Ternyata Akademi Fantasia Musim ke-9 ini memang masih belum ketandusan peminatnya. Itu terbukti apabila ada yang sanggup datang dari jauh semata-mata ingin menghadiri ujibakat yang diadakan di lokasi tertentu.
Kota Kinabalu: Perjalanan 10 jam menaiki bas tidak menghalang seorang pengawal peribadi berusia 42 tahun menghadiri uji bakat Akademi Fantasia musim ke-9 (AF9) di sebuah hotel di bandar raya ini, semalam.
Kesanggupan Ariffin Jaafar menempuh perjalanan hampir 600 kilometer dari Tawau berbaloi apabila terpilih ke peringkat seterusnya, sekali gus membuka peluang kepadanya menjadi peserta program realiti berkenaan.
“Walaupun berusia, semangat untuk menyertai program ini menyebabkan saya sanggup datang dari jauh dan bersyukur terpilih ke peringkat seterusnya.
“Saya pernah menghadiri uji bakat AF7 pada 2009 namun tidak bernasib baik apabila gagal pada peringkat pertama lagi,” katanya.
Ariffin berkata, walaupun usianya dianggap ‘senior’ berbanding calon lain yang rata-rata berusia awal 20-an, perkara itu bukan penghalang besar baginya.
“Saya memang minat menyanyi sejak kecil dan menjadi impian saya untuk menyertai program ini sejak diperkenalkan kira-kira lapan tahun lalu,” katanya.
Seorang lagi calon terpilih ke peringkat seterusnya, Romanizam Awang Ali, 27, tidak menyangka dipilih kerana hanya menghadiri uji bakat secara suka-suka.
“Saya juga tidak pernah menyanyi di khalayak ramai dan gementar apabila diarah menyanyikan pelbagai jenis lagu oleh juri.
“Ini kali pertama saya menghadiri uji bakat AF dan terpilih ke peringkat seterusnya,” katanya.
Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Resza Azmi berkata, hampir 2,000 calon menghadiri uji bakat yang diadakan selama tiga hari bermula kelmarin.
“Hari ini (semalam), hampir 1,000 calon hadir dan bilangannya dijangka meningkat pada hari terakhir esok (hari ini). (Sumber: Harian Metro Online)
{ 0 Respon... read them below or add one }
Post a Comment