Juara Imam Muda Musim Pertama: Muhammad Asyraf

on Saturday, July 31, 2010

KUALA LUMPUR: Kemuncak Imam Muda Khamis malam yang diadakan di Kompleks Pusat Islam, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) berakhir dengan kemenangan Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan, 26.

Peserta berasal dari Sungai Gelugor, Pulau Pinang itu mengalahkan pesaing terdekatnya, Hizbur Rahman Omar Zuhdi, 27. Juara sulung Imam Muda itu menerima biasiswa pakej 'Berlian' pengajian ke Universiti Antarabangsa Al-Madinah, Arab Saudi tajaan Yayasan Antarabangsa Al- Madinah.

Beliau juga ditawarkan jawatan Imam Ratib (kontrak) di salah sebuah masjid di Wilayah Persekutuan berserta sebuah kereta Proton Exora.

Bukan itu sahaja, Asyraf juga membawa pulang wang tunai RM20,000 dan sebuah komputer riba jenis Apple Macbook Pro, i Phone 3G, trofi dan sijil penyertaan serta kad pertauliahan daripada Jawi.

Di samping itu dia turut mendapat pakej menunaikan haji dan umrah serta pakej percutian ke Bandung selama 4 hari 3 malam, perabot jati bernilai RM10,000 dan pakej SPA Maghribi.

Asyraf melahirkan rasa terharu kerana terpilih sebagai juara rancangan itu untuk musim pertama.

"Saya berasa gembira bukan disebabkan saya dinobatkan sebagai juara. Namun saya lebih gembira kerana program ini dapat ditonton oleh umat Islam di seluruh dunia.

"Sasaran kemenangan ini bukan sahaja dinilai pada kejayaan individu itu, tetapi kejayaan kepada seluruh masyarakat dan Islam itu sendiri.

"Pada masa yang sama, kami sepuluh orang sebenarnya takut jika program ini telah memecah tradisi tetapi pesertanya tidak menunjukkan apa-apa kualiti.

"Insya-Allah kami akan cuba memberikan tunjuk ajar kepada masyarakat dengan sokongan yang ada," kata graduan Sarjana Muda Usuluddin dan Fikah dari Universiti Malaya, Kuala Lumpur ini.

Bagi Hizbur, graduan Syariah Islam Universiti Al-Azhar yang berkhidmat sebagai guru tahfiz menerima kekalahannya malam ini dengan hati yang terbuka.

"Saya berasa bangga kerana program ini berjaya dengan lancar. Mungkin ada kekurangan dan kecacatan sebab kami tidak mempunyai contoh kerana kami generasi yang pertama (Imam Muda).

"Insya-Allah, kami akan menubuhkan kelas agama dan kelab untuk remaja," kata Hizbur.

Pemenang tempat kedua itu membawa pulang hadiah berupa biasiswa Pakej 'Emas' pengajian ke Universiti Antarabangsa Al-Madinah, Arab Saudi tajaan Yayasan Antarabangsa Al- Madinah, pakej menunaikan umrah dan pakej percutian ke Bandung selama 4 hari, 3 malam, perabot jati bernilai RM7,000 serta pakej SPA Maghribi.

Dia turut menerima sebuah komputer riba jenis Apple Macbook Pro, i Phone 3G, wang tunai RM15,000 trofi dan sijil penyertaan serta kad pertauliahan daripada Jawi.

Yayasan Antarabangsa Al Madinah turut berbesar hati menawarkan hadiah saguhati kepada lapan peserta lain, berupa biasiswa pengajian ke Universiti Antarabangsa Al-Madinah, Arab Saudi. Mereka turut menerima pakej percutian ke Bandung 4 hari 3 malam, pakej SPA Maghribi, i Phone 3G, trofi dan sijil penyertaan serta kad pertauliahan daripada Jawi.

Sistem pemarkahan dikira berdasarkan ujian teori sebanyak 50 peratus dan praktikal masing-masing 20 peratus, manakala 30 peratus markah lagi ditentukan pada pusingan kemuncak.

Juri dan mudir yang mengadili program akhir malam terdiri daripada Pengetua rancangan itu, Datuk Hassan Mahmood serta dua tenaga pengajar, Ustaz Shahrizan Daud, Syed Mohd. Norhisyam Tuan Padang. Ia dihoskan Ustaz Dzulkarnain Hamzah.

Tidak seperti program realiti lain, format Imam Muda berasaskan modul pengajian yang berlandaskan agama dan akidah dan tidak sama sekali menerapkan elemen komersial.

Program siri pencarian pertama berunsur Islam ini tidak terikat dengan undian bebas khidmat pesanan ringkas (SMS). Peserta yang tersingkir masih mengikuti pengajian imam yang dikendalikan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI). Antara ujian dan cabaran yang dilalui oleh 10 peserta Imam Muda termasuklah menguruskan jenazah yang tidak dituntut, memberi motivasi kepada kanak-kanak serta golongan dewasa di rumah perlindungan, operasi ke pusat penyembelihan dan rumah pelacuran serta memberi kaunseling kepada pasangan suami isteri bermasalah.

Sepanjang ia berlangsung, program ini mendapat liputan media luar negara termasuk BBC World, CNN, Al-Jazeera, Reuters, majalah Der Spiegel Magazine dari Jerman dan akhbar International Herald Tribune, New York. Kesemua wakil media berkenaan turut hadir ketika rakaman program berlangsung dan mereka memberi reaksi positif terhadap keindahan agama Islam yang ditampilkan melalui program itu.

Turut hadir dalam ada kemuncak itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Rancangan itu dipancarkan secara langsung menerusi saluran Astro Oasis. (Sumber: mStar)

'Penulis Blog Wajib Tulis Perkara Benar'

on Thursday, July 29, 2010

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa penulis blog supaya berpegang teguh dengan kod etika untuk menulis perkara benar demi kebaikan masyarakat supaya mereka dan blog masing-masing lebih dihormati.

Bekas perdana menteri itu berkata, kod etika itu perlu diwujudkan secara sukarela demi kebaikan penulis blog sendiri kerana ia bakal membina reputasi mereka di mata orang ramai.

Dr Mahathir, yang juga seorang penulis blog berkata, masyarakat kini mempunyai akses kepada blog, satu medium yang hampir di luar kawalan mana-mana pihak berkuasa dan jika mereka mematuhi kod etika untuk menulis perkara yang benar saja, lebih ramai orang akan membacanya.

Jika kita bersandarkan kepada kod etika sebegini dalam setiap penulisan kita, saya fikir lama-kelamaan, orang ramai akan menghormati blog. Jika kita tidak menulis perkara yang benar, mereka akan meninggalkannya seperti yang berlaku kepada media biasa ketika ini, katanya dalam ucaptama pada persidangan Blogger Asia dan Media Sosial 2010 di sini, semalam.

Persidangan dua hari itu dihadiri 400 peserta dari benua Asia.

Dr Mahathir berkata, walaupun blog menyediakan ruang bagi kebebasan menulis apa dikehendaki secara mutlak, namun penulisnya masih perlu bertanggungjawab terhadap penulisan mereka serta tidak menyalahgunakannya.

Tidak boleh menyatakan perkara buruk atau memaki hamun orang lain, jangan buat begitu, orang akan marah dan mereka boleh mengambil tindakan terhadap kita. Kita mesti ada bukti untuk setiap yang kita nyatakan, katanya.

Beliau berkata, penulis blog mempunyai kelebihan dari segi kebebasan, namun mereka mesti menggunakannya dengan penuh tanggungjawab bagi membentuk pemikiran ke arah membina masyarakat dunia lebih baik demi kebaikan umum.

Tidak ada sesiapa boleh menghalang atau membetulkan kita, kerana kita berkuasa (kerana) kitalah penulis, penyunting dan juga penerbit. Apabila memiliki senjata, jangan gunakan (untuk menembak) sesuka hati. katanya.

Beliau berkata, sesetengah blog amat bagus, namun ada tidak berguna, justeru kemahiran diperlukan bagi mengenal pasti kebenarannya. BERNAMA

Pelajar Rakam Aksi Lucah di Surau

KUCHING: Belumpun reda isu aksi panas artis Indonesia, Ariel dan Luna, orang ramai di negeri ini digemparkan pula dengan penyebaran adegan seks oral membabitkan dua pelajar Tingkatan Dua di Bintulu, Sarawak.

Lebih memeranjatkan pelajar terbabit yang berpakaian sekolah melakukan adegan seks oral di surau sekolah mereka, dengan klip videonya disebarkan secara meluas melalui internet dan telefon bimbit mulai awal bulan lalu.

Malah, lencana sekolah juga dapat dilihat pada tudung pelajar perempuan yang sudah menanggalkan kainnya, manakala pelajar lelaki yang berdiri dipercayai merakam adegan itu sendiri menggunakan telefon bimbitnya.
Menurut sumber, kejadian itu berlaku ketika semua guru menghadiri mesyuarat hujung tahun dengan kehilangan mereka tidak disedari rakan lain.

