Sebenarnya sudah banyak kali kes seperti ini dibongkar oleh pihak berkuasa, namun masih ada segelintir yang tidak serik dengan perbuatan seperti itu. Kali ni, kes
wanita tukang urut warga asing dihantar depan rumah untuk menyediakan perkhidmatan seks. Berikut adalah berita yang dipetik daripada Berita Harian Online.
Kuala Lumpur - Berselindung di sebalik nama pusat spa dan kesihatan, satu sindiket dikesan menawarkan perkhidmatan penghantaran gadis tukang urut sampai depan pintu rumah kepada pelanggan dipercayai untuk tujuan pelacuran.
Difahamkan, perkhidmatan itu bagaimanapun terpulang atas permintaan pelanggan yang inginkan pakej urut dan seks tetapi tidak mahu mengunjungi spa terbabit untuk mengelak diserbu pihak berkuasa.
Malah, sindiket terbabit hanya mengenakan bayaran antara RM148 hingga RM228 mengikut pakej dikehendaki pelanggan.
Difahamkan, pelanggan yang ingin melanggan gadis terbabit akan berurusan dengan seorang ejen yang menjadi orang tengah sebelum menghantar gadis berkenaan kepada pelanggan mereka berdasarkan lokasi ditentukan.
Bagaimanapun, taktik itu terbongkar selepas sepasukan anggota dari Cawangan Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontingen Kuala Lumpur (IPPKL) menyerbu pusat spa terbabit di bangunan Wisma MPL di Jalan Raja Chulan di sini, malam kelmarin.
Dalam serbuan jam 11 malam itu, polis menahan 12 wanita warga asing dari China, Indonesia dan Thailand berusia antara 21 hingga 37 tahun, selain seorang lelaki berusia 30-an dipercayai penjaga spa terbabit hasil maklumat awam dan risikan.
Pegawai Turus D7 Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Razali Abu Samah yang mengetuai operasi itu, berkata ketika serbuan dilakukan, semua gadis warga asing itu cuba melarikan diri dengan bersembunyi di sebuah bilik stor kira-kira 30 meter dari pusat spa berkenaan.
“Polis terpaksa mengejar mereka dan hasil kecekapan anggota, berjaya memberkas semua gadis itu. Mereka yang ditahan terdiri daripada lapan gadis warga Indonesia, dua warga Thailand dan dua lagi warga China. “Turut ditahan ialah seorang lelaki tempatan dipercayai ‘penjaga’ gadis terbabit,” katanya kepada pemberita di sini.
Katanya, siasatan awal mendapati semua gadis itu menyalah guna pas lawatan sosial mereka dengan bekerja sebagai tukang urut.
“Berdasarkan pemerhatian ke atas pasport gadis berkenaan, mereka beberapa kali memasuki negara ini dan ada antara mereka datang ke negara ini lebih daripada enam kali. “Kita (polis) percaya mereka datang ke sini untuk bekerja selain menawarkan khidmat seks kepada pelanggan,” katanya.
Beliau berkata, semua gadis itu ditahan untuk membantu siasatan mengikut Peraturan 11(7) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, manakala lelaki terbabit disiasat mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen 1963.
“Saya mohon kerjasama orang ramai mempunyai sebarang maklumat berhubung perkara ini supaya melaporkannya kepada polis. Polis juga akan meneruskan operasi sebegini untuk membanteras gejala maksiat dan kegiatan pelacuran,” katanya. (Berita dan Gambar: Berita Harian Online)
{ 0 Respon... read them below or add one }
Post a Comment