Showing posts with label Umum. Show all posts
Showing posts with label Umum. Show all posts

Guru Pedalaman Sabah Cipta Pen Untuk Pembelajaran Fizik

on Thursday, May 23, 2013

KOTA KINABALU: Mengajar di sebuah sekolah di pedalaman negeri ini tidak menyekat kreativiti seorang guru yang berjaya mencipta pen untuk menyelesaikan masalah berkaitan elektromagnet dalam subjek Fizik.

Androd Sadian, guru sains di Sekolah Menengah Kebangsaan Tandek, Kota Marudu, berkata dengan pen ciptaannya yang dikenali Pen Android atau Pen A, pelajar tidak perlu lagi menggunakan jari tangan untuk menentukan arah yang tepat seperti kaedah pembelajaran sekarang.

"Sekurang-kurangnya Pen A ini menjamin pelajar memperoleh dua atau tiga markah dalam peperiksaan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam Solidariti dan Apresiasi Pendidik sempena sambutan Hari Guru peringkat negeri, di sini, malam tadi.

Menurut Androd, pen itu juga boleh digunakan sebagai alat tulis biasa.

Pen ini sudah mendapat kelulusan Kementerian Pelajaran dan akan dipasarkan di Sabah bermula bulan depan pada harga RM7.50 seunit, sebelum diedar ke seluruh negara secara berperingkat, katanya yang percaya Pen A adalah yang pertama seumpamanya di dunia.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Masidi Manjun yang juga EXCO Pelajaran Sabah, berkata kejayaan Androd adalah bukti kegigihan guru di kawasan pedalaman dalam mencari kreativiti bagi menangani kekangan bertugas di kawasan terpencil.

"...mereka berupaya mencari kaedah kreatif dalam meningkatkan semangat mereka untuk terus bersaing dalam pembangunan pendidikan," katanya.

Terdahulu, Masidi dalam ucapannya berkata tema Hari Guru tahun ini iaitu 'Guru Malaysia: 1 Aspirasi 1 Agenda' amat bersesuaian dalam menempuh era globalisasi yang berteraskan enam aspirasi murid iaitu berpengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, beretika dan kerohanian serta beridentiti nasional.

Pada majlis itu, Masidi turut melancarkan pen itu serta sebuah buku bertajuk Sejarah Perkembangan Pendidikan Di Sabah (1881-1981) yang ditulis oleh pensyarah kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr Dayu Sansalu.

Menurut Dayu, buku setebal 300 halaman itu menerangkan sejarah pendidikan di Sabah sejak 1,000 tahun lalu. - BERNAMA

Kes Buli Pelajar di Sekolah

on Wednesday, April 10, 2013

Berikut saya kongsikan satu rakaman yang menunjukkan seorang pelajar telah dibuli atau lebih tepat lagi dibelasah oleh pelajar lain secara beramai-ramai dalam sebuah kelas.

Ingin saya maklumkan di sini bahawa perkongsian ini bukan untuk memburuk-burukkan atau menjatuhkan maruah mana-mana individu.

Harap maaf.. video telah dipadam..

Info dari Laman Sosial Polis DiRaja Malaysia (PDRM): Berikutan penyebaran sebuah klip video buli seorang pelajar lelaki di sebuah sekolah, pihak polis ingin meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali individu-individu yang terlibat di dalam klip video tersebut, agar melaporkannya di balai polis yang berhampiran bagi membantu siasatan dijalankan. Pihak sekolah, mangsa atau keluarga yang terlibat juga diseru tampil untuk membuat laporan polis di balai polis terdekat.

Isu Penggunaan 'Bin' dan 'Binti' Dalam Daftar Kelahiran

on Sunday, March 03, 2013

Berikut saya kongsikan ulasan salah seorang pengguna Facebook berkenaan isu penggunaan 'Bin' dan 'Binti' dalam daftar kelahiran Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang didakwa menghalang perkahwinan. Sejujurnya, saya sendiri tidak mengetahui perkara ini sehingga membaca info yang dikongsikan pengguna berkenaan.



....ramai yg tidak faham sebenarnya maksud BTE, BIN dan BINTI itu. Ianya tiada kaitan dengan Islam pun sebenarnya!

BTE adalah singkatan untuk B=Belong, T=To dan E=Eve. Ini kerana pada pandangan masyarakat Barat di Eropah dulu, wanita itu adalah keturunan Eve @ Hawa iaitu isteri kepada manusia pertama Adam. Singkatan ini kemudiannya dirasakan tidak begitu sesuai dengan pandangan masyarakat di Nusantara dan kemudiannya digantikan dengan "BINTI".

BIN adalah B= Belong, I=In dan N=Name (merujuk kpd nama keturunan keluarga) dan BINTI pula adalah B=Belong, I=In, N=Name, T=To dan I=Initial (ini kerana bagi wanita mereka sekali saja dapat menggunakan nama keluarga mereka, selapas itu anak2 mereka akan menggunakan nama keluarga bagi suami mereka).

