Drama Habil dan Qabil Slot Samarinda TV3

on Thursday, September 23, 2010

Drama bersiri Syurgamu Ramadan yang disiarkan menerusi Slot Samarinda TV3 dulu telahpun tamat dan kini digantikan dengan drama Habil dan Qabil.

Sinopsis Drama Habil dan Qabil: Drama ini mengisahkan takdir dua insan yang dilahirkan pada hari dan tarikh yang sama dan sering bersaing di alam persekolahan serta dunia korporat. Mereka juga jatuh cinta kepada wanita yang sama.

Habil Najmi (Aaron Aziz) dibesarkan oleh Yusoff (Azhan Rani) dan Umairah (Zila Bakarin) setelah ditinggalkan oleh ibu kandungnya, Habibah (Abby Nazri). Habil ditatang bagai minyak penuh oleh Umairah tetapi Yusoff selalu bersikap garang terhadap anak angkat ini. Qabil Iskandar (Zed Zaidi) pula dilahirkan dan membesar dalam keluarga yang mewah.

Ayahnya, Qamarul (Rashidi Ishak) seorang pengusaha tanah yang berjaya tetapi jarang meluangkan masa bersama isterinya, Intan (Abby Abadi) dan Qabil kerana terlalu sibuk dengan urusan kerja.

Qamarul yang bersikap dingin dengan Intan juga mengesyaki Qabil bukan anak kandungnya sebaliknya anak Intan bersama bekas kekasihnya, Smith (Geofrey Perrin Williams).

Sementara itu, Qamarul juga sering terganggu dengan kisah silamnya di Kampung Sungai Manik. Walaupun Habil dan Qabil belajar di sekolah berasrama yang sama di bandar, tetapi mereka tidak berkawan rapat dan sering bersaing dalam akademik dan sukan. Selepas tamat sekolah, Habil dan Qabil membawa haluan masing-masing sehingga bertemu kembali dalam dunia korporat.

Kini, Qabil sibuk menguruskan syarikat arwah ayahnya yang telah bergabung dengan syarikat ayah tirinya, Smith iaitu Syarikat Qam & Smith Properties.

Sejak kematian suaminya, Intan telah memberi kepercayaan penuh kepada Smith dan tidak mengambil peduli mengenai hal ehwal syarikat.

Habil pula berjaya memiliki syarikat sendiri. Habil menganggap pelaksanaan projek padang golf Qamarul di tanah Yusoff telah memusnahkan kehidupan Yusoff dan Umairah.

Justeru itu, Habil telah bertindak agresif untuk merampas semua projek mega Qam & Smith Propertis untuk membalas dendam.

Mereka bukan sahaja bersaing dalam perniagaan tetapi juga jatuh hati kepada Maria (Siti Saleha). Tanpa diketahui, Maria juga menyimpan agenda sendiri selepas memutuskan untuk mengahwini Qabil.

Drama lakonan Aaron Aziz, Zed Zaidi, Siti Saleha, Abby Abadi, Rashidi Ishak, Zila Bakarin, Azhan Rani, Abby Nazri dan Geofrey Perrin Williams itu disiarkan sejak 22 September lalu pada setiap Selasa hingga Khamis, pukul 10.30 malam.

Drama bersiri 25 episod terbitan Filmscape Sdn Bhd itu mendapat sentuhan sutradara Faizal Ishak dan nukilan skrip oleh Mohd Rohizan Ramli.
Ranking: 5

{ 1 Respon... read them below or add one }

suri said...

jalan cerita yang menarik sekali.. heee


9/27/2010 2:04 PM

Post a Comment

 
© Just Another Story All Rights Reserved