Garis Panduan Cara Tuntutan Cerai

on Friday, June 18, 2010

Bagi mengelakkan tuduh menuduh pemohon dan pihak berkuasa, satu tatacara atau panduan Tuntutan Cerai akan disediakan oleh Jabatan Perdana Menteri.  

Laporan daripada Berita Harian menyebutkan bahawa, Jabatan Perdana Menteri sudah merangka satu garis panduan mengenai prosedur memfailkan tuntutan cerai untuk dipamerkan di semua jabatan agama dan mahkamah syariah sebagai rujukan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata garis panduan itu dalam bentuk carta prosedur adalah antara 11 Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kementeriannya.

“Carta itu akan menjadi model prosedur perceraian bagi semua umat Islam dan kita akan melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa. Ini bagi mengelakkan tuduh menuduh antara pemohon dan pihak berkuasa apabila berlaku kelewatan atau tindakan segera tidak diambil.

“Dengan adanya prosedur ini, setiap pemohon akan tahu apa yang perlu dilakukan ketika membuat permohonan perceraian, seperti di mana difailkan, siapa orang hubungan dan bahagian mana perlu dihubungi untuk mendapat maklum balas tertentu.

“Perkara ini (prosedur perceraian) bukan sekadar cakap saja, ia perlu laporan bertulis,” katanya pada sidang media selepas majlis ramah mesra bersama media di sini, semalam.

Jamil Khir berkata, carta prosedur itu kini dalam proses cetakan dan akan dihebahkan kepada masyarakat apabila siap.

Mengulas lanjut mengenai KPI kementeriannya, Jamil Khir berkata, antara KPI yang ditetapkan bagi tahun ini, termasuk penyeragaman Undang-undang Keluarga Islam, memartabatkan program Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa), pengukuhan industri makanan halal, pembangunan hartanah wakaf, memajukan industri Ar-Rahnu dan memartabatkan institusi tahfiz negara dengan penubuhan Dewan Huffaz Kebangsaan.

Mengenai penubuhan Dewan Huffaz Kebangsaan yang akan ditubuhkan dalam masa terdekat, beliau berkata, ia bertujuan untuk menyatukan tahfiz di bawah satu persatuan bagi membolehkan kerajaan memberi perhatian dan bantuan.

“Kadang-kadang ada hal yang terpisah antara mereka dari sudut kerja, perjawatan, sedangkan mereka ini lahir dari maahad tahfiz di bawah kelolaan Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), negeri dan luar negara yang seakan-akan terpisah.

“Jadi kita mahu menyatukan mereka ini demi kepentingan kebajikan mereka,” katanya. (Sumber: Berita Harian Online)
Ranking: 5

{ 0 Respon... read them below or add one }

Post a Comment

 
© Just Another Story All Rights Reserved