Tiga wanita beragama Islam ditahan ketika sedang menari separuh bogel di sebuah kelab malam di Serdang, awal pagi semalam.
Mereka antara lima wanita yang ditahan polis ketika serbuan Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang jam 1.45 pagi di sebuah pub di Bukit Puchong Jaya, di sini kerana positif dadah bersama empat lagi lelaki.
Ketika serbuan, wanita terbabit didapati sedang khayal kerana meneguk arak dan mengambil pil khayal dipercayai Eramin 5.
Premis hiburan itu didapati menjalankan perniagaan melebihi masa selain menawarkan tarian lucah kepada pengunjungnya selepas tengah malam.
Ketua Polis Serdang, Superintendan Abd Razak Elias berkata, premis itu menjadi pilihan orang ramai berikutan persembahan tarian lucah yang disediakan.
“Ketika serbuan, 50 pengunjung termasuk pelayan pelanggan (GRO) berada di premis berkenaan termasuk beberapa orang yang sedang membuat persembahan pada besi tiang di atas pentas yang disediakan.
“Polis tidak menolak kemungkinan mereka sedang khayal dengan mengambil pil khayal ketika beraksi ghairah di atas pentas,” katanya.
Mereka semua dibawa ke IPD Serdang untuk tindakan lanjut dan akan disiasat mengikut Seksyen 15 (1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu, Khamis lalu, 22 lelaki yang sedang leka berjudi diberkas polis di dua premis judi Internet berasingan di Pusat Perniagaan Seri Kembangan, dekat sini.
Lebih memalukan, ketika pemeriksaan dilakukan semua lelaki berusia 30-an itu didapati tidak berpuasa apabila ditemui makanan serta minuman di atas meja komputer mereka. Mereka pada mulanya mendakwa berpuasa tetapi selepas disiasat terpaksa mengakui sebaliknya.
Sumber: Harian Metro
{ 0 Respon... read them below or add one }
Post a Comment