Skim Latihan Khas Bagi Siswazah Menganggur

on Saturday, July 17, 2010

Kerajaan hari ini melancarkan satu skim latihan khas bagi melengkapi para siswazah yang baru menamatkan pengajian dan yang masih menganggur dengan kemahiran yang diperlukan oleh industri sejajar dengan matlamat Model Baru Ekonomi (MBE) untuk menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam, berkata melalui skim dikenali sebagai Program Kebolehpekerjaan Siswazah (PKS) itu, siswazah bukan sahaja berpeluang meningkatkan peluang masing-masing bagi mendapatkan pekerjaan, tetapi juga menjadi lebih inovatif dan kreatif, sejajar dengan matlamat MBE.

Katanya RM10.5 juta telah diperuntukkan bagi menjayakan skim itu, yang akan dikendalikan oleh Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) di bawah kementerian berkenaan. 

“Matlamat PKS ialah untuk meningkatkan kemahiran dan kecekapan siswazah bagi menjadikan mereka lebih bersedia untuk memasuki pasaran kerja yang menawarkan gaji lebih tinggi, di samping membantu siswazah yang kurang bernasib baik dalam mendapatkan pekerjaan kerana ketiadaan kemahiran," katanya ketika melancarkan skim itu di sini.

Ketika memperkenalkan MBE Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata MBE akan menjadikan Malaysia lebih berdaya saing di peringkat serantau dan global melalui faedah yang dibawanya kepada semua rakyat Malaysia apabila pendapatan per kapita mereka meningkat daripada AS7,000 sekarang kepada AS$15,000 menjelang akhir dekad ini.

Najib berkata kewujudan negara berpendapatan tinggi bermakna seluruh bidang ekonomi akan menawarkan upah lebih tinggi kerana pertumbuhan yang dicapai bukan sahaja berpunca daripada modal, tetapi juga daripada peningkatan produktiviti melalui penggunaan kemahiran dan inovasi, penyelarasan lebih baik, penjenamaan lebih kukuh dan pematuhan standard antarabangsa dan hak-hak harta intelek.

Dr Subramaniam, yang juga Ahli Parlimen Segamat, berkata PKS akan membina, membantu dan melengkapkan siswazah menganggur dengan kemahiran utama dalam bidang ICT; kecekapan; kemahiran yang boleh dipindahkan termasuk dalam bidang komunikasi, pemikiran analatikal dan penyelesaian masalah; pengalaman bekerja yang relevan; penerokaan laluan baru bagi kerjaya masing-masing; dan penempatan pekerjaan.
Katanya mereka yang menjadi kumpulan sasaran skim itu ialah pemegang diploma dan ijazah yang menganggur sekurang-kurangnya tiga bulan setelah tamat pengajian.

“Kami akan pilih kumpulan pertama seramai 1,000 siswazah bagi program ini dan mereka akan menjalani latihan antara lima dan enam bulan," katanya.

Beliau berkata latihan itu mempunyai tiga komponen - latihan di dalam kelas, secara sangkutan dan penempatan pekerjaan.

“Komponen bekerja secara sangkut mendedahkan mereka kepada persekitaran sebenar alam pekerjaan dan dengan adanya pengalaman melalui bekerja ini, pelatih akan dapat mempraktikkan perkara yang telah mereka pelajari semasa dalam kelas di tempat mereka membuat latihan secara sangkutan nanti,'' katanya.

Dr Subramaniam berkata selain menanggung yuran kursus, kerajaan juga akan memberi elaun bulanan RM500 kepada siswazah terbabit sepanjang tempoh latihan mereka.

Katanya pelatih akan mendapat pekerjaan sebaik saja tamat mengikuti latihan itu.

Beliau berkata siswazah yang berminat menyertai skim itu boleh memuatkan turun borang permohonan dengan melayari laman web www.hrdf.com.my atau menghantar permohonan masing-masing kepadaa PSMB. - BERNAMA
Ranking: 5

{ 0 Respon... read them below or add one }

Post a Comment

 
© Just Another Story All Rights Reserved