Showing posts with label Kementerian Pelajaran Malaysia. Show all posts
Showing posts with label Kementerian Pelajaran Malaysia. Show all posts

Kementerian Pelajaran Ditukarkan Kepada Kementerian Pendidikan

on Friday, May 24, 2013

Kementerian Pelajaran kini dikenali sebagai Kementerian Pendidikan, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Beliau, yang juga menteri pendidikan berkata perubahan nama kementerian itu diluluskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Rabu lepas setelah pakar bahasa sependapat istilah pendidikan lebih tepat berbanding pelajaran.

“Pakar bahasa berpendapat istilah pendidikan lebih tepat dan sebab itu Perdana Menteri bersetuju dan saya juga telah beritahu pegawai supaya menerimanya sebagai nama baru, malah nama kementerian pendidikan juga pernah digunakan sebelum ini,” katanya kepada wartawan Malaysia di Phuket.

Beliau berkata proses penggabungan dua kementerian - Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi - yang dijangka selesai dalam tempoh sebulan telah bermula sejurus kabinet diumumkan dan yakin tidak akan menghadapi kesukaran kerana kedua-duanya mencakupi proses pembelajaran dan pengajaran yang berasal daripada satu kementerian sebelum dipisahkan.

Muhyiddin berkata penggabungan itu tidak menyebabkan pertindihan antara sekolah rendah, menengah dan universiti kerana masing-masing mempunyai pelan pembangunan sendiri kecuali aspek kepimpinan yang diletakkan di bawah satu kementerian dengan mempunyai dua menteri dan dua timbalan menteri.

“Saya telah mengemukakan cadangan bagaimana struktur baru itu hendak dibentuk dan Ketua Setiausaha Negara telah mengambil maklum dan berbincang dengan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam di mana minggu depan akan ada perbincangan lanjut dan Insya-Allah pelantikan jawatan yang sepatutnya dibuat akan dilakukan,” katanya dan menambah dalam bahasa Inggeris kementerian itu kekal dengan panggilan 'Ministry of Education'.

Beliau berkata walaupun digabungkan beliau membayangkan tidak akan berlaku perubahan terhadap dasar yang digunakan sebelum ini sebaliknya penyatuan itu menghasilkan penjimatan dari segi guna tenaga dan kepakaran kakitangan.

Muhyiddin berkata sebagai contoh, koordinasi dua kementerian membawa kebaikan kepada sektor pendidikan kerana kepakaran tenaga pengajar di universiti seperti pensyarah bahasa Inggeris boleh digunakan untuk membantu meningkatkan kemahiran bahasa itu di sekolah rendah dan menengah kebangsaan.

Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata cadangan supaya bahasa Mandarin dan Tamil kembali diajar di Sekolah Kebangsaan akan dikaji secara mendalam kerana pelaksanaannya akan melibatkan perubahan kepada dasar tertentu.

Muhyiddin berkata proses pengajaran kedua-dua bahasa itu pernah dilaksanakan sebelum ini tetapi tidak mencapai matlamat seperti apa yang dimahukan berikutan jumlah pelajar yang tidak begitu ramai.

“Itu sebenarnya bukan baru tetapi setelah ada pihak yang mencadangkan sebegitu, maka saya perlu meneliti kerana kita nak melaksanakannya secara bersungguh-sungguh dan tidak mahu orang bukan Melayu melihat Sekolah Kebangsaan ialah ‘sekolah kebangsaan’, bukannya sekolah Melayu dan menawarkan pelbagai bahasa selain bahasa Malaysia.

“Persoalan besar yang mencabar kementerian ialah kalau ia hendak dilaksanakan kita perlu sediakan sejumlah guru mahir yang ramai kerana kita memiliki lebih 7,000 sekolah rendah dan 3,000 sekolah menengah...jadi sebelum kita nak buat keputusan yang melibatkan dasar kita perlu kaji dengan sebaik-baiknya,” katanya.

- Bernama

Permohonan Kemasukan ke Program Pra Universiti Kementerian Pelajaran Malaysia Sesi Akademik 2013

on Sunday, March 03, 2013

PERMOHONAN KEMASUKAN KE PROGRAM PRA UNIVERSITI KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA SESI AKADEMIK 2013

Sukacita dimaklumkan bahawa Kementerian Pelajaran Malaysia akan menawarkan kemasukan ke Program Pra Universiti Sekolah Sukan Malaysia sesi 2013/2014 bagi calon yang layak untuk mengikuti program berikut. Sehubungan dengan itu, semua pemohon diminta membaca dengan teliti dan memahami serta mematuhi syarat-syarat/cara-cara/panduan permohonan yang telah ditetapkan.

Pemberitahuan
  1. Hanya calon yang berstatus atlet negara atau berada di dalam Program Majlis Sukan Negara/Negeri sahaja yang layak memohon kursus ini.

  2. Umur tidak melebihi 20 tahun pada tarikh kemasukan.

  3. Tarikh tutup permohonan adalah pada 31 MAC 2013. Sebarang permohonan yang diterima selepas tarikh tersebut tidak akan dilayan.

  4. Anda boleh mengemaskini maklumat peribadi anda TANPA HAD sebelum tarikh tutup permohonan. Namun begitu, anda perlu mengepos borang dan sijil SEKALI SAHAJA walaupun terdapat pengemaskinian maklumat peribadi.

Panduan Permohonan

Semua pemohon dikehendaki mengikut prosedur permohonan seperti berikut:
  1. Mengisi borang permohonan secara online dengan lengkap.Kemudian, tekan butang SIMPAN
  2. Mencetak borang tersebut serta-merta. Kemudian isikan maklumat pada ruangan berikut dengan lengkap

a. Ruang E. Ulasan Jurulatih
b. Ruang F. Ulasan Penolong Kanan Sukan
c. Ruang G. Perakuan
d. Ruang H. Pengesahan

3. Poskan borang yang telah lengkap diisi beserta sijil-sijil kepada:

PENGARAH
BAHAGIAN SUKAN
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA
ARAS 1 & 7, BLOK E13, PARCEL E,
PUSAT PENTADBIRAN KERAJAAN PERSEKUTUAN
62604 PUTRAJAYA
(U.P: UNIT SEKOLAH SUKAN MALAYSIA)

sebelum tarikh tutup permohonan

Nota penting:
  • Kegagalan pihak Jabatan untuk menerima borang lengkap yang diposkan seperti di perkara 3 di atas akan menyebabkan permohonan anda terbatal
  • Anda digalakkan membuat satu salinan borang yang telah lengkap untuk rujukan sendiri

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web berkenaan di SINI.


Sumber: Kementerian Pelajaran Malaysia
 
© Just Another Story All Rights Reserved