Miss World Harvest Festival 2012

on Saturday, May 26, 2012

Bulan Mei adalah bulan sambutan Pesta Menuai di negeri-negeri Malaysia Timur termasuk Sabah dan Sarawak. Sempena sambutan Pesta Menuai ini, banyak aktiviti yang dilaksanakan, salah satu yang menjadi tumpuan ialah Ratu Cantik Pesta Menuai. 

Di Sarawak, pertandingan tahun ini lebih meriah dengan pengajuran Miss World Harvest Festival (WHF) 2012 yang berlangsung hari ini dijangka meriah dengan kehadiran lebih 5,000 pengunjung bagi mengikuti aktiviti yang dianjurkan oleh Kampung Budaya Sarawak (SCV) sehingga esok.


Antara yang paling mendapat tumpuan sepanjang festival itu ialah pertandingan Miss WHF 2012 yang disertai oleh 14 jelitawan untuk merebut gelaran utama serta lapan gelaran subsidiari.

Gelaran tersebut ialah Miss Beautiful Eyesight, Miss Photogenic, Miss 360 Congeniality, Best Traditional Costumes, Best Catwalk, Miss Versatile, Miss SMS Favourite, Miss Talent dan gelaran utama Miss World Harvest Festival 2012.

Hari ini, para jelitawan terbabit membuat penampilan akhir dengan mengayakan pakaian tradisional kaum Iban di Panggung Budaya SCV manakala nama-nama pemenang diumumkan pada sebelah malam di Dewan Lagenda. (Sumber: Kosmo Online)

Nama Pelik dan Unik di Sabah

on Monday, May 21, 2012

Hari ini waktu meninjau-ninjau tajuk penting di portal berita online (mStar Online), tertarik dengan satu tajuk berita "Banyak Nama Pelik Di Sabah". Disebabakan ingin mengetahui kisah sebenar di sebalik 'nama pelik' itu, membuka URL dan kandungan berita berkenaan.

Sebagai salah seorang rakyat Malaysia kelahiran negeri Sabah, saya memang mengetahui sedikit-sebanyak tentang beberapa nama pelik di negeri ini. Ia memang sesuatu yang unik dan tidak salah jika saya kongsikan di sini.

KOTA KINABALU: Mereka yang bukan berasal dari Sabah sering keliru dengan nama-nama pelik yang digunakan penduduk pelbagai etnik di negeri itu.

Nama-nama pelik seperti Mogumbirak, Tigabelas, Ponyrace, Samalia Cuba dan Rothmans sering menjadi bahan gurauan dan menimbulkan tanda tanya di kalangan masyarakat pelbagai etnik di Sabah.

Namun, terdapat cerita menarik di sebalik bagaimana nama-nama tersebut diberikan seperti dalam kes melibatkan seorang bekas Pengarah Jabatan Arkib Negeri Sabah, Datuk Datu Tigabelas Datu Zainal Abidin.

"Agak sukar untuk membawa nama ini. Di sekolah, saya sering diusik dan sukar untuk berkawan tetapi saya belajar membiasakan diri dengan keadaan itu," katanya.

Beliau berkata, nama tersebut diberikan selepas kematian tragik berturut-turut yang menimpa keluarganya.

Nama itu sebenarnya diberikan untuk menyelamatkan nyawa beliau.

"Sebelum kehadiran saya, ibu bapa saya memiliki 12 cahaya mata dan kesemuanya meninggal dunia.

"Mereka (ibu bapa) mendapatkan nasihat daripada penduduk kampung di Kota Belud termasuk bomoh dan mereka memberitahu sama ada memberikan saya nama unik atau menyerahkan saya kepada keluarga angkat," katanya.

Tigabelas berkata, doktor yang menyambut kelahirannya mencadangkan nama tersebut kepada ibu bapanya selepas mengetahui mengenai kematian adik-beradik saya.

"Selepas mengetahui saya anak yang ke-13, dia mencadangkan agar saya dinamakan Tigabelas.

""Saya percaya, saya anak ke-13 yang bertuah kerana hanya saya seorang terselamat. Ibu melahirkan dua anak selepas saya tetapi mereka turut meninggal," katanya.

Dalam kebanyakan kes melibatkan nama aneh, ibu bapa yang buta huruf pada 1960 dan 1970 merupakan penyebab utama.

Mereka memberikan nama berdasarkan bunyi atau memilih perkataan popular seperti Ponyrace atau jenama rokok terkemuka seperti Rothmans atau Benson.

Mogumbirak, seorang lelaki dari etnik Rungus berusia 50 tahun yang berasal dari Kudat menarik perhatian tanpa diminta. Pekerja buruh, Samalia Cuba yang namanya diangkat sempena dua negara iaitu Somalia dan Cuba enggan memberikan sebab keluarganya memilih nama tersebut. "Tidak apalah, tidak payah tanya. Saya ada kerja sekarang," katanya ketika dihubungi Ahad.

Itulah antara keunikan di negeri Sabah. Cuma kita berharap selepas ini tiada lagi mana-mana individu yang menjadikan nama-nama tersebut sebagai gurauan.

Sekolah Vokasional Akan Jadi Kolej Vokasional Pada 2015

on Saturday, May 19, 2012

Semua sekolah vokasional di negara ini dijangka dapat dinaik taraf kepada kolej vokasional menjelang tahun 2015, kata Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi.

Katanya pada masa ini sebanyak 15 sekolah vokasional yang mewakili setiap negeri telah dinaik taraf kepada status itu, dan bertindak sebagai program rintis yang bertujuan mentransformasikan sistem pendidikan.

"Secara keseluruhannya penaiktarafan ini akan memberi tumpuan kepada kemahiran, pelajar tidak perlu memakai pakaian sekolah dan kita ubah persekitarannya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival dan Ekspo Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan Kompleks KLIA, di sini Sabtu.

Katanya penaiktarafan itu yang merupakan sebahagian daripada usaha memantapkan lagi sistem pendidikan negara, akan dilaksana secara berperingkat selain guru diberi latihan dan penambahan alat kelengkapan kursus.

Kurikulum vokasional juga akan dirombak secara komprehensif agar mencapai standard yang memenuhi keperluan pasaran kerja selain pengenalan beberapa kursus baharu seperti kursus penerbangan bagi menarik minat pelajar, katanya.

Katanya pelajar akan mengikuti kursus selama lapan semester, meliputi 70 peratus kemahiran dan 30 peratus akademik serta akan menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap Empat setaraf diploma daripada Kementerian Sumber Manusia.

