Konsep Kesenian Islam

on Saturday, January 09, 2010

Pengenalan

Kesenian dalam Islam mula tumbuh setelah agama Islam mula berkembang dan bertapak. Umat Islam yang berperang telah berkesempatan melihat dan mengenal kesan-kesan sejarah dan kesenian yang terdapat di daerah-daerah baru. Ramai yang menetap dan mengalami hidup dan suasana baru di tempat yang telah ditakluki. Dengan itu Islam mula bertapak di daerah baru. Secara tidak disedari proses asimilasi berlaku antara masyarakat, kebudayaan dan kesenian yang berlandaskan ajaran Islam. Sebagai Addin, Islam telah membuka ruang yang seluas-luasnya kepada para seniman untuk melahirkan pengucapan rasa keindahan dan pengalaman yang lahir dari naluri asasi manusia yang sememangnya mengarah ke arah keselamatan, kesenangan dan keindahan.




Seni adalah sebahagian daripada kebudayaan. Konsep seni merujuk kepada bentuk-bentuk indah, halus dan permai. Dari segi istilah, kesenian ialah segala aktiviti yang berkaitan dengan seni yang menyenangkan hati serta perasaan manusia, tidak kira sama ada ia adalah ciptaan Allah s.w.t ataupun dihasilkan melalui fikiran, kemahiran, imaginasi dan perbuatan manusia.

Drs. Sidi Gazalba menerusi buku Pandangan Islam Tentang Kesenian, menjelaskan bahawa seni adalah sebahagian daripada kebudayaan yang dicetuskan oleh sesuatu kelompok manusia kerana setiap kelompok manusia mempunyai fitrah semula jadi yang cinta akan kesenian yang boleh memberi ketenangan kepada hati dan fikiran. Oleh itu manusia dikatakan sebagai makhluk seni yang cintakan sesuatu yang dapat memberi kepuasan hati melalui pancaindera rasa.

Konsep Kesenian Menurut Islam

Konsep kesenian menurut perspektif Islam ialah membimbing manusia ke arah konsep tauhid dan pengabadian diri kepada Alah s.w.t. Seni dibentuk untuk melahirkan manusia yang benar-benar baik dan beradab. Motif seni bermatlamatkan kebaikan dan berakhlak. Selain itu seni juga seharusnya lahir sebagai satu proses pendidikan yang bersifat positif dan tidak lari dari batas-batas syariat.

Pandangan sesetengah orang bahawa kesenian tidak sesuai dengan tuntutan Islam dan syariat perlu ditinggalkan. Ini mencerminkan bahawa mereka tidak memahami hubungan kesenian dengan Islam. Ini kerana Islam bukanlah agama yang membicarakan soal agama sahaja malahan turut membicarakan seluruh aspek kehidupan manusia. Sebagai contoh, hadis Nabi S.A.W yang bermaksud:

Sesungguhnya Allah itu maha Indah dan Dia sukakan keindahan.

Ini menjelaskan kepada kita bahawa keindahan adalah sesuatu yang amat dituntut dalam Islam. Keindahan adalah suatu kesedaran dan kebenaran dalam penciptaan. Allah s.w.t. menyuruh hamba-Nya menikmati segala yang baik-baik dalam kehidupan di dunia. Seseorang itu menghalang perjalanan dan naluri semulajadi manusia yang diberi Allah s.w.t. jika ia tidak mempunyai kesedaran terhadap keindahan. Sifat kemanusiaan menjadi kurang jika tidak mempunyai kepekaan mengenai seni.

Bahkan, kesenian unggul dalam Islam sendiri terpancar pada Ummul Kitab (al-Quran) yang diturunkan sebagai panduan dan pedoman untuk semua umat manusia. Naskhah lengkap panduan hidup umat Islam merupakan seni yang tidak dapat ditangkis oleh mana-mana kesenian kerana ketinggian nilai budi, saranan akhlak juga peraturan hidup manusia.

Ciri-Ciri Kesenian Islam

1. Keindahan
Seni timbul hasil daripada fitrah manusia yang sukakan keindahan. Oleh itu, keindahan menjadi ciri utama kesenian dari perspektif Islam. Konsep keindahan bererti rasa yang menggembirakan, menyenangkan, memuaskan dan dihargai tanpa melangkah batas-batas syariat Islamiah.

2. Berpaksikan Akhlak
Apabila memperkatakan konsep seni pada perspektif Islam, kita tidak lari daripada membicarakan soal perkaitan di antara seni dengan akhlak. Seni dan akhlak adalah saling bersangkutan. Islam mahukan setiap seni yang dicipta itu mengandungi nilai-nilai mulia dan akhlak yang membentuk keperibadian positif manusia. Seni yang tidak bermoral harus ditegah kerana kesenian Islam hanya berpaksikan kepada nilai-nilai aqidah, syariat dan akhlak. Oleh itu karya seni Islam haruslah memiliki nilai-nilai murni yang melambangkan akhlak atau berbentuk neutral, bebas daripada nilai-nilai negatif.

3. Bersumberkan wahyu
Kesenian islam juga haruslah bersumberkan wahyu Allah s.w.t dan juga sunnah Rasulullah s.a.w. Ini kerana setiap sesuatu yang bersumberkan kepada wahyu dan sunnah maka ianya akan bersesuaian dengan masa, tempat dan zaman. Ini bermakna, meskipun seni itu turut berkembang mengikut perubahan zaman, namun asas utama penciptaannya mestilah berpandukan garis panduan yang telah disediakan.

