Sekolah pendidikan khas khusus untuk pelajar-pelajar istemewa kurang menghadapi masalah dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran kerana sekolah ini biasanya dilengkapi dengan kemudahan khusus bagi memenuhi keperluan pelajar tersebut. Namun begitu, di sekolah-sekolah biasa, kemudahan-kemudahan tersebut agak berkurangan dan ini agak menyukarkan guru-guru melaksanakan program berkenaan. Meskipun begitu, beberapa langkah alternatif boleh diambil oleh guru-guru atau pihak pentadbir di sekolah berkenaan misalnya, memanipulasi sumber-sumber pengajaran dan pembelajaran sedia ada, persekitaran fizikal dan persekitaran sosial di sekolah. Berikut adalah beberapa sumber yang boleh dimanipulasikan.
1. Alat Bantuan Pendengaran dan Sokongan Pembelajaran.
Alat bantu pendengaran adalah alat teknologi amplikasi bunyi seperti alat bantu pendengaran binaural, unit sistem FM dan alat acoustically tuned ear untuk mengesan bunyi dan menguatkan bunyi. Alat bantu pendengaran ini dapat membantu pelajar bermasalah pendengaran dalam proses pembelajaran dan pengajaran mereka di sekolah. Teknologi alat bantu dengar yang lebih baik ialah alat bantu dengar transposisi frekuensi dan koklea implan membolehkan majoriti diri kanak-kanak bermasalah pendengaran mencapai potensi pendengaran yang mencukupi untuk belajar mendengar dan seterusnya mempelajari bahasa pertuturan. Bagaimanapun, peralatan ini mungkin agak sukar disediakan memandangkan kos peralatan tersebut yang terlalu mahal.
Sebagai alternatif, guru boleh menggunakan peralatan teknologi sedia ada di sekolah seperti televisyen, komputer dan alat pemain cakera padat/radio kaset. Misalnya, guru menyediakan bahan-bahan pembelajaran dalam bentul visual menggunakan televisyen dan komputer bagi pelajar yang mengalami masalah pendengaran teruk. Cara ini akan membolehkan mereka mempelajari sesuatu perkara dalam bentuk visual. Manakala bagi pelajar-pelajar yang hanya mengalami kekurangan pendengaran (masih boleh mendengar tetapi kurang jelas), peralatan seperti pembesar suara (microphone) dan alat pendengar di telinga (headphone)pula boleh digunakan.
Penggunaan komputer atau televisyen membolehkan guru menyediakan bahan-bahan pembelajaran dalam bentuk visual.
Keadaan pada waktu-waktu kecemasan juga memerlukan pelajar-pelajar cacat pendengaran mengambil perhatian sewajarnya untuk menyelamatkan diri. Manipulasi seperti kelipan lampu merah dalam sesebuah bilik umpamanya menandakan suatu kecemasan telah berlaku. Pemasangan alat seperti ini adalah penting kerana pelajar bermasalah pendengaran hanya akan berpandukan kepada kelipan lampu merah tersebut.
Oleh sebab kanak-Kanak masalah pendengaran kekurangan satu deria penting, maka guru-guru memilih media yang sesuai dengan menekankan kepada deria penglihatan sentuh dengan menyediakan bahan-bahan maujud supaya dapat dilihat dan dirasai oleh kanak-kanak tersebut. Antara bahan sokongan yang digunakan khusus untuk proses pengajaran dan pembelajaran yang dapat disediakan oleh guru adalah seperti carta, foto, OHP (ABM bagi deria penglihatan) dan model dan spesimen biologi (ABM bagi deria sentuh).
2. Penempatan dalam Pendidikan
Menurut Kementerian Pendidikan (1997), bagi murid-murid yang mengalami masalah pendengaran, mereka ditempatkan di sekolah khas. Melalui program ini, pelajar diajar menggunakan bahasa isyarat dan menggunakan alat bantuan pendengaran bagi mereka yang berupaya menggunakannya. Sistem persekolahan biasa terdiri daripada 6 tahun sekolah rendah, 5 tahun sekolah menengah dan 2 tahun untuk pra universiti (Chua Tee Tee dalam Safani 1993). Murid-murid cacat pendengaran dibenarkan memasuki sekolah 2 tahun lebih awal di peringkat sekolah rendah. Bilangan pelajar cacat pendengaran dalam sebuah bilik darjah adalah di antara 6-12 orang.
3. Kemudahan Pusat Sumber Sekolah.
Berprinsipkan hak guna sama, pelajar kurang daya pendengaran yang belajar dalam program integrasi, atau inklusif, mereka sama-sama menggunakan kemudahan yang disediakan seperti pusat sumber dan juga pusat akses kendirii atau apa sahaja kemudahan lain yang terdapat dalam satu-satu pusat sumber sekolah. Oleh kerana Kanak-kanak atau pelajar kurang daya pendengaran ini boleh melihat, menulis dan membaca seperti pelajar normal, maka mereka bebas menggunakan bahan-bahan rujukan, kemudahan IT sebagai membantu mereka memperolehi ilmu sebanyak mungkin sama seperti pelajar biasa.
4. Program Pendidikan Percantuman ataupun Integrasi
Melalui program ini, diharapkan pelajar bermasalah pendengaran akan dapat bergaul dengan pelajar biasa dan tidak rasa terpinggir. Pendidikan secara percantuman ini bukanlah satu perkara yang baru. Kesedaran bahawa golongan berkeperluan khas adalah sebahagian daripada masyarakat dan mempunyai hak yang sama dalam menikmati kemudahan yang sedia ada, maka program-program pendidikan percantuman, integrasi dan inklusif telah banyak diwujudkan di serata negara. Elemen penting dalam program-program tersebut adalah antara kesungguhan dan usaha untuk membantu bukan sahaja kanak-kanak khas untuk menyesuaikan diri dengan pelajar normal, malahan mendidik dan memberi kesedaran kepada pelajar normal dalam memahami bahawa kanak-kanak berkeperluan khas mempunyai hak yang sama rata dalam semua aspek kehidupan mereka.
5. Padang Permainan dan Aktiviti Luar sekolah.
Padang sekolah juga memainkan peranan penting dalam proses normalisasi pelajar cacat pendengaran. Interaksi mereka dengan pelajar biasa semasa sama-sama melakukan aktiviti riadah atau dalam proses pengajaran dan pembelajaran pendidika jasmani, dapat meningkatkan tahap sosialisasi pelajar kurang daya pendengaran ini.
Tanpa mengasingkan mereka dalam melakukan sebarang aktiviti luar seperti aktiviti-aktiviti kokurikulum, akan dapat meningkatkan keyakinan dan kepercayaan bahawa mereka juga mempunyai potensi dan bakat yang setaraf dengan pelajar normal. Di samping itu, mereka sebagaimana pelajar normal akan dapat memberi sumbangan dan peranan dalam menigkatkan prestasi sekolah khususnya dalam bidang sukan dan permainan. Pengiktirafan kejayaan mereka dalam satu-satu bidang termasuk aktiviti kokurikulum juga membolehkan mereka rasa dihargai, diterima serta selesa hidup bersama masyarakat normal amnya dan bersama pelajar biasa khasnya.
{ 0 Respon... read them below or add one }
Post a Comment