Hadiah utama pertandingan Unduk Ngadau Peringkat Negeri tahun ini bernilai 40,000 USD atau kira-kira RM120,000 ditaja oleh Syarikat Star Cruise. Pengerusi Jawatankuasa Unduk Ngadau Peringkat Negeri Joanna Datuk
Kitingan berkata hadiah utama itu adalah untuk pemenang pertama hingga
ketujuh.
“Selain itu hadiah wang tunai untuk pemenang tempat pertama juga dinaikkan sehingga RM6,000 berbanding RM4,000 pada tahun sebelumnya.
“Manakala pemenang Tati Topiod (Miss Natural Beauty) dan Tati Tosuau
(Miss Friendly) akan ditaja oleh Diamoney dan Digi akan menaja Unduk
Ngadau Popular Kaamatan,” katanya pada sidang akhbar di Hotel Le
Meridien, di sini, pada malam Isnin.
Joanna berkata, pendaftaran peserta Unduk Ngadau 2013 peringkat
negeri akan diadakan pada 27 Mei (Isnin) di Hotel Le Meridien bermula
jam 8 pagi. Selepas pendaftaran pelbagai program akan diadakan termasuk Sodop
Pintutunan, lawatan sambil belajar di Muzium Sabah dan aktiviti amal.
“Sodop Pintutunan (Welcoming Dinner) akan diadakan pada jam 7 malam,
27 Mei untuk merai ketibaan para peserta serta penyerahan sash oleh
Puan Sri Genevieve Kitingan.
“Pada hari kedua para peserta Unduk Ngadau akan mengikuti program di
Muzium Sabah di mana mereka akan diberikan taklimat mengenai
pelancongan berasaskan budaya oleh pengarah Muzium Sabah. Ini penting
untuk meningkatkan pengetahuan sebelum mereka menyertai pertandingan
Unduk Ngadau pada 31 Mei.
“Selain itu ia juga penting untuk para peserta mempelajari “Unduk
Ngadau” bukan sekadar gambaran Huminodun seperti dalam Legenda Huminodun
tetapi mereka mewakili masyarakat serta daerah masing-masing,” katanya.
Joanna berkata, antara peranan sebagai “Unduk Ngadau” ialah menjadi duta pelancongan kebudayaan di negeri ini.
“Oleh itu mereka harus mempunyai pengetahuan mengenai sejarah dan
budaya negeri ini. Bagi meningkatkan pengetahuan mereka mengenai
kebudayaan, mereka akan mengadakan lawatan sambil belajar ke Galeri
Muzium dan Kampung Warisan Muzium Sabah,” katanya.
Selain itu, bagi meningkatkan motivasi dan penampilan diri para
peserta yang kebanyakannya gadis-gadis muda dan masih belajar di
institut pengajian tinggi, jawatankuasa penganjur turut menjemput
seorang penceramah motivasi untuk memberikan motivasi kepada bakal Unduk
Ngadau.
“Dalam masa lima hari sebelum pertandingan, mereka akan diadili
melalui sikap, personaliti dan kemesraan terhadap orang di sekeliling
mereka untuk memilih Tati Topiod (Miss Natural Beauty) dan Tati Tosuau
(Miss Friendly),” katanya.
Sodop Unduk Ngadau (Malam Unduk Ngadau) akan diadakan pada 29 Mei. Tiket-tiket berharga RM5,000, RM3,000 dan RM2,000 untuk satu meja kini dijual.
Maklumat lanjut mengenai tiket Sodop Unduk Ngadau, hubungi Teresa
Molidu (013-868 6003), Philomena Engsun (019-8624803) atau pejabat KDCA Penampang 088-720337.
{ 0 Respon... read them below or add one }
Post a Comment