J.Mascherano dilayangkan kad kuning.

Minit ke-89: Klose meletakkan kedudukan 0-4.

Statistik:

Sepakan tepat: 7 - 6

Sepakan tersasar: 8 - 8

Penguasaan bola (%): 54 - 46

Sepakan sudut: 5 - 4

Ofsaid: 6 - 0

Kesalahan: 19 - 10

Kad kuning: 2 - 1

Kad merah: 0 - 0

(Sumber: mStar online)

Gambar Jaringan England Yang Tidak Disahkan

on Monday, June 28, 2010

Inilah gambar jaringan pasukan England yang tidak disahkan pengadil semasa perlawanan German menentang England sebentar tadi. German mengalahkan England dengan jaringan 4-1



 
© Just Another Story All Rights Reserved