Aksi itu dipercayai dirakam, tahun lalu, namun ia hanya tersebar melalui internet, baru-baru ini, katanya kepada Berita Harian, semalam.

Difahamkan, pelajar wanita itu sudah berpindah lain ke sekolah di Kuching akibat terlalu malu, sementara pelajar lelaki terbabit masih menuntut di sekolah sama.

Katanya, ada pihak memuat turun rakaman itu ke internet menyebabkan ia kembali menjadi tumpuan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Sarawak, Datuk Dr Julaihi Bujang, berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan kejadian itu sudah lama berlaku dengan tindakan tegas sudah diambil ke atas dua pelajar berkenaan. (Sumber: Berita Harian)

Yassin (Senario) Ditahan Kerana Positif Dadah

on Sunday, July 25, 2010


 SUBANG JAYA: Bekas anggota kumpulan pelawak Senario, Yassin Yahya (gambar), ditahan polis kerana dipercayai terlibat dengan penyalahgunaan dadah, awal pagi Ahad.

Yassin,32, ditahan di sebuah pusat hiburan di Sunway Piramid sekitar pukul 1 pagi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata Jabatan Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya juga menjalankan ujian air kencing kepada 30 orang awam lain yang berada di pusat hiburan itu.

"Tiga lelaki termasuk Yassin didapati positif dadah selepas ujian tersebut dilakukan.

"Ujian tersebut juga mendapati Yassin mengambil dadah jenis ganja, manakala dua orang lagi iaitu pengurusnya dan seorang ahli perniagaan dikesan mengambil dadah jenis ketamin," kata Khalid seperti dipetik portal The Star Online, Ahad.

Tambahnya, kesemua mereka ditahan di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan polis akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadapnya. (Sumber: mStar)

2,000 Kampung Bakal Dapat Perkhidmatan Jalur Lebar Tanpa Wayar

JELEBU: Kira-kira 2,000 buah kampung di seluruh negara bakal memperolehi perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar pada tahun ini, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata buat masa ini, lima buah Kampung WiFi ini sudah mendapat perkhidmatan tersebut termasuk di kawasan kampung-kampung baru, tradisional dan rumah panjang.

Kampung-kampung itu termasuk di Sibu, Sarawak, Pulau Banggi di Sabah dan yang kelima, dilancarkan di Kampung Teriang di sini, Sabtu.

"Usaha penyediaan perkhidmatan jalar lebar ini merupakan salah satu langkah yang diambil oleh kerajaan dalam meningkatkan kadar penembusan jalur lebar kepada rakyat di negara ini seperti yang telah disasarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak," kata Rais kepada pemberita selepas melancarkan perkhidmatan WiFi di Kampung Teriang.

Najib pada 24 Mac lalu telah melancarkan inisiatif Jalur Lebar Kebangsaan dan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi.

Salah satu daripada enam inisiatif berkenaan ialah pelaksanaan pusat jalur lebar komuniti atas nama PJK yang menyediakan perkhidmatan jalur lebar kepada 615,000 orang di 246 lokasi yang melibatkan peruntukan RM60 juta.

Rais berkata bagi mencapai matlamat penembusan jalur lebar, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan sedang berusaha meluaskan perkhidmatan tersebut kepada seluruh rakyat.

Beliau berkata kadar penembusan jalur lebar di negara ini adalah sangat baik sehingga boleh mencapai 50 peratus tidak lama lagi.

"Perkhimatan jalur lebar kini mendapat permintaan yang tinggi daripada rakyat," katanya. - BERNAMA

(Sumber: mStar)

Nur Kasih Difilemkan

on Saturday, July 24, 2010


Drama bersiri popular Nur Kasih pada tahun lalu disajikan penuh dengan cerita cinta antara Adam lakonan Remy Ishak dan Nur Amina (Tiz Zaqyah) serta pengorbanan Aidil (Fizz Fairuz) kepada adiknya, Adam.

Jika dalam drama bersiri, Aidil terpaksa mengorbankan cintanya kepada Nur Amina demi Adam tetapi pengorbanan Aidil tidak terhenti dalam drama yang disiarkan sebanyak 26 episod itu.

Ini kerana dia masih lagi menerima pelbagai dugaan dan ranjau dalam menempuhi kehidupan menerusi sekuel terbaru Nur Kasih yang disambungkan dalam bentuk filem.

Untuk filem berjudul Nur Kasih The Movie itu, Aidil menjalani kehidupannya sebagai seorang bapa tunggal kepada dua cahaya mata iaitu Ilyas, 7, dan Maryam, 5, setelah isterinya, Alia (Ayu Raudhah) yang meninggal dunia.

“Pengorbanan dan beban yang dipikul oleh Aidil sebenarnya belum berakhir dalam filem ini.

“Kepetahan anak-anaknya juga akan membuatkan penonton lebih mudah mengalirkan air mata,” kata Fizz sewaktu menjalani penggambaran filem itu di Kampung Gulang-Gulang, Tanjung Karang, Khamis.

Sementara itu, Remy menambah: “Cerita yang dipaparkan dalam filem ini mempunyai persamaan dan dekat dengan diri kita. Ianya penuh dengan kisah yang meruntun jiwa dan pernah dilalui oleh kita.”

Seperti yang dimaklumkan, para pelakon terpaksa merahsiakan jalan cerita filem itu agar ia lebih suspen. Yang pasti, filem ini akan menjadi lebih menarik hasil karya pengarahnya, Kabir Bhatia dan isteri, Mira Mustafa selaku penulis skrip.

Filem ini dijangka menemui penonton pada Mac tahun hadapan.


Menceritakan tentang filem yang menjalani penggambaran di beberapa lokasi menarik di Jordan seperti Amman, Wadi Ram dan Petra itu, Kabir akui cabaran yang dilalui begitu getir dan sukar dijangka.

Krew produksi Filmscape serta para pelakon perlu mengharungi ribut pasir di Jordan sehingga ramai yang jatuh sakit. Namun segala-galanya selesai setelah mengambil masa selama 11 hari bermula 25 Jun lalu.

“Ketika ribut pasir, kamera bergoyang sehingga kami terpaksa mengambil masa selama tiga jam untuk menjayakan satu pengambaran itu,” ceritanya.

Selain itu, saat yang mencabar berlaku sewaktu proses penggambaran babak kemalangan keretapi melibatkan Adam dan Nur Amina di Jordan.

Biar apa pun halangan yang ditempuhi, Pengarah Urusan Filem & Drama, Primeworks Studio Sdn Bhd, Ahmad Puad Onah berharap semua penonton akan datang ke pawagam.

“Saya nak filem ini menjadi setaraf dengan cerita Romeo dan Juliet serta Laila Majnun,” kata Ahmad Puad.

Filem yang turut dilakonkan oleh Liza Othman, Ayu Raudhah, pelakon baru Munif, Sara Ali serta pelakon cilik Mia Sara Nasuha Mohd Ridhwan dan Mohd Ilyas Suhaimi itu juga mendapat kerjasama syarikat Juita Viden. (Sumber: mStar)

Baazar Ramadhan: 15,000 Permohon Lesen

on Tuesday, July 20, 2010

KUALA LUMPUR 19 Julai - Lebih 15,000 peniaga kecil di sekitar Lembah Klang hari ini membanjiri Stadium Titiwangsa untuk memohon lesen sementara Bazar Ramadan di kawasan Lorong Tunku Abdul Rahman dan Jalan Masjid India.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagaimanapun hanya memperuntukkan 400 tapak di lokasi yang menjadi tumpuan warga kota setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri.

"Proses pengundian untuk memiliki tapak bazar Ramadan dibuat secara terbuka dan telus serta melibatkan beberapa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Permohonan bagi mendapatkan tapak Bazar Ramadan di lokasi berkenaan sering kali mendapat permintaan yang tinggi daripada peniaga kecil setiap tahun.

''Namun tempat yang boleh disediakan DBKL adalah terhad," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Raja Nong Chik berkata, dalam proses pengundian itu, terdapat beberapa peniaga yang tidak berpuas hati disebabkan borang permohonan mereka ditolak kerana tidak memenuhi syarat yang ditetapkan.

''Kita memahami hasrat peniaga-peniaga kecil ini untuk berniaga sepanjang bulan Ramadan, namun tempat yang ditawarkan di lokasi itu amat terhad.

''Walaupun menimbulkan sedikit kekecohan namun semuanya terkawal kerana peniaga-peniaga ini memahami keputusan berdasarkan proses pengundian yang adil dan saksama," katanya.

Sementara itu, seorang peniaga, Che Norini Che Mat, 62, berkata, dia tiba seawal pukul 8 pagi untuk menghadiri proses pengundian tersebut.

"Saya bersyukur kerana berjaya mendapat tapak di lokasi tersebut setelah tiga tahun mencuba. Mungkin rezeki berpihak pada Ramadan tahun ini," katanya.

