WASHINGTON: Kepelbagaian kaum dan budaya di Malaysia merupakan aspek yang penting dalam masyarakat di negara ini, kata isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
"Ini adalah identiti kami, imej kami, selain kekuatan kami, yang sebaliknya, menyediakan asas yang kukuh untuk kejayaan politik, sosial dan ekonomi negara kami," katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Festival Wajah-wajah 1Malaysia, yang dianjurkan oleh Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan di bangunan National Geographic Society di sini, hari ini.
Festival dua hari itu bertujuan mempromosi makanan kegemaran di Malaysia, lagu-lagu dan persembahan kebudayaan pelbagai kaum, dilengkapi dengan demonstrasi kraftangan serta promosi pelancongan.
Duta Esther Coppersmith mewakili kerajaan Amerika Syarikat pada majlis itu, yang digelar sebagai "Lambang persahabatan antara dua negara."
Mengenai festival Wajah-wajah 1Malaysia yang julung kali diadakan, Rosmah berkata selain memaparkan kekayaaan warisan tradisi yang menjadikan Malaysia sebuah negara yang sungguh istimewa, festival itu turut membuktikan keakraban, persahabatan dan kesetiakawanan Malaysia-Amerika Syarikat.
Majlis itu, yang dikendalikan oleh juruacara majlis Datuk Mahadzir Lokman, bermula dengan tayangan multimedia pendek mengenai "Malaysia Truly Asia", diikuti dengan "Tarian Selamat Datang" dan joget "Johor Sport Club."
Pemain piano cilik Malaysia Tengku Ahmad Ifran Tengku Ahmad Syahrizal daripada Permata Seni Muzik mempersembahkan lagu "Tanah Pusaka" manakala penyanyi remaja Ikhwal, 17, memukau pengunjung dengan dendangan lagu yang dipopularkan oleh M Nasir "Mentera Semerah Padi".
Persembahan penuh bertenaga "Dikir Bertingkah" oleh 10 kanak-kanak berusia 7 hingga 11 tahun, dari Tunas Budaya memeriahkan festival itu apabila hadirin ikut sama menari.
Ini segmen pertama festival. Segmen kedua akan dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak esok di Mandarin Oriental Hotel di sini.
Malam Gala Wajah-wajah 1Malaysia itu akan dihadiri oleh jemputan khas, termasuk ahli politik Amerika Syarikat. - Bernama
{ 0 Respon... read them below or add one }
Post a Comment