Ini adalah warisan kita dari zaman pemerintahan British dulu dan ianya tiada kaitan dgn agama Islam. Ini siapapun boleh menggunakannya TETAPI para pagawai di Jabatan Pendaftaran Negara yang tidak tahu sejarah asal usul penggunaan BIN, BINTI dan BTE itu telah mengatakan bahawa ianya menunjukkan seseorang itu penganut agama islam. Sepatutnya tanggapan SALAH tentang perkara ini perlu diperbetulkan oleh pihak yang berkuasa - Kredit kepada: David Orok (Diskusi Guru)

Perutusan Hari Guru Tahun 2012

on Wednesday, May 16, 2012

TEKS UCAPAN YAB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN TIMBALAN PERDANA MENTERI MERANGKAP MENTERI PELAJARAN MALAYSIA DI MAJLIS PELANCARAN PERAYAAN HARI GURU KALI KE-41

TEMA: “GURU INOVATIF MELONJAKKAN TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA”

Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry bin Abd Kadir, MB Perak;
Yang Berhormat Datuk Ir. Dr. Wee Ka Siong, Timbalan Menteri Pelajaran I;
Yang Berhormat Dr. Haji Mohd Puad bin Zarkashi, Timb. Menteri Pelajaran II;
Yang Berbahagia Dato' Dr. Rosli bin Mohamed, Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Malaysia;
Yang Berbahagia Dato' Sri Abdul Ghafar bin Mahmud, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia;
Yang Berbahagia Tuan Haji Mohd. Idris bin Haji Ramli, Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Perak
Timbalan-Timbalan Ketua Setiausaha dan Timbalan-Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia,
Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia, Ketua-Ketua Bahagian Kementerian Pelajaran Malaysia, Pengarah-Pengarah Pelajaran Negeri,
Tan Sri-Tan Sri, Dato’-Dato’, Datin-Datin, Dif-dif Jemputan, Tuan-tuan, Puan-puan dan para pendidik yang saya hormati sekalian.

1. Alhamdullillah, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T. dengan limpah izin dan kurnia-Nya, dapat kita sama-sama berkumpul di Bandar DiRaja Kuala Kangsar, Perak pada hari ini sebagai tanda pengiktirafan dan terima kasih kita yang tidak terhingga terhadap jasa dan sumbangan para guru, warga Kementerian Pelajaran dan semua insan yang bergelar pendidik di negara kita. Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada YAB Dato’ Seri DiRaja Dr. Haji Zambry bin Abdul Kadir, Menteri Besar Perak atas kesudian kerajaan negeri Perak menjadi tuan rumah sambutan Perayaan Hari Guru yang ke-41 pada tahun ini.

GURU INOVATIF MELONJAKKAN TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

2. Malaysia sedang berada di ambang negara maju. Untuk tempoh lapan tahun dari sekarang, negara kita akan melalui satu fasa transformasi penting yang akan menentukan samada kita berjaya melangkah ke gerbang negara maju apabila fajar tahun 2020 menyinsing. Dalam era transformasi ini, seluruh minda dan kudrat rakyat perlu digembleng untuk memacu kemajuan negara dalam persekitaran global yang lebih mencabar.

3. Sepanjang perjalanan kita melalui liku zaman transformasi, bukan sedikit cabaran yang bakal kita hadapi. Bagi para guru, cabaran paling getir adalah bagaimana untuk melonjakkan kualiti dan ekuiti pendidikan dalam tempoh yang terdekat. Tujuannya ialah, pertama, supaya sistem pendidikan negara kita mampu melahirkan insan yang berupaya memacu kemajuan pesat negara dan mengisi keperluan sebuah masyarakat maju. Dan kedua, supaya setiap murid di negara kita, tanpa mengira kaum, agama, wilayah dan status sosial berpeluang untuk mengecap nikmat pendidikan yang berkualiti secara adil dan saksama.

4. Lantaran itu, kerajaan memberikan tumpuan utama kepada usaha meningkatkan kualiti pendidikan negara secara menyeluruh. Ini kerana kita tahu bahawa menyediakan pendidikan yang berkualiti untuk rakyat adalah satusatunya wadah bagi melahirkan modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran tinggi, kreatif, inovatif dan berdaya saing. Modal insan inilah yang akan memacu kemajuan negara kita ke tahap yang lebih tinggi. Di pundak merekalah letaknya harapan kita untuk melihat kemajuan dan pembangunan negara dijana dengan lebih pesat dan mapan, demi kesejahteraan dan kemakmuran masa depan kita bersama.