Bagi Zainudin Zakariah, 43, pula, ini kali pertama dia berjaya mendapat tapak berniaga di Lorong Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Masjid India setelah mencuba selama 10 tahun.

"Undian secara terbuka ini bagus kerana ia lebih telus dan semua peniaga yang layak mempunyai peluang. Walaupun terpaksa bersesak-sesak dan menunggu lama, ia sangat berbaloi," katanya. (Sumber: Utusan)

Kisah si Pengemis Menjadi Kaya Gara=Gara Internet

NINGBO - Seorang pengemis di China, Cheng Guorong menjadi kaya dan terkenal selepas gambarnya tersiar di Internet, lapor sebuah akhbar semalam.

Walaupun selekeh, berambut panjang dan berjanggut, lelaki tersebut memiliki wajah kacak yang menarik perhatian ramai peminat sejak gambarnya tersiar pada Januari lalu.

Guorong, 34, digelar pengemis paling seksi di China dan dia turut mengecapi status simbol seks di kalangan pengguna Internet.

Nasibnya berubah selepas gambarnya dirakamkan oleh seorang jurugambar amatur ketika dia berkeliaran di jalan raya di bandar ini untuk meminta makanan pada tahun lalu.

Tidak lagi menyelongkar tong sampah, Guorong kini menerima banyak tawaran iklan dan dia turut bekerja sebagai model peragaan.

Pakaiannya semasa dia menjadi pengemis turut menjadi ikon fesyen.

Para peminat lelaki tersebut turut menderma sebanyak 100,000 yuan (RM49,138) bagi membantunya memulakan hidup baru.

Dia juga ditawarkan berlakon dalam sebuah filem mengenai kisah hidupnya yang diterbitkan oleh penerbit filem tempatan, Deng Jiangguo dan menelan kos sekitar 72 juta yuan (RM34.3 juta).

Filem tersebut akan menjalani penggambaran pada September depan dan ia dijadualkan ditayangkan pada Februari 2011.

Guorong berpindah ke bandar di timur China ini pada 1996 untuk mencari kerja bagi menyara isteri dan dua anaknya tetapi malu untuk menghubungi mereka setelah dia hilang pekerjaan dan wang simpanannya habis.

Saudara-maranya menyangka dia mati sehingga mereka melihat imej-imejnya di Internet.

Guorong tidak dapat menahan kesedihan apabila mendapati bapa dan isterinya terbunuh dalam satu kemalangan kereta setelah dia kembali ke kampung halamannya untuk kali pertama dalam tempoh 14 tahun baru-baru ini. - Agensi

UFO Muncul di Kota Kinabalu

on Monday, July 19, 2010

UFO di Kota Kinabalu yang kononnya telah disaksikan semalam di Tuaran Beach Resort, telah menjadi antara kisah perbualan hangat hari ini. Berikut adalah petikan berita daripada myMetro hari ini. 

 Objek yang didakwa UFO, kelihatan di Tuaran Beach Resort, Kota Kinabalu, Sabah


“Ketika berada dalam dewan, tiba-tiba seorang wanita menjerit melihat suatu objek mirip piring terbang di langit berhampiran pusat peranginan itu.

“Lalu kami keluar untuk mengesahkan dakwaannya dan apa yang saya lihat ia memang satu objek berbentuk bulat dan berwarna biru sedang terapung, tetapi selepas beberapa saat kemudian ia bertukar menjadi warna hijau,” kata seorang tetamu Tuaran Beach Resort, Jemas Dungil, 27.

Suasana di pusat peranginan ketika itu gempar apabila satu objek asing seakan-akan piring terbang (UFO) muncul di ruang udara berhampiran pantai peranginan Tuaran di sini, petang kelmarin.

Kemunculan objek berkenaan disaksikan beberapa kakitangan dan tetamu pusat peranginan itu yang kebetulan berada di kawasan terbabit.

Mereka mendakwa objek mengeluarkan cahaya biru dan hijau itu terapung di ruang udara selama seminit sebelum hilang dalam sekelip mata.

Malah, ada di kalangan mereka sempat merakamkan gambar piring terbang itu menggunakan telefon bimbit masing-masing tetapi apa yang menghairankan, ada telefon bimbit berkenaan tiba-tiba ‘mati’ dengan semena-mena sebaik merakam gambar objek berkenaan.

Berita lanjut boleh diikuti di: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/GemparlihatUFOterapung/Article

Guru Tabika Diserap ke Jawatan Tetap

KANGAR: Semua guru dan pembantu guru tabika Perpaduan di seluruh negara yang selama ini berkhidmat secara kontrak bakal diserap ke jawatan tetap.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T Murugiah, berkata cadangan menyerapkan 3,286 guru dan pembantu guru tabika itu telah dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

"Sudah sampai masanya mereka diberi jawatan tetap yang menjanjikan masa depan yang lebih baik. Saya harap proses penyerapan dapat dilaksanakan secepat mungkin," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan malam "Untaian Kasih" Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Perlis di sini malam tadi, Murugiah berkata pada masa ini kesemua guru dan pembantu guru di 1,643 tabika
Perpaduan berstatus kontrak dan ada yang telah berkhidmat selama 30 tahun.

Majlis makan malam Untaian Kasih yang diadakan sempena klinik Dodgeball 1Malaysia peringkat negeri Perlis itu dikendalikan Persatuan Dodgeball Malaysia (MAD) dan disertai kelab Rukun Negara, Jiran Muda dan Jiran Wanita.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan negeri Perlis Abdul Jamil Saad dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Azizah Ariffin. - BERNAMA

Guru Sabah, Sarawak Ditempatkan di Negeri Sendiri

on Sunday, July 18, 2010

Kota Kinabalu, Kementerian Pelajaran sedang mengusahakan supaya guru atau bakal guru yang berasal dari Sabah dan Sarawak ditempatkan di negeri asal masing-masing, kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Beliau berkata, proses itu sudahpun dimulakan berdasarkan permintaan dari kedua-dua negeri itu sendiri, namun proses tersebut akan memakan masa dan dijalankan secara berperingkat.

"Sebagaimana disuarakan Sabah dan Sarawak, mereka (kerajaan negeri) minta guru (dari negeri tersebut) dihantar balik supaya pelajar lebih faham.

"Tapi ini akan mengambil masa, kerana kita tidak boleh terus tukar guru dari Semenanjung balik ke Semenanjung, dan hantar (kembali) guru Sabah (dan Sarawak), kadang-kadang bilangan (guru) pun tak mencukupi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Sepanggar, di sini.

Beliau memberi contoh senario sekiranya Sabah memerlukan 500 guru namun hanya ada 200 guru berasal dari negeri itu, maka tidak sesuai untuk menunggu sehingga ada guru berasal dari Sabah untuk mengisi kekosongan itu yang akan menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran. - Bernama

Payudara Terbesar di Dunia Terpaksa Dibuang

Inilah akibatnya jika tidak bersyukur dengan apa yang telah dimiliki. Tak cukup dengan saiz sedia ada, payudara kecil dibesarkan beberapa kali ganda. Akhirnya, dia kehilangan kedua-dua payudara terbesar di dunia itu.


LONDON: Seorang model yang memiliki payu dara paling besar di dunia berkata semalam, dia terpaksa membuang keseluruhan buah dada itu atau mati.

Model kelahiran Brazil yang berusia 30 tahun itu memberitahu akhbar The Sun: “Doktor memberitahu, peluang untuk menyelamatkan satu daripada buah dada saya ialah 80 peratus.

“Tetapi jika saya kehilangan sebelah, apa guna saya simpan sebelah lagi.

“Peluang untuk mengekalkan kedua-duanya ialah antara 10 atau 20 peratus.” Sheyla sebelum ini dilapor menjalani pembedahan semula di Amerika Syarikat selepas payu daranya dijangkiti kuman berikutan pembedahan di Brazil bulan lalu.

Model itu mahu payu daranya dibesarkan semula, pembedahan ke-10, selepas melahirkan anak tahun lalu.

Dia cuba melakukan pembedahan itu di Amerika Syarikat sebelum pulang ke Brazil tetapi doktor enggan membesarkan payu daranya lagi kerana undang-undang Amerika tidak membenarkan penggunaan satu gelen silikon atau lebih dalam implan.

Semalam Sheyla bertemu dengan doktor sekali lagi untuk mengetahui nasibnya. Kuman itu sudah meresap ke dalam saluran darahnya, menyebabkan dia sukar bernafas.

“Ia begitu sakit. Saya cuba mengawalnya dengan memakan ubat. Jangkitan itu seperti barah.

“Satu-satunya cara untuk menyelamatkan nyawa saya ialah dengan membuang tisu payu dara,” katanya.

Sheyla terlalu taksub dengan pembedahan plastik dan pernah menjalani proses menyedut lemak dan pembedahan untuk mencantikan hidung.

