Showing posts with label Drama. Show all posts
Showing posts with label Drama. Show all posts

Ulek Mayang Menampilkan Tarian Elly Mazlein

on Sunday, October 24, 2010

Drama Siti Kelembai yang disiarkan di slot Lagenda TV3 akan digantikan dengan drama terbaru berjudul Ulek Mayang. Ulek Mayang yang diadaptasikan daripada mitos Ulek Mayang bakal menemui penonton mulai 25 Oktober ini, setiap hari Isnin hingga Khamis pukul 4.30 petang. Yang menariknya Ulek Mayang akan memaparkan tarian Ulek Mayang yang dipersembahkan oleh aktres dan penyanyi Elly Mazlein.

Drama Ulek Mayang yang dihasilkan sebanyak 20 episod itu arahan Rashid Sibir dan membariskan pelakon-pelakon handalan seperti Fezrul Khan, Elly Mazlein, Seniwati Mariani Ismail, Fizo Omar dan Sabrina Ali.


Sinopsis: “Ulek Mayang mengisahkan Ali (Fezrul Khan), seorang nelayan yang sering diganggu dengan bayangan Puteri di persisiran pantai. Namun, Ali hanya mendengar suara gurau senda tetapi tidak pernah melihat wajah si Puteri itu.

Semakin hari bayangan Puteri itu semakin menghantui hidup Ali. Ali sentiasa pergi ke pantai untuk mencari Puteri. Malah, dia dapat merasa kehadiran Puteri dalam mimpinya kerana bilik tidurnya akan dipenuhi dengan bau wangian. Ibu Ali, Mariam (Mariani Ismail) semakin risau melihat keadaan Ali yang menjadi seperti sasau dan angau.

Sebenarnya, Ali telah bertembung dengan Puteri Mayang Sari (Elly Mazlein). Suatu hari, Ali telah menyeru nama Puteri Mayang Sari supaya dapat berjumpa. Pada kali pertama mereka bertentang mata, Ali dan Puteri Mayang Sari telah jatuh hati.

Puteri Mayang Mengurai (Sabrina Ali) yang juga menyimpan perasaan terhadap Ali telah memukau mata orang sekelilingnya supaya melihat Sari sebagai hantu yang berwajah hitam dan menakutkan.

Percintaan Ali dengan Sari ditentang keras oleh Mariam kerana Sari dianggap sebagai hantu yang akan membawa mudarat kepada anaknya. Setelah Ali sesat dalam alam Puteri Mayang Sari, Mariam mendapat khidmat bomoh untuk mengadakan upacara pemujaan Ulek Mayang. Keadaan menjadi tidak terkawal apabila Mayang Sari mengamuk semasa upacara tersebut diadakan. Apakah yang akan terjadi selepas ini?

Sumber: Gua.com.my dan mStar online

Drama Habil dan Qabil Slot Samarinda TV3

on Thursday, September 23, 2010

Drama bersiri Syurgamu Ramadan yang disiarkan menerusi Slot Samarinda TV3 dulu telahpun tamat dan kini digantikan dengan drama Habil dan Qabil.

Sinopsis Drama Habil dan Qabil: Drama ini mengisahkan takdir dua insan yang dilahirkan pada hari dan tarikh yang sama dan sering bersaing di alam persekolahan serta dunia korporat. Mereka juga jatuh cinta kepada wanita yang sama.

Habil Najmi (Aaron Aziz) dibesarkan oleh Yusoff (Azhan Rani) dan Umairah (Zila Bakarin) setelah ditinggalkan oleh ibu kandungnya, Habibah (Abby Nazri). Habil ditatang bagai minyak penuh oleh Umairah tetapi Yusoff selalu bersikap garang terhadap anak angkat ini. Qabil Iskandar (Zed Zaidi) pula dilahirkan dan membesar dalam keluarga yang mewah.

Ayahnya, Qamarul (Rashidi Ishak) seorang pengusaha tanah yang berjaya tetapi jarang meluangkan masa bersama isterinya, Intan (Abby Abadi) dan Qabil kerana terlalu sibuk dengan urusan kerja.

Qamarul yang bersikap dingin dengan Intan juga mengesyaki Qabil bukan anak kandungnya sebaliknya anak Intan bersama bekas kekasihnya, Smith (Geofrey Perrin Williams).

Sementara itu, Qamarul juga sering terganggu dengan kisah silamnya di Kampung Sungai Manik. Walaupun Habil dan Qabil belajar di sekolah berasrama yang sama di bandar, tetapi mereka tidak berkawan rapat dan sering bersaing dalam akademik dan sukan. Selepas tamat sekolah, Habil dan Qabil membawa haluan masing-masing sehingga bertemu kembali dalam dunia korporat.

Kini, Qabil sibuk menguruskan syarikat arwah ayahnya yang telah bergabung dengan syarikat ayah tirinya, Smith iaitu Syarikat Qam & Smith Properties.

Sejak kematian suaminya, Intan telah memberi kepercayaan penuh kepada Smith dan tidak mengambil peduli mengenai hal ehwal syarikat.

