Drama Siti Kelembai yang disiarkan di slot Lagenda TV3 akan digantikan dengan drama terbaru berjudul Ulek Mayang. Ulek Mayang yang diadaptasikan daripada mitos Ulek Mayang bakal menemui penonton mulai 25 Oktober ini, setiap hari Isnin hingga Khamis pukul 4.30 petang. Yang menariknya Ulek Mayang akan memaparkan tarian Ulek Mayang yang dipersembahkan oleh aktres dan penyanyi Elly Mazlein.
Drama Ulek Mayang yang dihasilkan sebanyak 20 episod itu arahan Rashid Sibir dan membariskan pelakon-pelakon handalan seperti Fezrul Khan, Elly Mazlein, Seniwati Mariani Ismail, Fizo Omar dan Sabrina Ali.
Sinopsis: “Ulek Mayang mengisahkan Ali (Fezrul Khan), seorang nelayan yang sering diganggu dengan bayangan Puteri di persisiran pantai. Namun, Ali hanya mendengar suara gurau senda tetapi tidak pernah melihat wajah si Puteri itu.
Semakin hari bayangan Puteri itu semakin menghantui hidup Ali. Ali sentiasa pergi ke pantai untuk mencari Puteri. Malah, dia dapat merasa kehadiran Puteri dalam mimpinya kerana bilik tidurnya akan dipenuhi dengan bau wangian. Ibu Ali, Mariam (Mariani Ismail) semakin risau melihat keadaan Ali yang menjadi seperti sasau dan angau.
Sebenarnya, Ali telah bertembung dengan Puteri Mayang Sari (Elly Mazlein). Suatu hari, Ali telah menyeru nama Puteri Mayang Sari supaya dapat berjumpa. Pada kali pertama mereka bertentang mata, Ali dan Puteri Mayang Sari telah jatuh hati.
Puteri Mayang Mengurai (Sabrina Ali) yang juga menyimpan perasaan terhadap Ali telah memukau mata orang sekelilingnya supaya melihat Sari sebagai hantu yang berwajah hitam dan menakutkan.
Percintaan Ali dengan Sari ditentang keras oleh Mariam kerana Sari dianggap sebagai hantu yang akan membawa mudarat kepada anaknya. Setelah Ali sesat dalam alam Puteri Mayang Sari, Mariam mendapat khidmat bomoh untuk mengadakan upacara pemujaan Ulek Mayang. Keadaan menjadi tidak terkawal apabila Mayang Sari mengamuk semasa upacara tersebut diadakan. Apakah yang akan terjadi selepas ini?
Sumber: Gua.com.my dan mStar online
{ 0 Respon... read them below or add one }
Post a Comment