Payu daranya disahkan sebagai yang terbesar di dunia oleh Buku Rekod Brazil dan Buku Rekod Dunia Guinness. - Agensi

Sotong Paul Ramal Bakal Presiden Rusia

Nampaknya kerja Sotong Paul tidak terhenti selepas Piala Dunia 2010. Khidmat Paul masih digunakan lagi dan yang terkini, Paul meramal siapakah yang bakal menjadi Presiden Rusia pada pemilihan akan datang.

Berita itu adalah seperti yang didedahkan oleh sebuah akhbar ternama Rusia, Komsomolskaya Pravda semalam mendedahkan, sotong psikik sensasi Piala Dunia 2010, Paul telah pun ditugaskan untuk membuat ramalan siapakah bakal presiden baru negara itu baru-baru ini.

Namun, keputusan daripada hasil tilikan sotong itu yang dijalankan oleh pihak berkuasa Rusia secara rahsia di akuarium Sea Life di Oberhausen, Jerman diarah untuk tidak didedahkan kepada umum sehingga selesai Pilihan Raya Presiden pada 2012.

Akhbar itu melaporkan, Paul seperti dilakukan ketika memilih pemenang antara dua pasukan bertanding, turut diminta memilih antara dua bekas tertera nama calon iaitu Perdana Menteri, Vladimir Putin and Presiden Dmitry Medvedev.

Rakyat Rusia sehingga kini masih keliru dengan keadaan politik negara itu apabila Putin dan Medvedev dilihat sama-sama berkuasa sebelum dua pemimpin itu mengarahkan pilihan raya dibuat bagi menyelesaikan kemelut itu. - Agensi

Maya Karin Bercerai Bukan Sebab Orang Ketiga

Pelakon dan pengacara jelita yang kini berstatus janda, Maya Karin, 31, menafikan kewujudan orang ketiga sebagai punca dalam masalah rumah tangganya sehingga berlaku perceraian.

Katanya, khabar angin bahawa rumah tangganya retak gara-gara dikaitkan hubungan rapat beliau dengan pelakon Remy Ishak sebenarnya tidak mempunyai kaitan dengan apa yang berlaku.

Remy menjadi pasangannya dalam teater Natrah dan filem Cun yang akan ditayangkan tidak lama lagi.

Sehubungan itu, Maya memberitahu, dia tidak akan membuat sebarang sidang media untuk menceritakan lebih lanjut tentang perceraian beliau dengan bekas suami, Muhammad Ali, 41.

Tegas Maya, beliau ingin menutup segala cerita tentang perceraian itu dan tidak mahu mengungkitnya kembali.

“Apa yang rahsia biar saya simpan sendiri kerana saya rasa tidak perlu bercakap tentang perasaan saya.

“Sekarang saya mahu teruskan hidup dan belajar daripada apa yang berlaku,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Katanya, meskipun telah sah bercerai setelah dua tahun berkahwin dengan Muhammad Ali atau Steven David Shorthose, seorang guru Matematik di sebuah sekolah antarabangsa, perjalanan kerjayanya akan diteruskan seperti biasa. (Sumber: Kosmo Online)

Seks Bantu Proses Pulih Minda Suami Isteri

on Saturday, July 17, 2010

Hubungan seks yang kerap walaupun pada kadar setiap hari, tidak akan menimbulkan apa-apa kemudaratan. Hubungan seks dianggap satu proses pemulihan (healing) yang baik untuk minda dan tubuh badan.

Berikut ialah beberapa kelebihan melakukan hubungan seks:
1. Sejenis senaman.
Hubungan seks ialah salah satu bentuk aktiviti fizikal. Ketika hubungan berlaku, berlaku pelbagai perubahan fisilogi yang berlaku dalam badan seolah-olah seperti seseorang lelaki sedang menjalani aktiviti senaman.

Contohnya, semasa hubungan seks, tahap kadar pernafasan akan meningkat. Peningkatan pernafasan dan pernafasan yang dalam akan meningkatkan tahap oksigen dalam badan dan boleh memperbaiki sel-sel yang rosak. Kapasiti paru-paru juga akan meningkat. Begitu juga dengan degupan jantung, ia akan meningkat ketika hubungan seks dan ini akan meningkatkan aliran darah dalam badan.

Ketika hubungan seks, pelbagai otot mengalami kontraksi dan selepas hubungan seks, sering kali saudara dapati saudara letih dan berpeluh. Ini bermakna ada aktiviti fizikal yang membakar kalori berlaku semasa hubungan seks. Dianggarkan, jika saudara melakukan hubungan seks tiga kali seminggu dan setiap kali hubungan memakan masa 15 minit, saudara akan menggunakan 7,500 kalori setahun. Ini umpama saudara berjoging sejauh 120 km. Hormon testosterone yang dikeluarkan ketika hubungan seks juga akan meningkatkan kekuatan otot dan menguatkan tulang.

2. Penawar kesakitan.
Semasa hubungan seksual, sejenis hormon yang dipanggil ‘endophine’ akan dirembeskan. Hormon endophine ini mempunyai fungsi melegakan kesakitan dan sejenis hormon penahan sakit.

Satu kajian dijalankan menunjukkan semasa hubungan seksual terutama semasa orgasma, seseorang tidak akan merasa kesakitan dan selepas hubungan seksual, kesakitan ringan akan berkurangan.

3. Perlindungan kepada kelenjar prostat.
Sebahagian besar dari cecair yang dikeluarkan semasa ejakulasi datangnya dari kelenjar prostat. Hubungan seks yang kerap dapat membantu meningkat produksi cecair yang baru serta dapat mengeluarkan cecair yang berada dalam kelenjar. Jika ejakulasi lama tidak berlaku, akan terjadi pengumpulan cecair dalam kelenjar dan ini boleh menimbulkan inflamasi atau keradangan pada kelenjar prostat.

4. Pengurangan risiko mendapat masalah mati pucuk (ED)
Lima puluh peratus dari lelaki yang berumur lebih dari 40 tahun akan mengalami masalah mati pucuk. Salah satu langkah pencegahan ialah dengan kerap melakukan hubungan seks.

Semasa proses ereksi berlaku, banyak darah dari arteri akan dipamkan ke batang zakar dan darah ini akan membawa oksigen dan nutrien kepada tisu batang zakar.

Proses ini akan mengekalkan kesihatan batang zakar dan ketegangan batang zakar.

5. Mengurangkan stress.
Sudah terbukti dari segi kajian saintifik bahawa hubungan seks yang kerap dapat mengurangkan stress. Ini adalah kerana semasa hubungan seks, badan akan menghasilkan dopamine iaitu sejenis kimia dalam badan yang boleh mengurangkan stress.

Sejenis kimia lagi yang dikenali sebagai oxytocin, juga dirembeskan dan hormon ini bertindak sebagai hormon yang memberi kesan kelegaan serta kesan positif terhadap keinginan dan nafsu seseorang lelaki.

6. Lain-lain kelebihan.
Kajian di negara Barat menunjukkan hubungan seks yang dinikmati dapat mengurangkan risiko penyakit jantung, mengurangkan sakit kepala, mengurangkan kemurungan serta dapat memberi kebaikan pada otot dan sendi. Selain itu, hubungan seks juga dapat mengukuhkan hubungan dan mengeratkan kasih sayang antara pasangan suami-isteri.

Penjelasan daripada Pakar Urologi, Prof Madya Dr Zulkifli Md Zainuddin, Ketua Unit Urologi, Pusat Perubatan UKM, Cheras. (Sumber: Berita Harian 17 Julai 2010)

Skim Latihan Khas Bagi Siswazah Menganggur

Kerajaan hari ini melancarkan satu skim latihan khas bagi melengkapi para siswazah yang baru menamatkan pengajian dan yang masih menganggur dengan kemahiran yang diperlukan oleh industri sejajar dengan matlamat Model Baru Ekonomi (MBE) untuk menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam, berkata melalui skim dikenali sebagai Program Kebolehpekerjaan Siswazah (PKS) itu, siswazah bukan sahaja berpeluang meningkatkan peluang masing-masing bagi mendapatkan pekerjaan, tetapi juga menjadi lebih inovatif dan kreatif, sejajar dengan matlamat MBE.

Katanya RM10.5 juta telah diperuntukkan bagi menjayakan skim itu, yang akan dikendalikan oleh Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) di bawah kementerian berkenaan. 

“Matlamat PKS ialah untuk meningkatkan kemahiran dan kecekapan siswazah bagi menjadikan mereka lebih bersedia untuk memasuki pasaran kerja yang menawarkan gaji lebih tinggi, di samping membantu siswazah yang kurang bernasib baik dalam mendapatkan pekerjaan kerana ketiadaan kemahiran," katanya ketika melancarkan skim itu di sini.