5. Usaha untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara telah kita mulakan. Sejak tiga tahun yang lalu, kita telah melaksanakan empat inisiatif di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi sektor pendidikan, yang bertujuan untuk memperluas akses kepada pendidikan yang berkualiti dan berkemampuan. Alhamdulillah, berkat kegigihan para guru di segenap pelusuk negara dan sokongan padu seluruh warga Kementerian, kita telah menempa kejayaan yang membanggakan. Dalam tempoh yang singkat, kadar penyertaan murid pra-sekolah berjaya kita tingkatkan, sasaran penguasaan literasi dan numerasi murid mampu kita capai, bilangan sekolah berprestasi tinggi bertambah dan bai’ah dengan pengetua dan guru besar terlaksana. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada semua guru dan warga kementerian yang telah menggerakkan seluruh kudrat dan ikhtiar untuk meningkatkan kemerlangan pendidikan negara.

Saudara dan saudari yang saya hormati,

6. Kita pastinya berbangga dengan kejayaan besar yang dicipta oleh guru-guru kita. Selama lebih lima dekad berada di persada pendidikan negara, guru-guru kita telah memberi sumbangan yang amat bermakna kepada kemajuan dan pembangunan yang kita kecapi hari ini. Berkat sentuhan para gurulah, lahirnya insan-insan yang terdidik dengan ilmu dan adab, yang kini berada di setiap lapangan ekonomi, sosial, budaya, pendidikan dan sebagainya untuk menggerakkan kemajuan bangsa dan nusa. Kejayaan negara kita beralih daripada sebuah negara berasaskan ekonomi pertanian kepada sebuah negara perindustrian baru yang pesat berkembang, sebahagian besarnya adalah kerana jasa dan bakti para guru. Justeru, tidak ada sesiapapun yang boleh memandang rendah dan memperleceh peranan serta sumbangan besar para guru terhadap kemajuan yang dicapai oleh negara kita hari ini.

7. Sementara kita menghargai segala jasa guru, kita tidak mengambil sikap mudah berpuashati dengan pencapaian sedia ada. Dalam menghadapi persaingan global yang semakin sengit, kita tahu bahawa sistem dan amalan pendidikan di negara kita perlu ditransformasi. Kualiti guru-guru kita perlu dimantapkan, mutu kepimpinan sekolah perlu ditingkatkan, kurikulum dan sistem pentaksiran perlu diperkemaskan, prasarana sekolah perlu ditambahbaik, sumber dan sistem penyampaian pendidikan perlu diurus dengan lebih cekap. Pendek kata, keseluruhan sistem pendidikan kita perlu disemak dan dimantapkan kualitinya secara bersepadu.

8. Sehubungan itu, Kementerian telah memulakan proses Kajian Semula Pendidikan Negara. Satu laporan awal yang menggariskan aspek-aspek utama yang perlu diberi perhatian telahpun disediakan oleh kumpulan pakar. Kita juga telah memulakan proses Dialog Nasional Pendidikan Negara untuk mempelawa pandangan dan saranan daripada seluruh rakyat, tentang cara bagaimana kita boleh meningkatkan mutu dan tahap pendidikan negara kita agar setanding dengan negara-negara maju. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengundang guru-guru menyertai dialog pendidikan negara dan tanpil dengan idea-idea bernas untuk meningkatkan mutu pendidikan kita.

9. Apatah lagi, aspek paling penting dalam proses kajian semula pendidikan ini ialah kualiti guru. Hanya guru yang berkualiti dapat mewujudkan pendidikan yang berkualiti. Saya percaya, guru-guru yang telah lama berkecimpung dalam bidang pendidikan dapat mengemukakan saranan terbaik tentang bagaimana kualiti guru, termasuk kualiti pengajaran dan pembelajaran, dapat kita tingkatkan.

GURU BERKUALITI, GURU BERINOVASI

Saudara dan saudari yang saya hormati,

10. Dalam menempuh era globalisasi yang semakin diwarnai oleh ekonomi berteraskan ilmu dan inovasi, maka pada hemat saya, guru yang berkualiti adalah guru yang berinovasi. Izinkan saya memberi sedikit huraian tentang apa yang dimaksudkan dengan guru berinovasi. Pada pengamatan saya, guru berinovasi ialah guru yang mempunyai kebolehan untuk melengkapkan murid dengan kemahiran alaf baru seperti keupayaan berfikir secara kritis, kebijaksanaan menyelesaikan masalah dan daya kreativiti yang tinggi. Dalam konteks ini, sebelum melangkah masuk ke bilik darjah, seorang guru berinovasi akan menekuni kurikulum dan menilai apakah keberhasilan yang ingin dicapai. Ketika berada di dalam bilik darjah, guru berinovasi tidak akan terikat dengan sesuatu cara dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran, tetapi sentiasa berfikir di luar kotak pemikiran biasa untuk mencari kaedah dan pendekatan baru yang lebih berkesan. Yang penting, objektif pembelajaran dicapai.

