KUALA LUMPUR: Curiga dengan keadaan jiran yang sudah dua hari tidak keluar rumah, seorang wanita berusia 50 bertindak masuk ke dalam rumah jirannya dan mendapati wanita berusia 49 tahun itu terbaring dalam keadaan bogel di ruang tamu dan keadaan rumah berselerak.
Mangsa, M Tamilselvi, ditemui kira-kira jam 11.30 pagi dengan patah tengkuk dipercayai dipukul dengan objek keras di rumahnya di Taman Ikan Emas di Cheras.
Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Supt Abdul Rahim Hamzah Othman, berkata terdapat kesan tompokan darah di pintu masuk dan kerusi, dipercayai bukan darah mangsa kerana tiada kesan luka di badan mangsa.
"Suspek mungkin mengenali mangsa kerana tiada kesan pecah masuk dan barangan berharga milik mangsa juga tidak hilang," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.
Beliau berkata, mangsa dipercayai telah meninggal dunia dua hari lalu, iaitu kali terakhir mangsa dilihat jiran.
Katanya, tiada sebarang senjata ditemui dalam rumah mangsa yang tinggal berseorangan.
Abdul Rahim berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk bedah siasat. - Bernama
{ 0 Respon... read them below or add one }
Post a Comment