Institusi Kekeluargaan Masih Rapuh

on Monday, March 08, 2010

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak berkata, kejadian penderaan kanak-kanak yang terus berlaku menunjukkan institusi kekeluargaan di kalangan masyarakat negara ini masih rapuh.

Perdana Menteri sedih apabila melihat laporan media massa mengenai cerita menyayat hati kes penderaan kanak-kanak sehingga ada yang meninggal dunia.

NAJIB ditemubual empat kanak-kanak untuk siaran televisyen pada sambutan Hari Penyiaran Kanak-Kanak Antarabangsa (ICDB) di Sri Satria, Putrajaya, semalam.


"Kita sedih melihat kanak-kanak tidak berdosa didera sampai meninggal dunia.

"Ini bermakna dalam masyarakat, institusi kekeluargaan masih rapuh dan masih tiada rasa sayang kepada anak kandung," katanya pada sambutan Hari Penyiaran Kanak-Kanak Antarabangsa (ICDB) anjuran Media Prima Berhad (Media Prima) dan Tabung Kanak-Kanak Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef), di kediaman rasminya, Sri Satria, di sini.

Program berkenaan disiarkan oleh TV3 malam tadi.

Turut hadir, Pengerusi Media Prima, Datuk Johan Jaaffar dan Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima, Datuk Ahmad A Talib.

Najib berkata, nilai murni perlu dipupuk ketika negara semakin maju dan membangun supaya wujud masyarakat yang seimbang.

"Dalam pembangunan, jangan kita hanya lihat kepada bangunan tinggi, jalan raya dan lapangan terbang saja, sebaliknya nilai murni harus diteguhkan supaya ada masyarakat yang seimbang kerana negara maju perlu ada nilai keseimbangan," katanya.

Pada masa sama, Najib mahu kanak-kanak negara ini diberi perspektif yang luas selaras fenomena globalisasi masa kini kerana manusia berada dalam perlumbaan.

"Kita perlu ada perspektif yang luas (dengan) melihat kepada negara dan bangsa lain, tetapi pupuk nilai baik antara satu sama lain bermula daripada dalam negara kita," katanya.

Najib juga berkata, kerajaan menghormati hak kanak-kanak di negara ini dengan berusaha menyediakan pelbagai kemudahan, terutama dalam bidang pendidikan untuk mereka.

Malah, beliau berkata, zaman kanak-kanak adalah waktu yang baik untuk memupuk semangat perpaduan selaras konsep 1Malaysia.

Pada majlis itu, Najib turut ditemubual empat kanak-kanak, iaitu Nicholas Tan Hao Yu, 8; Muhammad Arief Nussenie Aman Shah, 10; Natasha Franco Rende, 10; dan M Thivahshini, 11; dari Sekolah Sri Cempaka Damansara untuk siaran televisyen.

Setiap seorang bertanyakan satu soalan kepada Najib mengenai pelbagai isu seperti Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Copenhagen, Denmark pada Disember lalu, program Permata Negara dan hak kanak-kanak. 

Sumber: Berita Harian
Ranking: 5

{ 0 Respon... read them below or add one }

Post a Comment

 
© Just Another Story All Rights Reserved