11. Selanjutnya, seorang guru berinovasi juga akan memberi tumpuan kepada kaedah pengajaran dan pembelajaran yang boleh merangsang daya fikir dan daya kreativiti murid. Keutamaan guru berinovasi ialah untuk memastikan murid berupaya menggunakan ilmu yang diajar di dalam bilik darjah bukan semata-mata untuk berjaya dalam peperiksaan, tetapi untuk membolehkan mereka menyelesaikan permasalahan yang dihadapi di dunia nyata. Bermaksud, guru berinovasi ialah guru yang mampu menyediakan persekitaran pembelajaran paling kondusif dan memberi ruang seluas-luasnya kepada murid untuk mengasah kebijaksanaan berfikir. Seterusnya, guru berinovasi juga berupaya menilai pencapaian dan potensi murid secara holistik, serta sentiasa mengambil langkah proaktif untuk meningkatkan kecemerlangan murid supaya mereka dapat bersaing di dunia yang semakin mencabar.

12. Ini bermakna, guru berinovasi ialah guru yang sentiasa memikirkan apakah cabaran yang bakal dihadapi oleh murid setelah mereka melangkah keluar dari lingkungan sekolah, dan apakah ilmu yang dipelajari di sekolah mampu memberi kelebihan kepada mereka untuk bersaing di alam nyata. Untuk itu, guru berinovasi akan sentiasa menggunakan pelbagai kaedah dan cara untuk mengasah daya fikir, daya kreativiti dan daya tahan murid, dan seterusnya menjadikan mereka insan yang berdaya saing dan berakhlak mulia. Sekiranya semua guru di negara kita adalah guru berinovasi, saya yakin matlamat kita untuk melahirkan modal insan yang berpengetahuan tinggi, kreatif, inovatif dan berketrampilan akan tercapai.

KEJAYAAN GURU DAN SEKOLAH BERINOVASI

13. Keyakinan saya berasaskan kepada fakta bahawa pada masa ini di sekolah-sekolah kita di segenap ceruk tanah air, terdapat mutiara inovasi yang bergemerlipan. Antaranya, murid Sekolah Menengah Kebangsaan USJ 4, Subang Jaya telah merangkul pingat emas dalam Pertandingan World Robotic Olympiad di Abu Dhabi, Emeriah Arab Bersatu pada bulan November tahun lalu. Kejayaan ini membuktikan pendidikan berteraskan kreativiti dan inovasi mampu melahirkan murid yang berjaya menempa kecemerlangan di peringkat antarabangsa. Tahniah saya ucapkan kepada murid dan guru SMK USJ 4, Subang Jaya.

14. Saya juga mengucapkan tahniah kepada Cikgu Harris Ganae bin Nanar dari Sekolah Menengah Sains Kepala Batas yang berjaya memenangi Pingat Emas bagi kategori Modul Pengajaran Terbaik dalam pertandingan ASEAN Camp for Gifted In Science pada tahun 2011. Cikgu Harris juga patut dipuji kerana hasil inovasi beliau, Sekolah Menengah Sains Kepala Batas telah meraih banyak kejayaan dalam Pertandingan Rekacipta di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Ini termasuk Pertandingan Inovasi Sains SBP Kelapa Sawit anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia dan The Second APEC Conference for the Gifted In Science di Korea.

15. Saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Cikgu Khairuddin bin Nasa dan Cikgu Abdul Razak bin Haron dari Sekolah Menengah Kebangsaan Khir Johari, Sungai Sumun Perak, yang telah berjaya merangkul Anugerah Guru Inovatif 2012. Semoga kejayaan anda berdua akan mendorong guru-guru di seluruh negara untuk menjadi guru berinovasi, bersesuaian dengan tema Hari Guru tahun ini.

MEMANTAPKAN BUDAYA INOVASI DI SEKOLAH

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

16. Kementerian akan terus berusaha untuk meningkatkan pembudayaan inovasi di sekolah. Bermula tahun 2011, Kementerian telah melaksanakan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang menekankan aspek pemikiran kritis, kreatif dan inovatif sejak peringkat awal persekolahan. Saya yakin transformasi kurikulum yang dilaksanakan akan membuka peluang kepada guru untuk mengenalpasti strategi penambahbaikan proses pengajaran dan pembelajaran secara berterusan. KSSR diharap menjadi landasan kepada guru untuk menjana pelbagai kaedah pengajaran dan seterusnya mengatasi masalah murid lemah menerusi teknik pembelajaran secara intervensi.

17. Kementerian Pelajaran juga telah bekerjasama dengan Agensi Inovasi Malaysia (AIM) untuk membudayakan kemahiran berfikir melalui Program i-Think. Program ini adalah antara pendekatan baru yang sesuai diguna pakai oleh guru untuk meningkatkan pena’akulan dalam kalangan murid. Program ini telah dirintis di sepuluh buah sekolah dan diharapkan dapat diperluaskan ke seluruh negara untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran.