"Selepas mereka tamat dan mendapat sijil tersebut nanti terpulang kepada mereka sama ada untuk menyambung pelajaran atau pun terus bekerja, kerana dengan adanya sijil itu mereka sudah layak untuk mendapat kerja yang baik," katanya.

Katanya pada masa ini terdapat 78 sekolah vokasional seluruh negara, dan beberapa buah lagi akan dibina dan terus diberikan status berkenaan. - BERNAMA

Kelantan Juara Piala FA 2012

Tahniah diucapkan keapda pasukan Kelantan berjaya menjuarai Piala FA selepas menewaskan KL Sime Darby 1-0 pada aksi final malam Sabtu. Gol tunggal The Red Warriors dijaringkan oleh Mohammed Ghaddar Mahmoud menerusi sepakan penalti. Sebelum itu, kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama dalam perlawanan akhir Piala FA yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil. Pada aksi keseluruhan babak pertama permainan, kedua-dua buah pasukan menunjukkan permainan seimbang dalam usaha mencari kejuaraan sulung. Ini kali pertama kedua-dua pasukan bertemu di final.


BARISAN PEMAIN:
Kelantan: Khairul Fahmi Che Mat, Zairul Fitree Ishak, S.Subramaniam (Mohd Rizal Fahmi Abdul Rosid), Obinna Nwaneri, Mohd Daudsu Jamaluddin (Mohd Farisham Ismail), Mohd Shakir Shaari, Mohd Badhri Mohd Radzi (kapten), S. Chanturu (Mohd Nurul Azwan Roya), Indra Putra Mahayuddin, Norshahrul Idlan Talaha, Mohammed Ghaddar Mahmoud.

Sime Darby: Mohd Redzuan Harun, Es Lizuan Zahid Amir (kapten), Mohd Arif Ismail, Mohd Shazlan Alias, Mohd Fairuz Abdul Aziz, Azmirul Azmi (Mohammad Syukur Saidin), Mohd Nor Ismail, Mohd Shoufiq Khusaini, Leandro Teofilo Santos Pinto (Razali Umar Kandasamy), Mohd Faiz Mohd Isa, Patrick Ronaldinho Wleh (Mohd Asrol Ibrahim).

Pengadil: Suhaizi Shukri 

Sumber: mStar Online

Kenapa Bias Kepada Diri Sendiri

Kali ini saya kongsikan satu rencana menarik yang disalin daripada Portal Berita Online Kosmo.com.my. Harap perkongsian rencana ini dapat memberi manfaat kepada kita semua.

Setiap daripada kita tahu bahawa agama melarang kita mengumpat atau memperkatakan hal buruk orang lain. Bagaimanapun, menceritakan keburukan orang lain selalu sahaja terjadi dalam kehidupan manusia.

Kita cenderung untuk membincangkan keburukan pihak lain. Sebaliknya, jarang sangat manusia membincangkan keburukan diri sendiri.

Dalam psikologi, hal ini dikenali sebagai bias balik diri (self-serving bias). Semua ini merupakan lumrah bagi sesiapa sahaja. Apabila kita dipuji majikan atau dinaikkan pangkat kerana prestasi yang baik, kita percaya bahawa penilaian yang dibuat majikan itu betul. Sebaliknya, kalau kita dinilai buruk, kita percaya bahawa majikan melakukan hal yang silap.

Ahli sukan seperti pemain bola sepak terkenal dunia pun ada kecenderungan bias balik diri. Apabila mereka menjaringkan gol walaupun dalam keadaan ofsaid, tetapi dipersetujui oleh pengadil, mereka yakin bahawa pengadil membuat keputusan yang betul. Mereka seolah-olah percaya bahawa apa yang dilakukannya itu memang betul, apatah lagi apabila pengadil telah mengesahkannya.

Begitu juga dengan pelajar. Apabila mereka lulus cemerlang, mereka tidak merasa sebarang cacat celanya dengan soalan peperiksaan.

Mereka cenderung menerima keputusan itu. Sebaliknya, jika gagal mereka akan mengkritik pihak lain, misalnya guru yang tidak mengajar dengan baik. Ada juga yang menyatakan bahawa soalan peperiksaan yang diberikan terlalu susah. Banyak kajian dilakukan bagi melihat fenomena itu.

Contoh kajian global

  1. Majoriti usahawan merasakan mereka melakukan urusniaga mengikut etika yang betul, walaupun kenyataannya mungkin tidak begitu.
  2. Di Australia, 86 peratus pekerja menilai prestasi mereka lebih baik daripada kebanyakan orang. Hanya 1 peratus sahaja menilai diri di bawah paras purata.
  3. Di Belanda, kebanyakan pelajar sekolah tinggi menilai diri mereka sebagai lebih jujur, amanah, mesra dan boleh dipercayai berbanding purata pelajar lain.
  4. Kebanyakan pemandu, bahkan mereka yang sedang berada di hospital kerana kemalangan jalan raya merasakan diri mereka lebih cekap dan selamat berbanding rata-rata pemandu lain.
  5. Ramai orang percaya bahawa diri mereka lebih cerdik, kurang prejudis dan merasakan diri mereka lebih menarik berbanding ahli masyarakat lain.


Perasaan dan ilusi

Hakikatnya, ia hanya ilusi atau sebuah perasaan semata-mata. Semua ilusi ini sedang kita alami setiap hari lalu menjadikan manusia cenderung mencari kesalahan orang lain, berbanding mencermin diri sendiri.

Kajian juga mendapati manusia tidak adil dalam menilai diri sendiri. Manusia cenderung menilai diri sendiri sebagai berubah-ubah mengikut keadaan, sebaliknya menilai orang lain sebagai bersifat kekal dalam sebarang keadaan sekalipun.

Misalnya, apabila melihat salah laku atau kesilapan orang lain, manusia cenderung menyatakan bahawa orang tersebut mempunyai sifat negatif tadi dan ia wujud secara berkekalan.

Sebaliknya, apabila diminta menilai diri sendiri, manusia akan menyatakan bahawa sifat negatif tersebut hanya wujud dalam keadaan tertentu.

Sebagai contoh, sifat pemarah. Kita cenderung menyatakan bahawa kita hanya menjadi pemarah dalam keadaan yang tidak dapat dielakkan.

Semua ini menjadikan, dalam kehidupan sebagai manusia, kita lebih banyak menghabiskan masa dengan membincangkan keburukan pihak lain berbanding mencari kebaikan mereka. Manusia juga sibuk memperkatakan mengenai kehebatan diri sendiri berbanding memperkatakan tentang sifat buruk yang ada.

