KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa penulis blog supaya berpegang teguh dengan kod etika untuk menulis perkara benar demi kebaikan masyarakat supaya mereka dan blog masing-masing lebih dihormati.
Bekas perdana menteri itu berkata, kod etika itu perlu diwujudkan secara sukarela demi kebaikan penulis blog sendiri kerana ia bakal membina reputasi mereka di mata orang ramai.
Dr Mahathir, yang juga seorang penulis blog berkata, masyarakat kini mempunyai akses kepada blog, satu medium yang hampir di luar kawalan mana-mana pihak berkuasa dan jika mereka mematuhi kod etika untuk menulis perkara yang benar saja, lebih ramai orang akan membacanya.
Jika kita bersandarkan kepada kod etika sebegini dalam setiap penulisan kita, saya fikir lama-kelamaan, orang ramai akan menghormati blog. Jika kita tidak menulis perkara yang benar, mereka akan meninggalkannya seperti yang berlaku kepada media biasa ketika ini, katanya dalam ucaptama pada persidangan Blogger Asia dan Media Sosial 2010 di sini, semalam.
Persidangan dua hari itu dihadiri 400 peserta dari benua Asia.
Dr Mahathir berkata, walaupun blog menyediakan ruang bagi kebebasan menulis apa dikehendaki secara mutlak, namun penulisnya masih perlu bertanggungjawab terhadap penulisan mereka serta tidak menyalahgunakannya.
Tidak boleh menyatakan perkara buruk atau memaki hamun orang lain, jangan buat begitu, orang akan marah dan mereka boleh mengambil tindakan terhadap kita. Kita mesti ada bukti untuk setiap yang kita nyatakan, katanya.
Beliau berkata, penulis blog mempunyai kelebihan dari segi kebebasan, namun mereka mesti menggunakannya dengan penuh tanggungjawab bagi membentuk pemikiran ke arah membina masyarakat dunia lebih baik demi kebaikan umum.
Tidak ada sesiapa boleh menghalang atau membetulkan kita, kerana kita berkuasa (kerana) kitalah penulis, penyunting dan juga penerbit. Apabila memiliki senjata, jangan gunakan (untuk menembak) sesuka hati. katanya.
Beliau berkata, sesetengah blog amat bagus, namun ada tidak berguna, justeru kemahiran diperlukan bagi mengenal pasti kebenarannya. BERNAMA
{ 2 Respon... read them below or add one }
Assalamualaikum...
Betulah tu, seperti yang diperkatakan dalam forum tu.. tapi kadang kala bercakap benar atau menulis kebenaran akan menerima tekanan pihak2 tertentu dan akan dituduh menyebarkan fitnah, boleh juga dikenakan I.S.A
Saya ada melihat dan membaca sebuah blog yang penuh dengan kata2 cacian dan tiada sifat berbudi bahasa. Maki hamun ikut sedap politik sahaja... Saya juga ada menyalin gambar yang kemungkinan diubahsuai oleh blogger itu. Pada gambar itu memaparkan wajah Tuan Guru Nik Aziz dan kata2 : "Menipu itu satu ibadah...".
Dah terang lagi bersuluh. Walaupun negeri Kelantan ditadbir oleh Parti Islam SeMalaysia, namun saya yakin bahawa pemimpin di negeri itu tidak akan buat sesuatu yang bodoh seperti dalam gambar yang telah diubahsuai itu, yang mungkin dibuat sama ada oleh blogger itu sendiri ataupun orang lain.. Inipun dikira fitnah dan menulis perkara yang tidak benar.
Walaupun saya tidak mengundi PAS, tapi saya sangat benci dengan kempen memburuk-burukkan orang lain yang berlainan parti politik. Dengan gaya bahasa seperti orang kampung yang tidak berilmu, tidak bersekolah dan tidak berakal, ayat-ayat yang digunakan dalam blog tersebut amatlah menjelikkan perasaan pembaca yang waras.
7/29/2010 5:28 PM
@Ahmad Zaki,
memang betul, sayapun banyak kali terjumpa blog yang mengandungi banyak kata cacian, terutamanya yang melibatkan hal-hal politik. Mujurlah kita sebagai pembaca yang berfikiran mampu mengklasifikasikan penulisan itu jenis yang macam mana.. apapun, harap kita tidak tergolong daripada penulis seperti itu
8/01/2010 1:08 AM
Post a Comment