Ketika memperkenalkan MBE Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata MBE akan menjadikan Malaysia lebih berdaya saing di peringkat serantau dan global melalui faedah yang dibawanya kepada semua rakyat Malaysia apabila pendapatan per kapita mereka meningkat daripada AS7,000 sekarang kepada AS$15,000 menjelang akhir dekad ini.

Najib berkata kewujudan negara berpendapatan tinggi bermakna seluruh bidang ekonomi akan menawarkan upah lebih tinggi kerana pertumbuhan yang dicapai bukan sahaja berpunca daripada modal, tetapi juga daripada peningkatan produktiviti melalui penggunaan kemahiran dan inovasi, penyelarasan lebih baik, penjenamaan lebih kukuh dan pematuhan standard antarabangsa dan hak-hak harta intelek.

Dr Subramaniam, yang juga Ahli Parlimen Segamat, berkata PKS akan membina, membantu dan melengkapkan siswazah menganggur dengan kemahiran utama dalam bidang ICT; kecekapan; kemahiran yang boleh dipindahkan termasuk dalam bidang komunikasi, pemikiran analatikal dan penyelesaian masalah; pengalaman bekerja yang relevan; penerokaan laluan baru bagi kerjaya masing-masing; dan penempatan pekerjaan.
Katanya mereka yang menjadi kumpulan sasaran skim itu ialah pemegang diploma dan ijazah yang menganggur sekurang-kurangnya tiga bulan setelah tamat pengajian.

“Kami akan pilih kumpulan pertama seramai 1,000 siswazah bagi program ini dan mereka akan menjalani latihan antara lima dan enam bulan," katanya.

Beliau berkata latihan itu mempunyai tiga komponen - latihan di dalam kelas, secara sangkutan dan penempatan pekerjaan.

“Komponen bekerja secara sangkut mendedahkan mereka kepada persekitaran sebenar alam pekerjaan dan dengan adanya pengalaman melalui bekerja ini, pelatih akan dapat mempraktikkan perkara yang telah mereka pelajari semasa dalam kelas di tempat mereka membuat latihan secara sangkutan nanti,'' katanya.

Dr Subramaniam berkata selain menanggung yuran kursus, kerajaan juga akan memberi elaun bulanan RM500 kepada siswazah terbabit sepanjang tempoh latihan mereka.

Katanya pelatih akan mendapat pekerjaan sebaik saja tamat mengikuti latihan itu.

Beliau berkata siswazah yang berminat menyertai skim itu boleh memuatkan turun borang permohonan dengan melayari laman web www.hrdf.com.my atau menghantar permohonan masing-masing kepadaa PSMB. - BERNAMA

Maya Karin Disahkan Bercerai Talak Satu.

on Friday, July 16, 2010

Pada bulan Jun Lepas Berita Tempatan ada melaporkan yang Maya Karin dan Suaminya telah ke Mahkamah Syariah untuk prosiding berhubung perkahwinan mereka (Rujuk). Ketika itu Maya Karin menjelaskan yang mereka belum membuat sebarang keputusan. Manakala suaminya pula, Steven David Shorthose atau Muhammad Ali menyatakan yang tiada perceraian berlaku.

Bagaimanapun hari ini berita tempatan (mStar) melaporkan yang Maya Karin telahpun disahkan bercerai talak satu dengan suaminya setelah melalui prosiding di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur petang tadi.

Petaling Jaya: Pelakon Maya Karin,31, mengesahkan telah bercerai dengan Muhammad Ali,40, atau nama asalnya Steven David Shorthose, Jumaat.

Keputusan itu diputuskan oleh Hakim Syarie Mohd Amran Mat Zain selepas pasangan itu hadir di hadapannya.

Dalam satu mesej menerusi Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) yang dikirim oleh pegawai syarikat rakaman Satu Entertainment, Azlin Abas, pasangan tersebut membuat kenyataan bersama berhubung penceraian terbabit.

Dalam mesej yang dihantar kepada semua media kira-kira 9.30 malam, Jumaat, Maya dan Muhammad Ali meminta agar privasi mereka tidak diganggu.

Berikut ini disiarkan kenyataan ringkas berkenaan:

"Kami (Maya dan Muhammad Ali) pada hari ini, (16.7.2010) ingin memaklumkan telah mendapat persetujuan bersama untuk bercerai daripada mahkamah syariah.

"Keputusan kami untuk berpisah dilakukan selepas membuat banyak pertimbangan selain mencari penyesalan mendalam.

"Kami percaya keputusan ini menandakan masalah ini ditutup dan kami sangat menghargai jika privasi kami dapat dihormati tanpa sebarang spekulasi oleh pihak media pada masa hadapan," kata mereka.

Sumber berita: mStar.com.my

Kes Badrul Muhayat: Isteri Tuntut Cerai

PETALING JAYA: Isteri pelakon Badrul Muhayat,42, iaitu Julia Daud,29, kecewa dengan sikap suaminya dan sudah tidak mampu lagi untuk menyembunyikan kepedihan hatinya sejak berkahwin dengan pelakon itu.

Julia berkata, dia nekad untuk menuntut cerai daripada suaminya kerana tidak tahan dipukul selain kegagalan suaminya itu menguruskan nafkah anak.

“Saya tetap mahu menuntut cerai kerana sudah tidak tahan lagi dengan perangainya. Kali ini saya nekad,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini, Khamis.

Menurut ibu kepada dua orang anak ini, dia sudah ke Pejabat Agama Islam Hulu Langat, semalam, untuk membuat tuntutan cerai kerana ia merupakan jalan yang difikirkan baik bagi menyelesaikan kemelut yang berlaku.

"Saya sudah ke pejabat agama dan nekad untuk bercerai. Kali ini saya tidak mahu mendapatkan apa-apa kaunseling lagi kerana saya benar-benar sudah serik dengan apa yang dia lakukan kepada saya dan anak kami selama ini,” katanya.

Jelas Julia dia layak untuk membuat tuntutan cerai kerana sudah tiga bulan suaminya tidak pulang ke rumah, gagal memberi nafkah anak dan sering memukulnya.

Dalam pada itu, Julia yang sudah empat tahun mendirikan rumah tangga bersama pelakon tersebut memberitahu terpaksa melalui kehidupan menyedihkan sepanjang mereka menjadi pasangan suami isteri.

"Selama empat tahun tidak ada apa yang membahagiakan saya selain menderita bersama dia.

"Dia tidak mahu melepaskan saya dengan cara baik sehingga membuatkan hidup saya jadi rimas dan menyusahkan. Saya juga susah hendak bekerja kerana sering diganggu," ujarnya.

Julia pada Isnin lalu sekali lagi membuat laporan polis di Balai Polis Ampang Jaya terhadap Badrul yang didakwa mengasari dan merampas wang jaminan mahkamah berjumlah RM2,500.

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 4 petang itu bermula apabila Badrul menghubungi seorang wanita yang juga penjamin kesnya untuk bertanyakan wang jaminan tersebut.

Wang berkenaan telah dimasukkan ke dalam akaun penjamin atas perintah mahkamah sebaik mahkamah membuat keputusan kes Badrul dan Julia Isnin lalu.

Mahkamah memerintahkan Badrul membayar kompaun kepada Julia sebanyak RM1,000.

Bagaimanapun difahamkan Badrul tidak berpuas hati dan meminta wang tersebut diserahkan kepadanya walaupun dihalang Julia sehingga berlaku kekasaran menyebabkan Julia terpaksa membuat laporan polis.

Kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

(Sumber: mStar)

Harga Petrol, Diesel, Gas dan Gula Naik Lagi

on Thursday, July 15, 2010

Harga petrol, diesel dan gula naik lagi! Macam sedap bunyinya, tapi seksa menanggungnya. Tapi nak buat macam mana, itulah kenyataan yang diumumkan.

1.Kenaikan harga petrol dan diesel
Kenaikan harga petrol RON95 dan diesel adalah sebanyak 5 sen berkuat-kuasa tengah malam ini. Hanya harga petrol RON97 masih kekal pada harga siling RM3 setiap liter.

2. Kenaikan Harga Gas
Harga gas petroleum cecair (LPG) turut mengalami kenaikan sebanyak 10 sen sekilogram.

3. Kenaikan harga gula.
Harga gula juga dinaikkan sebanyak 25 sen setiap kilogram selaras dengan usaha kerajaan mengurangkan kos subsidi yang tinggi ditanggung kerajaan sekarang.

Syarat Baru Tarik Kenderaan Bila Akta Dipinda

KUALA LUMPUR: Institusi kewangan tidak dibenarkan untuk menarik kenderaan yang gagal membuat bayaran bulanan sekiranya penyewa telah melunaskan lebih 75 peratus daripada jumlah pinjaman sewa belinya apabila Rang Undang-Undang Sewa Beli (Pindaan) 2010 diwartakan kelak. Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dengan pindaan syarat itu, institusi kewangan perlu mendapatkan perintah mahkamah sebelum boleh menarik kenderaan tersebut.