Mengapa hal ini terjadi?

Ini diasaskan oleh beberapa faktor. Antaranya ialah ilusi positif iaitu manusia cenderung untuk mempunyai ilusi positif terhadap diri sendiri.

Misalnya, kita tidak akan mati muda, walaupun kita tahu ramai orang lain yang mati muda.

Kita juga percaya tidak akan diserang kanser walaupun kita kuat merokok. Bagaimanapun, kalau diminta menilai orang lain yang merokok, kita cenderung berkata mereka akan diserang penyakit.

Kita juga cenderung menilai kita sebagai orang baik, walaupun orang lain mungkin menilai kita sebagai sombong. Sebaliknya kita menilai orang lain sebagai sombong, walaupun orang itu menilai diri mereka baik.

Faktor kedua ialah penolakan majmuk. Misalnya, manusia cenderung untuk tidak mahu berkawan dengan orang asing (walaupun orang asing itu mahu berkawan dengannya) kerana manusia cenderung untuk menjangkakan bahawa orang asing itu tidak berminat dengan persahabatan.

Namun begitu, pada masa yang sama, kita pula berkata bahawa kita ini sebenarnya seorang yang ingin bersahabat, cuma terpaksa tidak memulakannya kerana bimbang hasrat itu ditolak.

Sebenarnya itulah yang telah terjadi dalam diri kita sebagai manusia.

Sebab itulah, sebagai manusia kita tidak perlu terlalu berbangga dengan diri sendiri dan menghukum orang lain dengan label yang buruk.

Hakikat sebenarnya, kita sebagai manusia hanyalah sebuah ilusi yang dimainkan oleh perasaan sendiri.

Peruntukan RIMUP 2012

on Friday, May 18, 2012

Bahagian Kokurikulum dan Kesenian telahpun menerima peruntukan bagi mengendali program RIMUP tahun 2012. Berdasarkan kepada perancangan dalam mesyuarat yang telah diadakan pada 17 Mei 2012 bersama-sama dengan Ketua-Ketua Unit Kokurikulum peruntukan ini akan diturunkan kepada JPN selewat-lewatnya pada minggu kedua Jun 2012. Peruntukan yang akan dibekalkan ialah dalam bentuk OS 42000 dan OS 29000.

Sebagai persediaan melaksanakan program, BKK telah menganjurkan kursus JU Negeri bagi Zon Utara dan Zon Tengah. Kursus-kursus bagi negeri-negeri di Zon Timur Zon Selatan di Semenanjung Malaysia, Sabah/Labuan dan Sarawak akan dianjurkan sebaik sahaja tempat dapat ditentukan.

Senaman Punggung

Saya sebenarnya kurang berminat mengikuti cerita BERSIH ataupun protes ke atas mana-mana pihak. Cuma apabila suatu perkara itu pada saya perlu disuarakan, maka saya akan secara "senyap" di sini.

Saya pasti ramai juga membaca kes senaman punggung yang dilakukan oleh sekumpulan bekas tentera dari Persatuan Veteran Tentera Melayu di hadapan rumah Ambiga membantah penganjuran BERSIH 3.0 dan dakwaan penglibatannya dalam program lesbian, gay, biseksual, dan transeksual (LGBT) pada hari Selasa lalu (15 Mei).

Dalam senaman tersebut, kira-kira 15 orang lelaki itu mengadakan senaman aneh itu di depan rumah Ambiga di Bukit Damansara dekat ibu negara dengan dengan membongkok dan menggoyang-goyangkan punggung.

Pada saya tindakan itu sangat tidak patut dan tidak beretika, malah melanggar salah satu prinsip Rukun Negara, iaitu Kesopanan dan Kesusilaan. Entah apa yang terlintas di fikiran mereka ketika itu. Wajarkah seorang bekas tentera yang selama ini kita ketahui sebagai orang yang sangat berdisiplin sanggup menjatuhkan air muka sendiri di khalayak ramai? Dan apa agaknya hukuman yang paling sesuai dikenakan ke atas warganegara yang tidak mematuhi prinsip Rukun Negara?

Menyatakan rasa tidak puas hati terhadap tindakan orang lain yang mereka anggap salah itu memang patut. Tetapi adakah mereka perlu mengikuti atau memilih tindakan yang salah. Jika begitu, maka mereka juga tidak berbeza dengan individu atau kumpulan yang menyokong BERSIH atau didakwa menyokong LGBT.

Harap perkara ini tidak berulang dan individu atau kumpulan lain dapat menjadikannya sebagai iktibar supaya tidak diulangi masa akan datang.

Gerhana Matahari Anulus 20 Mei 2012

Satu gerhana Matahari Anulus (gerhana matahari cincin) akan berlaku pada 20 Mei 2012 ini (20 Mei 2012 waktu tempatan di Hemisfera Timur), dengan magnitud 0.9439. Gerhana matahari berlaku apabila Bulan melintasi antara Bumi dan Matahari, dan melindungi secara keseluruhan atau sebahagian imej Matahari dari pencerap yang berada di Bumi.

Gerhana Matahari Anulus berlaku apabila diameter ketara Bulan adalah lebih kecil daripada cakera Matahari, menyebabkan Matahari kelihatan seperti anulus (cincin), dan menyekat kebanyakan daripada cahaya Matahari.

Satu gerhana anulus mungkin kelihatan seperti gerhana Matahari separa di sebuah rantau yang berjarak beribu-ribu kilometer luasnya.

Gerhana Matahari Cincin 20 Mei

Gerhana matahari Anulus atau gerhana Matahari cincin dijangka berlaku Ahad ini (waktu tempatan di Hemisfera Timur) dengan magnitud 0.9439. Kali terakhir kejadian gerhana berlaku dan dapat disaksikan di Malaysia ialah pada 15 Januari 2010. 

Gerhana matahari berlaku apabila Bulan melintasi antara Bumi dan Matahari, dan melindungi secara keseluruhan atau sebahagian imej Matahari dari pencerap yang berada di Bumi. Gerhana Matahari Anulus berlaku apabila diameter ketara Bulan adalah lebih kecil daripada cakera Matahari, menyebabkan Matahari kelihatan seperti anulus (cincin), dan menyekat kebanyakan daripada cahaya Matahari. Satu gerhana anulus mungkin kelihatan seperti gerhana Matahari separa di sebuah rantau yang berjarak beribu-ribu kilometer luasnya. 

