Di Kuala Lumpur, dua wanita dalam keadaan bogel yang sedang asyik memberi khidmat seks kepada pelanggan di sebalik tirai katil kecil di sebuah premis di Jalan Kuchai Lama, di sini, adalah antara tujuh pelacur warga China yang ditahan dalam serbuan polis, malam kelmarin.
Dalam serbuan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Bukit Aman pada jam 10.40 malam itu, semua wanita berusia 20-an hingga 40-an itu tergamam dan gagal dalam cubaan melarikan diri selepas premis di tingkat satu berkenaan dikepung.
Kegiatan tidak bermoral itu berlaku ketika sebahagian besar rakyat Malaysia bersiap sedia untuk menyambut ambang merdeka sempena Hari Kemerdekaan ke-53 secara sederhana kerana menghormati Ramadan.
Operasi bagi membanteras pelacuran menerusi Ops Noda itu diketuai tiga pegawai dan lapan anggota yang dijalankan hasil risikan dan maklumat orang ramai.
Pemeriksaan mendapati, premis terbabit menyediakan sembilan katil yang setiap satunya ditutupi dengan tirai bagi tujuan urutan badan dan seks kepada pelanggan.
Ketika serbuan, dua daripada wanita berkenaan sedang melayan pelanggan di atas katil dalam keadaan berbogel, manakala empat lagi yang berpakaian mencolok mata turut berada di sebalik tirai bersama pelanggan masing-masing.
Pemeriksaan mendapati premis berkenaan turut berselerak dengan tuala dan seluar dalam wanita di samping pelbagai jenis pil dipercayai ubat pencegah kehamilan.
Jurucakap D7 Bukit Aman berkata, enam pelanggan warga tempatan berusia 30-an hingga 40-an yang sedang leka mendapatkan khidmat seks turut disoal siasat.
Katanya, setiap pelanggan dikenakan bayaran RM50 bagi urutan badan, manakala RM155 ditawarkan untuk pakej urutan badan ke badan dan seks.
“Semua wanita warga China itu menyalahgunakan pas lawatan sosial ke negara ini untuk menawarkan khidmat seks dan mereka ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya ketika ditemui di premis berkenaan, malam kelmarin.
Katanya, premis berkenaan yang berselindung di sebalik pusat refleksologi tradisional dan kecantikan badan itu juga didapati beroperasi tanpa lesen sejak lebih setahun lalu.
“Premis ini juga dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengesan sebarang pergerakan di luar dalam usaha mengelak kegiatan tidak bermoral mereka dikesan pihak berkuasa,” katanya.
Sumber: Berita Harian
{ 0 Respon... read them below or add one }
Post a Comment