Kanak-kanak yang menghadapi masalah tingkahlaku tidak boleh menyesuaikan dirinya dengan kelakuan-kelakuan yang diterima oleh masyarakat dan selalunya keadaan ini menjejaskan keadaan pelajarannya, keupayaan untuk belajar dan perhubungannya dengan orang lain. Di dalam bahasa Inggeris, tingkah laku bermasalah disebut sebagai ‘abnormal behavior’ iaitu tingkah laku yang terkeluar dari nilai dan norma masyarakat. Konsepnya bertentangan dengan tingkah laku normal yang lazimnya dipersepsi, dirasai, dilakukan dan dialami oleh kebanyakan orang dalam masyarakat.
Mohd Nazar Mohamad ( 1990 ) mentakrifkan tingkah laku bermasalah individu sebagai tingkah laku yang menggangu perjalanan kehidupannya.
Menurut Robert H Woody di dalam bukunya berjudul ‘The School and the Behaviour Problem Child’ menyatakan semua tingkah laku di sekolah dapat diperlihatkan dalam berbagai bentuk dan ragam. Kanak-kanak tidak dapat menyesuaikan diri mereka dengan keadaan dan suasana pembelajaran. Keadaan begini selalu menjejaskan pelajaran dan keupayaan mereka untuk belajar dan berhubung dengan orang lain.
Dalam konteks pendidikan, tingkah laku bermasalah merujuk kepada sebarang tingkah laku pelajar yang boleh menjejaskan kelicinan atau keberkesanan pengajaran dan pengajaran khasnya di dalam bilik darjah.
Tingkah laku bermasalah boleh berupa negatif atau positif. Yang pastinya tingkah laku bermasalah ini boleh membawa kesan yang tidak baik atau memudaratkan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Oleh yang demikian, adalah menjadi tanggungjawab seorang guru mengenalpasti murid-murid yang bertingkah laku bermasalah di dalam kelasnya agar strategi atau teknik tertentu dapat digunapakai bagi memastikan keberkesanan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah dapat berjalan dengan lancar serta berkesan.
{ 0 Respon... read them below or add one }
Post a Comment