KUALA LUMPUR 18 Jun - Beberapa sektor pekerjaan di Malaysia dijangka menerima kenaikan gaji sehingga empat peratus pada tahun ini, demikian menurut kajian firma pengurusan tenaga kerja di sini hari ini.
Kelly Services (M) sdn. Bhd. dalam kajiannya berkata, jangkaan kenaikan itu adalah berdasarkan keadaan ekonomi Malaysia yang semakin pulih dalam tempoh berkenaan.
Pengarah Urusannya, Melissa Norman, berkata, antara sektor utama yang akan menerima kenaikan gaji tersebut ialah sektor perbankan dan kewangan, pusat panggilan, sumber manusia, logistik, jualan dan pemasaran, teknologi maklumat (IT) serta sektor kejuruteraan dan teknikal.
''Jumlah kenaikan gaji empat peratus itu merupakan kadar umum bagi sektor-sektor tersebut kerana kami jangkakan masing-masing akan menerima peratusan kenaikan gaji yang berbeza-beza.
''Kami menyasarkan kenaikan gaji bagi sektor perbankan terutamanya perbankan Islam sebanyak empat hingga lapan peratus pada tahun ini, pusat panggilan pula meningkat dua hingga tiga peratus, logistik tiga peratus, jualan dan pemasaran enam hingga 15 peratus, sumber manusia lima hingga 15 peratus manakala sektor kejuruteraan dan IT pula lapan hingga 15 peratus kenaikan,'' kata beliau dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas majlis pembentangan dan pelancaran Panduan Gaji dan Tinjauan Pekerjaan 2010/11 - Alat untuk Perancangan Tenaga Kerja di sini hari ini.
Hadir sama pada majlis tersebut Pengarah Pemasaran Kebangsaannya, Jeannie Khoo.
Melissa menambah, kenaikan gaji tersebut juga dipengaruhi oleh status pekerja sama ada mahir atau tidak mahir.
''Bagi pekerja mahir dan memiliki pengalaman bekerja lebih dari lima tahun, kami jangkakan mereka akan menerima kenaikan gaji sehingga 10 peratus manakala pekerja tidak mahir dengan pengalaman kurang daripada dua tahun akan menerima kenaikan sebanyak tiga hingga lima peratus,'' ujarnya.
Katanya, selain keadaan ekonomi yang semakin baik, kenaikan gaji juga dipengaruhi oleh beberapa faktor penting yang lain.
''Kami mendapati antaranya kekurangan tenaga kerja mahir, penghijrahan pekerja-pekerja dari Malaysia yang mendapat tawaran lebih baik di luar negara dan kekurangan graduan yang berkualiti dalam bidang teknikal dan vokasional.
''Selain itu, kenaikan gaji juga turut dipengaruhi oleh pelancaran Model Baru Ekonomi (MBE) yang menetapkan rangka tindakan untuk menganjakkan Malaysia ke arah ekonomi berpendapatan tinggi,'' katanya. (Sumber: Utusan Online)
{ 1 Respon... read them below or add one }
ekonomi semakin baik...
kakitangan kerajaan pun tunggu kenaikan gaji gak nie..
6/19/2010 9:54 PM
Post a Comment