Walaubagaimanapun, fenomena gerhana kali ini hanya akan dapat disaksikan di sebahagian kawasan di Sabah dan Sarawak. Menurut Portal Pendidikan Sains Angkasa, gerhana itu juga dapat dilihat di Brunei dan sebahagiannya di Indonesia secara separa.

Perutusan Hari Guru Tahun 2012

on Wednesday, May 16, 2012

TEKS UCAPAN YAB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN TIMBALAN PERDANA MENTERI MERANGKAP MENTERI PELAJARAN MALAYSIA DI MAJLIS PELANCARAN PERAYAAN HARI GURU KALI KE-41

TEMA: “GURU INOVATIF MELONJAKKAN TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA”

Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry bin Abd Kadir, MB Perak;
Yang Berhormat Datuk Ir. Dr. Wee Ka Siong, Timbalan Menteri Pelajaran I;
Yang Berhormat Dr. Haji Mohd Puad bin Zarkashi, Timb. Menteri Pelajaran II;
Yang Berbahagia Dato' Dr. Rosli bin Mohamed, Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Malaysia;
Yang Berbahagia Dato' Sri Abdul Ghafar bin Mahmud, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia;
Yang Berbahagia Tuan Haji Mohd. Idris bin Haji Ramli, Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Perak
Timbalan-Timbalan Ketua Setiausaha dan Timbalan-Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia,
Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia, Ketua-Ketua Bahagian Kementerian Pelajaran Malaysia, Pengarah-Pengarah Pelajaran Negeri,
Tan Sri-Tan Sri, Dato’-Dato’, Datin-Datin, Dif-dif Jemputan, Tuan-tuan, Puan-puan dan para pendidik yang saya hormati sekalian.

1. Alhamdullillah, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T. dengan limpah izin dan kurnia-Nya, dapat kita sama-sama berkumpul di Bandar DiRaja Kuala Kangsar, Perak pada hari ini sebagai tanda pengiktirafan dan terima kasih kita yang tidak terhingga terhadap jasa dan sumbangan para guru, warga Kementerian Pelajaran dan semua insan yang bergelar pendidik di negara kita. Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada YAB Dato’ Seri DiRaja Dr. Haji Zambry bin Abdul Kadir, Menteri Besar Perak atas kesudian kerajaan negeri Perak menjadi tuan rumah sambutan Perayaan Hari Guru yang ke-41 pada tahun ini.

GURU INOVATIF MELONJAKKAN TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

2. Malaysia sedang berada di ambang negara maju. Untuk tempoh lapan tahun dari sekarang, negara kita akan melalui satu fasa transformasi penting yang akan menentukan samada kita berjaya melangkah ke gerbang negara maju apabila fajar tahun 2020 menyinsing. Dalam era transformasi ini, seluruh minda dan kudrat rakyat perlu digembleng untuk memacu kemajuan negara dalam persekitaran global yang lebih mencabar.

3. Sepanjang perjalanan kita melalui liku zaman transformasi, bukan sedikit cabaran yang bakal kita hadapi. Bagi para guru, cabaran paling getir adalah bagaimana untuk melonjakkan kualiti dan ekuiti pendidikan dalam tempoh yang terdekat. Tujuannya ialah, pertama, supaya sistem pendidikan negara kita mampu melahirkan insan yang berupaya memacu kemajuan pesat negara dan mengisi keperluan sebuah masyarakat maju. Dan kedua, supaya setiap murid di negara kita, tanpa mengira kaum, agama, wilayah dan status sosial berpeluang untuk mengecap nikmat pendidikan yang berkualiti secara adil dan saksama.

4. Lantaran itu, kerajaan memberikan tumpuan utama kepada usaha meningkatkan kualiti pendidikan negara secara menyeluruh. Ini kerana kita tahu bahawa menyediakan pendidikan yang berkualiti untuk rakyat adalah satusatunya wadah bagi melahirkan modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran tinggi, kreatif, inovatif dan berdaya saing. Modal insan inilah yang akan memacu kemajuan negara kita ke tahap yang lebih tinggi. Di pundak merekalah letaknya harapan kita untuk melihat kemajuan dan pembangunan negara dijana dengan lebih pesat dan mapan, demi kesejahteraan dan kemakmuran masa depan kita bersama.

5. Usaha untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara telah kita mulakan. Sejak tiga tahun yang lalu, kita telah melaksanakan empat inisiatif di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi sektor pendidikan, yang bertujuan untuk memperluas akses kepada pendidikan yang berkualiti dan berkemampuan. Alhamdulillah, berkat kegigihan para guru di segenap pelusuk negara dan sokongan padu seluruh warga Kementerian, kita telah menempa kejayaan yang membanggakan. Dalam tempoh yang singkat, kadar penyertaan murid pra-sekolah berjaya kita tingkatkan, sasaran penguasaan literasi dan numerasi murid mampu kita capai, bilangan sekolah berprestasi tinggi bertambah dan bai’ah dengan pengetua dan guru besar terlaksana. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada semua guru dan warga kementerian yang telah menggerakkan seluruh kudrat dan ikhtiar untuk meningkatkan kemerlangan pendidikan negara.

Saudara dan saudari yang saya hormati,

6. Kita pastinya berbangga dengan kejayaan besar yang dicipta oleh guru-guru kita. Selama lebih lima dekad berada di persada pendidikan negara, guru-guru kita telah memberi sumbangan yang amat bermakna kepada kemajuan dan pembangunan yang kita kecapi hari ini. Berkat sentuhan para gurulah, lahirnya insan-insan yang terdidik dengan ilmu dan adab, yang kini berada di setiap lapangan ekonomi, sosial, budaya, pendidikan dan sebagainya untuk menggerakkan kemajuan bangsa dan nusa. Kejayaan negara kita beralih daripada sebuah negara berasaskan ekonomi pertanian kepada sebuah negara perindustrian baru yang pesat berkembang, sebahagian besarnya adalah kerana jasa dan bakti para guru. Justeru, tidak ada sesiapapun yang boleh memandang rendah dan memperleceh peranan serta sumbangan besar para guru terhadap kemajuan yang dicapai oleh negara kita hari ini.

7. Sementara kita menghargai segala jasa guru, kita tidak mengambil sikap mudah berpuashati dengan pencapaian sedia ada. Dalam menghadapi persaingan global yang semakin sengit, kita tahu bahawa sistem dan amalan pendidikan di negara kita perlu ditransformasi. Kualiti guru-guru kita perlu dimantapkan, mutu kepimpinan sekolah perlu ditingkatkan, kurikulum dan sistem pentaksiran perlu diperkemaskan, prasarana sekolah perlu ditambahbaik, sumber dan sistem penyampaian pendidikan perlu diurus dengan lebih cekap. Pendek kata, keseluruhan sistem pendidikan kita perlu disemak dan dimantapkan kualitinya secara bersepadu.