"Pemunya (institusi kewangan) hanya boleh melaksanakan proses pengambilan semula melalui perintah mahkamah jika penyewa (pemilik kenderaan) telah membayar lebih daripada 75 peratus daripada jumlah keseluruhan harga tunai barangan tersebut yang dinyatakan di dalam perjanjian sewa beli berasaskan bayaran ansuran bulanan mereka," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Ismail Sabri yang menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Sewa Beli (Pindaan) 2010 berkata, sebelum ini kerajaan hanya menetapkan syarat 'satu pertiga' ke atas pemunya (institusi kewangan) berhubung dengan pemilikan semula di bawah Akta Sewa Beli 1967.

Perundangan sekarang menjelaskan pengambilan semula barangan oleh pihak pemunya boleh dilaksanakan apabila penyewa gagal menjelaskan bayaran ansuran sebanyak dua kali dan notis bertulis telahpun diserahkan kepada pihak penyewa.

"Antara keperluan threshold (sewa beli) ini dipinda bagi mengelakkan pertambahan bebanan kes di mahkamah sekiranya threshold terdahulu dikekalkan," katanya.

Ismail Sabri berkata, perubahan threshold itu juga dilihat akan membantu rakyat bagi mendapatkan pinjaman kenderan daripada industri perbankan dengan mudah memandangkan syarat terkini lebih munasabah dan praktikal.

Bagaimanapun beliau berkata pemunya boleh melaksanakan pengambilan semula barangan tanpa perintah mahkamah, jika penyewa membayar kurang 75 peratus daripada jumlah keseluruhan harga tunai barangan tersebut yang dinyatakan di dalam perjanjian sewa beli.

Mengenai isu penarik kereta, Ismail Sabri berkata rang undang-undang itu turut mencadangkan kaedah pemberian permit diperkenalkan bagi mengawal selia aktiviti pengambilan semula oleh penarik kenderaan.

Katanya, bagi memastikan aktiviti pengambilan semula itu dibuat dengan beretika, kerajaan meningkatkan penalti daripada RM3,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali kepada denda tidak melebihi RM100,000 terhadap mana-mana syarikat yang didapati melanggar peraturan akta berkenaan. Selain itu, denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya boleh dikenakan terhadap orang perseorangan yang melakukan kesalahan sama.

Ismail Sabri juga berkata, rang undang-undang itu bertujuan mengatasi masalah dalam amalan membayar wang tempahan untuk kenderaan yang ditempah.

"Masalah timbul apabila terdapat segelintir pihak yang menggunakan kelemahan perundangan sedia ada dengan tidak mengembalikan semula 'booking fees' (wang pendahuluan) sekiranya terdapat pembatalan penempahan. Terdapat juga kes di mana ejen menipu orang ramai dengan menggelapkan kesemua 'booking fees' daripada pelanggan yang berurusan dengan mereka," katanya.

Selaras itu, pindaan akta berkenaan memperuntukkan tanggungjawab sepenuhnya kepada pihak pengedar kenderaan untuk memulangkan semula bayaran tempahan sekiranya terdapat pembatalan dari mana-mana pihak selain menjadikan bayaran tempahan sebagai sebahagian daripada bayaran deposit.

Rang Undang-Undang itu kemudian diluluskan.Persidangan dewan bersambung esok. (Sumber: mStar)

Kesihatan Latifah Omar Semakin Pulih

on Tuesday, July 13, 2010

PETALING JAYA: Keadaan kesihatan primadona filem Melayu, Latifah Omar,72, berada dalam keadaan baik selepas mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) Cheras, Jumaat lalu.

Timbalan Presiden Seniman, Shahriza Mahmud berkata, pelakon itu sedang berehat di rumah anaknya yang terletak di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, dekat sini.

“Selepas keluar hospital, dia berehat sahaja di rumah dan buat masa ini dia tidak mahu diganggu,” katanya ketika dihubungi Isnin.

Jumaat lalu Latifah atau nama sebenarnya Fatimah Omar yang popular menerusi filem bawang Putih Bawang Merah dimasukkan ke hospital kerana dipercayai mengalami cirit birit dan muntah-muntah.

Bagaimanapun dia hanya berada di hospital itu beberapa jam sahaja sebelum dibenarkan keluar.

Kata Shahriza, sebelum ini Persatuan Seniman pernah membantu pelakon itu yang dimasukkan ke Pusat Perubatan Kampung Baru selepas terjatuh di rumah anaknya.

Bagaimanapun pelakon itu enggan menerima kunjungan peminat ataupun artis-artis lain yang mahu melawatnya kerana mahu berehat.

Juara Piala Dunia 2010

on Monday, July 12, 2010

Juara Bola Sepak Piala Dunia 2010 Afrika Selatan (FIFA World Cup 2010) akhirnya menjadi milik Sepanyol (Spain) apabila berjaya mengalahkan Belanda di perlawanan akhir di Soccer City awal pagi tadi (waktu Malaysia) dengan gol 1-0, hasil jaringan Andrés Iniesta pada minit ke 116. Dengan kemenangan ini, Sepanyol telah menempatkan nama sebagai salah sebuah negara yang memenangi Piala Dunia FIFA.

Gambar: Pemain Sepanyol meraikan kejayaan menjulang trofi Piala Dunia 2010 FIFA mengalahkan Belanda di peringkat akhir di Stadium Soccer City, Johannesburg, awal pagi ini

Kisah Seram Aokigahara

on Sunday, July 11, 2010

Hutan purba jadi lokasi tumpuan penduduk Jepun membunuh diri

BAGI segelintir orang, hutan adalah tempat cukup menenangkan tetapi bagi sebahagian yang lain, ia boleh menjadi sesuatu yang menakutkan terutama apabila dikaitkan dengan tempat penginapan makhluk halus.

Bagi golongan kedua, sebuah hutan di Jepun, Aokigahara atau dirujuk juga sebagai Laut Pokok yang terletak di kaki Gunung Fuji perlu dielakkan kerana didakwa penduduk serta pelancong banyak berlaku fenomena luar biasa di kawasan berkenaan. 


Aokigahara adalah hutan purba yang dilaporkan berhantu berikutan banyak cerita dongeng tempatan berkaitan makhluk aneh, gergasi serta hantu di situ, sekali gus menambah perisa kepada reputasinya yang memang menakutkan.

Tanahnya berbatu dan sukar ditembusi peralatan seperti penyodok, manakala kira-kira satu kilometer ke dalam hutan berkenaan, boleh ditemui tulang manusia yang dipercayai berusia ratusan tahun berserakan yang menandakan kehadiran haiwan pemangsa.

Roh mereka yang mati dikatakan kerap ditemui golongan yang cukup berani meneroka ke dalam Aokigahara, namun kisah paling popular ialah mengenai besi magnetik bawah tanah di kawasan terbabit yang menyebabkan kompas tidak berfungsi dan pelancong tersesat dalam hutan.

Bagaimanapun, kisah itu nyata pembohongan besar kerana Tentera Jepun dan Tentera Amerika selalu mengadakan latihan di dalam hutan berkenaan dengan kompas digunakan mereka berfungsi baik, begitu juga dengan peralatan elektronik lain.

Aokigahara bukan saja popular dengan Gua Ais dan Gua Angin yang menjadi tarikan utama pelancong tetapi juga dikatakan tumpuan utama mereka yang mahu membunuh diri. Ia dilaporkan lokasi bunuh diri ketiga paling popular di dunia selepas Jambatan Gerbang Emas di San Francisco, Amerika Syarikat dan Bloor Street Viaduct di Toronto, Kanada.

Sejak 1950-an, lebih 500 orang menemui ajal di hutan berkenaan, kebanyakannya membunuh diri. Purata 30 kes bunuh diri dilaporkan di hutan itu setahun, malah pada 2002 sebanyak 78 mayat ditemui dalam hutan berkenaan, menggantikan rekod sebelumnya iaitu 73 pada 1998.

Kebanyakan yang membunuh diri adalah lelaki, mewakili lebih 71 peratus kes yang dilaporkan pada 2007. Jumlah kes membabitkan golongan berusia lebih 60 tahun juga tinggi tetapi mereka yang berusia lingkungan 30-an adalah kumpulan paling berkemungkinan mengambil tindakan itu, malah bunuh diri juga punca utama kematian penduduk berusia bawah 30 di Jepun.

Kadar bunuh diri yang tinggi mendorong pihak berkuasa menaikkan papan tanda, menggesa mereka yang mahu menamatkan riwayat di hutan itu supaya mendapatkan bantuan. Pihak berkuasa juga melakukan gerakan mencari di hutan itu setiap tahun sejak 1970, disertai polis, sukarelawan dan wartawan.

Bagaimanapun, semua kejadian itu tidak pernah mengganggu golongan yang sukakan cabaran untuk terus meneroka hutan penuh misteri terbabit. Kebanyakan pengunjung menandakan laluan mereka dengan meninggalkan plastik warna bagi mengelak tersesat, namun ada pula masalah kerana tindakan itu menimbulkan kebimbangan mengenai ekosistem hutan itu.

