Pendidikan dan pembinaan negara adalah berkait rapat antara satu sama lain. Tanpa pendidikan, proses pembinaan negara tidak akan tercapai. Sesebuah negara perlukan warganegara yang terdidik dalam semua aspek jasmani, emosi, rohani dan intelektual seperti yang termaktub dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Pernyataan di atas menggambarkan peranan utama yang diharap dapat dilaksanakan oleh sistem pendidikan formal di Malaysia dalam membina bangsa yang bersatu dan moden. Situasi ini juga menunjukkan betapa besarnya tanggungjawab yang perlu digalas oleh guru dalam mendidik anak bangsa menacapai matlamat negara. Namun, guru yang mempunyai tahap keprofesionalan yang tinggi perlu jelas akan amanah mereka yang sebenar iaitu melahirkan insan yang seimbang dari segi ilmu serta akhlak moral agar segala ilmu yang diperoleh dapat disalurkan kepada kebaikan demi kepentingan agama, bangsa dan negara.
Justeru, di sinilah pentingnya watak-watak murni untuk dibentuk dalam diri pelajar agar hasrat untuk mencapai produk yang berkualiti menjadi realiti. Ini semua hanya akan dapat dilakukan sekiranya warga pendidik dapat melaksanakan peranan mereka terutamanya dalam usaha memperkukuh perpaduan, membina identiti nasional dan semangat kebangsaan serta membangunkan sumber manusia bersesuaian dengan keperluan menghadapi globalisasi.a. Menekankan Nilai Murni Merentas Kurikulum
Bagi mencapai matlamat pembentukan negara bangsa, guru harus menjalankan tanggungjawabnya dalam menanamkan nilai-nilai murni yang merentasi kurikulum dan kokurikulum kerana nilai adalah ukur tara terhadap sesuatu benda, perkara, perbuatan dan amalan. Nilai juga melibatkan persepsi minda dan hati berasaskan sifat dan syarat tertentu yang serasi dan sejalan dengan fitrah. Baik pada ukuran nilai tidak sahaja pada pertimbangan akal dan rasional tetapi juga pada hati dan terlihat dalam amalan dan percakapan. Penerapan watak nilai murni kemanusiaan ini memandu manusia agar hidup bertatahkan adab agar pembinaan bangsa itu berada di tahap yang tinggi dari segi ilmu dan akhlaknya.
Dalam proses pendidikan ini, guru berperanan mendidik manusia supaya faham makna diri, makna Pencipta dan makna persekitaran dengan ilmu sebagai medium utama. Dalam pengajaran di sekolah, ilmu diolah menjadi kurikulum dan ia menjadi fokus dalam menyusun sukatan. Bagaimana penerapan nilai yang sewajarnya, bergantung kepada kebijaksanaan melaksanakan proses pedagogi dalam bilik darjah. Hal yang sama juga berkait dengan kegiatan ko kurikulum sama ada bentuknya sukan dan permainan, kesenian dan persatuan, ianya berkembang dalam batas nilai.
Dalam pendidikan perlu ada nilai-nilai teras yang sifatnya fundamental seperti amanah, jujur dan ikhlas, hormat-menghormati serta adil dan bijaksana. Nilai-nilai teras di samping nilai-nilai tambahan dan kembangan harus disuburkan secara kreatif dan bijaksana agar watak yang bersih sifatnya dapat digarap dalam jiwa pelajar. Dalam hal ini, guru atau pendidik merupakan fokus utama dalam penerapan nilai. Murid atau pelajar mengalami proses perpindahan ilmu, maklumat dan ketrampilan. Matlamat akhir pendidikan ialah berlakunya transformasi diri dan penitipan adab kepada diri pelajar. Pada diri guru harus ada sifat muallim, murabbi dan pelbagai sifat-sifat pendidik yang tinggi lain agar proses pendidikan ini dapat dilihat sebagi proses bina insan. Sifat-sifat ini hendaklah terlihat dalam proses pengajaran dan pembelajaran dan ianya boleh menyebabkan berlakunya transformasi diri. Pada diri pendidik ada contoh yang fitrah sifatnya dan seperti ibu bapa juga, guru berada di peringkat kedua menjadikan dirinya teladan dan sumber ikutan para pelajar.
b. Menyediakan Pendidikan Berkualiti
Matlamat pembentukan sebuah negara bangsa hanya dapat dicapai jika masyarakatnya mempunyai ketrampilan dalam pelbagai bidang. Ini termasuklah juga di bidang pendidikan. Justeru adalah menjadi peranan guru dalam menyediakan pendidikan berkualiti untuk semua. Pendekatan ini adalah bertepatan dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan di mana pendidikan berkualiti adalah untuk memastikan semua kanak-kanak mendapat pendidikan yang terbaik supaya mereka dapat memperkembangkan potensi mereka secara holistik dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Dalam erti kata yang lain pendidikan yang disediakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia adalah untuk menghasilkan seorang pelajar yang cemerlang dari segi ilmu pengetahuan, kemahiran dan sahsiah. Dengan hasrat agar apabila pelajar telah tamat pendidikannya dengan kecemerlangan ilmu pengetahuan khususnya dalam bidang sains, teknologi dan ICT; kemahiran tinggi seperti berupaya berkomunikasi dengan berkesan dalam pelbagai bahasa; dan sifat sahsiah yang positif maka mereka dapat menyumbang kepada kesejahteraan dan pembangunan dirinya, keluarga dan negara Malaysia.
