Tokoh-tokoh dalam teori ini adalah seperti Parlov, Thorndike dan Skinner. Mereka berpendapat pembelajaran adalah berkaitan dengan perubahan tingkah laku. Kebanyakkan teori pembelajaran mereka adalah dihasilkan daripada pemerhatian dan ujian ke atas haiwan seperti anjing, tikus, kucing dan burung dalam keadaan bilik makmal. Ujian mereka ditumpukan kepada perhubungan rangsangan dan gerak balas yang menghasilkan perubahan tingkah laku. Menurut mereka, tingkah laku pelajar boleh diperhatikan, dikawal dan diramal.
Parlov, Thorndike dan Skinner menghuraikan perubahan tingkah laku sebagai hasil proses pembelajaran adalah kerana berlakunya perhubungan stimuli (rangsangan) dengan tindak balas organisma. Melalui proses pembelajaran berlandaskan pelaziman (conditioning), sesuatu perhubungan yang baru akan dibentuk daripada menghubungkaitkan stimuli dengan tindak balasnya dan akibatnya membawa perubahan tingkah laku organisma yang berkenaan.
Teori ini menegaskan bahawa pembelajaran hanya boleh bermula apabila wujudnya tindak balas terhadap sesuatu rangsangan yang ada. Proses pembelajaran akan diteruskan jika terdapat motivasi yang sesuai iaitu sesuatu penggerak yang dapat mendorongnya berusaha memikirkan erti rangsangan itu. Proses pembelajaran ini akan berakhir apabila perubahan tingkah laku dapat dibentuk dan dikekalkan. Oleh itu, teori pembelajaran ini juga disebut sebagai Teori Rangsangan-Gerak Balas.
{ 0 Respon... read them below or add one }
Post a Comment