Misteri Aokigahara juga mendorong seorang pengarah, Takimoto Tomoyoki mengarahkan sebuah filem bertajuk Jyukai - Laut Pokok Di Belakang Gunung Fuji. Ia mengenai kisah empat orang yang memutuskan untuk membunuh diri dalam hutan berkenaan.

Ketika mencari tempat sesuai untuk penggambaran filemnya, pengarah itu memberitahu wartawan dia menemui dompet mengandungi wang tunai 370,000 yen (RM13,421), tambah merancakkan lagi khabar angin popular mengenai kehadiran haiwan pemangsa di hutan terbabit. (Sumber: Berita Harian)

Keputusan Piala Dunia: Jerman 3 Uruguay 2


PORT ELIZABETH: Jerman menewaskan Uruguay 3-2 pada perlawanan penentuan tempat ketiga Piala Dunia 2010 di Stadium Nelson Mandela Bay awal pagi tadi.

Jerman dan Uruguay masing-masing terikat pada kedudukan 2-2 sehingga minit ke 80.

Bagaimanapun hasil tandukan Sami Khedira pada minit ke-82 memastikan Jerman memenangi tempat ketiga Piala Dunia 2010.

Kemenangan tempat ketiga itu merupakan kali kedua berturut-turut bagi pasukan anak didik Joachim Loew.

Arja Lee Berbogel Depan Kamera

on Tuesday, July 06, 2010

PETALING JAYA: Perbuatan pelakon baru Arja Lee yang mengaku berbogel dalam filem ...Dalam Botol adalah satu kesalahan bukan sahaja melibatkan agama sebaliknya undang-undang.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom akan meminta pihak bertanggungjawab seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memantau dan mengambil tindakan yang bersesuaian sama ada dalam bentuk peringatan atau dalam bentuk lain kepada pihak terbabit.

"Di sudut undang-undang juga salah untuk tidak berpakaian," katanya kepada Bernama, Isnin.

Akhbar Mingguan mStar yang diterbitkan dalam Sunday Star, Ahad lalu melaporkan, Arja Lee atau nama sebenarnya Azharudin Ramli yang memegang watak transeksual bernama Ruby dalam filem itu sanggup berbogel untuk memastikan lakonannya lebih realistik.

Kata Arja, keputusan berbogel itu dibuat selepas dia tidak berpuas apabila wataknya yang sedang mandi itu tidak kelihatan sempurna ketika dia memakai seluar dalam.

"Saya yang bersetuju untuk berbogel tetapi jangan terkejut anda semua tidak nampak "anu" saya kerana saya sudah "menyembunyikannya"," katanya dalam akhbar itu.

Sementara itu penerbit filem berkenaan Raja Azmi berkata, niatnya menerbitkan filem itu adalah untuk berdakwah kerana ...Dalam Botol memberi mesej yang baik kepada penonton berdasarkan kepada kisah benar seseorang yang diadaptasikan dalam bentuk filem. (Sumber: mStar online)

Blogger Draft Kini Menyediakan Kemudahan Statistik

on Monday, July 05, 2010

Ini merupakan satu berita baik kepada pengguna-pengguna blogspot di mana sudah terdapat kemudahan statistik pada dashboard blog masing-masing. Kemudahan stats ini dapat menunjukkan analisis keseluruhan post, sumber trafik, reffering site, keyword dan juga pelawat.


Untuk menggunakan kemudahan Stats/Analytics ini, pengguna perlu login di draft.blogger.com. Pada paparan dashboard, klik menu Stats.


Pengguna akan diperlihatkan empat jenis data yang dipaparkan pada Stats/Analytics, iaitu: Overview, Posts, Traffic Sources dan Audience. Overview menunjukkan data secara keseluruhan yang terdiri daripada Posts, Traffic Sources dan Audience tadi.

Berikut pula adalah paparan pada Audience. Pada bahagian audience pengguna akan dapat mengetahui negara pelawat, jumlah pageviews berdasarkan browser dan jumlah pageviews berdasarkan operating system (OS).


Rasanya kemudahan Stats pada blogspot ini sudah cukup lengkap dan dapat digunakan untuk melihat statistik blog. Jadi ada baiknya pengguna membuang widget-widget stats/analytics lain.

Mohd Juara Mentor Musim Ke-4

on Sunday, July 04, 2010

Setelah berhempas pula untuk persediaan persembahan pada malam penentuan hari ini, akhirnya Mohdatau sebenarnya Mohd Izwan Mohd Nor, protege kepada Ziana Zain telah dinobatkan sebagai Juara Mentor Musim ke-4 yang disiarkan di TV3. Tahniah kepada Mentor dan Protege!

Selain Mohd, dua protege yang turut bertanding pada peringkat akhir termasuklah Adi (tempat kedua) dan Nani (tempat ketiga).

Berikut adalah info Protege yang bertanding di peringkat akhir tersebut:


Mentor: Azmeer
Nama Penuh : Nurhadzwani Salleh
Nama Panggilan : Nani
Umur: 24
Tarikh Lahir: 17 September 1986
Pekerjaan: Jurutera
Tinggi/Berat : 164 sm/62 kg
Lagu final: Terhenti Di Tanda Koma (lagu baru), medley Suci Dalam Debu dan Livin’ Da Vida Loca serta duet bersama Ramli Sarip membawakan medley Istilah Bercinta dan Jikalau Berkasih

Mentor : Ziana Zain
Nama Penuh : Mohd Izwan Mohd Nor
Nama Panggilan : Mohd
Tarikh Lahir :8 Oktober 1988
Asal : Johor
Tinggi/Berat : 186sm/57kg
Hobi : Bola sepak
Lagu final: Cinta (lagu baru), Tragedi Oktober dan Itu Kamu, selain berduet dengan juara Mentor musim Ke-2, Fiq menerusi 3 Malam Tanpa Bintang dan Bujang Senang

Mentor : Dayang Nurfaizah
Nama Penuh : Adi Hamiz Johar
Nama Panggilan : Adi
Umur : 23
Tarikh Lahir : 20 Mei 1987
Tinggi/Berat: 179 sm/72 kg
Lagu final: Tafsirkan Cinta (lagu baru), Kenangan Terindah dan Suatu Janji serta duet dengan Aizat menerusi Hanya Kau Yang Mampu

Siapa Juara Mentor Musim ke-4

PERMULAAN yang sarat kontroversi dan pertikaian namun program realiti Mentor gigih membelah cabaran dan malam ini, detik penentuan siapa antara tiga protege iaitu Nani, Adi dan Mohd bakal menjulang gelaran juara. Sulit untuk menelah siapa yang bakal mengikut jejak Pija, Fiq dan Black kerana setiap finalis memiliki keistimewaan tersendiri, sesuatu yang pasti Mentor 4 bakal melahirkan sebutir lagi bintang sebagai penyeri industri muzik.

Persoalannya, mampukah mereka bertahan lama seiring populariti mentor yang memainkan peranan penuh tanggungjawab dan amanah untuk mendidik bakat baru ini? Mohd atau nama lengkapnya, Mohd Izwan Mohd Nor, 22, berkata, semua itu bukan sesuatu yang mustahil jika diiringi kesungguhan dan kerja keras.

Protege kepada Ziana Zain ini tidak menafikan populariti mentornya memberi sedikit kelebihan untuk dia meraih undian peminat.

Bagaimanapun kata Mohd, tidak selamanya dia akan selesa dengan situasi itu kerana perjuangan sebenar hanya bermula selepas pertandingan itu berakhir.

“Saya melihat populariti Kak Ziana sebagai batu loncatan untuk peminat mengenali bakat dan siapa saya. Tanpa dirinya dan Mentor, mungkin sukar untuk saya menembusi bidang seni. Tetapi saya tidak boleh terus selesa begitu. Selesai pertandingan, saya harus bijak merencana peluang dan memperbaiki diri kerana persaingan di luar sangat besar serta lebih mencabar,” katanya.

Apa juga tanggapan negatif diberikan kepadanya, Mohd menerima dengan hati terbuka tanpa perlu pantas menyerah kalah.

Baginya, dia cuma mahu menjadi diri sendiri dan kejayaan tidak sesekali membuat dia lupa dari mana asal kelahirannya.

“Kak Ziana selalu berpesan supaya menjadi jujur dan jangan sesekali hipokrit kerana lambat laun kebenaran akan menyerlah juga.

Saya sendiri masih mentah, jadi saya tidak mahu berlagak pandai tanpa mempedulikan nasihat orang yang lebih berpengalaman.

“Alhamdulillah dengan bimbingan dan tunjuk ajar Kak Ziana, saya perlahan-lahan belajar memahami tuntutan industri hiburan,” katanya.

Sementara itu, protege Azmeer, Nani atau Nurhadzwani Salleh, 24, mengakui pada permulaan pertandingan, dia berdepan kejutan di luar jangkaan.

