Siapa Juara Mentor Musim ke-4

on Sunday, July 04, 2010

PERMULAAN yang sarat kontroversi dan pertikaian namun program realiti Mentor gigih membelah cabaran dan malam ini, detik penentuan siapa antara tiga protege iaitu Nani, Adi dan Mohd bakal menjulang gelaran juara. Sulit untuk menelah siapa yang bakal mengikut jejak Pija, Fiq dan Black kerana setiap finalis memiliki keistimewaan tersendiri, sesuatu yang pasti Mentor 4 bakal melahirkan sebutir lagi bintang sebagai penyeri industri muzik.

Persoalannya, mampukah mereka bertahan lama seiring populariti mentor yang memainkan peranan penuh tanggungjawab dan amanah untuk mendidik bakat baru ini? Mohd atau nama lengkapnya, Mohd Izwan Mohd Nor, 22, berkata, semua itu bukan sesuatu yang mustahil jika diiringi kesungguhan dan kerja keras.

Protege kepada Ziana Zain ini tidak menafikan populariti mentornya memberi sedikit kelebihan untuk dia meraih undian peminat.

Bagaimanapun kata Mohd, tidak selamanya dia akan selesa dengan situasi itu kerana perjuangan sebenar hanya bermula selepas pertandingan itu berakhir.

“Saya melihat populariti Kak Ziana sebagai batu loncatan untuk peminat mengenali bakat dan siapa saya. Tanpa dirinya dan Mentor, mungkin sukar untuk saya menembusi bidang seni. Tetapi saya tidak boleh terus selesa begitu. Selesai pertandingan, saya harus bijak merencana peluang dan memperbaiki diri kerana persaingan di luar sangat besar serta lebih mencabar,” katanya.

Apa juga tanggapan negatif diberikan kepadanya, Mohd menerima dengan hati terbuka tanpa perlu pantas menyerah kalah.

Baginya, dia cuma mahu menjadi diri sendiri dan kejayaan tidak sesekali membuat dia lupa dari mana asal kelahirannya.

“Kak Ziana selalu berpesan supaya menjadi jujur dan jangan sesekali hipokrit kerana lambat laun kebenaran akan menyerlah juga.

Saya sendiri masih mentah, jadi saya tidak mahu berlagak pandai tanpa mempedulikan nasihat orang yang lebih berpengalaman.

“Alhamdulillah dengan bimbingan dan tunjuk ajar Kak Ziana, saya perlahan-lahan belajar memahami tuntutan industri hiburan,” katanya.

Sementara itu, protege Azmeer, Nani atau Nurhadzwani Salleh, 24, mengakui pada permulaan pertandingan, dia berdepan kejutan di luar jangkaan.

Sangkanya Azmeer hanya tegas dan garang di kaca televisyen. Tetapi apabila berdepan dengan komposer Cinta Adam & Hawa itu, ternyata Azmeer serius dalam pekerjaannya.

Memandangkan masa yang terbatas, tempoh empat bulan itu dimanfaatkan gadis keturunan Melanau ini untuk mengumpul sebanyak mungkin ilmu daripada Azmeer.

“Jujur saya agak panik kerana terlalu banyak yang perlu dikuasai dalam masa singkat tetapi Alhamdulillah, perlahan-lahan saya semakin bersedia menerimanya. Kritikan pada konsert pertama apabila juri menilai saya bukan penghibur yang baik menjadi pembakar semangat untuk saya berusaha keras.

“Saya sendiri tidak menyangka mampu bertahan ke final kerana undian untuk saya pada permulaan konsert kurang memberangsangkan,” katanya.

Melihat kekuatan Mohd pada kelantangan vokal dan kesempurnaan nyanyiannya, manakala Adi kental dengan penghayatan, Nani berkata, apa yang dicarinya ketika ini adalah keselesaan ketika membuat persembahan. Barangkali pada permulaan pertandingan, dia masih tercari-cari dirinya namun kebelakangan ini jati dirinya sebagai penyanyi semakin menyerlah.