18. Selain itu, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi sedang merangka Pelan Tindakan Pembangunan Modal Insan Inovatif untuk membudayakan inovasi dan kreativiti dalam kalangan murid. Melalui pelan ini, sekolah akan bertindak sebagai agensi pelaksana yang menjalankan pengajaran dan pembelajaran secara kreatif bagi melahirkan modal insan yang inovatif. Pelan Tindakan Pembangunan Modal Insan Inovatif diharap akan digunakan sepenuhnya oleh guru sebagai garis panduan untuk mencapai hasrat negara meningkatkan keupayaan daya saing negara yang diukur berdasarkan
kemampuan rakyat untuk berinovasi.

MEMARTABAT PROFESYEN KEGURUAN

19. Usaha membudayakan inovasi di sekolah tidak akan tercapai tanpa guru-guru yang berkualiti. Oleh itu, Kementerian sentiasa berusaha meningkatkan kualiti guru melalui sokongan dasar, latihan dan insentif. Dalam hubungan ini, Kementerian komited untuk mencapai sasaran 60 peratus guru siswazah di sekolah rendah dan 90 peratus guru siswazah di sekolah menengah menjelang tahun 2015. Sehingga kini, program pensiswazahan guru telah berjalan lancar dengan 69.6 peratus daripada 66,124 guru yang disasarkan telah menerima tawaran mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi.

20. Biarpun mengharap dedikasi guru yang tidak terhingga dalam mendidik anak bangsa, kerajaan tetap mengambil perhatian serius terhadap keluhan guru yang terbeban dengan pelbagai tugas dalam memastikan kelancaran dan keberkesanan organisasi sekolah. Oleh itu, Jawatankuasa Kerja Pelaksana Menangani Isu Beban Tugas Guru sedang melaksanakan 28 perakuan bagi menangani 14 isu yang memberi kesan terhadap beban tugas guru. Antaranya, Jawatankuasa Kerja ini memperkenalkan Sistem Pengurusan Sekolah yang merupakan satu sistem tunggal kemasukan data untuk mengurangkan beban tugas guru yang menggunakan pelbagai sistem kemasukan data pada masa ini. Sistem ini telah dilaksanakan secara rintis di 88 buah sekolah, dan dijadualkan semua sekolah di bawah Kementerian Pelajaran akan menggunakan sistem baru ini menjelang tahun 2013.

21. Selain itu, KPM juga sedang menjalankan kajian rintis bagi penempatan Pembantu Tadbir N17 sehingga Jun 2012 untuk melihat impak penempatan Pembantu Tadbir bagi mengurangkan beban tugas perkeranian guru. Seterusnya satu cadangan akan dikemukakan kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Awam bagi perluasan penempatan Pembantu Tadbir N17 di sekolah-sekolah di bawah Kementerian. Bagi menangani isu beban tugas guru ini juga, semua Jabatan Pelajaran Negeri telah melaksanakan pemansuhan ujian dan peperiksaan setara serta menambahbaik pengendalian ujian dan peperiksaan di peringkat sekolah. Oleh itu, pada tahun ini hanya satu peperiksaan setara sahaja dibenarkan. Pemansuhan sepenuhnya ujian dan peperiksaan setara akan dikuatkuasakan mulai tahun 2013, di mana semua ujian akan dijalankan dalam waktu pengajaran dan pembelajaran.

22. Selaras dengan usaha kerajaan untuk menambah baik Skim Perkhidmatan Pendidikan, peruntukan tempoh minimum kenaikan pangkat secara Time-Based berasaskan kecemerlangan dikekalkan sebagaimana diumum oleh YAB Perdana Menteri pada 8 Mac yang lalu. Bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah gred DG41, hanya 8 tahun diperlukan untuk kenaikan ke gred DG44, 8 tahun untuk gred DG44 ke DG48, 6 tahun untuk gred DG48 ke DG52, dan hanya 3 tahun untuk DG52 ke DG54. Manakala bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma gred DGA29, hanya 8 tahun diperlukan untuk naik ke gred DGA32, 8 tahun untuk gred DGA32 ke DGA34, dan hanya 5 tahun untuk gred DGA34 ke DGA38.

23. Lanjutan pengumuman YAB Perdana Menteri, seramai 390 orang guru telah dinaikkan ke gred DG54, manakala 676 orang ke gred DG52, 3,938 orang ke gred DG48 dan 19,805 orang ke gred DG44. Bagi Guru Bukan Siswazah pula, seramai 399 orang dinaikkan ke gred DGA38, manakala 2,639 orang dinaikkan ke gred DGA34 dan 9,519 orang ke gred DGA32. Dianggarkan seramai 8,222 orang Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah dan 15,831 orang Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma akan dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat apabila memenuhi syarat tempoh perkhidmatan mulai 1 Jun 2012 sehingga 31 Disember 2012. Guru-guru boleh membuat semakan di laman web Kementerian Pelajaran mulai hari ini.

