Saya sebenarnya kurang berminat mengikuti cerita BERSIH ataupun protes ke atas mana-mana pihak. Cuma apabila suatu perkara itu pada saya perlu disuarakan, maka saya akan secara "senyap" di sini.
Saya pasti ramai juga membaca kes senaman punggung yang dilakukan oleh sekumpulan bekas tentera dari Persatuan Veteran Tentera Melayu di hadapan rumah Ambiga membantah penganjuran BERSIH 3.0 dan dakwaan penglibatannya dalam program lesbian, gay, biseksual, dan transeksual (LGBT) pada hari Selasa lalu (15 Mei).
Dalam senaman tersebut, kira-kira 15 orang lelaki itu mengadakan senaman aneh itu di depan rumah Ambiga di Bukit Damansara dekat ibu negara dengan dengan membongkok dan menggoyang-goyangkan punggung.
Pada saya tindakan itu sangat tidak patut dan tidak beretika, malah melanggar salah satu prinsip Rukun Negara, iaitu Kesopanan dan Kesusilaan. Entah apa yang terlintas di fikiran mereka ketika itu. Wajarkah seorang bekas tentera yang selama ini kita ketahui sebagai orang yang sangat berdisiplin sanggup menjatuhkan air muka sendiri di khalayak ramai? Dan apa agaknya hukuman yang paling sesuai dikenakan ke atas warganegara yang tidak mematuhi prinsip Rukun Negara?
Menyatakan rasa tidak puas hati terhadap tindakan orang lain yang mereka anggap salah itu memang patut. Tetapi adakah mereka perlu mengikuti atau memilih tindakan yang salah. Jika begitu, maka mereka juga tidak berbeza dengan individu atau kumpulan yang menyokong BERSIH atau didakwa menyokong LGBT.
Harap perkara ini tidak berulang dan individu atau kumpulan lain dapat menjadikannya sebagai iktibar supaya tidak diulangi masa akan datang.
{ 0 Respon... read them below or add one }
Post a Comment