8. Sehubungan itu, Kementerian telah memulakan proses Kajian Semula Pendidikan Negara. Satu laporan awal yang menggariskan aspek-aspek utama yang perlu diberi perhatian telahpun disediakan oleh kumpulan pakar. Kita juga telah memulakan proses Dialog Nasional Pendidikan Negara untuk mempelawa pandangan dan saranan daripada seluruh rakyat, tentang cara bagaimana kita boleh meningkatkan mutu dan tahap pendidikan negara kita agar setanding dengan negara-negara maju. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengundang guru-guru menyertai dialog pendidikan negara dan tanpil dengan idea-idea bernas untuk meningkatkan mutu pendidikan kita.

9. Apatah lagi, aspek paling penting dalam proses kajian semula pendidikan ini ialah kualiti guru. Hanya guru yang berkualiti dapat mewujudkan pendidikan yang berkualiti. Saya percaya, guru-guru yang telah lama berkecimpung dalam bidang pendidikan dapat mengemukakan saranan terbaik tentang bagaimana kualiti guru, termasuk kualiti pengajaran dan pembelajaran, dapat kita tingkatkan.

GURU BERKUALITI, GURU BERINOVASI

Saudara dan saudari yang saya hormati,

10. Dalam menempuh era globalisasi yang semakin diwarnai oleh ekonomi berteraskan ilmu dan inovasi, maka pada hemat saya, guru yang berkualiti adalah guru yang berinovasi. Izinkan saya memberi sedikit huraian tentang apa yang dimaksudkan dengan guru berinovasi. Pada pengamatan saya, guru berinovasi ialah guru yang mempunyai kebolehan untuk melengkapkan murid dengan kemahiran alaf baru seperti keupayaan berfikir secara kritis, kebijaksanaan menyelesaikan masalah dan daya kreativiti yang tinggi. Dalam konteks ini, sebelum melangkah masuk ke bilik darjah, seorang guru berinovasi akan menekuni kurikulum dan menilai apakah keberhasilan yang ingin dicapai. Ketika berada di dalam bilik darjah, guru berinovasi tidak akan terikat dengan sesuatu cara dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran, tetapi sentiasa berfikir di luar kotak pemikiran biasa untuk mencari kaedah dan pendekatan baru yang lebih berkesan. Yang penting, objektif pembelajaran dicapai.

11. Selanjutnya, seorang guru berinovasi juga akan memberi tumpuan kepada kaedah pengajaran dan pembelajaran yang boleh merangsang daya fikir dan daya kreativiti murid. Keutamaan guru berinovasi ialah untuk memastikan murid berupaya menggunakan ilmu yang diajar di dalam bilik darjah bukan semata-mata untuk berjaya dalam peperiksaan, tetapi untuk membolehkan mereka menyelesaikan permasalahan yang dihadapi di dunia nyata. Bermaksud, guru berinovasi ialah guru yang mampu menyediakan persekitaran pembelajaran paling kondusif dan memberi ruang seluas-luasnya kepada murid untuk mengasah kebijaksanaan berfikir. Seterusnya, guru berinovasi juga berupaya menilai pencapaian dan potensi murid secara holistik, serta sentiasa mengambil langkah proaktif untuk meningkatkan kecemerlangan murid supaya mereka dapat bersaing di dunia yang semakin mencabar.

12. Ini bermakna, guru berinovasi ialah guru yang sentiasa memikirkan apakah cabaran yang bakal dihadapi oleh murid setelah mereka melangkah keluar dari lingkungan sekolah, dan apakah ilmu yang dipelajari di sekolah mampu memberi kelebihan kepada mereka untuk bersaing di alam nyata. Untuk itu, guru berinovasi akan sentiasa menggunakan pelbagai kaedah dan cara untuk mengasah daya fikir, daya kreativiti dan daya tahan murid, dan seterusnya menjadikan mereka insan yang berdaya saing dan berakhlak mulia. Sekiranya semua guru di negara kita adalah guru berinovasi, saya yakin matlamat kita untuk melahirkan modal insan yang berpengetahuan tinggi, kreatif, inovatif dan berketrampilan akan tercapai.

KEJAYAAN GURU DAN SEKOLAH BERINOVASI

13. Keyakinan saya berasaskan kepada fakta bahawa pada masa ini di sekolah-sekolah kita di segenap ceruk tanah air, terdapat mutiara inovasi yang bergemerlipan. Antaranya, murid Sekolah Menengah Kebangsaan USJ 4, Subang Jaya telah merangkul pingat emas dalam Pertandingan World Robotic Olympiad di Abu Dhabi, Emeriah Arab Bersatu pada bulan November tahun lalu. Kejayaan ini membuktikan pendidikan berteraskan kreativiti dan inovasi mampu melahirkan murid yang berjaya menempa kecemerlangan di peringkat antarabangsa. Tahniah saya ucapkan kepada murid dan guru SMK USJ 4, Subang Jaya.

14. Saya juga mengucapkan tahniah kepada Cikgu Harris Ganae bin Nanar dari Sekolah Menengah Sains Kepala Batas yang berjaya memenangi Pingat Emas bagi kategori Modul Pengajaran Terbaik dalam pertandingan ASEAN Camp for Gifted In Science pada tahun 2011. Cikgu Harris juga patut dipuji kerana hasil inovasi beliau, Sekolah Menengah Sains Kepala Batas telah meraih banyak kejayaan dalam Pertandingan Rekacipta di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Ini termasuk Pertandingan Inovasi Sains SBP Kelapa Sawit anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia dan The Second APEC Conference for the Gifted In Science di Korea.

15. Saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Cikgu Khairuddin bin Nasa dan Cikgu Abdul Razak bin Haron dari Sekolah Menengah Kebangsaan Khir Johari, Sungai Sumun Perak, yang telah berjaya merangkul Anugerah Guru Inovatif 2012. Semoga kejayaan anda berdua akan mendorong guru-guru di seluruh negara untuk menjadi guru berinovasi, bersesuaian dengan tema Hari Guru tahun ini.

