Tidak pasti secara jelas sama ada penjualan borang ini dilakukan oleh individu tertentu sahaja atau pihak lain yang disertai oleh ramai individu. Apa yang jelas kegiatan tidak bermoral ini pastinya dilakukan oleh orang yang ingin menanggguk di air keruh. Dengar khabar ada borang yang dijual dengan harga RM2, ada juga yang mengatakan harga mencecah sehingga RM50. Itulah desas-desus yang kedengaran, tetapi saya sendiri tidak ada bukti untuk mengaitkan mana-mana individu kerana isu inipun hanya diketahui di kedai kopi online. Cuma saya berharap tidak ada individu (pemohon) tertipu dengan penjualan borang ini.
Selain isu penjualan borang permohonan, ada juga makluman dari kedai kopi online mengatakan bahawa borang permohonan bantuan tersebut telah diubahsuai. Pemohon diminta mengemukakan makluman akaun bank, seperti nama bank dan nombor akaun. Saya sangat pasti dalam borang permohonan asal makumat seperti ini tidak perlu diberikan. Jadi kepada pemohon, pastikan anda memperoleh borang sebenar dari agensi yang dilantik secara rasmi. Anda boleh rujuk senarai agensi terbabit di blog kulanzsalleh. Anda juga boleh muat-turun borang berkenaan di laman sesawang treasury.com.my.
Berkenaan borang permohonan bantuan ini juga, sebelum ini ada makluman dari berita mengatakan yang borang salinan (fotostat) tidak boleh digunakan. Keadaan ni telah menimbulkan keresahan kepada pemohon yang menggunakan borang salinan dan telah mengemukakan borang permohonan lebih awal. Bagi isu ini, pemohon tidak oerlu risau kerana Menteri Kewangan Kedua, pada 16 Disember 2011 telah membuat kenyataan bahawa pemohon boleh menggunakan borang yang disalin semula (fotostat) asalkan borang tersebut masih menggunakan format yang sama seperti borang asal.
Seperkara yang paling penting dan mungkin perlu diberi perhatian oleh pihak kerajaan yang menguruskan bantuan ini ialah dakwaan bahawa ada pihak (agensi tempatan yang menguruskan bantuan ini) yang menggalakkan pemohon melakukan sesuatu yang boleh dianggap penipuan. Kononnya dalam taklimat yang diberikan, agensi terbabit meminta pemohon mengemukakan dua permohonan berlainan untuk suami isteri. Sebagai contoh, jika pasangan memiliki empat orang anak, suami boleh mengemukakan 1 permohonan dengan menyenaraikan 2 orang anak sebagai tanggungan. Isteri pula mengemukakan permohonan lain dengan menyenaraikan 2 anak lain sebagai tanggungannya.
Pada saya tindakan seperti ini adalah sangat tidak bertanggungjawab. Apatah lagi ianya digalakkan sendiri oleh agensi yang menguruskan bantuan ini. Jadi saya berharap kerajaan lebih bijak dalam menapis dan meluluskan permohonan bantuan berkenaan supaya semua pemohonan yang layak dapat bantuan sama rata dan kerajaan tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan tambahan untuk bantuan rakyat ini.
Walau bagaimanapun, semua isu yang dinyatakan di sini hanya berdasarkan apa yang saya dengar di kedai kopi. Kebenarannya tidak jelas, jadi terpulang kepada individu atau pihak terbabit mengambil tindakan sewajarnya, sama ada membiarkan, atau menyiasat.
{ 0 Respon... read them below or add one }
Post a Comment