24. Selaras dengan komitmen kerajaan untuk meningkatkan kecemerlangan pendidikan dan memartabatkan profesion keguruan, saya ingin memaklumkan bahawa proses kenaikan pangkat Pengetua dari gred DG48 ke DG52 dan Penolong Kanan dari DG44 ke DG48 telah dilaksanakan oleh Kementerian. Setakat ini seramai 854 orang Pengetua telah dinaikkan pangkat dari DG48 ke DG52 dan 4,270 orang Penolong Kanan telah dinaikkan pangkat dari DG44 ke DG48. Kenaikan pangkat ini melibatkan Pengetua dan Penolong Kanan yang merupakan penyandang sedia ada sebelum atau pada 31 Disember 2011, dan yang memangku jawatan sebelum atau pada 31 Disember 2010. Tarikh kuatkuasa kenaikan pangkat ini adalah pada 1 Januari 2012. Baki penyandang jawatan Pengetua dari gred DG48 ke DG52 seramai 430 orang dan baki penyandang jawatan Penolong Kanan Gred DG44 ke Gred DG48 seramai 2,655 orang akan diperakukan secara berperingkat mulai Jun 2012 setelah calon-calon memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

25. Bagi melaksanakan semua urusan kenaikan pangkat Pegawai Perkhidmatan Pendidikan, kerajaan telah memperuntukkan 934 juta ringgit, iaitu satu jumlah besar yang membuktikan kesungguhan kerajaan memberi pengiktirafan kepada usaha para guru dalam membentuk modal insan yang berpersonaliti unggul. Justeru, saya berharap agar peluang kenaikan pangkat ini akan memberi semangat dan dorongan kepada semua guru untuk meningkatkan prestasi.

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

26. Saya yakin guru berinovasi akan dapat mentransformasi pengajaran dan pembelajaran bagi melahirkan murid yang berdaya saing, berakhlak mulia dan bersemangat waja. Saya berharap guru juga sentiasa memelihara kemuliaan akhlak dan ketinggian budi pekerti supaya guru terus dihormati dan menjadi suri teladan kepada murid dan masyarakat.

27. Untuk memastikan ilmu pengetahuan dapat diterima dengan sebaiknya oleh murid, saya amat berharap agar guru bukan sahaja menyampaikan ilmu, tetapi bertindak sebagai murabbi yang berperanan mendidik rohani, jasmani, akal dan emosi murid supaya mereka dapat menghayati dan mengamalkan ilmu yang dipelajari. Maka, guru menggalas amanah yang amat mulia dalam memperbaharui dan memperbaiki kehidupan manusia. Tajdid pendidikan akan terhasil apabila guru dapat membangun jiwa, membina akal dan membentuk akhlak manusia dengan asuhan ilmu dan adab yang mulia.

28. Sesungguhnya, tidak terhitung jasa dan bakti guru kepada bangsa dan negara. Justeru, saya bagi pihak kerajaan ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada para guru dan semua insan yang bergelar pendidik, baik yang berada di sekolah, di institut pendidikan guru, di kolej-kolej matrikulasi, di institusi pengajian tinggi, di institusi-institusi latihan atau di mana jua anda berada, samada yang masih berkhidmat atau telah bersara. Saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga atas segala sumbangan dan pengorbanan anda semua dalam menggalas amanah mulia mendidik anak bangsa dan mengangkat martabat nusa. Kepada guru-guru pesan saya, sayangilah murid anda, dan kepada murid nasihat saya, hormatilah dan hargailah jasa guru anda.

Akhir kalam, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-41 Tahun 2012.

Selamat Hari Guru! Terima Kasih Cikgu!

Wabillahi al-taufik walhidayah wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.



Sumber: Kementerian Pelajaran Malaysia

Bull's Eye Programme

on Monday, February 06, 2012

Salah satu karya kreatif yang pernah cikgu hasilkan untuk Pejabat Pelajaran Daerah Pitas. Gambar ini diberikan sebagai cenderamata kepada penceramah "Bull's Eye Programme" untuk meningkatkan pencapaian murid sekolah rendah dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris.


Roti John Menjadi Roti Jin

on Sunday, August 22, 2010

Pertama kali membaca berita ni, agak terkejut juga apabila terbaca kumpulan Jinabara menjual roti Jin. Ingatkan kenapa roti tu digelar roti 'Jin', rupanya roti tu adalah adaptasi daripada Roti John dan apabila ahli kumpulan Jinbara yang membuat dan menjualnya, maka Roti John bertukar nama kepada Roti Jin.