Sangkanya Azmeer hanya tegas dan garang di kaca televisyen. Tetapi apabila berdepan dengan komposer Cinta Adam & Hawa itu, ternyata Azmeer serius dalam pekerjaannya.

Memandangkan masa yang terbatas, tempoh empat bulan itu dimanfaatkan gadis keturunan Melanau ini untuk mengumpul sebanyak mungkin ilmu daripada Azmeer.

“Jujur saya agak panik kerana terlalu banyak yang perlu dikuasai dalam masa singkat tetapi Alhamdulillah, perlahan-lahan saya semakin bersedia menerimanya. Kritikan pada konsert pertama apabila juri menilai saya bukan penghibur yang baik menjadi pembakar semangat untuk saya berusaha keras.

“Saya sendiri tidak menyangka mampu bertahan ke final kerana undian untuk saya pada permulaan konsert kurang memberangsangkan,” katanya.

Melihat kekuatan Mohd pada kelantangan vokal dan kesempurnaan nyanyiannya, manakala Adi kental dengan penghayatan, Nani berkata, apa yang dicarinya ketika ini adalah keselesaan ketika membuat persembahan. Barangkali pada permulaan pertandingan, dia masih tercari-cari dirinya namun kebelakangan ini jati dirinya sebagai penyanyi semakin menyerlah.

“Saya selesa memilih lagu genre rock R&B kerana irama seperti itu cocok dengan kemampuan vokal serta selera nyanyian,” katanya.

Bagi Adi, anak didik Dayang Nurfaizah, Mentor menyuntik keyakinan kepada dirinya untuk mempelbagaikan genre nyanyian serta berani mengambil cabaran sebagai penyanyi versatil.

Akui anak kelahiran Sarawak yang memiliki nama berdaftar, Adi Hamiz Johar, 23, Dayang membuka mindanya supaya berani berdepan cabaran dan menerimanya sebagai latihan untuk bergelar insan seni berwibawa.

Pengalaman Dayang menyertai pertandingan realiti, One In A Million tidak lama dulu dimanfaatkan untuk berkongsi dengan Adi repertoire lagu yang dapat membuka mata khalayak untuk melihat kekuatan bakatnya.

“Baru saya faham kenapa setiap minggu saya harus mencuba genre yang pelbagai. Menjadi penyanyi bererti saya menghiburkan orang, jadi saya harus memahami kehendak serta selera peminat. Seperkara yang sering saya lakukan, setiap kali selesai pertandingan saya akan berjumpa juri secara peribadi untuk mendapat pandangan dan nasihat.

“Daripada situ, pemikiran saya bercambah kerana pelbagai faktor yang dilihat juri tatkala melakukan penjurian,” katanya yang selesa membawakan lagu pop R&B dan pop rock.

Final Mentor yang akan berlangsung di Dewan MBSA, Shah Alam jam 9 malam ini menawarkan juaranya wang tunai RM 100,000 dan trofi manakala naib johan protege dan mentor pula memenangi wang tunai, RM 30,000 dan trofi. Tempat ketiga tidak pulang tangan kosong apabila menerima RM10,000 untuk protege dan mentor.

Format pemarkahan pada malam kemuncak masih mengekalkan kepada tiga bahagian iaitu 50 peratus daripada juri profesional, 30 peratus menerusi undian SMS dan 20 peratus lagi juri awam.


Komen mentor

Ziana Zain

MELIHAT Mohd sebagai seorang bakat muda yang lurus dan mudah dilentur, Ziana berbangga kerana anak muda dari Johor itu sentiasa positif dalam menerima setiap apa yang diajar.

Menyenangi sikap merendah diri Mohd serta kesungguhannya dalam menggali ilmu, Ziana berkata, dia memperjudikan nasib apabila mengambil protegenya itu bagi mengganti Thalia yang terpaksa digugurkan.

“Saya berserah kepada ketentuan takdir dan rezeki, selebihnya menjalankan amanah yang diberikan dengan ikhlas dan penuh tanggungjawab.
“Saya sentiasa berfikiran positif dan percaya, apa juga dugaan pasti diakhiri dengan kebaikan. Alhamdulillah, inilah yang berlaku kepada Mohd dalam Mentor,” katanya.

Akur kelemahan Mohd masih kuat terutama dari aspek komunikasi dan interaksi dengan khalayak, Ziana bagaimanapun, selesa apabila pemuda itu semakin matang mengendalikan cita-citanya.

Kebelakangan ini, Mohd sudah mula menyumbang idea dan itu kata Ziana, cukup menyenangkan dirinya. Untuk final, fokus utama Ziana kepada pemilihan lagu yang dapat menyerlahkan kekuatan vokal dan persembahan Mohd.

Dayang Nurfaizah

MELETAKKAN piawaian tinggi untuk anak didiknya, Adi, Dayang bagaimanapun enggan memberi tekanan hingga menjejaskan tumpuan pemuda itu. Akuinya, jika ditakdirkan Adi gagal ke final sekali pun dia bersedia menerima kenyataan itu kerana ia bukan penamat kepada perjuangan.

“Adi sering membiarkan fikirannya dikuasai oleh banyak perkara hingga menjejaskan tumpuannya kepada pertandingan.

“Saya sentiasa cuba menanam sesuatu yang positif supaya Adi tidak terbawa dengan setiap masalah yang dihadapi. Ke final bukan hanya soal kemenangan tetapi bagaimana Adi membuat persembahan yang memberi kepuasan kepada khalayak.

“Pada permulaan pertandingan agak sukar untuk mengubah cara nyanyian Adi tetapi perlahan-lahan dia belajar menerima teguran. Adi memiliki kelebihan pada nada suaranya. Bagaimanapun, pada awalnya dia enggan mempelbagaikan teknik persembahan. Sedangkan kata Dayang, tuntutan Mentor memerlukan Adi memberikan persembahan yang di luar kotak keselesaannya.

“Itu yang sering saya jelaskan kepadanya kerana Mentor membentangkan ruang untuk dia meneroka segala kesempatan yang ada.
Saya tidak mahu mengambil jalan selamat kerana ini masanya untuk Adi menyerlahkan kelebihan dan kekuatannya,” kata Dayang.

Azmeer

KAGUM dengan kekuatan dan keupayaan Nani menerima setiap apa yang diberikan kepadanya, Azmeer memuji gadis itu kerana pantas mempersiapkan diri untuk bergelar artis profesional.

“Aset paling besar Nani ialah kualiti suaranya yang serak membuatkan saya tertarik untuk mengasah kemampuannya. Saya menerima Nani atas kapasiti apa yang saya mampu lakukan untuk membentuk dia sebagai penyanyi. Boleh saja saya memilih mereka yang sudah benar-benar bersedia dan berpotensi untuk menang, tetapi saya tidak mahu mementingkan diri.

“Nani memiliki suara yang unik kerana vokal seraknya itu apabila mencapai nada tinggi masih dibalut kelembutan walaupun nyaring. Cuma masalah Nani dia tidak boleh berlatih berlebihan. Jika itu dilakukan, nyanyiannya akan tumpul dan ini akan mengganggu persembahannya,” katanya yang berpuas hati kerana sehingga ini Nani sudah mampu menguasai 90 peratus ilmu diperturunkan. Azmeer akui berbangga kerana anak didiknya itu semakin matang dari segi penguasaan vokal, penampilan dan persembahan.


Info:

Mentor: Azmeer
Nama Penuh : Nurhadzwani Salleh
Nama Panggilan : Nani
Umur: 24
Tarikh Lahir: 17 September 1986
Pekerjaan: Jurutera
Tinggi/Berat : 164 sm/62 kg
Lagu final: Terhenti Di Tanda Koma (lagu baru), medley Suci Dalam Debu dan Livin’ Da Vida Loca serta duet bersama Ramli Sarip membawakan medley Istilah Bercinta dan Jikalau Berkasih

Mentor : Ziana Zain
Nama Penuh : Mohd Izwan Mohd Nor
Nama Panggilan : Mohd
Tarikh Lahir :8 Oktober 1988
Asal : Johor
Tinggi/Berat : 186sm/57kg
Hobi : Bola sepak
Lagu final: Cinta (lagu baru), Tragedi Oktober dan Itu Kamu, selain berduet dengan juara Mentor musim Ke-2, Fiq menerusi 3 Malam Tanpa Bintang dan Bujang Senang

Mentor : Dayang Nurfaizah
Nama Penuh : Adi Hamiz Johar
Nama Panggilan : Adi
Umur : 23
Tarikh Lahir : 20 Mei 1987
Tinggi/Berat: 179 sm/72 kg
Lagu final: Tafsirkan Cinta (lagu baru), Kenangan Terindah dan Suatu Janji serta duet dengan Aizat menerusi Hanya Kau Yang Mampu 

Sumber: Berita Harian
 
© Just Another Story All Rights Reserved