Guru Degil Akan Diambil Tindakan

on Monday, March 15, 2010

KUALA TERENGGANU 11 Mac - Mana-mana guru baru yang mengingkari arahan apabila dihantar untuk berkhidmat di kawasan pedalaman akan dikenakan tindakan tegas termasuk disingkir daripada kerjaya perguruan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi ketika memberi amaran itu menegaskan, pihaknya tidak akan bertolak ansur mengenai perkara itu dan mereka yang terbabit perlu menerima hakikat dikenakan tindakan sedemikian.

Katanya, guru-guru yang baru tamat perkhidmatan jika dihantar berkhidmat ke kawasan pedalaman mesti mematuhi arahan tersebut bagi mengelak timbul masalah kekurangan guru di kawasan itu.

"Bagaimanapun mereka masih boleh merayu dengan alasan yang munasabah, tapi kalau mereka langsung tak datang lapor diri, kita akan ambil tindakan.

''Mereka akan disingkirkan dan tak boleh jadi guru lagi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks Mengabang Telipot dan majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd. Nasir Ibrahim Fikri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Muhammad Ramli Nuh serta Pengarah Pelajaran Negeri, Ariffin Embong.

Mohd. Puad seterusnya menjelaskan, amaran keras seumpama itu tidak melibatkan guru-guru yang sudah lama berkhidmat dan turut dihantar bertugas di pedalaman.

Beliau berkata, guru berpengalaman yang enggan berkhidmat di kawasan pedalaman tidak akan dikenakan tindakan keras tetapi mereka mungkin tidak berpeluang menikmati faedah lain termasuk kenaikan pangkat.

Mohd. Puad juga menempelak guru-guru yang sanggup mendapat sokongan orang berpengaruh atau kenamaan untuk merayu agar tidak ditempatkan di kawasan pedalaman.

"Saya tak kira mereka dapat sokongan daripada sesiapa termasuk orang berpengaruh, ada kes selepas setahun, baru datang balik untuk mengajar, mereka ini juga akan dikenakan tindakan," ujarnya. (Utusan Online, 12 Mac 2010)

Ulasan Saya:
Sangat setuju jika tindakan seperti ini diambil dengan segera. Ini kerana cukup malang bagi daerah-daerah luar bandar dan pedalaman seperti Pitas, Sabah. Ada segelintir guru (baru) yang dihantar ke daerah ini langsung tidak lapor diri setelah sekian lama. Rupa-rupanya mereka telah berpindah ke tempat lain. Jadi cadangan saya, bukan sahaja guru baru itu patut diambil tindakan, tetapi tindakan yang sama patut diambil terhadap orang kenamaan yang menyokong dan pegawai yang meluluskan perpindahannya.Namun tidak adil juga jika tindakan dikenakan terhadap mereka hanya kerana mereka membantu. Justeru, taklimat dan surat pekeliling/siaran kepada  kakitangan Jabatan/Kementerian Pelajaran seluruh negara, YB, atau Menteri perlu diberikan lebih awal.
Ranking: 5

{ 0 Respon... read them below or add one }

Post a Comment

 
© Just Another Story All Rights Reserved