MEMANTAPKAN BUDAYA INOVASI DI SEKOLAH

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

16. Kementerian akan terus berusaha untuk meningkatkan pembudayaan inovasi di sekolah. Bermula tahun 2011, Kementerian telah melaksanakan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang menekankan aspek pemikiran kritis, kreatif dan inovatif sejak peringkat awal persekolahan. Saya yakin transformasi kurikulum yang dilaksanakan akan membuka peluang kepada guru untuk mengenalpasti strategi penambahbaikan proses pengajaran dan pembelajaran secara berterusan. KSSR diharap menjadi landasan kepada guru untuk menjana pelbagai kaedah pengajaran dan seterusnya mengatasi masalah murid lemah menerusi teknik pembelajaran secara intervensi.

17. Kementerian Pelajaran juga telah bekerjasama dengan Agensi Inovasi Malaysia (AIM) untuk membudayakan kemahiran berfikir melalui Program i-Think. Program ini adalah antara pendekatan baru yang sesuai diguna pakai oleh guru untuk meningkatkan pena’akulan dalam kalangan murid. Program ini telah dirintis di sepuluh buah sekolah dan diharapkan dapat diperluaskan ke seluruh negara untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran.

18. Selain itu, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi sedang merangka Pelan Tindakan Pembangunan Modal Insan Inovatif untuk membudayakan inovasi dan kreativiti dalam kalangan murid. Melalui pelan ini, sekolah akan bertindak sebagai agensi pelaksana yang menjalankan pengajaran dan pembelajaran secara kreatif bagi melahirkan modal insan yang inovatif. Pelan Tindakan Pembangunan Modal Insan Inovatif diharap akan digunakan sepenuhnya oleh guru sebagai garis panduan untuk mencapai hasrat negara meningkatkan keupayaan daya saing negara yang diukur berdasarkan
kemampuan rakyat untuk berinovasi.

MEMARTABAT PROFESYEN KEGURUAN

19. Usaha membudayakan inovasi di sekolah tidak akan tercapai tanpa guru-guru yang berkualiti. Oleh itu, Kementerian sentiasa berusaha meningkatkan kualiti guru melalui sokongan dasar, latihan dan insentif. Dalam hubungan ini, Kementerian komited untuk mencapai sasaran 60 peratus guru siswazah di sekolah rendah dan 90 peratus guru siswazah di sekolah menengah menjelang tahun 2015. Sehingga kini, program pensiswazahan guru telah berjalan lancar dengan 69.6 peratus daripada 66,124 guru yang disasarkan telah menerima tawaran mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi.

20. Biarpun mengharap dedikasi guru yang tidak terhingga dalam mendidik anak bangsa, kerajaan tetap mengambil perhatian serius terhadap keluhan guru yang terbeban dengan pelbagai tugas dalam memastikan kelancaran dan keberkesanan organisasi sekolah. Oleh itu, Jawatankuasa Kerja Pelaksana Menangani Isu Beban Tugas Guru sedang melaksanakan 28 perakuan bagi menangani 14 isu yang memberi kesan terhadap beban tugas guru. Antaranya, Jawatankuasa Kerja ini memperkenalkan Sistem Pengurusan Sekolah yang merupakan satu sistem tunggal kemasukan data untuk mengurangkan beban tugas guru yang menggunakan pelbagai sistem kemasukan data pada masa ini. Sistem ini telah dilaksanakan secara rintis di 88 buah sekolah, dan dijadualkan semua sekolah di bawah Kementerian Pelajaran akan menggunakan sistem baru ini menjelang tahun 2013.

21. Selain itu, KPM juga sedang menjalankan kajian rintis bagi penempatan Pembantu Tadbir N17 sehingga Jun 2012 untuk melihat impak penempatan Pembantu Tadbir bagi mengurangkan beban tugas perkeranian guru. Seterusnya satu cadangan akan dikemukakan kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Awam bagi perluasan penempatan Pembantu Tadbir N17 di sekolah-sekolah di bawah Kementerian. Bagi menangani isu beban tugas guru ini juga, semua Jabatan Pelajaran Negeri telah melaksanakan pemansuhan ujian dan peperiksaan setara serta menambahbaik pengendalian ujian dan peperiksaan di peringkat sekolah. Oleh itu, pada tahun ini hanya satu peperiksaan setara sahaja dibenarkan. Pemansuhan sepenuhnya ujian dan peperiksaan setara akan dikuatkuasakan mulai tahun 2013, di mana semua ujian akan dijalankan dalam waktu pengajaran dan pembelajaran.

22. Selaras dengan usaha kerajaan untuk menambah baik Skim Perkhidmatan Pendidikan, peruntukan tempoh minimum kenaikan pangkat secara Time-Based berasaskan kecemerlangan dikekalkan sebagaimana diumum oleh YAB Perdana Menteri pada 8 Mac yang lalu. Bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah gred DG41, hanya 8 tahun diperlukan untuk kenaikan ke gred DG44, 8 tahun untuk gred DG44 ke DG48, 6 tahun untuk gred DG48 ke DG52, dan hanya 3 tahun untuk DG52 ke DG54. Manakala bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma gred DGA29, hanya 8 tahun diperlukan untuk naik ke gred DGA32, 8 tahun untuk gred DGA32 ke DGA34, dan hanya 5 tahun untuk gred DGA34 ke DGA38.

23. Lanjutan pengumuman YAB Perdana Menteri, seramai 390 orang guru telah dinaikkan ke gred DG54, manakala 676 orang ke gred DG52, 3,938 orang ke gred DG48 dan 19,805 orang ke gred DG44. Bagi Guru Bukan Siswazah pula, seramai 399 orang dinaikkan ke gred DGA38, manakala 2,639 orang dinaikkan ke gred DGA34 dan 9,519 orang ke gred DGA32. Dianggarkan seramai 8,222 orang Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah dan 15,831 orang Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma akan dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat apabila memenuhi syarat tempoh perkhidmatan mulai 1 Jun 2012 sehingga 31 Disember 2012. Guru-guru boleh membuat semakan di laman web Kementerian Pelajaran mulai hari ini.