4. Kepelbagaian dalam kesatuan
Kesenian Islam dapat memberi sumbangan kepada kesatuan hidup seseorang umat. Kesatuan ini terbentuk dalam pekerjaan seharian, ketika berehat dan ketika berhibur. Dalam al-Quran, setiap perkataan merupakan satu unit yang terpenting bagi mendukung susunan dan makna ayat, keadaan ini sama halnya dengan seseorang individu Islam yang menjadi unit dalam kesatuan umat.

5. Hubungan antara Agama, Etika dan Estetika
Hubungan antara yang indah dengan yang baik bermakna hubungan antara agama, etika dan seni. Fungsi perhiasan adalah untuk keindahan manakala keindahan ialah akar kesenian. Jadi terdapat hubungan yang erat antara seni, etika dan estetika. Dengan lain perkataan, agama melahirkan seni manakala seni pula mestilah mempunyai etika yang mengikut garis panduan agama.

Fungsi-Fungsi Kesenian Islam

1. Fungsi Spiritual
Sayyid Hossein Nasr (dalam buku Spritual dan Seni Islam) memberi pandangan, dalam apa juga bidang sekalipun, seni Islam itu mestilah mempunyai fungsi spiritual yang dapat membimbing manusia supaya mengingati Allah s.w.t.. Dalam pandangannya itu beliau telah menegaskan:
“Seni itu tidak dapat memainkan suatu fungsi spiritual apabila ia tidak dihubungkan dengan bentuk dan kandungan wahyu Islam”.

Beliau juga menghuraikan bahawa Islam terdiri dari beberapa aspek antara lain ialah syariah, tarekat dan hakikat. Hossein Nasr berpandangan syariat memain peranan penting dalam memberi latar dan persekitaran kepada seni Islam di samping menyediakan batas-batas tertentu atau garis untuk seni Islam itu. Selain itu, beliau turut menjelaskan bahawa syariat sememangnya tidak menunjuk secara khusus bagaimana mencipta seni Islam itu. Namun segala apa yang dihasilkan itu mestilah bertunjangkan al-Quran dan hadis serta sunnah Rasulullah. Dengan ini barulah seni itu dapat memainkan fungsinya sebagai penyuburan spiritual.

2. Kesenian meningkatkan aspek kerohanian.
Kesenian Islam merupakan kesenian mukadas. Ia harus memiliki kekudusan mauduk. Kekudusan mauduk bermaksud kebenaran kerohanian yang dapat mempertemukan manusia dengan kehadiran alam semesta di mana tujuan estetika tidak terlintas di dalam fikiran penciptanya. Tetapi ia indah kerana kebenaran keruhanian yang dipancarkan.

Kebenaran yang terkandung dalam ajaran wahyu dengan sendiri terdapat pada kesenian mukadas. Islam mengutamakan ajaran tauhid yang asli kerana itu ia menghindar dari sebarang pencemaran syirik, maka penggunaan mitos serta lambang-lambang tertentu yang memesongkan inti tauhid adalah dilarang. Di dalam kesenian mukadas, bukan saja perutusan atau isinya sahaja yang mesti suci, bentuk atau salurannya juga mesti suci. Matlamat tidak menghalalkan cara.

3. Seni untuk mendidik
Kesenian Islam tidak bermotifkan hiburan semata-mata malah ianya menjurus ke arah mentarbiah masyarakat menjadi insan yang beriman, berakhlak, berilmu dan beramal soleh. Oleh itu, sesuatu itu bukanlah dianggap seni sekiranya ia tidak dapat menjalankan fungsinya untuk membimbing manusia ke arah yang lebih baik dan mengingati Allah s.w.t..

Sumber-Sumber Kesenian Islam

1. Al-Quran
2. As-Sunnah
3. Ijmak
4. Persekitaran setempat
5. Budaya setempat


Contoh-Contoh Kesenian Islam

1. Seni bina
2. Seni ukir
3. Seni khat
4. Seni lukis
5. Seni muzik
6. Seni sastera


Artikel ini ditulis berdasarkan kefahaman penulis hasil rujukan daripada beberapa buku/rujukan. Walau demikian fakta yang diberikan mungkin hanya relevan semasa artikel ini ditulis. Bagi mengelakkan kesilapan fakta, pembaca diingatkan agar membuat rujukan daripada sumber-sumber terkini jika hendak menggunakannya sebagai bahan penulisan ilmiah. 

Picture credit: durian19

Ranking: 5

{ 9 Respon... read them below or add one }

Dak Wan® said...

Indahnya Islam, seni yang tiada taranya ayat Al-Quran.


1/09/2010 11:30 PM
zool said...

Memang indah sungguh Islam tu..
First time singgah sini


1/10/2010 10:32 AM
Kulanz Salleh said...

@Dak Wan, Zool.. terima kasih sudi singgah..


1/10/2010 12:35 PM
mz arifin said...

ISLAM PALING UNGGUL, TIDAK ADA YANG LEBIH UNGGUL DARIPADA ISLAM.


1/11/2010 9:33 AM
Kulanz Salleh said...

@MZ ARIFIN,
memang tidak dapat dinafikan keunggulan agama Islam


3/01/2010 10:57 PM
Anonymous said...

ya..islam is great..info above are very inresting and helpfully for my asgment..thanks..:)..n i also can know n learn more about islam..


11/14/2010 5:37 PM
farhana said...

tq-information..
helpfully for my agment..thanks=)


6/17/2011 1:42 PM
nwa said...

Terima kaseh berkongsi kerana ianya boleh dirujuk pada bahan yang dinyatakan.


11/15/2013 6:52 AM
Cik karmila said...

terima kasih ats perkongsian..


10/09/2015 12:47 AM

Post a Comment

 
© Just Another Story All Rights Reserved