Benjy dan Ameng Didakwa Kes Dadah

on Thursday, May 13, 2010

Pelakon, penyanyi rock mengaku tidak bersalah tuduhan ke atas mereka

KUALA LUMPUR: Pelakon Benjy dan vokalis kumpulan rock Spring, Ameng dihadapkan ke Mahkamah Majistret di semalam, secara berasingan atas tuduhan berkaitan dengan penggunaan dadah pada Mac serta April lalu.

Benjy atau nama sebenarnya Khaireyll Benjamin Ibrahim, 32, menghadapi tuduhan pertama memiliki 0.14 gram syabu di C-13-6, Vista Mutiara, Jalan Vista Mutiara, Jalan Ambong Kiri, Kepong di sini, jam 3 petang, 11 Mac lalu.

Bagi tuduhan kedua, Benjy dituduh sebagai seorang yang tidak diberi kuasa mengikut undang-undang didapati menggunakan atau memasukkan dadah syabu ke dalam badannya di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur di sini, jam 8.24 malam, 15 Mac lalu.

Tuduhan pertama Benjy didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi kedua, dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 dan diwajibkan pengawasan polis tidak kurang dua tahun serta melebihi tiga tahun.

Benjy yang kelihatan muram, mengaku tidak bersalah atas kedua-dua tuduhan itu.
Majistret Hafizzah Sauni menetapkan perbicaraan selama tiga hari bermula 18 Ogos ini dan mengekalkan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Benjy kini diperintahkan ditahan di Pusat Pemulihan Akhlak Muar, Johor, selama dua tahun mengikut Seksyen 6(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.

Di depan Majistret Zaki Asyraf Zubir, Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail, 41, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan sebagai seorang yang tidak diberi kuasa mengikut undang-undang memasukkan ganja ke badannya.

Tertuduh yang dikurniakan pingat kebesaran, Setia Mahkota Pahang (SMP) sempena Hari Keputeraan Sultan Pahang Ke-79 pada 30 Mac lalu, dituduh melakukan kesalahan itu di pejabat Bahagian Siasatan IPD Sentul di sini, jam 3.45 petang, 2 April lalu.

Ameng yang popular dengan lagu Sampai Hati dan Butakah Cinta, didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 dan diwajibkan pengawasan polis tidak kurang dua tahun serta melebihi tiga tahun.

Majistret menetapkan 27 Mei ini untuk sebutan kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin. Ameng yang memakai kemeja putih dan seluar hitam, dibebaskan selepas dijamin isterinya, Sabariah Zakariah.


Ranking: 5

{ 0 Respon... read them below or add one }

Post a Comment

 
© Just Another Story All Rights Reserved