Kemahiran membaca merupakan salah satu daripada empat kemahiran bahasa yang penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran bahasa. Kemahiran membaca juga merupakan lanjutan daripada kemahiran-kemahiran asas seperti mendengar dan bertutur. Melalui pembacaan, seseorang itu mampu menimba ilmu pengetahuan yang tidak dapat diperoleh melalui pengalaman biasa yang lain.
Kemahiran kembaca boleh dibahagikan kepada empat jenis, iaitu mekanis, mentalis, intensif dan ekstensif. Bacaan mekanis adalah teknik membaca secara cepat. Mentalis digunakan untuk memahami isi kandungan bahan yang dibaca. Seterusnya bacaan secara intensif melibatkan pengkajian secara mendalam tentang teks yang dibaca. Manakala bacaan ekstensif pula merupakan bacaan meluas untuk mendapatkan maklumat tambahan tentang sesuatu perkara atau tajuk yang sedang dibaca.
Meskipun terdapat perbezaan konsep di antara keempat-empat jenis bacaan tersebut, namun apa yang pasti kesemuanya saling berhubung kait di antara satu sama lain. Membaca menurut fahaman psikolinguistik kognitif melibatkan banyak faktor, umpamanya faktor lambang bertulis, penglihatan, ingatan jangka pendek, bahasa dan tatabahasa, erti, pengetahuan dunia dan lain-lain (Kamarudin Hj. Husin, 1996: 3). Makna membaca menurut fahaman ini ialah satu proses psikolinguistik yang berlaku apabila seseorang pembaca membentuk semula dalam fikirannya makna yang ingin disampaikan oleh seorang penulis melalui lambang-lambang bertulis yang dibaca oleh pembaca tadi. Sama ada ia dilakukan secara mekanis, mentalis, intensif atau ekstensif, aktiviti membaca dilakukan adalah untuk mentafsir maksud dan memberi daripada tanda saran yang didapati pada lambang-lambang bertulis daripada teks yang dibaca.
Seterusnya, hubungan jenis-jenis membaca juga boleh dilihat daripada cara pembacaan dan tujuan membaca dilakukan. Di dalam kelas, murid akan melaksanakan aktiviti membaca kuat (mekanis) seperti yang selalu diarahkan oleh guru. Tujuannya adalah untuk mendengar kemahiran murid dalam penyebutan. Tetapi adakah bacaan secara kuat tidak boleh digunakan untuk memahami isi kandungan teks yang dibaca? Bagaimana pula dengan keadaan-keadaan tertentu, misalnya membaca kuat surat khabar kepada seseorang yang tidak dapat melihat? Adakah kita membaca itu untuk memperdengarkan intonasi kita kepada orang berkenaan? Ataupun, membaca untuk memberi kefahaman kepadanya tentang kandungan teks yang kita baca itu?
Persoalan-persoalan yang diperlihatkan di atas sebenarnya ingin memperjelaskan bahawa kita membaca kerana mempunyai sebab-sebab tertentu. Tidak kira kita membaca secara mekanis, mentalis atau sebagainya, namun kita membaca itu kerana kita mempunyai sebab-sebab tertentu. Jadi hubungan yang wujud di antara keempat-empat jenis bacaan itu adalah setiap satu daripadanya mempunyai tujuannya tersendiri.
Seterusnya, jika timbul pula persoalan sama cara bacaan mentalis mempunyai hubungan yang rapat dengan jenis-jenis bacaan yang lain atau sebaliknya, maka jawapannya adalah ya. Jawapan ini diberikan berdasarkan alasan-alasan berikut.
Dalam bacaan mentalis, aspek yang diberi penekanan adalah kefahaman tentang isi kandungan bahan atau teks yang dibaca. Ini mungkin nampak berbeza dengan bacaan mekanis yang lebih mengutamakan aspek tatabahasa terutamanya dari segi sebutan. Namun, perlu diingat, pemahaman membaca tidak harus dipisahkan daripada kemahiran yang lain.
Semasa membaca, kita dapat melihat beberapa hubungan yang rapat di antara bacaan mentalis dengan jenis bacaan yang lain. Contohnya melalui aktiviti:
1. Membaca dan bercakap;
Membaca sambil bercakap boleh dilakukan dengan cara kita membaca teks berkenaan secara kuat. Berdasarkan penerangan tentang konsep bacaan, membaca secara kuat merupakan salah satu ciri-ciri yang terdapat pada bacaan mekanis. Sekiranya aktiviti ini dilakukan, bermakna kita telahpun menghubungkaitkan bacaan mentalis dengan bacaan mekanis. Semasa sedang membaca juga, kita akan memberi penekanan terhadap aspek tatabahasa yang lain seperti penyebutan, intonasi, tekanan dan sebagainya kerana seperti yang telah dijelaskan sebelumnya, pemerhatian terhadap aspek ini sangat penting kerana setiap tanda-tanda atau lambang-lambang tulisan itu mempunyai makna tertentu yang ingin disampaikan oleh penulis. Dengan kata lain, untuk memahami isi kandungan teks yang dibaca, pembaca perlu memerhatikan tanda-tanda berkenaan dengan teliti. Jadi gabungan di antara bacaan kuat dan penelitian terhadap aspek tatabahasa dalam teks berkenaan merupakan ciri-ciri bacaan intensif.
2. Membaca sambil mendengar atau membaca sambil membaca;
Kadang kala, kita juga membaca sambil mendengar. Aktiviti ini mungkin dapat dilakukan dengan cara membandingkan teks yang dibaca dengan bahan berita yang didengar untuk memastikan kesahihan kandungan di antara keduanya. Bagitu juga dengan aktiviti membaca sambil merujuk. Kita membuat bacaan secara mentalis untuk mendapatkan kefahaman tentang teks yang dibaca, dalam masa yang sama pula, mungkin kita merujuk kepada kamus ayat untuk mendapatkan pemahaman khusus tentang sesuatu perkataan atau ayat yang tidak difahami. Akitiviti ini juga dikenali sebagai bacaan secara meluas (ekstensif).
Jadi berdasarkan kepada dua contoh yang diberikan di atas, kita dapat melihat bahawa bacaan mentalis selalunya tidak dapat dipisahkan dengan aktiviti bacaan yang lain (mekanis, intensif dan ekstensif). Maka dengan itu adalah jelas bahawa bacaan mentalis sememangnya mempunyai hubungan yang rapat dengan jenis bacaan yang lain.
{ 0 Respon... read them below or add one }
Post a Comment