Selain itu, Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai organisasi yang bertanggungjawab telah melaksanakan beberapa strategi yang dapat memantapkan Sistem Pendidikan Kebangsaan, antaranya ialah melicinkan tatacara pengurusan pendidikan dengan cara meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pengurusan pendidikan. Langkah ini diambil bagi memastikan organisasi berkenaan dapat meningkatkan mutu pendidikan keseluruhannya dengan menyediakan pendidikan yang menyeluruh, seimbang dan bersepadu. Aspek pengurusan ini memang banyak disentuh dalam Akta Pendidikan 1996, misalnya dalam Bab 11, Seksyen 53 berkenaan Suratcara pengelolaan bagi institusi pendidikan.
c. Membangun Sumber Manusia Melalui Aktiviti Ko-Kurikulum
Pembinaan watak melalui kegiatan ko kurikulum juga amat penting dalam mengembangkan lagi bakat dan minat para pelajar supaya ianya menjadi persiapan kepada pelajar dalam menghadapi realiti hidup dan cabaran yang mendatang. Disiplin dalam organisasi, adab dalam bersukan dan berseni menjadi aset yang penting kepada pelajar dalam membentuk jiwa kepimpinan dalam diri mereka. Hakikatnya, pembabitan pelajar dalam organisasi merupakan suatu jambatan kepada membina keperibadian, ketrampilan dan ciri kepimpinan yang akan mempengaruhi hala tuju kehidupan pelajar tersebut pada masa akan datang.
Watak-watak berkeperibadian yang tinggi serta kepimpinan berasaskan nilai inilah secara tidak langsung yang akan menghasilkan produk berkualiti untuk kemajuan negara pada masa akan datang untuk meneroka kemajuan dan perubahan yang sifatnya membangun bukan meruntuhkan. Inilah peranan utama guru yang mempunyai tahap profesianal yang tinggi dalam pembentukan watak insan kamil demi kepentingan pembentukan negara bangsa.
d. Memupuk Kefahaman Yang Jelas Terhadap Islam Hadhari
Fokus terakhir teras membina Negara Bangsa dalah meupuk kefahaman yang jelas terhadap Islam Hadhari. Strategi pelaksanaan fokus ini adalah “mempelbagai aktiviti untuk membimbing pelaksanaan pendekatan Islam Hadhari dalam pembentukan pemikiran dan kehidupan. Pendekatan Islam Hadhari memberi penekanan kepada 10 aspek kehidupan seharian umat Islam yang mengutamakan nilai-nilai murni, kasih sayang dan toleransi. Namun kefahaman Islam Hadhari masih belum diterima sepenuhnya oleh masyarakat di Malaysia. Peranan guru-guru di sekolah adalah perlu bagi memupuk kefahaman tentang Islam Hadhari kepada murid-murid supaya Islam Hadhari tidak disalah tafsirkan oleh murid dan masyarakat umum.
Pelbagai aktiviti seperti seminar, ceramah dan kursus berkaitan Islam Hadhari telah diadakan sepanjang tahun 2007 kepada guru-guru sekolah rendah dan menengah bagi memupuk kefahaman yang jelas terhadap Islam Hadhari. Oleh demikian, setiap guru perlu menerapkan kefahaman Islam Hadhari Merentas Kurikulum melalui pengajaran dan pembelajaran kepada murid dan ianya tidak diajar sebagai mata pelajaran tersendiri. Oleh sebab itu, KPM telah membekalkan buku panduan pengajaran dan pembelajaran Islam Hadhari untuk murid Tingkatan 1 hingga 5 kepada semua guru. Bagi meningkatkan kefahaman mengenai Islam Hadhari kepada pemimpin sekolah dan guru-guru, KPM juga telah memperbanyakkan bahan bacaan mengenai Islam Hadhari seperti menerbitkan dan mengedarkan ke sekolah-sekolah Buku Perancangan Strategik Lima Tahun Pendekatan Islam Hadhari, Buku Panduan KBSR/KBSM berasaskan Islam Hadhari serta risalah-risalah mengenai Islam Hadhari. Harapan KPM supaya kefahaman serta penerimaan warga guru sendiri terhadap Islam Hadhari dapat ditingkatkan dan prinsip-prinsip Islam Hadhari dapat diamalkan dalam kehidupan masyarakat Malaysia.
{ 6 Respon... read them below or add one }
terima kasih en.kulanz salleh.. ^^
5/18/2011 3:35 PM
Salam Kenal. Setuju dan sepakat, Tetap semangat dalam bertugas
10/05/2011 12:49 AM
tq:-)
10/10/2011 12:14 PM
terima kasih :)
2/08/2012 12:05 AM
Terima kasih atas info yang diberi
4/11/2012 6:13 PM
Tq
2/19/2019 9:55 PM
Post a Comment