24. Selaras dengan komitmen kerajaan untuk meningkatkan kecemerlangan pendidikan dan memartabatkan profesion keguruan, saya ingin memaklumkan bahawa proses kenaikan pangkat Pengetua dari gred DG48 ke DG52 dan Penolong Kanan dari DG44 ke DG48 telah dilaksanakan oleh Kementerian. Setakat ini seramai 854 orang Pengetua telah dinaikkan pangkat dari DG48 ke DG52 dan 4,270 orang Penolong Kanan telah dinaikkan pangkat dari DG44 ke DG48. Kenaikan pangkat ini melibatkan Pengetua dan Penolong Kanan yang merupakan penyandang sedia ada sebelum atau pada 31 Disember 2011, dan yang memangku jawatan sebelum atau pada 31 Disember 2010. Tarikh kuatkuasa kenaikan pangkat ini adalah pada 1 Januari 2012. Baki penyandang jawatan Pengetua dari gred DG48 ke DG52 seramai 430 orang dan baki penyandang jawatan Penolong Kanan Gred DG44 ke Gred DG48 seramai 2,655 orang akan diperakukan secara berperingkat mulai Jun 2012 setelah calon-calon memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

25. Bagi melaksanakan semua urusan kenaikan pangkat Pegawai Perkhidmatan Pendidikan, kerajaan telah memperuntukkan 934 juta ringgit, iaitu satu jumlah besar yang membuktikan kesungguhan kerajaan memberi pengiktirafan kepada usaha para guru dalam membentuk modal insan yang berpersonaliti unggul. Justeru, saya berharap agar peluang kenaikan pangkat ini akan memberi semangat dan dorongan kepada semua guru untuk meningkatkan prestasi.

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

26. Saya yakin guru berinovasi akan dapat mentransformasi pengajaran dan pembelajaran bagi melahirkan murid yang berdaya saing, berakhlak mulia dan bersemangat waja. Saya berharap guru juga sentiasa memelihara kemuliaan akhlak dan ketinggian budi pekerti supaya guru terus dihormati dan menjadi suri teladan kepada murid dan masyarakat.

27. Untuk memastikan ilmu pengetahuan dapat diterima dengan sebaiknya oleh murid, saya amat berharap agar guru bukan sahaja menyampaikan ilmu, tetapi bertindak sebagai murabbi yang berperanan mendidik rohani, jasmani, akal dan emosi murid supaya mereka dapat menghayati dan mengamalkan ilmu yang dipelajari. Maka, guru menggalas amanah yang amat mulia dalam memperbaharui dan memperbaiki kehidupan manusia. Tajdid pendidikan akan terhasil apabila guru dapat membangun jiwa, membina akal dan membentuk akhlak manusia dengan asuhan ilmu dan adab yang mulia.

28. Sesungguhnya, tidak terhitung jasa dan bakti guru kepada bangsa dan negara. Justeru, saya bagi pihak kerajaan ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada para guru dan semua insan yang bergelar pendidik, baik yang berada di sekolah, di institut pendidikan guru, di kolej-kolej matrikulasi, di institusi pengajian tinggi, di institusi-institusi latihan atau di mana jua anda berada, samada yang masih berkhidmat atau telah bersara. Saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga atas segala sumbangan dan pengorbanan anda semua dalam menggalas amanah mulia mendidik anak bangsa dan mengangkat martabat nusa. Kepada guru-guru pesan saya, sayangilah murid anda, dan kepada murid nasihat saya, hormatilah dan hargailah jasa guru anda.

Akhir kalam, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-41 Tahun 2012.

Selamat Hari Guru! Terima Kasih Cikgu!

Wabillahi al-taufik walhidayah wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.



Sumber: Kementerian Pelajaran Malaysia

Rayuan Permohonan Kemasukan ke IPTA / Politeknik Premier

on Thursday, May 10, 2012

Keputusan kemasukan ke IPTA/Politeknik telah pun diumumkan pada 7 Mei lepas dan bagi calon yang telah ditawarkan tempat mereka perlu menyatakan pengesahan penerimaan sebelum 15 Mei ini. Kepada mereka yang gagal mendapat tawaran pula jangan berputus asa kerana peluang untuk membuat rayuan masih lagi dibuka.


Calon yang gagal mendapat sebarang tawaran layak mengemukakan permohonan rayuan seperti berikut.

1.  Rayuan ke IPTA
Rayuan ke IPTA bagi program pengajian Lepasan SPM/Setaraf dibuka untuk capaian mulai 07 Mei 2012 jam 12.00 tengah hari sehingga 18 Mei 2012 di URL berikut : https://online.mohe.gov.my/upu/onlinerayuanupu/

Rayuan ke IPTA bagi program pengajian Lepasan STPM/Setaraf dibuka untuk capaian mulai 20 Julai 2012 jam 12.00 tengah hari sehingga 30 Julai 2012 (Tentatif) di URL berikut : https://online.mohe.gov.my/upu/onlinerayuanupu/

2. Rayuan Politeknik Premier
Rayuan ke Politeknik Premier bagi program pengajian Lepasan SPM/Setaraf dibuka untuk capaian mulai 07 Mei 2012 jam 12.00 tengah hari sehingga 18 Mei 2012 di URL berikut : https://online.mohe.gov.my/upu/onlinerayuanupu/

3. Rayuan ke TEVT-Politeknik & ILKA
Sebarang rayuan hendaklah dikemukakan kepada Institusi / Agensi TEVT & ILKA yang berkaitan dalam tempoh 14 hari selepas keputusan diumumkan.

SEAMEO-Japan Education for Sustainable Development (ESD) Award 2012

on Monday, May 07, 2012



Theme for 2012: Education for Disaster Risk Reduction
Each year, the award will be organized under a new theme that highlights the emerging issues in the region which are related to Education for Sustainable Development.

Due to recent natural disasters such as earthquakes, floods, tsunamis, landslides, droughts, cyclones and storms that have caused massive destruction, including the loss of lives and a devastating effect on communities in Japan and in Southeast Asian countries, the organizers agreed to organize the very first award under the theme of “Education for Disaster Risk Reduction”. This year’s theme aims:


  • To raise awareness of Education for Disaster Risk Reduction among schools and communities in Southeast Asia;
  • To promote and share best practices of Education for Disaster Risk Reduction within schools and communities in Southeast Asia; and
  • To prepare schools and communities in Southeast Asia plan strategies that reduce risk and losses caused by natural disasters.

Please refer to : SEAMEO-Japan ESD Award for more info.

Tenaga

on Wednesday, May 02, 2012

Sebelum ini murid-murid telahpun mempelajari pelbagai bentuk tenaga, iaitu: tenaga solar, tenaga keupayaan, tenaga bunyi, tenaga haba, tenaga elektrik, tenaga cahaya, tenaga kimia dan tenaga kinetik.

Jadi kali ini cikgu ingin kongsikan sebuah klip yang menerangkan secara ringkas tentang Tenaga. Harap murid-murid terhibur dan dapat mempelajari sesuatu daripada klip ini.

