Kali ini saya kongsikan satu rencana menarik yang disalin daripada Portal Berita Online Kosmo.com.my. Harap perkongsian rencana ini dapat memberi manfaat kepada kita semua.
Setiap daripada kita tahu bahawa agama melarang kita mengumpat atau memperkatakan hal buruk orang lain. Bagaimanapun, menceritakan keburukan orang lain selalu sahaja terjadi dalam kehidupan manusia.
Kita cenderung untuk membincangkan keburukan pihak lain. Sebaliknya, jarang sangat manusia membincangkan keburukan diri sendiri.
Dalam psikologi, hal ini dikenali sebagai bias balik diri (self-serving bias). Semua ini merupakan lumrah bagi sesiapa sahaja. Apabila kita dipuji majikan atau dinaikkan pangkat kerana prestasi yang baik, kita percaya bahawa penilaian yang dibuat majikan itu betul. Sebaliknya, kalau kita dinilai buruk, kita percaya bahawa majikan melakukan hal yang silap.
Ahli sukan seperti pemain bola sepak terkenal dunia pun ada kecenderungan bias balik diri. Apabila mereka menjaringkan gol walaupun dalam keadaan ofsaid, tetapi dipersetujui oleh pengadil, mereka yakin bahawa pengadil membuat keputusan yang betul. Mereka seolah-olah percaya bahawa apa yang dilakukannya itu memang betul, apatah lagi apabila pengadil telah mengesahkannya.
Begitu juga dengan pelajar. Apabila mereka lulus cemerlang, mereka tidak merasa sebarang cacat celanya dengan soalan peperiksaan.
Mereka cenderung menerima keputusan itu. Sebaliknya, jika gagal mereka akan mengkritik pihak lain, misalnya guru yang tidak mengajar dengan baik. Ada juga yang menyatakan bahawa soalan peperiksaan yang diberikan terlalu susah. Banyak kajian dilakukan bagi melihat fenomena itu.
Contoh kajian global
- Majoriti usahawan merasakan mereka melakukan urusniaga mengikut etika yang betul, walaupun kenyataannya mungkin tidak begitu.
- Di Australia, 86 peratus pekerja menilai prestasi mereka lebih baik daripada kebanyakan orang. Hanya 1 peratus sahaja menilai diri di bawah paras purata.
- Di Belanda, kebanyakan pelajar sekolah tinggi menilai diri mereka sebagai lebih jujur, amanah, mesra dan boleh dipercayai berbanding purata pelajar lain.
- Kebanyakan pemandu, bahkan mereka yang sedang berada di hospital kerana kemalangan jalan raya merasakan diri mereka lebih cekap dan selamat berbanding rata-rata pemandu lain.
- Ramai orang percaya bahawa diri mereka lebih cerdik, kurang prejudis dan merasakan diri mereka lebih menarik berbanding ahli masyarakat lain.
Perasaan dan ilusi
Hakikatnya, ia hanya ilusi atau sebuah perasaan semata-mata. Semua ilusi ini sedang kita alami setiap hari lalu menjadikan manusia cenderung mencari kesalahan orang lain, berbanding mencermin diri sendiri.
Kajian juga mendapati manusia tidak adil dalam menilai diri sendiri. Manusia cenderung menilai diri sendiri sebagai berubah-ubah mengikut keadaan, sebaliknya menilai orang lain sebagai bersifat kekal dalam sebarang keadaan sekalipun.
Misalnya, apabila melihat salah laku atau kesilapan orang lain, manusia cenderung menyatakan bahawa orang tersebut mempunyai sifat negatif tadi dan ia wujud secara berkekalan.
Sebaliknya, apabila diminta menilai diri sendiri, manusia akan menyatakan bahawa sifat negatif tersebut hanya wujud dalam keadaan tertentu.
Sebagai contoh, sifat pemarah. Kita cenderung menyatakan bahawa kita hanya menjadi pemarah dalam keadaan yang tidak dapat dielakkan.
Semua ini menjadikan, dalam kehidupan sebagai manusia, kita lebih banyak menghabiskan masa dengan membincangkan keburukan pihak lain berbanding mencari kebaikan mereka. Manusia juga sibuk memperkatakan mengenai kehebatan diri sendiri berbanding memperkatakan tentang sifat buruk yang ada.
Mengapa hal ini terjadi?
Ini diasaskan oleh beberapa faktor. Antaranya ialah ilusi positif iaitu manusia cenderung untuk mempunyai ilusi positif terhadap diri sendiri.
Misalnya, kita tidak akan mati muda, walaupun kita tahu ramai orang lain yang mati muda.
Kita juga percaya tidak akan diserang kanser walaupun kita kuat merokok. Bagaimanapun, kalau diminta menilai orang lain yang merokok, kita cenderung berkata mereka akan diserang penyakit.
Kita juga cenderung menilai kita sebagai orang baik, walaupun orang lain mungkin menilai kita sebagai sombong. Sebaliknya kita menilai orang lain sebagai sombong, walaupun orang itu menilai diri mereka baik.
Faktor kedua ialah penolakan majmuk. Misalnya, manusia cenderung untuk tidak mahu berkawan dengan orang asing (walaupun orang asing itu mahu berkawan dengannya) kerana manusia cenderung untuk menjangkakan bahawa orang asing itu tidak berminat dengan persahabatan.
Namun begitu, pada masa yang sama, kita pula berkata bahawa kita ini sebenarnya seorang yang ingin bersahabat, cuma terpaksa tidak memulakannya kerana bimbang hasrat itu ditolak.
Sebenarnya itulah yang telah terjadi dalam diri kita sebagai manusia.
Sebab itulah, sebagai manusia kita tidak perlu terlalu berbangga dengan diri sendiri dan menghukum orang lain dengan label yang buruk.
Hakikat sebenarnya, kita sebagai manusia hanyalah sebuah ilusi yang dimainkan oleh perasaan sendiri.
{ 0 Respon... read them below or add one }
Post a Comment