TANJUNG MALIM: “Saya menggigil dan hampir pengsan melihat kepala mangsa pecah dan otaknya berkecai atas jalan walaupun ramai penumpang di stesen ini menjerit memberitahu pemandu itu supaya memberhentikan bas,” kata saksi kejadian, Namukri Moarif, 42 menceritakan detik cemas kejadian yang meragut nyawa seorang warga emas, Aishah Ariffin, 76, pagi semalam.
Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 7.05 pagi di pekarangan Stesen Bas Awam Tanjung Malim, dekat sini, apabila mangsa yang baru turun dari bas sama cuba melintas di hadapan bas itu. Katanya, mangsa sempat memegang hadapan bas sebelum digilis apabila pemandu terbabit tidak menyedari mangsa berada di hadapannya.
“Tanpa sempat menjerit, bas yang kami naiki terus menggilis kepala warga emas itu.
“Orang ramai yang melihat kejadian itu menjerit sambil meminta bas berhenti, tetapi sudah terlambat,” katanya di sini, semalam.
Menurutnya, kepala mangsa pecah digilis tayar hadapan bas berkenaan sementara otak berkecai dan berselerak di atas jalan.
Sementara itu, Ketua Polis Tanjung Malim, Superintendan Mohd Ali Mat Nayan, berkata kejadian itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Menurutnya, pemandu terbabit ditahan untuk siasatan.
“Mangsa yang tinggal di Kampung Batu 7 Behrang Hulu dalam perjalanan ke Tanjung Malim bersendirian. “Bas yang menggilisnya bas sama dinaiki mangsa. Pemandu bas mungkin tidak menyedari mangsa berada di hadapannya disebabkan saiz badan mangsa yang kecil,” katanya.
Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Bilik Mayat Hospital Slim River (HSR) untuk bedah siasat. (Sumber: Harian Metro)
{ 0 Respon... read them below or add one }
Post a Comment