“Saya selesa memilih lagu genre rock R&B kerana irama seperti itu cocok dengan kemampuan vokal serta selera nyanyian,” katanya.

Bagi Adi, anak didik Dayang Nurfaizah, Mentor menyuntik keyakinan kepada dirinya untuk mempelbagaikan genre nyanyian serta berani mengambil cabaran sebagai penyanyi versatil.

Akui anak kelahiran Sarawak yang memiliki nama berdaftar, Adi Hamiz Johar, 23, Dayang membuka mindanya supaya berani berdepan cabaran dan menerimanya sebagai latihan untuk bergelar insan seni berwibawa.

Pengalaman Dayang menyertai pertandingan realiti, One In A Million tidak lama dulu dimanfaatkan untuk berkongsi dengan Adi repertoire lagu yang dapat membuka mata khalayak untuk melihat kekuatan bakatnya.

“Baru saya faham kenapa setiap minggu saya harus mencuba genre yang pelbagai. Menjadi penyanyi bererti saya menghiburkan orang, jadi saya harus memahami kehendak serta selera peminat. Seperkara yang sering saya lakukan, setiap kali selesai pertandingan saya akan berjumpa juri secara peribadi untuk mendapat pandangan dan nasihat.

“Daripada situ, pemikiran saya bercambah kerana pelbagai faktor yang dilihat juri tatkala melakukan penjurian,” katanya yang selesa membawakan lagu pop R&B dan pop rock.

Final Mentor yang akan berlangsung di Dewan MBSA, Shah Alam jam 9 malam ini menawarkan juaranya wang tunai RM 100,000 dan trofi manakala naib johan protege dan mentor pula memenangi wang tunai, RM 30,000 dan trofi. Tempat ketiga tidak pulang tangan kosong apabila menerima RM10,000 untuk protege dan mentor.

Format pemarkahan pada malam kemuncak masih mengekalkan kepada tiga bahagian iaitu 50 peratus daripada juri profesional, 30 peratus menerusi undian SMS dan 20 peratus lagi juri awam.


Komen mentor

Ziana Zain

MELIHAT Mohd sebagai seorang bakat muda yang lurus dan mudah dilentur, Ziana berbangga kerana anak muda dari Johor itu sentiasa positif dalam menerima setiap apa yang diajar.

Menyenangi sikap merendah diri Mohd serta kesungguhannya dalam menggali ilmu, Ziana berkata, dia memperjudikan nasib apabila mengambil protegenya itu bagi mengganti Thalia yang terpaksa digugurkan.

“Saya berserah kepada ketentuan takdir dan rezeki, selebihnya menjalankan amanah yang diberikan dengan ikhlas dan penuh tanggungjawab.
“Saya sentiasa berfikiran positif dan percaya, apa juga dugaan pasti diakhiri dengan kebaikan. Alhamdulillah, inilah yang berlaku kepada Mohd dalam Mentor,” katanya.

Akur kelemahan Mohd masih kuat terutama dari aspek komunikasi dan interaksi dengan khalayak, Ziana bagaimanapun, selesa apabila pemuda itu semakin matang mengendalikan cita-citanya.

Kebelakangan ini, Mohd sudah mula menyumbang idea dan itu kata Ziana, cukup menyenangkan dirinya. Untuk final, fokus utama Ziana kepada pemilihan lagu yang dapat menyerlahkan kekuatan vokal dan persembahan Mohd.

Dayang Nurfaizah

MELETAKKAN piawaian tinggi untuk anak didiknya, Adi, Dayang bagaimanapun enggan memberi tekanan hingga menjejaskan tumpuan pemuda itu. Akuinya, jika ditakdirkan Adi gagal ke final sekali pun dia bersedia menerima kenyataan itu kerana ia bukan penamat kepada perjuangan.

