SHAH ALAM: Seminggu selepas kejadian seorang remaja, Aminulrasyid Amzah, 15, mati terkena tembakan polis, rakannya semalam tampil membuat penjelasan dan menceritakan detik cemas yang dilalui sebelum Allahyarham terbunuh.
Muhamad Azamuddin Omar, 15, yang menaiki Proton Iswara dipandu Allahyarham pada hari kejadian awal pagi, 26 April lalu, menjelaskan peristiwa itu bermula selepas kereta Aminulrasyid bergesel dengan sebuah kereta berhampiran restoran di Seksyen 7 di sini ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Seksyen 11.
AZAMUDDIN menunjukkan kesan luka yang dialami pada malam kejadian Aminulrasyid terkena tembakan polis pada sidang media di Seksyen 11, Shah Alam, Selangor, semalam.
Berikutan kejadian itu, katanya, beberapa penunggang motosikal mengejar mereka menyebabkan Aminulrasyid terpaksa memecut kerana ketakutan. Muhamad Azamuddin berkata, Aminulrasyid juga tidak mahu terbabit dengan sebarang masalah kerana Allahyarham memandu kereta kakaknya tanpa kebenaran dan mahu pulang terus ke rumah.
"Saya tidak menyangka Aminulrasyid boleh memandu kereta sehingga dia menjemput saya untuk keluar minum di sebuah restoran berhampiran rumah kami, kira-kira jam 12 malam itu.
"Kami kemudian ke Seksyen 7 untuk membantu seorang rakan yang motosikalnya rosak," katanya pada sidang media di rumah keluarga Aminulrasyid di sini.
Pelajar itu bagaimanapun hanya menjawab beberapa soalan sebelum beredar dengan diiringi beberapa lelaki dan seorang wanita dikenali, Monaliza Mokhtar, yang mendakwa wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebuah sekolah.
Muhamad Azamuddin berkata, kumpulan penunggang itu mengejar mereka sehingga di Bulatan Kayangan, Seksyen 12, apabila sebuah motosikal terlanggar belakang kereta berkenaan sebelum penunggangnya terjatuh. Katanya, Aminulrasyid bagaimanapun terus memecut kerana takut dan apabila sampai di Kompleks PKNS, kereta dipandu Allahyarham memotong sebuah kereta peronda polis yang kemudian bertindak mengejar mereka. Tambahnya lagi, walaupun diarah berhenti, Aminulrasyid terus memecut dan setiba di simpang berhampiran sebuah stesen minyak di Seksyen 11, dia terdengar bunyi tembakan sebelum menyedari tayar kereta itu pancit.
Katanya, polis kemudian melepaskan satu lagi tembakan yang mengenai belakang kepala Aminulrasyid selepas Allahyarham masih enggan memberhentikan keretanya.
“Tubuhnya terus rebah di riba saya, manakala kereta terus bergerak kerana kaki Aminulrasyid masih menekan pedal minyak sehingga ia terbabas dan melanggar tembok sebuah rumah,” katanya.
Muhamad Azamuddin mendakwa, sebaik kereta itu berhenti, dia keluar dari kenderaan untuk menyerah diri tetapi diterajang serta dibelasah oleh lebih lima anggota polis, selain diacu dengan senjata.
“Saya bagaimanapun dapat lari dengan melalui sebuah sekolah berhampiran untuk pulang ke rumah,” katanya yang turut menunjukkan kesan kecederaan yang dialaminya di tangan kanan dan beberapa bahagian tubuh lain.
Muhamad Azamuddin berkata, laporan polis mengenai kejadian itu hanya dibuatnya pada malam hari kejadian.
"Petang itu, saya melihat berita di televisyen melaporkan saya dan Aminulrasyid adalah suspek yang terbabit dengan kes samun. Saya rasa tidak puas hati kerana laporan itu tidak benar. Oleh itu, saya membuat laporan polis untuk menjelaskannya," katanya
Dipetik dan diubahsuai daripada: Berita Harian Online - Rafidah Mat Ruzki dan Nor Azizah Mokhtar
Dipetik dan diubahsuai daripada: Berita Harian Online - Rafidah Mat Ruzki dan Nor Azizah Mokhtar
{ 1 Respon... read them below or add one }
harap kisah yang sebenar dapat diketahui nanti ...
keadilan untuk semua :)
5/04/2010 5:07 PM
Post a Comment