Habil pula berjaya memiliki syarikat sendiri. Habil menganggap pelaksanaan projek padang golf Qamarul di tanah Yusoff telah memusnahkan kehidupan Yusoff dan Umairah.

Justeru itu, Habil telah bertindak agresif untuk merampas semua projek mega Qam & Smith Propertis untuk membalas dendam.

Mereka bukan sahaja bersaing dalam perniagaan tetapi juga jatuh hati kepada Maria (Siti Saleha). Tanpa diketahui, Maria juga menyimpan agenda sendiri selepas memutuskan untuk mengahwini Qabil.

Drama lakonan Aaron Aziz, Zed Zaidi, Siti Saleha, Abby Abadi, Rashidi Ishak, Zila Bakarin, Azhan Rani, Abby Nazri dan Geofrey Perrin Williams itu disiarkan sejak 22 September lalu pada setiap Selasa hingga Khamis, pukul 10.30 malam.

Drama bersiri 25 episod terbitan Filmscape Sdn Bhd itu mendapat sentuhan sutradara Faizal Ishak dan nukilan skrip oleh Mohd Rohizan Ramli.

Duyong Aridinata Drama Bersiri Baru TV3

on Friday, July 02, 2010

Drama bersiri 64 episod Dyesebel dari Filipina pernah mencetuskan populariti tersendiri pada tahun lalu.

Tahun ini, produksi tempatan iaitu Zeel Productions tidak melepaskan peluang membikin drama bersiri 20 episod berjudul Duyong Aridinata yang seakan-akan sama dengan drama popular berkisarkan cinta romantis antara duyung dan manusia.

Duyong Aridinata bukan menceritakan seorang duyung wanita seperti yang ditonton dalam Dyesebel, tetapi seorang putera duyung yang mahu mencari cinta sejati di bumi.

Drama arahan pengarah terkenal Adam Hamid itu menyelami pengembaraan putera duyung bernama Aridinata lakonan Zachery Francis yang mahu memahami dunia manusia dan mengenali erti cinta sejati.

Menurut Adam, tidak dinafikan drama itu mempunyai persamaan dengan Dyesebel dari segi "shoot" studio dan latar set. Namun apabila sampai ke dalam laut, suasananya pasti berbeza kerana mereka merakamkan pemandangan sebenar dalam laut di Pulau Lang Tengah, Terengganu.

“Kami menjalani penggambaran selama empat hari dengan kedalaman tujuh meter dalam laut menggunakan kamera kalis air,” katanya semasa majlis pelancaran drama bersiri itu di Ampang kelmarin.

Keseluruhan penggambaran drama itu dilakukan selama sebulan bermula awal Mei sehingga minggu ketiga Jun lalu.

Sepanjang 19 tahun dalam industri seni dan lapan tahun bergelar pengarah, ini merupakan kali pertama Adam terlibat dengan cerita yang memerlukannya menyelam di dasar laut.

“Bagi saya, agak mencabar juga untuk memberikan arahan kepada pelakon ketikam di dalam air. Jadi, saya harap ramai yang akan menonton drama Duyong Aridinata kerana ia bukan sahaja banyak memberikan cabaran kepada jalan cerita tetapi juga kepada pelakon,” luahnya.

Duyong Aridinata turut merungkai tentang Aridinata pernah menyelamatkan seorang perempuan yang hampir lemas di laut dan mengagumi kesempurnaan tubuh manusia.

Maka, Aridinata dan Bumatra (Hirzi) mencari jalan untuk keluar dari empayar Insangrumpair. Aridinata sering teringatkan budak perempuan yang pernah diselamatkannya dan mahu mencarinya ke alam manusia.

Dengan bantuan Dukun Mek Melusa (Maria Farida), Aridinata dan Bumatra berjaya menukarkan ekor mereka kepada sepasang kaki manusia.

Namun, Aridinata perlu memenuhi beberapa syarat. Dia hanya akan kekal menjadi manusia sekiranya ada wanita mengucapkan cinta kepadanya dalam tempoh tujuh bulan.

Aridinata dan Bumatra telah berkenalan dengan Cleo (Fasha Sandha) dan Tom Diana (Syakilla) yang mengikuti rombongan pelajar Universiti Malaya. Aridinata tertarik dengan perwatakan Cleo yang ikhlas dan bersahaja. Aridinata berusaha untuk memenangi hati Cleo kerana masa semakin suntuk.

Siri selama 20 episod ini akan bersiaran mulai 12 Julai ini, setiap Isnin hingga Khamis pukul 4.30 petang menerusi slot Lagenda di TV3 dan siaran ulangannya di TV9 pukul 8.30 malam.

Selain Zachery Francis dan Fasha Sandha ia turut membariskan pelakon popular lain seperti Natasha Hudson, Rozie Rashid, Tony Eusoff, Maria Farida, Zain Saidin, Jasmin Hamid, Hirzi, Syakilla. (Sumber: mStar Online)
 
© Just Another Story All Rights Reserved