“Adi sering membiarkan fikirannya dikuasai oleh banyak perkara hingga menjejaskan tumpuannya kepada pertandingan.

“Saya sentiasa cuba menanam sesuatu yang positif supaya Adi tidak terbawa dengan setiap masalah yang dihadapi. Ke final bukan hanya soal kemenangan tetapi bagaimana Adi membuat persembahan yang memberi kepuasan kepada khalayak.

“Pada permulaan pertandingan agak sukar untuk mengubah cara nyanyian Adi tetapi perlahan-lahan dia belajar menerima teguran. Adi memiliki kelebihan pada nada suaranya. Bagaimanapun, pada awalnya dia enggan mempelbagaikan teknik persembahan. Sedangkan kata Dayang, tuntutan Mentor memerlukan Adi memberikan persembahan yang di luar kotak keselesaannya.

“Itu yang sering saya jelaskan kepadanya kerana Mentor membentangkan ruang untuk dia meneroka segala kesempatan yang ada.
Saya tidak mahu mengambil jalan selamat kerana ini masanya untuk Adi menyerlahkan kelebihan dan kekuatannya,” kata Dayang.

Azmeer

KAGUM dengan kekuatan dan keupayaan Nani menerima setiap apa yang diberikan kepadanya, Azmeer memuji gadis itu kerana pantas mempersiapkan diri untuk bergelar artis profesional.

“Aset paling besar Nani ialah kualiti suaranya yang serak membuatkan saya tertarik untuk mengasah kemampuannya. Saya menerima Nani atas kapasiti apa yang saya mampu lakukan untuk membentuk dia sebagai penyanyi. Boleh saja saya memilih mereka yang sudah benar-benar bersedia dan berpotensi untuk menang, tetapi saya tidak mahu mementingkan diri.

“Nani memiliki suara yang unik kerana vokal seraknya itu apabila mencapai nada tinggi masih dibalut kelembutan walaupun nyaring. Cuma masalah Nani dia tidak boleh berlatih berlebihan. Jika itu dilakukan, nyanyiannya akan tumpul dan ini akan mengganggu persembahannya,” katanya yang berpuas hati kerana sehingga ini Nani sudah mampu menguasai 90 peratus ilmu diperturunkan. Azmeer akui berbangga kerana anak didiknya itu semakin matang dari segi penguasaan vokal, penampilan dan persembahan.


Info:

Mentor: Azmeer
Nama Penuh : Nurhadzwani Salleh
Nama Panggilan : Nani
Umur: 24
Tarikh Lahir: 17 September 1986
Pekerjaan: Jurutera
Tinggi/Berat : 164 sm/62 kg
Lagu final: Terhenti Di Tanda Koma (lagu baru), medley Suci Dalam Debu dan Livin’ Da Vida Loca serta duet bersama Ramli Sarip membawakan medley Istilah Bercinta dan Jikalau Berkasih

Mentor : Ziana Zain
Nama Penuh : Mohd Izwan Mohd Nor
Nama Panggilan : Mohd
Tarikh Lahir :8 Oktober 1988
Asal : Johor
Tinggi/Berat : 186sm/57kg
Hobi : Bola sepak
Lagu final: Cinta (lagu baru), Tragedi Oktober dan Itu Kamu, selain berduet dengan juara Mentor musim Ke-2, Fiq menerusi 3 Malam Tanpa Bintang dan Bujang Senang

Mentor : Dayang Nurfaizah
Nama Penuh : Adi Hamiz Johar
Nama Panggilan : Adi
Umur : 23
Tarikh Lahir : 20 Mei 1987
Tinggi/Berat: 179 sm/72 kg
Lagu final: Tafsirkan Cinta (lagu baru), Kenangan Terindah dan Suatu Janji serta duet dengan Aizat menerusi Hanya Kau Yang Mampu 

Sumber: Berita Harian
Ranking: 5

{ 0 Respon... read them below or add one }

Post a Comment

 
© Just Another Story All Rights Reserved