Berita baik kepada graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan yang sebelum ini ditempatkan di sekolah secara sementara sebagai guru Interim. Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, telahpun membuat penyataan rasmi yang guru interim ini akan mendapat lantikan sebagai guru siswazah dan bakal ditempatkan di sekolah-sekolah seluruh negara.
Berikut adalah berita tersebut:
Seramai 5,500 graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan termasuk 4,500 lepasan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang berjaya pada temuduga antara Januari hingga Mac lalu akan ditempatkan di sekolah seluruh negara, mulai bulan ini.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata surat tawaran penempatan kepada semua graduan berkenaan yang sebelum ini dilantik sebagai guru interim (guru sementara) itu sedang diagihkan.
“Daripada kira-kira 5,500 calon yang ditemuduga Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP), hanya 62 calon gagal namun mereka kini dalam proses rayuan selepas wakil mereka bertemu saya kelmarin.
“Saya harap, semua guru yang berjaya dan sudah menerima surat tawaran penempatan itu menerima jawatan mereka dengan semangat tinggi untuk mendidik anak bangsa.
“Jika boleh tidak perlulah membuat rayuan untuk mendapatkan sekolah berhampiran rumah... jika dapat mengajar di Sarawak atau Sabah, terimalah dengan berlapang dada, demi mendidik anak bangsa,” katanya.
Sementara itu, Puad ketika ditanya sama ada pihaknya ada menerima permohonan pertukaran sekolah daripada guru yang sudah menerima surat tawaran penempatan itu berkata, buat masa ini tiada lagi permohonan sedemikian.
“Mungkin semua guru ini mempunyai semangat berkobar-kobar dan tidak kisah bertugas di mana saja mereka ditempatkan dan itulah yang kita harapkan daripada mereka,” katanya. (Sumber: Berita Harian)
{ 0 Respon... read them below or add one }
Post a Comment