Roti John - Roti Jin
Selain daripada roti jin, mereka juga menjual Roti Bom. Itulah daya tarikan kumpulan rock Jinbara yang berniaga juadah berbuka puasa di AU5D, Taman Permata, Hulu Klang, laris bak goreng pisang panas setiap hari.

Tiga daripada lima anggota kumpulan popular menerusi lagu Patri dan Farhana itu berniaga di bulan mulia ini. Mereka adalah pemain bass, Akin, Cepot (gitar) dan Ahtan (dram). Jualan harian roti jin sinonim dengan kumpulan genre rock itu. Menu yang diadaptasi dari roti john itu paling popular di kalangan penduduk serta pengunjung sekitar Wang Maju, Melawati dan Keramat. Dijual pada harga RM3.50, menu dibuat menggunakan roti 12 inci bersama inti rendang ayam, sos cili dan telur. Selain itu, mereka turut menjual minuman menyegarkan seperti air teh bunga istimewa, cendol 'kaw' dan pekasam utara. Paling ketara, kehadiran pelanggan ke bazar Jinbara membuatkan setiap antara mereka tidak menang tangan menyediakan roti jin dan roti bom panas. Selain bazar Ramadan AU5D, dua bazar Ramadan inbara lain terdapat di Lembah Klang memulakan operasi serentak bermula jam 4 petang hingga 8 malam. Kata Akin atau Mohd Nizam Mohd Nor, 32, yang menyelia bazar Jinbara AU5D, dua bazar lain di Taman Sri Andalas, Klang dan Jalan Tunku Abdul Rahman dikendalikan Cepot dan Ahtan bersama rakan-rakan lain.

"Saya mengendalikan bazar AU5D bersama 10 pekerja. Menu di Klang tidak banyak berbeza dengan apa didapati di AU5D. Char kue tiaw dan seluar jeans pula dijual di Jalan Tunku Abdul Rahman. "Cepot bersama Ahtan bertanggungjawab mengendalikan bazar Jinbara di Klang. Kami terpaksa berpecah untuk memastikan kelancaran operasi perniagaan di dua lokasi lain berjalan lancar.

"Setiap bazar ada pembantu yang mahir dengan tugasan sendiri. Ada menebar roti, menguli tepung, membungkus minuman dan membakar roti. "Kami mewujudkan sistem kerja khas untuk melayan kerenah pelanggan yang tidak suka menunggu lama. Pada masa sama, penyediaan kualiti juadah terjamin berada pada tahap terbaik.

"Apapun, populariti roti jin tarikan utama ke sini. Kami menjual lebih 100 keping roti jin dan 1,000 roti bom sehari," katanya. Kata Akin, dua anggota lain, vokalis, Tia dan gitaris, Anjang menjalankan urusan masing-masing di tempat lain. "Sudah menjadi tradisi Jinbara menjalankan perniagaan yang sebati dalam diri. Kami tidak kekok kerana berpengalaman berniaga sendiri sebelum ini. "Kami tidak membuat persembahan pada Ramadan kerana kurang sesuai. Kami kumpulan rock dan bukan nasyid. Paling penting, kami ada resipi sendiri. Cara itu mendekatkan kami kepada lebih ramai pihak. "Saya suka melihat anak muda bekerja-keras serta berdikari memajukan diri tanpa mengharapkan simpati orang lain. Gerai Ramadan Jinbara dibuka setiap Ramadan sejak memulakan operasi 10 tahun lalu," katanya. Selain berkecimpung dalam muzik, nama Jinbara merangkumi perniagaan seperti ternakan ayam, kolam ikan dan chalet percutian dan motivasi di Kemensah.

Rutin Kerja

on Saturday, March 27, 2010

Salam semua, harap rakan-rakan/pembaca sihat (adakah yang baca ni? hehe). Sayapun sihat juga sebenarnya. Yang hilang beberapa hari tu bukan sebab tak larat nak blogwalking atau malas, tapi streamyx dan elektrik bekalan SESB anak syarikat TNB telah mengalami kemalangan ngeri. Tanpa disangka-sangka elektrik telah men-stroke-kan dirinya dan telah koma seketika Mujurlah streamyx berjaya menghidupkan dirinya dan kini kembali sihat. Tapi kasihan kepada si elektrik yang asyik-asyik koma dan sedar silih berganti. Malang sungguh...

Dahlah tu, kali ni bukan nak berkisah pasal streamyx atau elektrik sebenarnya. Tapi saja nak kongsi rutin kerja harian. Bukan nak menunjuk-nunjuk, sekadar untuk berkongsi, kata orang, tak kenal maka tak cinta. Lagipun kalau tulis entri pasal cerita sendiri, baru ada peluang untuk sisip gambar sendiri, kan?