Kekosongan Jawatan Pembantu Am Pejabat

Iklan Kekosongan Jawatan Pembantu Am Pejabat Gred N1

Sukacita dimaklumkan bahawa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) akan melaksanakan urusan pengambilan jawatan Pembantu Am Pejabat Gred N1 di Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia.

Sehubungan itu, warganegara Malaysia yang berkelayakan dan memenuhi kriteria yang ditetapkan adalah dipelawa untuk mengisi kekosongan jawatan di SPA seperti berikut:-

  • Pemohon atau ibu/bapa pemohon hendaklah terdiri di kalangan anak-anak Negeri Selangor/Negeri Sembilan/Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur/Wilayah Persekutuan Putrajaya; ATAU 
  • Aktif dalam aktiviti sukan/kebudayaan di peringkat negeri/kebangsaan.

Tarikh tutup permohonan: 11 Mei 2012 (Jumaat)

Permohonan bagi jawatan ini boleh dibuat melalui Borang Pendaftaran Pekerjaan Di Sektor Awam (SPA8i)  



Maklumat lanjut tentang iklan dan borang permohonan, sila lawati portal SPA di: http://www.spa.gov.my/Portal/

Tawaran Jawatan Guru dan Pensyarah Cemerlang Tahun 2012

Kementerian Pelajaran menawarkan pengisian jawatan Guru Cemerlang dan Pensyarah Cemerlang secara khas untuk penyandang (KUP) tahun 2012.

Tawaran pensyarah cemerlang terbuka kepada Pegawai Perkhidmatan Pelajaran yang berkhidmat sebagai pensyarah di Institut Pendidikan Guru (IPG), Institut Aminuddin Baki (IAB), Kolej Matrikulasi (KM) dan English Language Teaching Centre (ELTC) manakala tawaran guru cemerlang pula terbuka kepada semua guru.

Tawaran ini melibatkan gred seperti berikut:
  • Guru Sekolah - gred DGA32, DGA34, DGA38, DG44, DG48, DG52, DG54 dan Khas C. 
  • Pensyarah IPG dan IAB - gred DG48, DG52, DG54, Khas C.
  • Pensyarah Kolej Matrikulasi - DG48, DG52, DG54.
  • Pensyarah ELTC - DG44, DG48, DG52 dan DG54. 
Tarikh tutup permohonan ialah pada  25 Mei 2012.Permohonan dari sekolah perlu melalui Pengetua/Guru Besar sekolah masing-masing, manakala permohonan dari IAB, KM, ELTC dan IGP adalah melalui Pengarah institusi masing-masing.

Iklan Permohonan





Borang permohonan serta maklumat lanjut boleh didapati dari semua Pejabat Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK), bahagian-bahagian di Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah serta menerusi laman web http://www.moe.gov.my/jnjk atau http://www.moe.gov.my.


Semak Temuduga KPLSPM 2012

Semakan Keputusan Panggilan Temuduga bagi Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan dengan Kepujian (PISMP) Ambilan Jun 2012

Assalamualaikum w.b.t & Salam Sejahtera,

Adalah dengan ini dimaklumkan bahawa Aplikasi Semakan Keputusan Panggilan Temuduga bagi Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan dengan Kepujian (PISMP) Ambilan Jun 2012 boleh dibuat mulai jam 2 petang, pada 30 April 2012 (Isnin) melalui laman sesawang Kementerian Pelajaran Malaysia.

Untuk makluman juga, berikut adalah butiran/tarikh aktiviti KPLSPM 2012
*Tarikh di atas adalah sebagai panduan dan tertakluk kepada perubahan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.


Maklumat Penting Berkenaan Temuduga KPLSPM 
Berikut adalah beberapa maklumat penting yang perlu diketahui oleh pemohon berkenaan temuduga KPLSM.
  1. Calon yang dipanggil temu duga dikehendaki menduduki ujian Inventori Sahsiah Keguruan (INSAK) semasa menghadiri temu duga. 
  2. Pemilihan calon untuk mengikuti kursus perguruan adalah bergantung kepada kedudukan pencapaian merit skor akademik, prestasi dan temu duga dan keputusan ujian INSAK. Keputusan oleh Jawatankuasa Pemilihan adalah muktamad. 
  3. Kementerian Pelajaran Malaysia berhak menawarkan program atau bidang pengajian bukan pilihan dan menempatkan calon yang berjaya di mana-mana Institut Pendidikan Guru (IPG). 
  4. Calon dinasihatkan menyemak status permohonan mereka dari semasa ke semasa untuk status panggilan temu duga dan juga tawaran ke IPG yang ditetapkan. 
  5. Tiada surat menyurat dikeluarkan untuk panggilan temu duga. Segala perbelanjaan dan risiko menghadiri temu duga adalah tanggungjawab calon sendiri. 
  6. Surat tawaran rasmi bagi calon yang berjaya akan diserahkan di IPG yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia setelah calon melapor diri di IPG. 
Kepada calon-calon yang telah mengisi borang permohonan, diucapkan selamat berjaya dan mengikuti temuduga KPLSPM. Jika ada kelapangan anda juga boleh merujuk entri: Jawapan Kenapa Memilih Profesion Keguruan sebagai panduan untuk mengikuti temuduga nanti. Bagi yang tidak berjaya pula jangan berputus asa kerana peluang untuk anda melanjutkan pelajaran di peringkat tinggi dalam bidang lain masih terbuka luas.

NUR ALERT: Kanak-Kanak Hilang Nayati Moodliar

Pernahkah anda melihat kanak-kanak ini? NAYATI SHAMELIN MOODLIAR, 12 tahun, hilang sejak 27/4/2012. Tempat terakhir dijumpai adalah di hadapan Sekolah Mon't Kiara International School. Jika anda mempunyai maklumat mengenai kanak-kanak ini sila hubungi ASP ERWANSYAH di talian 019-3849480 atau Balai Polis Traver.


Kemaskini 03/05/2012: Kanak-kanak lelaki yang dilapor hilang dipercayai diculik minggu lepas, Nayati Shamelin Moodliar, 12, dijumpai di Rawang hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah yang mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Bernama hari ini, bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Media melaporkan kanak-kanak lelaki warga Belanda itu dilapor hilang dipercayai diculik ketika berjalan kaki berseorangan ke Sekolah Antarabangsa Mont Kiara di sini, kira-kira pukul 7 pagi Jumaat lepas.

Nayati, yang memakai pakaian seragam sekolahnya dikatakan dilarikan oleh dua lelaki yang menaiki sebuah kereta Proton Gen 2 berwarna hitam. (Sumber: Kosmo)
 
© Just Another Story All Rights Reserved