Normalisasi merujuk kepada pendekatan yang berkait rapat dengan budaya. Dalam konteks pendidikan khas, proses normalisasi adalah bertujuan memberi hak kepada individu kurang upaya supaya mereka dapat menyesuaikan dan membiasakan diri dengan cara hidup normal orang lain dalam sesebuah masyarakat. Penyesuaian tersebut merangkumi tugasan-tugasan harian sama ada di rumah, sekolah mahupun persekitaran.
Falsafah Pendidikan Khas yang menjadi garis panduan pelaksanaan program pendidikan khas pula adalah:
“Pendidikan khas di Malaysia adalah suatu usaha beterusan untuk melahirkan insan yang berkemahiran, berhaluan, berupaya, beriman, berdikari, mampu merancang dan menguruskan kehidupan serta menyedari potensi diri sendiri sebagai seorang individu dan ahli masyarakat yang seimbang dan produktif selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.”
Jika difahami secara total, petikan falsafah di atas memperlihatkan secara jelas perkaitannya dengan proses normalisasi kanak-kanak pendidikan khas. Matlamat utama mendidik kanak-kanak dengan keperluan khas adalah memastikan mereka dapat mempelajari dan menguasai pengetahuan dan kemahiran yang membolehkan mereka merancang dan menguruskan kehidupan sendiri sama seperti individu normal yang lain.
Selain itu, tujuan normalisasi adalah untuk meningkatkan peluang-peluang penyesuaian yang sihat dalam masyarakat oleh individu yang kurang upaya. Faktor-faktor normalisasi banyak dipengaruhi dari ibu bapa, kurikulum sekolah dan juga masyarakat. Ibu bapa dan masyarakat mempunyai peranan yang penting di dalam membentuk dan mempengaruhi sikap dan kebiasaan diri kanak-kanak istimewa ini. Keperluan kanak-kanak khas berbeza daripada kanak kanak yang sebaya dengan mereka dalam beberapa aspek penting, malah mereka juga mempunyai perbezaan dalam pola perkembangan masing-masing. Kanak-kanak istimewa mengikuti kurikulum sekolah biasa yang diubahsuai untuk memenuhi keperluan-keperluan khas. Murid-murid cacat penglihatan belajar menulis dan membaca menggunakan tulisan Braille dan kemahiran-kemahiran asas pergerakan termasuklah kemahiran berjalan. mengurus diri dalam bilik air, tandas dan sebagainya.
Murid-murid cacat pendengaran pula belajar bahasa isyarat, bacaan bibir dan ejaan jari; murid-murid yang terencat akal memerlukan kurikulum yang mudah yang menekankan pembelajaran urutan dari bahan-bahan konkrit; murid-murid yang menghadapi masalah tingkah laku menerima pelajaran yang menegaskan tugasan terhadap modifikasi tingkah laku. Sementara itu, pentadbiran dan pengurusan pula melibatkan pelbagai aspek, termasuk latihan guru, perancangan yang teliti bagi perkembangan, penggunaan akreditasi yang efektif, penggunaan bahan yang praktikal dan kaedah yang sesuai di dalam bilik darjah dan kesedaran pentingnya motivasi. Kejayaan dalam pendidikan ini juga membawa kepada normalisasi bagi kanak-kanak dengan keperluan khas.
Sebagai rumusan kepada tafsiran, perkaitan dan tujuan normalisasi seperti yang dibincangkan dia atas, maka jelas sekali bahawa matlamat yang hendak dicapai dalam visi Falsafah Pendidikan Khas yang digunakkan oleh Kementerian Pendidikan, khususnya dalam pendidikan khas ialah menjurus ke arah menormalisasi kanak-kanak atau pelajar golongan berkeperluan khas.
{ 1 Respon... read them below or add one }
trima ksh utk artikel ni..
11/08/2010 9:56 PM
Post a Comment