Minggu lepas sempat masuk hutan dengan beberapa rakan sekerja. Bukan untuk memburu rusa liar yang memang banyak di Pitas ni, tapi pegi melawat tapak di mana sebuah projek mega akan dibuat. Saya sebenarnya bukan orang penting pun, tapi hanya menggantikan pegawai sepatutnya yang kebetulan melawat ke tempat lain juga. Lawatan tapak ni di buat sebab penduduk di sana memohon agar projek tu dipindahkan ke tempat lain. Bukan apa, menurut laporan, tempat tu kerap dilanda banjir. Jadi sebagai buktinya, diorang bawa kami ke salah sebuah rumah yang kononnya lebih arif tentang banjir yang berlaku di kawasan tu.

Jangan heranlah plk, hari tu Khamis, so memang pakai batik (menyahut seruan kerajaan la kononnya). Padahal sayapun tak ingat yang hari tu kena melawat dalam hutan. Kalau ingat, gerenti tak pakai batik, adess..


Tu yang bertanda putih tu adalah paras bajir yang terbaharu. Fuhh, memang tinggi juga kan? Tengok member sebelah tu, kalau dia tak jengketkan kaki masa banjir, mesti air sampai paras hidung, haha.. Kalau saya gerenti tak apa-apa lagi paras macam tu.. Sebab tu la penduduk di kawasan tu minta supaya projek tu dipindahkan ke tempat yang lagi tinggi. Atas bukit sikit, tempatnya memang cantik.


Yang ni pula pengangkutan yang kami guna untuk sampai ke tempat tu.. Amacam best kan? Naik helikopter lagi, bukan jalan kaki ayam.. Jangan jealous..


Tapi nasib baik kami dah turun... masa nak berlepas, helikopter tu tersangkut di atas tiang lampu..enjin mati dan kipas terus berhenti berputar.. adesss..

Eh, saya tipu je tu. Mana ada kami naik helikopter tu, nak kempunan?... Sebenarnya pic ni saya capture hari yang berlainan. Kipas nampak statik sebab saya gunakan mode TV (Shutter speed). Tapi sayang gambar tak jelas sangat sebab saya gunakan zoom lens murah dan jarak helikopter tu lebih 200 meter dari tempat saya berdiri.. tak pakai tripod pula tu, tangan terketar-ketar tangkap gambar.. almaklumlah, amatur lagi.. hehe..

Lepas siapkan entri ni, saya buka satu laman web yang memang selalu saya jenguk.. tetiba rasa sedih sebab baru dapat info yang mendukacitakan.. nantilah cerita pasal tu...

3 Koleksi "Geek" Yang Boleh Anda Miliki

on Monday, March 01, 2010

Mesti ramai di antara kita yang minat mengumpul koleksi-koleksi peribadi untuk barangan yang mempunyai tema tertentu. Apa lagi kalau barangan tersebut limited edition, mesti cepat-cepat nak dapatkannya walaupun harganya agak mahal. Jadi kali ni saya kongsikan beberapa koleksi 'geek' yang mungkin menarik perhatian anda dan ingin memilikinya suatu hari nanti.



Hadiah Timex Expedition daripada Isteri

on Sunday, February 14, 2010

Aku ni bukannya jenis manusia yang pandai sambut Valentine's Day pun.. Aku anggap hari ni sama juga seperti hari-hari yang lain.. Tapi hari mungkin secara kebetulan nasib aku agak baik sebab isteri bagi hadiah Jam Tangan Timex Expedition.

Kata isteri jam tangan tu bukannya special untuk Valentine's pun. Dia dah beli sejak minggu lepas tapi ntah macam mana dia lupa bagi.. secara kebetulan tadi kemas-kemas bilik, baru dia nampak jam ni... so, dia bagi aku terus jam tu.. Lagipun dia belikan sebab kasihan tengok aku yang asyik-asyik memakai jam tangan Fossil dengan metal bracelets. Tak padan katanya kalau time santai-santaipun pakai jam tangan jenis metal bracelets tu... Aku apa lagi, terus bawa jam tu keluar rumah, letak atas batu dan tangkap gambar.. hehe sayang isteri.. ;p


Apapun, sejuta terima kasih untuk isteri.

Migrasi

on Sunday, October 18, 2009

Untuk makluman sahabat-sahabat dan pengunjung, blog ini telahpun dipindahkan ke hosting yang baru. Dengan itu URL nya juga secara otomatik bertukar kepada www.kulanzsalleh.com. Buat masa ini saya masih lagi bertungkus-lumus melakukan kerja-kerja migrasi kandungan dari blog ini.

Sila klik gambar berikut untuk ke blog yang dimaksudkan.




Kulanz Salleh


Terima kasih sebab sentiasa memberikan sokongan. Harap rakan-rakan dapat kemaskini URL blog untuk mendapatkan update terkini... Misi klik klik akan sentiasa diteruskan...
 
© Just Another Story All Rights Reserved